Isnin, Februari 16, 2026

Harga Sebuah Kesabaran

DALAM banyak keadaan hari ini kita berhadapan dengan satu kecenderungan yang semakin menular iaitu sindrom ingin segera dalam semua perkara. Segalanya mahu diumumkan cepat, disiarkan pantas dan dipamerkan seolah-olah sudah sempurna. Di sebalik dorongan ini, sering tersembunyi hasrat untuk dilihat sebagai terbaik, paling dinamik, paling cekap, paling tepu dan sentiasa ke hadapan.
Tidak salah untuk bergerak pantas. Dunia memang menuntut kecekapan dan respons yang tangkas. Namun kepantasan yang tidak disertai kebijaksanaan sering mengundang risiko. Ada perkara yang memerlukan penelitian, pertimbangan dan kesesuaian waktu sebelum disebarkan kepada khalayak. Apabila sesuatu diumumkan sebelum benar-benar matang, ia bukan sahaja mendedahkan kelemahan perancangan malah menjejaskan kredibiliti.
Sindrom ingin segera sering lahir daripada keterujaan. Keterujaan melihat hasil awal, keterujaan mahu menjadi yang pertama dan keterujaan untuk meraih perhatian. Namun keterujaan yang tidak dikawal boleh menjadi kelemahan yang tidak dipinta. Lemah bukan kerana gagal melaksanakan sesuatu tetapi kerana kurang sabar dalam mengurus proses. Dalam keghairahan untuk memberitahu, kita terlupa memastikan bahawa apa yang diberitahu itu benar-benar kukuh.
Dalam dunia komunikasi hari ini, tekanan untuk sentiasa kelihatan aktif dan progresif sangat kuat. Organisasi, institusi malah individu merasa perlu sentiasa mengemas kini perkembangan agar tidak dianggap ketinggalan. Tetapi ada kalanya tindakan yang paling bijak ialah menunggu. Menunggu bukan tanda ketinggalan tetapi bukti kematangan dalam menilai masa dan keadaan.
Masalahnya, apabila sesuatu isu yang ditunggu-tunggu diumumkan terlalu awal, ia membuka ruang kepada persoalan yang belum ada jawapan. Perincian yang belum lengkap, strategi yang belum diuji, atau keputusan yang belum dimuktamadkan menjadi bahan kritikan. Keadaan ini bukan sahaja melemahkan mesej asal, malah menimbulkan keraguan terhadap kecekapan pihak yang terlibat.
Lebih jauh daripada itu, budaya tergesa-gesa membentuk mentaliti pencitraan - lebih mementingkan persepsi daripada substansi. Yang penting kelihatan bergerak, walaupun arah dan asasnya belum kukuh. Dalam jangka panjang, pendekatan sebegini boleh menghakis kepercayaan. Khalayak semakin peka dan mampu membezakan antara kemajuan sebenar dengan sekadar pengumuman yang belum masanya.
Kesabaran sering disalah anggap sebagai kelembapan. Padahal dalam banyak hal, kesabaran adalah strategi. Ia memberi ruang untuk memperbaiki kelemahan, menyemak fakta, dan memastikan kesesuaian masa. Sesuatu yang diumumkan pada waktu yang tepat dengan persiapan yang rapi lebih berkesan daripada pengumuman awal yang terpaksa diperbetulkan kemudian.
Sindrom ingin segera juga mencerminkan kegagalan mengurus jangkaan. Tidak semua perkara perlu dikongsi serta-merta. Ada yang lebih baik diperkukuh terlebih dahulu sebelum dibuka kepada umum. Dalam konteks kepimpinan dan organisasi, kebijaksanaan bukan sekadar pada apa yang diumumkan, tetapi bila dan bagaimana ia diumumkan.
Kehebatan itu tidak diukur pada siapa paling awal berbicara tetapi siapa paling ‘tepat’ bertindak. Dunia mungkin bergerak pantas, tetapi nilai ketelitian dan kesabaran tidak pernah lapuk. Dalam mengurus keterujaan, kita sebenarnya sedang mengurus maruah dan kredibiliti. Kerana kadangkala, yang paling bijak sesungguhnya bukan yang paling segera tetapi yang paling bersedia. Wallahu a’lam.
Dangau Sastera Sepanggar
Kota Kinabalu

Tiada ulasan: