Khamis, Februari 19, 2026

PENGARUH - ketika semakin pupus


DALAM setiap perjuangan sama ada politik, sosial, budaya mahupun sastera, dua perkara sering bergerak seiring: pengaruh dan inti. Pengaruh memberi gema, inti memberi makna. Pengaruh membesarkan nama, inti membesarkan nilai. Namun persoalannya, apabila kedua-duanya bertembung, yang manakah harus dipilih demi kepentingan masyarakat?

Realiti hari ini memperlihatkan bahawa pengaruh sering mendahului inti. Dalam era media sosial dan budaya popular, ukuran kejayaan perjuangan kerap dinilai melalui angka merangkumi jumlah pengikut, capaian, sokongan terbuka, liputan media danbsebagainya. Pengaruh menjadi ‘mata wang’. Ia mempercepat penyebaran idea dan menggerakkan massa dalam waktu yang singkat. Tanpa pengaruh, sebuah perjuangan mungkin sunyi dan terpinggir. Namun pengaruh tanpa inti hanyalah gema kosong.

Pengaruh boleh dicipta melalui retorik, imej dan persepsi. Inti pula lahir daripada kejujuran, kefahaman mendalam dan komitmen terhadap nilai yang diperjuangkan. Jika pengaruh ialah api yang menyala terang, inti ialah bahan bakarnya. Api tanpa bahan bakar akan padam; bahan bakar tanpa api mungkin tidak kelihatan - tetapi ia tetap ada, menunggu saat yang tepat.

Persoalan kritisnya bukan sekadar memilih antara pengaruh atau inti, tetapi menentukan ‘hierarki makna’. Apakah pengaruh menjadi tujuan, manakala inti sekadar alat kosmetik? Atau inti menjadi asas, sementara pengaruh berfungsi sebagai alat penyampaian?

Di sinilah sering berlaku penyimpangan. Apabila pengaruh dijadikan matlamat utama, perjuangan mudah tergelincir menjadi pentas persembahan. Naratif dibentuk bukan lagi untuk menyelesaikan masalah masyarakat tetapi untuk memelihara reputasi. Prinsip boleh dilentur demi sokongan. Kebenaran boleh dikaburkan demi populariti. Dalam keadaan ini, masyarakat tidak lagi menjadi subjek perjuangan tetapi sekadar penonton. Bahkan sering dipergunakan. 

Sebaliknya, jika inti dijadikan teras, pengaruh akan tumbuh secara organik. Ia mungkin lambat, mungkin tidak seghairah sorakan massa tetapi ia lebih tahan uji. Perjuangan yang berinti kukuh mampu bertahan dalam badai perubahan kerana ia berpaut pada nilai, bukan pada sorakan.

Namun kita juga harus adil dalam menilai. Inti tanpa pengaruh berisiko menjadi wacana eksklusif, benar tetapi tidak tersebar. Murni tetapi tidak berdaya ubah. Perjuangan yang terlalu memusat pada keaslian dalaman tanpa memikirkan strategi pengaruh boleh terasing daripada masyarakat yang ingin dibelanya.
Maka jawapannya bukan pemisahan mutlak tetapi penentuan keutamaan moral: Inti harus memimpin, pengaruh harus melayani. Pengaruh mesti tunduk kepada nilai, bukan nilai tunduk kepada pengaruh. 

Dalam konteks kepentingan masyarakat, yang diperlukan bukan sekadar gerakan yang besar tetapi gerakan yang benar. Bukan sekadar suara yang lantang, tetapi suara yang jujur.

Masyarakat akhirnya akan menilai bukan pada seberapa ramai yang bersorak tetapi pada seberapa banyak yang berubah. Pengaruh boleh memukau seketika; inti membina perubahan yang berpanjangan. Perjuangan yang memilih pengaruh semata-mata mungkin menang hari ini. Perjuangan yang memilih inti sebagai asas mungkin menang dalam sejarah. Dan dalam pertarungan makna, sejarah selalunya lebih adil daripada sorakan.

Dangau Sastera Sepanggar
Sabah

Tiada ulasan: