Isnin, Februari 16, 2026

KESUKARELAWANAN

MENJADI penggiat dalam sesebuah pertubuhan sukarela bukan sekadar digerakkan oleh niat baik atau semangat membantu. Di sebalik idealisme kesukarelawanan, terselit tanggungjawab besar untuk memahami dan mematuhi peraturan pertubuhan serta undang-undang yang mengikatnya. Inilah prinsip paling asas dalam dunia kesukarelawanan yang sering dipandang ringan, sedangkan kegagalannya boleh membawa kesan yang serius.
Setiap pertubuhan sukarela yang berdaftar tertakluk kepada perlembagaan, garis panduan dalaman dan ketetapan pihak berwajib. Peraturan ini bukan sekadar dokumen pentadbiran tetapi rangka kawalan kuasa dan amanah. Apabila peraturan tidak difahami atau sengaja diketepikan, ruang untuk penyalahgunaan kuasa akan terbuka luas. Dalam keadaan ini, kuasa tidak lagi berfungsi untuk memudah cara kerja kebajikan tetapi bertukar menjadi alat kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
Penyalahgunaan kuasa lazimnya bermula dengan pelanggaran kecil terhadap peraturan misalnya sesuatu keputusan dibuat tanpa mandat sebagai contoh tanpa melalui keputusan mesyuarat agung sebagaimana keperluan perlembagaan pertubuhan, dana diurus tanpa ketelusan yakni tanpa dokumentasi atau autoriti digunakan di luar batas perlembagaan. Jika dibiarkan, pelanggaran kecil ini akan menjadi kebiasaan dan akhirnya membentuk budaya organisasi yang rosak. Kesannya bukan sahaja kepada struktur tadbir urus tetapi juga kepada nilai dan kepercayaan yang menjadi asas kesukarelawanan.
Apabila kuasa disalahgunakan, integriti pertubuhan akan terhakis. Ahli yang jujur dan berprinsip akan berasa terpinggir manakala mereka yang selesa dengan keadaan tidak sihat akan kekal mendominasi. Ini menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan kuasa, konflik dalaman dan kemerosotan semangat sukarela. Pertubuhan yang sepatutnya menjadi ruang khidmat akhirnya berubah menjadi medan perebutan pengaruh.
Dari sudut perundangan, penyalahgunaan kuasa membawa implikasi yang lebih berat. Tindakan yang bercanggah dengan peraturan dan undang-undang boleh menyebabkan siasatan, tindakan disiplin, pembatalan pendaftaran oleh pihak ROS atau kehilangan kelayakan menerima sokongan dan dana. Lebih buruk lagi, imej pertubuhan akan tercalar, sekali gus menjejaskan kepercayaan masyarakat dan pihak berkepentingan.
Dalam konteks ini, mematuhi peraturan bukan sekadar soal kepatuhan tetapi mekanisme pencegahan terhadap penyalahgunaan kuasa. Peraturan menetapkan sempadan - siapa boleh membuat keputusan, bagaimana dana diurus dan kepada siapa pertanggungjawaban perlu diberikan. Tanpa sempadan yang jelas, kuasa mudah disalah tafsir sebagai hak mutlak, bukan amanah.
Peranan kepimpinan amat penting dalam membendung penyalahgunaan kuasa. Pemimpin pertubuhan perlu menunjukkan teladan dengan mematuhi peraturan, bersikap telus dan terbuka kepada semak dan imbang. Pendidikan berterusan tentang perlembagaan pertubuhan, etika tadbir urus dan undang-undang berkaitan perlu diberikan kepada semua ahli dalam bentuk yang sesuai seperti penerbitan buku atau menerusi laman web pertubuhan agar kejahilan tidak menjadi alasan kepada pelanggaran. Kecemerlangan ini penting dalam mewujudkan sesebuah pertubuhan yang berwawasan, dinamik dan profesional. Kerutinan mesyuarat tahunan, laporan-laporan kegiatan dan kewangan secara telus dan terperinci meletakkan kedudukan pertubuhan berada pada landasan yang betul serta berkesan.
Selain itu, budaya organisasi yang sihat perlu menggalakkan keberanian menegur dan melaporkan salah laku tanpa rasa takut. Apabila ahli berasa selamat untuk bersuara, penyalahgunaan kuasa dapat dikesan lebih awal sebelum menjadi krisis. Kesukarelawanan yang matang ialah kesukarelawanan yang berani menjaga integritinya sendiri. Namun sekiranya gagal pada peringkat pematuhan dan teguran (baca: pendidikan) keadaan ini memberi gambaran besar kegagalan sesebuah pertubuhan dari sudut prinsipnya.
Niat baik tidak boleh berdiri sendirian tanpa disiplin dan akauntabiliti. Kesukarelawanan yang benar-benar memberi makna ialah yang bergerak dalam kerangka peraturan dan undang-undang serta bebas daripada penyalahgunaan kuasa. Hanya dengan cara ini, pertubuhan sukarela dapat terus dipercayai, dihormati dan berfungsi sebagai wadah khidmat yang tulen kepada masyarakat.
Dangau Sastera Sepanggar
Kota Kinabalu.

Tiada ulasan: