Selasa, Februari 10, 2026

SETELAH TERKENA…


MUNGKIN saya salah atau benar dengan ungkapan begini: selagi belum terkena, ramai sukar mempercayai apa yang pernah diceritakan orang lain tentang siapa seseorang itu sebenarnya. Bukan kerana mereka keras kepala tetapi kerana setiap individu memiliki cara pandang, pengalaman dan tahap keyakinan yang berbeza. Dalam dunia yang mendorong kita untuk bersangka baik, pengalaman peribadi sering dianggap lebih sahih daripada amaran orang lain. Maka selagi belum merasai sendiri, segala peringatan mudah disalah tafsir sebagai prasangka atau lebih ingin dijauhi: fitnah.

Kita suka bersangka baik dan berjiwa besar. Namun pengalaman memiliki cara tersendiri untuk membuka mata. Apabila sesuatu yang menyakiti berlaku, barulah muncul kesedaran tentang sifat sebenar seseorang - bukan melalui kata-kata tetapi melalui tindakan. Pada saat itu, naratif yang dahulu dipersoalkan mula kelihatan masuk akal. Bukan kerana kita ingin membenarkan orang lain tetapi kerana realiti akhirnya memperlihatkan wajah yang selama ini terlindung oleh persepsi baik.

Perbezaan cara memandang manusia adalah sesuatu yang lumrah. Ada yang menilai melalui sejarah, ada yang menilai melalui janji dan ada yang hanya percaya selepas dikhianati. Namun dalam konteks hidup berkomuniti, perbezaan ini membawa implikasi yang lebih besar. Komuniti tidak dibina atas rasa simpati semata-mata tetapi atas asas kejujuran yang konsisten. Tanpa kejujuran, segala hubungan menjadi rapuh, mudah runtuh apabila diuji.

Masalah timbul apabila kejujuran digantikan dengan kejumudan jati diri. Seseorang mungkin kelihatan baik di permukaan tetapi enggan bermuhasabah atau memperbaiki kelemahan. Kejumudan ini menjadikan integriti sekadar slogan, bukan amalan. Dalam jangka panjang, sikap sebegini menghakis kepercayaan kerana komuniti akhirnya menilai bukan pada kata-kata tetapi pada keselarasan antara ucapan dan tindakan.

Integriti diri bukan sesuatu yang boleh dituntut tanpa usaha. Ia lahir daripada konsistensi, kesediaan bertanggungjawab dan keberanian mengakui kesilapan. Apabila integriti dipersoalkan, kepercayaan juga turut goyah. Dan apabila kepercayaan runtuh, kesannya bukan sahaja kepada individu tetapi kepada keseluruhan ekosistem sosial yang bergantung pada keyakinan bersama.

Kepercayaan total tidak datang dengan mudah. Kita wajar sependapat soal ini. Ia dibina perlahan-lahan melalui pengalaman berulang yang jujur dan adil. Sebab itu, sekali kepercayaan dikhianati, ia sukar dipulihkan. Bukan kerana manusia tidak mahu memaafkan tetapi kerana pengalaman telah mengajar mereka untuk lebih berhati-hati. Sikap berhati-hati ini sering disalah anggap sebagai sinis, sedangkan ia sebenarnya ‘refleksi kepada pembelajaran hidup’.

Dalam hidup berkomuniti, kepercayaan bukan hak automatik tetapi amanah. Ia perlu dipelihara, bukan dimanipulasi. Mereka yang benar-benar berintegriti tidak perlu mempertahankan diri dengan kata-kata panjang kerana tingkah laku merekalah yang menjadi hujah paling kukuh. Sebaliknya, mereka yang sering menuntut dipercayai tanpa bersedia diuji biasanya sedang menutup kekosongan yang tidak mahu dihadapi.

Kesedaran tentang siapa seseorang itu sering datang terlambat iaitu selepas terluka. Namun luka itu bukan sia-sia jika daripadanya lahir kefahaman yang lebih jernih tentang nilai kejujuran, integriti dan batas kepercayaan. Dalam komuniti yang matang, kepercayaan tidak diberi secara membuta tuli dan kejujuran tidak dikompromi demi keselesaan sementara. Kerana hanya dengan integriti yang hidup, kepercayaan dapat sentiasa bertahan.  

RupHA
DS Sepanggar

Tiada ulasan: