DALAM banyak organisasi, kegagalan berubah jarang berpunca daripada ketiadaan idea. Sebaliknya, ia lahir daripada ketakutan kepimpinan terhadap natijah perubahan. Ada pimpinan yang sedar sistem itu pincang namun memilih untuk menutup mata kerana perubahan boleh menggugat kedudukan, jaringan dan kuasa yang telah lama dinikmati. Maka yang bobrok dipertahankan atas nama kestabilan dan yang salah dilindungi atas alasan menjaga ‘kehormatan organisasi’.
Lebih malang, ketakutan ini sering ‘disamarkan’ sebagai kebijaksanaan. Diam ditafsir sebagai matang, bertangguh dianggap berhati-hati dan mempertahankan status quo dinobat sebagai sikap realistik. Hakikatnya, ia bukan kebijaksanaan tetapi kepengecutan yang dibungkus dengan bahasa kepimpinan. Organisasi akhirnya menjadi ruang selesa untuk segelintir elit, bukan wadah amanah untuk seluruh ahli.
Keberanian dalam kepimpinan bukan sekadar keberanian bersuara di hadapan khalayak tetapi keberanian memikul tanggungjawab apabila sistem yang diwarisi terbukti merugikan. Pemimpin yang hanya pandai bercakap tentang perubahan tanpa melaksanakannya hanyalah menghasilkan retorik kosong - banyak slogan, tiada tindakan. Lebih teruk, mereka menggunakan bahasa reformasi untuk menangguhkan reformasi itu sendiri.
Namun keberanian juga sering disalah erti. Ada pemimpin yang kononnya berani tetapi bertindak tanpa kesabaran dan empati. Keputusan dibuat secara tergesa-gesa, kritikan dibalas dengan hukuman dan perbezaan pandangan dianggap ancaman. Perubahan yang lahir daripada ego tidak membina organisasi; ia hanya menukar wajah penindasan daripada sistem lama kepada wajah baharu.
Di sinilah pentingnya kesabaran sebagai nilai kepimpinan, bukan sebagai alasan untuk berdiam diri. Kesabaran yang tulen ialah kesediaan mendengar, berdialog dan membina konsensus walaupun prosesnya melelahkan. Sebaliknya, kesabaran palsu sering dijadikan alasan untuk menunggu ‘masa yang sesuai’ yang tidak pernah tiba.
Lebih membimbangkan, budaya kepimpinan organisasi hari ini (bukan semua kerana ada organisasi yang diurus dengan baik dan sistematik oleh kepimpinan yang bijak dan cemerlang) sering memandang remeh keberkatan bicara. Kata-kata pemimpin mungkin tersusun indah tetapi kosong daripada kejujuran. Janji diulang setiap penggal, visi dicanang setiap mesyuarat, namun keikhlasan tidak pernah diterjemahkan dalam tindakan. Pemimpin sebegini mungkin berjaya mempertahankan jawatan, tetapi gagal membina kepercayaan.
Organisasi tidak runtuh kerana kekurangan peraturan tetapi kerana kepimpinan yang enggan memperbaiki peraturan yang rosak. Ia tidak mati kerana kritikan tetapi kerana kepimpinan yang takut dikritik. Selagi kuasa lebih penting daripada amanah dan jawatan lebih utama daripada prinsip, perubahan akan kekal sebagai bahan ucapan - bukan sebagai tanggungjawab moral.
Tuntasnya, kepimpinan organisasi yang bermakna menuntut tiga perkara yang sering dihindari: keberanian untuk membetulkan kesilapan, kesabaran untuk mengurus proses dan kejujuran dalam setiap bicara. Tanpa ketiga-tiganya, organisasi hanya akan bergerak di tempat yang sama- dipimpin oleh individu yang takut berubah tetapi lebih takut kehilangan kuasa.
Dangau Sastera Sepanggar
Kota Kinabalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan