Ahad, Januari 22, 2023

MALAYSIA MADANI PERLU DIHAYATI DAN DITERJEMAHKAN DALAM PENULISAN

SEPANGGAR: Ikatan Penulis Sabah (IPS) berperanan menterjemah dan menjayakan kerangka Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi bidang penulisan kreatif. 

MUSTAPHA (duduk tengah), Rusdi (duduk kiri), Hasyuda (duduk tiga dari kiri),
dan Awang Abdul Muizz (duduk tiga dari kanan) bersama pimpinan IPS
di Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal.


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berkata persatuan penulis berpangkalan di Sepanggar itu boleh melibatkan diri secara proaktif  merealisasikan dua daripada lapan keperluan Malaysia Madani iaitu kemasyarakatan dan budaya dalam usaha memupuk masyarakat bertamadun serta menyemarakkan semangat perpaduan.

Katanya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengaruh khususnya dalam kalangan karyawan dan budayawan, pelbagai program boleh dijayakan seperti penulisan puisi, cerpen dan makalah berkaitan dasar baharu kerajaan itu.

Beliau berkata, maklumat juga boleh disalurkan menerusi pelantar media sosial seperti aplikasi TikTok untuk memudahkan IPS mendekati generasi muda yang cenderung kepada teknologi digital.

MUSTAPHA (tengah), Rusdi (empat dari kanan), Hasyuda
(tiga dari kanan),dan 
Awang Abdul Muizz (empat dari kiri) bersama
pimpinan IPS
di Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal.


“Persatuan penulis khususnya ahli dan pimpinan IPS berperanan menghayati dan menjayakan konsep Malaysia Madani dengan memberikan tumpuan kepada promosi nilai-nilai seperti hormat dan ihsan.

"Walaupun penduduk Sabah dilihat lebih ke depan dalam konteks hormat-menghormati, sifat ihsan kepada pelbagai lapisan masyarakat perlu diterapkan sejajar dasar baharu yang diilhamkan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan IPS 2023 di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA) di  Kampung Gudon, Menggatal, dekat sini, hari ini.

 

PIMPINAN dan ahli IPS yang menghadiri Mesyuarat Agung IPS
di Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal.


Turut hadir ialah Timbalan Pengarah I, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Rusdi Awang; Sasterawan Sabah yang juga Ketua Ahli Majlis Penasihat IPS, Sukor Usin (Hasyuda Abadi) dan Ketua Satu IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin.

Khamis lalu, Anwar memperkenalkan 'Malaysia Madani' yang diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan lhsan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Madani disasar untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka dalam usaha memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.

Perkara ini penting bagi membolehkan usaha Malaysia melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia dapat direalisasikan.

Mustapha turut merujuk kepada sejarah Sabah yang telah melahirkan ramai tokoh dalam bidang pendidikan dan kemanusiaan yang boleh dijadikan contoh dan teladan kepada masyarakat untuk menjayakan konsep Malaysia Madani dalam konteks Sabah.

Beliau turut mengajak penulis di Sabah untuk menjayakan matlamat Sepanggar Sejahtera menerusi pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan, pembangunan kemahiran, kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan.

“Saya optimis sokongan berterusan penulis-penulis Sabah, terutama yang berpangkalan di kawasan Sepanggar dapat membantu menjayakan matlamat ini,” katanya.  

 Dalam pada itu, Awang Abdul Muizz memaklumkan pimpinan IPS sudah merangka pelbagai program untuk bersama menjayakan konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.

Katanya, IPS sebelum ini terbabit menjayakan pelbagai dasar yang diperkenalkan kerajaan menerusi cara tersendiri seperti pembabitan dalam penulisan berkaitan Sabah Baru pada 1994 dan ini boleh diteruskan menerusi Malaysia Madani. 

Mengenai IPS, beliau berkata persatuan penulis itu merangka pelbagai program sepanjang tahun ini seperti bengkel penulisan, penerbitan, analisis karya, jerayawara sastera ke sekolah-sekolah di seluruh negeri dan pembangunan perpustakaan komuniti berkonsep Rumah Puisi Hasyuda Abadi.

"IPS amat bertuah kerana dianggotai Sasterawan Negeri Sabah iaitu Hasyuda Abadi dan lima pimpinan serta ahli persatuan tersenarai sebagai penerima Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2020/2021 dalam pelbagai kategori menjadikan persatuan ini berada dalam kelas tersendiri dalam bidang sastera dan bahasa bukan saja di Sabah malah di peringkat kebangsaan," katanya.

 

HASYUDA (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Mustapha sambil diperhatikan
Awang Abdul Muizz di Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal.


Tiada ulasan: