Selasa, Mei 20, 2014

Kelainan dan kehebatan sebuah karya

LAZIMNYA seorang penulis menghasilkan karyanya berdasarkan pengalaman dirinya sendiri. Pengalaman yang ditemui diadun sebaiknya sehingga tercetusnya sebuah karya. Leo Tolstoy penulis tersohor misalnya, memindahkan pengalamannya sebagai seorang askar pada cerpennya berjudul Childhood. Karya sulung tersebut menyebabkan dirinya mendapat kedudukan istimewa dalam kesusasteraan. Begitu juga Sevastopol Stories adalah karya daripada pengalamannya ketika mengambil bahagian dalam peperangan melawan orang-orang Turki di Wallachia; penaklukan Silistria dan menyaksikan pertembungan hebat di Sevastopol. Daripada pengalamannya ketika peperangan, makanya terhasil karya A Raid, Sevastopol in December, A Wood Felling dan sebagainya.

Ernest Hemingway seorang penulis Amerika banyak menghasilkan karya berdasarkan wataknya sendiri iaitu pengalaman semasa kanak-kanak. Ketika zaman kanak-kanak Hemingway tidak dapat kasih sayang ataupun dimanjai kedua ibubapanya. Dalam karyanya muncul watak Nick Adams adalah penjelmaan watak dirinya sendiri. Watak Nick seorang yang kasar, pembengis dan hidup bebas sebagaimana yang pernah dirasai menerusi pengalamannya ketika kanak-kanak.

Elemen kedua ialah pergaulan. Seorang penulis boleh menghasilkan karyanya melalui pergaulan. Sebagaimana kata pepatah Melayu; jauh berjalan, luas pandangan dan banyak berkawan banyak ilmunya. Berkawan biar seribu, berkasih biarlah satu. Merujuk Pepatah Melayu dapat dijadikan sebagai landasan berfikir manusia bahawa seseorang akan menjadi matang dengan ilmu pengetahuan kerana pergaulan luas. Sebagai contoh, penulis itu ingin menghasilkan skrip mengenai dunia perubatan. Walaupun dia bukan seorang doktor tetapi pergaulannya dengan seorang doktor yang pernah menjadi rakannya telah menambah pengetahuannya dalam bidang kedoktoran. Dia mengetahui serba sedikit prosedur kedoktoran dan teknik pengubatan. Walaupun tidak sebagaimana seorang doktor tetapi dia berupaya menjadi pengaulan tersebut memaparkan asas ilmu kedoktoran dalam karyanya.

Pergaulan yang lama dengan seseorang juga boleh menerbitkan idea untuk menulis. Seseorang penulis mapan adalah daripada golongan yang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Pergaulan yang luas begitu banyak membantu dirinya menghasilkan karya. Albert Camus sebagai contoh, menghasilkan karya melalui pergaulannya. Pada tahun 1936 beliau menulis skrip drama pertamanya berjudul Reolte dans les Asturies dan menyusul dua tahun kemudian dia menghasilkan sebuah lagi skrip drama berjudul Caliqula. Skrip drama yang dihasilkan adalah daripada pergaulannya dengan masyarakat sekeliling.

Dalam pergaulan seseorang dapat mempertajamkan pemikiran menjadi sumber idea paling cocok untuk penghasilan karya bermutu. Setiap penulis ada cara tersendiri memperolehi sumber idea. Dalam kehidupan seseorang digalakkan ramai berkawan sebagaimana pepatah Melayu 'berkawan biarlah beribu, musuh jangan dicari'. Ini memperlihatkan setiap pergaulan mendatangkan manfaat dan sebaliknya.

Ketiga, daripada pembacaan seseorang penulis dapat menghasilkan karyanya. Pembacaan yang luas meliputi berbagai bidang dapat membantu seseorang penulis berkarya mengikut landasan pengetahuan daripada buku-buku bacaannya. Banyak membaca membolehkan seseorang menambahkan pemikirannya di samping membolehkannya menulis genre yang lain. Pembacaan yang banyak dapat membantu ke arah menjadikan sesesorang penulis lebih versatil sifatnya. Ini bererti pelbagai alur pemikiran dapat dialirkan dalam penulisannya.


Sebagai contoh, Stephen Hawking adalah seorang guru yang menjadikan bahan bacaan sehingga muncul bukunya mengenai sempadan-sempadan fizik, astronomi, kosmologi mengikut gaya tersendiri. Hasil daripada pembacaan berserta pengalaman sebagai seorang Profesor Matematik, beliau menghasilkan buku yang seakan novel mengungkap permasalahan ruang dan masa. Dalam bukunya, beliau mengungkap ilmu fizik dan matematik dengan cara tersendiri tidak mempamerkan kaedah matematik yang membosankan. Beliau menghapuskan pengiraan matematik supaya bukunya dibaca oleh semua golongan yang dalam bidang tersebut. Oleh kerana pembacaan Hawking begitu luas makanya, menulis bukunya menjadi luarbiasa yang dapat ditatapi oleh mereka yang ingin mengetahui bidang fizik dan astronomi dengan cara yang memikat.

Elemen keempat ialah penghayatan. Penghayatan seseorang terhadap sesuatu boleh menerbitkan idea dan sekaligus menjadikannya sebagai bahan penulisan. Seorang penulis perlu sentiasa menghayati setiap perkara dalam kehidupannya. Banyak benda yang manusia lihat di alam semesta boleh digandingkan dengan pemikiran. Contohnya kenapa air laut masin, kenapa wujudnya gunung dan bukit? Apakah fungsi hutan dan pokok renik kepada manusia. Kenapa air sungai tawar dan air laut masin? Kesemua ini memerlukan penghayatan berdasarkan pemikiran logik dan saintifik. Penghayatan seseorang penulis melihat kejadian alam seharusnya mendasari pemikirannya. Dalam penghayatan seseorang, dia berjaya mengungkap satu sebab-musabab terjadinya sesuatu yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Contohnya, Allah s.w.t menjadikan lautan yang masin airnya untuk membersihkan air-air sungai yang mengalir ke lautan. Fungsi kemasinan air kepada kehidupan manusia sangat penting. Ikan yang dikeringkan dengan garam boleh mengekalkan tempuh penggunaannya. Garam berupaya melenyapkan bahan-bahan yang hanyir sifatnya.

Elemen kelima ialah pemerhatian. Elemen ini amat penting bagi seseorang penulis kerana setiap hari berdepan dengan pelbagai masalah. Setiap hari seseorang itu memerhati tindakan orang lain, manakala tindakannya pula diperhatikan oleh orang lain juga. Di situlah pelbagai ragam dan asam garam kehidupan dapat dilihat dan dihidunya. Dalam pemerhatian itu, muncul pelbagai persoalan yang perlu dijawap dalam penulisannya. Lebih banyak seseorang penulis itu memerhati kehidupan manusia, lebih banyak pula idea yang berlegar dalam pemikirannya sehingga terhasil sebuah karya.
Seseorang penulis mesti berdepan dengan pelbagai masalah sama runcing ataupun masalah kecil tetapi tetap memberi kesan dalam dirinya. Dalam pemerhatiannya, setiap masalah dihadapi oleh setiap manusia. Daripada setiap masalah yang dilalui setiap manusia yang dalam pemerhatian penulis itu dapat dijadikan bahan penulisannya.

Elemen terakhir sekali ialah imaginasi. Dalam hal ini, karya yang dihasil tidaklah sehebat daripada empat elemen tadi iaitu menerusi pengalaman, pergaulan, pembacaan dan pemerhatian. Elemen imaginasi adalah renungan dan andaian yang bermain di dalam fikirannya dijadikan idea penulisannya. Untuk menghasilkan penulisan fiksyen yang berlegar dalam fikiran penulis, elemen imaginasi memainkan peranan penting. Contohnya sebuah kisah yang mengungkap pembunuhan seorang lelaki di kilang memproses air batu. Seorang lelaki didapati mati tergantung dalam kilang tersebut tanpa sebarang benda yang berada di bawah tempat penggantungannya. Timbul di fikiran kita, bagaimana dia menggantungkan diri?

Justeru, seorang penulis biasanya menghasilkan karya tidak berpijak pada persoalan lama yang pernah ditulis penulis lain. Ini memandangkan dirinya ingin memperlihatkan kelainan dan kehebatan yang sama sekali berbeza dengan penulis lain. Banyak teori yang memperihalkan idea muncul daripada sumber apa dan bagaimana? Menurut Souriau, seorang ahli psikologi berbahasa Perancis mengatakan mencipta ataupun berkarya itu secara kebetulan yang mana idea hampir pada seseorang ketika mengarang dan sebagainya. Jacques Hadmard (1945), yang menulis buku The Psychology of Invention in the Mathematical Field, berpendapat bahawa mencipta dan berkarya bukanlah penemuan idea-idea baru tetapi daripada idea-idea lama yang diperkembangkan oleh seseorang penulis.

Sesungguhnya manusia bukanlah pencipta tetapi Allah s.w.t. Manusia sekadar menghasilkan sesuatu daripada segala pancaindera limanya iaitu melihat, mendengar, membau, merasa dan memikir. Seseorang penulis tidak berdaya menjadikan penulisannya maha hebat melainkan kesemuanya daripada Allah s.w.t. Allah s.w.t telah menjadikan manusia berserta akal iaitu otaknya, sudah tentu segala-gala yang dihasilkan adalah berteras utama daripada kejadiannya sebagai makhluk ciptaan Tuhannya.

 

Tiada ulasan: