MENGIKUTI Perhimpunan Sastera dan Budaya Negara
Serumpun di Rumah Budaya Fadli Zon, Aie Angek, Tanah Rata, Sumatera
Barat mendekatkan banyak
kemungkinan oleh sasterawan kepada penemuan-penemuan baru terhadap
aktiviti sastera. Baik di Sabah (baca: Malaysia) mahu pun di empat
negara tetangga yang lain. Di situ kemungkinan-kemungkinan yang lalu
telah dialami sendiri oleh para penulis yang menyertai Deklarasi PSBNS
sambil menunggu tahun-tahun yang mendatang. Kita ingin menemukan banyak
hal yang baik-baik dengan menjadikan masa yang berlalu itu sebagai
panduan ke arah penemuan yang lain dan lebih baru.
Menoleh
ke belakang sering mengajak kita memandang semula sesuatu yang
barangkali memang ingin dilupakan walaupun sebenarnya tidak demikian.
Bahkan masa lalu itu menjadi igauan-igauan untuk datang kembali ke sana.
Dengan pertanyaan bahawa pernahkan kita berfikir
tentang masa itu, masa lalu atau beberapa hari yang lalu? Beberapa hari
yang telah berlalu dengan seribu satu peristiwa, kenangan, kemenangan,
suka dan duka. Meski mustahil untuk memanggilnya semula, hari-hari yang
lalu itu sentiasa memberikan nilainya sendiri. Pengalaman sesungguhnya
amat mahal dan untuk membezakan antara insan dengan yang lain inilah
iaitu pengalaman. Pengalaman itu pengisian hari-hari yang mungkin biasa,
luar biasa dan tanpa disedari tentang masa lalu yang bermakna.
Sesiapa
sahaja memiliki pengalaman dan penyair amat mencintainya. Seorang
penyair sentiasa merakamkan peristiwa-peristiwa masa sudahnya, masa
sudah orang lain atau mereka yang akrab dengannya. Dia berkisah dalam
bait-bait peristiwa kemudian diperindah oleh keelokan bahasa, teknik
pelukisan serta penulisan yang berwibawa.
Beberapa
hari yang lalu telah mengajar tentang hijrah. Suatu perpindahan ke arah
kelebih baikan untuk kehidupan. Memilih jalan yang diyakini benar
daripada segala kemungkinan-kemungkinan yang benar. Beberapa hari yang
lalu menerima berita tentang banjir di kampung halaman yang menyuntik
ingin sekali menyedut air yang tengah membuak-buak menenggelamkam
kawasan rendah, ia bertahan beberapa lama kerana tiada jalan keluar
hingga menyebabkan kesulitan warganya. Saat ini keperluan untuk menepuk
belakang para pembesar agar turun tanah semakin membuak rasa setelah
membara sekian lama. Barangkali beberapa hari yang lalu menerima berita
gembira kerana permohonan pembelian kereta telah diluluskan pihak bank
tetapi pada masa yang sama memikirkan juga bertambahnya
hutang. Beberapa hari yang sama sekaligus menggembirakan apabila
menerima cahaya mata baru dalam bulan Muharam malah sekaligus kelahiran
cucu pertama dalam keluarga. Beberapa hari yang lalu barangkali tidak menjangkakan bahawa maruah dengan mudah terpanggang oleh amarah akibat keangkuhan yang keterlaluan. Jika pernah mengharapkan agar hijrah diri bisa membentuk sahsiah, kewaspadaan, kewarasan dan kesabaran. Rupanya ia tidak semudah apa yang dirasa dan diharapkan kerana semua itu bermula dari sebuah peribadi yang sederhana.
Kegembiraan
berganda setelah ditawarkan sebagai penerima bintang kebesaran kerana
perkhidmatan yang lama dan cemerlang. Beberapa hari yang lalu juga
dicerca merbakan oleh isu-isu yang meragam mengangkat menara geram.
Orang lain gembira menyambut kemenangan sedangkan orang lain yang
berjuang untuknya mula menyumbangkan jurang dendam. Beberapa yang lalu
itu juga apa yang kita mahukan tidak menjadi, mahu kita tidak mungkin
sama dengan mahu orang, apatah lagi buat yang berkuasa.
Beberapa
yang lalu ramai orang begitu taksub memperkatakan masa depan politik
yang semakin dicabar dan tercabar. Mereka bangun semata-mata politik,
melihat kemakmuran rakyat hanyalah retorik tetapi tidak jelas. Politik
terus berada di mana-mana ceruk rantau rimba, desa dan kota, di kantor,
di menara gading, di tengah sawah dan ketika lautan banjir
menenggelamkan tanaman dan membunuh haiwan ternakan. Beberapa hari yang
lalu juga meraikan kemenangan penghiburan tempatan dari daerah yang
terpencil sambil pada masa yang sama keriuhan kerana geram dengan
pengkritik yang hilang pedoman, akal yang nakal tetapi lebih menanam
geram.
Beberapa hari yang lalu
tentang dunia yang terus ribut dan retak, terus dibumbui rentak muzika
hantu dan citra tahayul di tengah keseronokan manusia menontonnya.
Apakah sudah tidak ada wacana yang lebih membina minda, membangunkan
citra bangsa yang lebih menjanjikan kekuatan untuk negara bangsanya?
Atau barangkali segala yang ada sudah cukup menjelaskan bahawa dunia
telah ketandusan keindahan. Retoriknya kepada ciptaan yang
mengkhayalkan, manusia begitu senang menerima suntikan candu hiburan
hingga ramai yang alpa dan tidak berfikir untuk apa sesebuah citra yang
memabukkan itu disogokkan kepada anak-anak bangsanya yang kian lemah
kerana terlalu lemah oleh kebendaan dan janji-janji serta habuan wang
ringgit hingga nilai perjuangan telah hanyut jauh menanggalkan jati diri
yang dipertahankan berzaman.
Seorang
penyair terus merakam hari-hari indah dan tidak indah, tentang beberapa
hari yang lalu yang tidak mungkin berhenti meninggalkan sesuatu berupa
peristiwa. Bahkan masa hadapan itu sebentar lagi akan menjadi beberapa
hari yang baru, akan berlalu dan dia terus juga menceritakan indah dan
tidak indahnya. Biasa bagi orang lain tetapi luar biasa baginya. Masa
berjalan tanpa berhenti, manusia mencari tanpa henti sesuatu yang boleh
sahaja menggembirakannya dan boleh jadi mendukacitakannya. Hari-hari
yang menjadi beberapa peristiwa dirakam dan dicatatkan, diperindahkan,
dinukilkan menjadi citra yang mencabar minda sebagai penghayatan
kebenaran, penghayatan kebobrokan, penghayatan kerakusan, tamak haloba
tanpa titik selagi manusia berfikir dan menjadikan fikirannya benar,
jujur atau sebaliknya menjadikan fikirannya sebagai anjakan untuk
mencapai impian dengan cara yang kurang tepat. Atau barangkali itulah
takat kemampuan yang dipunyainya dan dia berjuang untuk itu.
Sesungguhnya
beberapa hari yang lalu itu berharga emas jika kita benar-benar waras
dan berawas daripada fikiran-fikiran yang tidak bernas. Apa pun
peristiwa mempunyai wibawanya dalam keadaan yang indah dan sebaliknya.
Beberapa hari yang lalu tak pernah berlalu selagi manusia penyair ada
dan asas fikiran untuknya wujud. Dengan harapan akan ada pertemuan dan
penemuan di hari-hari yang lain, bersiagalah untuk menyiapkan diri,
fikiran dan suasana agar kesiap siagaan itu menjadi kekuatan dalam
berhadapan dengan keadaan yang baru atau lebih baru. Dengan harapan akan
kembali menyentuh peristiwa yang sama walaupun dalam masa yang lain
seperti kata orang-orang pandai bahawa yang membuat kita berbeza tiada
kecuali dua iaitu buku yang dibaca dan orang yang berada di
sekelilingmu. Jika pun dengan orang yang sama kita akan melihat beberapa
perbezaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan