Khamis, Mac 03, 2005

Memiliki Buku Persendirian

Tulisan ini adalah respon terhadap tulisan Hajah Zaiton Ajamain dalam Kemsas pada 2 Mac 2005 berhubungan dengan isu penerbitan buku puisi.

Assalamualaikum...Isunya kak Ton, apabila kami mengemukakan manuskrip ke Dewan, apa yang akan terjadi, kata Jair Sulai dalam pesanan ringkasnyanya kelmarin, karya-karyanya bagi projek Penulis Anak Angkat bakal berkongsi pula dengan penulis-penulis yang lain. Sebab itulah, beliau tidak berpuas hati serta berasa muak (mungkin kata ini keterlaluan) tetapi ini bakal terjadi. Saya melihat tidak wajarlah Jair diperbuat begitu, jika benar apa yang diluahkannya.

Memang benar selepas Balada Paduka Mat Salleh saya tidak menghantar ke Dewan tetapi bukan maksud tidak ada buku puisi persendirian. Kumpulan Puisi Akar Cahaya dan Datang Kembali kedua-duanya terbit 1997 oleh IPS serta Menginai Badai (DBP Sabah, 2004). Mungkin Akar Cahaya dan Datang Kembali itu tidak sebaik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (Dewan), tidak tersebar meluas samalah seperti Mengindah Badai yang tidak dijual seantero Malaysia kerana ini projek khas sempena Perkampungan Sasterawan. Apabila melakukan apa yang dimaksudkan kak Ton tetapi menjadi yang lain seperti isu Jair Sulai, wah kelihatan, penulis di Sabah ini... bagaimana ya? Selain projek Anak Angkat (Baca: Arifin Arif, Jaffar Abdul Wahid, Saibil Madun dan saya sendiri) saya lihat tidak pernah ada buku puisi persendirian penulis Sabah diterbitkan Dewan melalui DBP Sabah. (Maaf, jika Bagai Layang-Layang kak Ton tidak termasuk dalam penilaian saya secara peribadi). Tolak lagi buku saya: Menginai Badai, Pelayaran (Rubiah Nordin), Taufan (ABM Fajeer), Di Kebun Amal (Ramli AR) dan Bisikan Nurani (Dg Salmah Salam). Mungkin Riak Merah (saya tidak ingat nama penulisnya seorang penulis lama, Kak Ton barangkali ingat) adalah satu-satunya. Selebihnya kumpulan puisi bersama (istilah saya: berlambak di rak buku), samalah seperti buku-buku yang diterbitkan setiap tahun sempena Mahrajan Sastera Islam dan Pengucapan Puisi Bandar Raya. Mohon betulkan saya kak, jika salah. Jika demikian yang terjadi, bagaimana para pengkaji dapat menilai jalur pemikiran penyair berkenaan. Saya masih ingat ketidak puasan salah seorang penulis terbabit terhadap Tergantung Pada Kata, yang diterbitkan bersama walaupun buku itu merupakan gabungan tiga pemenang (Jasni Matlani,Arifin Arif dan Rahim Tapah) dari sebuah peraduan penulis buku puisi.

Realitinya benar bahawa penulis harus menghantar manuskrip mereka ke Dewan. Ini mesti tanpa alasan lagi termasuk penulis veteran. Entah apa pula terjadi apabila manuskrip dihantar ... tidak usahlah diulang-ulangkan ceritanya. Serba salah jadinya, bila diterbitkan sendiri penyebaran tidak meluas. Bila dihantar ke Dewan, banyak perkara yang memungkinkan tidak seperti yang sepatutnya diharapkan. Jika terlalu lama diterbitkan itu perkara lumrah, tetapi bila akan diterbitkan juga kemudian dikhabarkanlah pula menjadi Kumpulan Puisi Bersama, siapalah yang tidak terkilan! Apa yang terjadi kepada Jair, jika disahkan benar, kita tunggu buku itu siap, tidak hairan berlaku juga kepada saya atau juga para Penulis Sabah yang lain. Apa yang patut kita lakukan, tanya Jair di akhir perutusan kami, saya terdiam kerana belum ada dalam fikiran kecuali kata ini: sesuatu akan dilakukan, itu saja.

Tiada ulasan: