MISI kita sebenarnya hampir sama. Namun anehnya, dalam ruang yang kononnya didirikan atas niat khidmat dan tanggungjawab sosial, kita masih sibuk menanda wilayah, menghitung pengaruh dan mengira ‘siapa lebih dahulu sampai ke hadapan’. Persaingan itu bukan lahir daripada perbezaan matlamat, tetapi daripada kegelisahan untuk diakui lebih penting.
Sesekali, keahlian bersilang. Ada individu yang memilih untuk menyumbang di lebih daripada satu ruang. Fenomena biasa dalam mana-mana gerakan matang, tetapi sering ditafsir sebagai ancaman. Lalu wujud bisikan, kecurigaan dan keperluan tidak tertulis untuk “memiliki” manusia, seolah-olah mereka aset eksklusif yang tidak boleh berkongsi niat dan bakti. Menuduh pihak sebelah ‘mencuri’ ahli-ahlinya menjadi sejenis suara yang tidak begitu siuman.
Hakikatnya, bagi kami, hal itu bukan isu besar. Kerja sosial bukan permainan sifar-jumlah. Kehadiran seseorang di dua atau tiga organisasi tidak mengurangkan nilai sumbangannya, kecuali jika kita sendiri memilih untuk melihatnya dengan mata persaingan. Namun, dalam budaya organisasi tertentu, persilangan ini segera dilihat sebagai pengkhianatan kecil yang perlu ditafsir, dibincang dan diam-diam dijadikan bahan penilaian.
Kita sering mengulang peribahasa tentang kebersamaan - ringan sama dijinjing, berat sama dipikul - tetapi dalam praktik, kita lebih selesa memikul beban sendirian asalkan dapat disebut sebagai yang paling berjasa. Musyawarah hanya berlaku apabila keadaan terdesak; selebihnya, keputusan dibuat untuk menjaga imej bukan untuk menjaga amanah.
Yang lebih mengelirukan, ruang sosial ini perlahan-lahan diseret masuk ke logik perniagaan. Organisasi mula berkelakuan seperti syarikat: berlumba mendapatkan “pelanggan”, mengekalkan pengaruh dan memastikan khalayak terus setia. Program dinilai bukan pada kesannya, tetapi pada jumlah kehadiran dan gema publisiti. Dalam suasana begini, nilai khidmat berubah menjadi strategi pemasaran.
Sedangkan hidup bersosial bukan soal untung dan rugi. Kita tidak menjual perkhidmatan, dan masyarakat bukan pelanggan yang perlu sentiasa disenangkan hatinya. Apabila kerja-kerja kemasyarakatan diukur dengan angka dan tepukan, kita sebenarnya sedang memindahkan pusat niat daripada tanggungjawab kepada persembahan.
Bagi kami, gerak ini hanyalah usaha terapi: merawat ruang sosial yang luka, meredakan ketegangan, dan memulihkan kepercayaan. Ia berpaksikan amanah, bukan persaingan; berpandukan prinsip, bukan perbandingan. Peranan teras organisasi bukan untuk mengatasi yang lain, tetapi untuk melengkapi kekurangan bersama.
Perbezaan pendekatan tidak seharusnya ditafsir sebagai saingan. Perbezaan mungkin sari aspek strategi, dari segi sistem tadbir urus. Di pihak kami atau mungkin organisasi lain mempunyai sistem bekerja tersendiri. Namun budaya yang terlalu takut kehilangan perhatian akan sentiasa melihat orang lain sebagai ancaman, walaupun mereka berjalan ke arah yang sama. Kaedah bekerja yangserupa. Akhirnya, persaingan yang paling merosakkan bukan antara organisasi, tetapi antara ego yang lupa tujuan asal. Sebab itu, sering melihat semula objektif organisasi mungkin antara pilihan selain bermuhasabah.
Dari situ barangkali persoalan yang lebih jujur bukanlah siapa lebih menonjol, tetapi siapa masih setia pada niat awal. Kerana kerja yang lahir daripada amanah tidak memerlukan perlumbaan. Ia hanya memerlukan kesediaan untuk berjalan bersama tanpa rasa ingin menang.
Dangau Sastera Sepanggar,
Kota Kinabalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan