TIDAK semua manusia memilih untuk suka dan tidak semua juga memilih untuk menolak. Selagi wujud kebebasan berfikir, selagi itulah pilihan akan sentiasa hadir. Suka dan tidak suka bukan kesalahan; ia fitrah. Namun yang sering mengelirukan ialah apabila pilihan peribadi mula disamakan dengan kebenaran mutlak lalu dijadikan alasan untuk memaksa orang lain menerima apa yang kita kehendaki.
Membawa orang lain untuk menyukai apa yang kita suka juga satu bentuk pilihan. Tetapi apabila usaha itu dilakukan melalui tekanan, manipulasi, atau penyempitan maklumat, ia bukan lagi soal pilihan bebas. Ia sudah menyentuh wilayah pelanggaran moral. Di sinilah garis halus antara mempengaruhi dan memaksa sering disilang tanpa rasa bersalah, atas nama kepentingan, kesetiaan atau kononnya demi kebaikan bersama.
Persoalannya bukan tentang siapa harus disukai atau siapa harus ditolak. Soalnya ialah mengapa kita memilih. Apakah pilihan itu lahir daripada pencarian kebenaran atau sekadar keinginan untuk menang? Apakah ia berakar pada prinsip atau hanya reaksi terhadap rasa tidak selesa apabila berdepan pandangan berbeza?
Kebenaran tidak bergantung pada jumlah penyokong. Ia tidak menjadi benar hanya kerana ramai yang berpihak dan tidak menjadi salah hanya kerana ia tidak popular. Kebenaran berdiri atas hujah, fakta dan kejujuran bukan atas kesepakatan palsu. Justeru, memilih kebenaran bukan soal memilih pihak tetapi memilih untuk jujur walaupun kejujuran itu menyukarkan.
Dalam banyak keadaan, manusia lebih selesa berpihak daripada mencari kebenaran. Berpihak memberi rasa selamat: ada kelompok, ada perlindungan, ada justifikasi. Kebenaran pula menuntut keberanian. Ia memerlukan kesanggupan untuk berdiri sendirian, untuk disalahfahami, malah untuk diserang. Namun kebenaran tidak pernah menjanjikan keselesaan; ia hanya menjanjikan kejelasan.
Kebenaran juga tidak memerlukan pembelaan yang kotor. Apabila sesuatu yang dikatakan benar perlu dipertahankan dengan menutup fakta, menekan suara lain atau memutar cerita, maka yang sedang dipertahankan itu bukan kebenaran, tetapi kepentingan. Kebenaran mempunyai kekuatannya sendiri. Ia mungkin lambat tetapi ia tidak pernah hilang.
Perlu difahami, memilih kebenaran tidak bermakna menolak empati. Sebaliknya, kebenaran yang disampaikan tanpa keangkuhan dan tanpa niat mempermalukan adalah bentuk keadilan yang tertinggi. Namun empati tidak boleh dijadikan alasan untuk berkompromi dengan yang batil. Mengelakkan konflik bukan alasan untuk mengorbankan prinsip.
Maka, pilihan paling sukar bukan memilih siapa yang harus disokong, tetapi memilih untuk tidak memaksa orang lain tunduk kepada selera dan ketakutan kita. Kebenaran tetaplah benar, meskipun ia perlu melalui cabarannya sendiri - disanggah, dipersoal dan diuji oleh masa. Dan barangkali, di situlah nilai sebenar pilihan manusia diukur.
Dangau Sastera Sepanggar
Kota Kinabalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan