FENOMENA sastera tanah air yang gemilang! Yang pasti ungkapan ini menarik
juga untuk diperkatakan. Tumpuan kepada dua hal iaitu mengenai fenomena dan sastera
tanah air. Fenomena bermaksud suatu kenyataan atau kejadian yang dapat
diberikan perhatian (Kamus Dewan Edisi
Keempat). Sastera tanah air merujuk kepada semua jenis aktiviti berkaitan
dunia penulisan kreatif. Dimaksudkan juga sastera tanah air bagi mana-mana
bentuk sastera yang mendominasikan penglibatan pembawa tradisi yang aktif dan
pasif. Pembawa tradisi yang aktif apabila individu atau kumpulan individu yang
terlibat secara sedar dan secara langsung. Sedangkan pembawa tradisi yang pasif
melibatkan semua pihak dalam sesuatu masyarakat secara tidak langsung mengikuti
sesebuah bentuk atau genre sastera yang ada.
Apakah peristiwa-peristiwa yang menjadi fenomena dalam dunia sastera kita
kini? Banyak sekali. Dunia sastera mutakhir telah meledak dengan hebatnya. Sama
ada kita sedari atau tidak, kenyataannya dunia sastera kita sedang mengalami
satu fenomena. Masyarakat sastera semakin dibiasakan oleh gelombang hedonisme
yang memberatkan kepada semangat kemenangan. Penggiat memberikan tumpuan
terhadap kemenangan hinggakan objektif sastera telah berubah. Imej sastera
telah dijenamakan sebagai imej melebihkan kehebatan paling hebat. Individu
berlumba-lumba mengejarnya.
Ini
situasi yang tidak dapat dielakkan. Ia juga menuntut setiap generasi
mengetengahkan metodologi-metodologi tertentu dalam karya, menyebabkan terdapat
segelintir penulis yang kaku dan lesu tanpa melahirkan apa-apa akhirnya bekerja
keras agar aliran semasa tidak menyebabkan mereka tertinggal. Kini tiada lagi
insan penulis yang tertinggal. Mereka begitu sensitif dan mengatakan bahawa
dunia sekarang adalah sastera. Bayangkan sastera itu sebuah dunia.Hebat bukan?
Kata
sesetengah orang, penulis itu tidak mungkin berhenti menulis kerana begitu dia
berhenti bermakna dia berhenti berfikir. Menulis itu suatu kegiatan berfikir.
Tidak ada apa dalam karyanya jika tidak ada perkara yang terhasil daripada
aktiviti berfikir. Merakam peristiwa yang kemudiannya diterjemahkan sebagai
bahan baca yang mengandungi elemen-elemen baru untuk pembaca berfikir juga tidak
dapat lari daripada medan berfikir.
Seorang
penulis yang berjaya menyelesaikan sebuah cerpen misalnya sekali duduk,
terhasil setelah ia puas atau berhempas pulas berfikir. Apakah bahan yang
diperolehinya itu boleh menjadi sesuatu yang berfaedah untuk dinikmati pembaca,
sudah menjadi unsur penting hingga dia merenung jauh, jauh atau dalam, dalam
sekali. Begitu juga apabila melihat gunung-ganang, pandangan kalbunya boleh
menyeberangi ke segala ceruk rimba. Apabila merenung kegelapan malam, dia boleh
memandang kelahiran esok pagi bahkan hari-hari yang berlalu lama dulu. Inilah
kelebihan penulis yang berfikir. Sastera sebagai sebuah dunia pelik dan luar
biasa!
Apakah
pembaca memahami atau menerima apa yang difikirkannya, itu persolan lain. Baik
atau tidak sesebuah karya itu soal kemudian. Setelah diedar atau diterbitkan,
karya itu sudah sebahagiannya menjadi yang lain, bukan seperti asal. Orang
boleh membuat apa sahaja tanggapan. Puisi atau sebuah cerpen bahkan novel dan
drama sekalipun, orang akan membuat tafsiran yang berbeza-beza. Jika dikatakan
penulis sudah ‘mati’ setelah karyanya dibaca orang lain, ini berkaitan dengan
persepsi di mana penulis menyerahkan kepada pembaca, pentelaah, pengkaji,
penilai, pengkritik dan sebagainya memberikan tanggapan tanpa campur tangan
penulis.
Sesetengah
pembaca barangkali menekuni tulisan Suhaimi Haji Muhammad tanpa masalah mungkin
orang lain tidak, begitu juga karya Kemala, Usman Awang, Mana Sikana, A.Ghafar
Ibrahim, Muhammad Haji Salleh, Johan Jaafar, Marzuki Ali, Azmah Nordin, Yatim
Ahmad, Jasni Matlani, Noraini Osman, Ruhaini Matdarin, Mabulmaddin Shaiddin dan
seumpamanya. Orang kata ada cara untuk mencari makna sesebuah karya itu.
Gunakan tanda atau perlambangan. Cari pendekatan atau aliran penulis-penulis
berkenaan. Hampiri latar kehidupan penulis karya berkaitan. Dan bermacam-macam
lagi, tidak payah diceritakan. Orang yang tahu asam garam dunia sastera, lebih
faham apakah rahsia dalam fikiran setiap penulis. Mungkin juga memenatkan.
Berfikir
itu bukan sekadar kerana bersastera. Berhujah tentang sesuatu perkara dalam
konteks yang lain juga boleh terjadi. Sastera ini, kata Khalil Gibran,
kadang-kadang hanyalah singgahan orang yang letih berfikir perkara-perkara yang
rutin. Dia melepaskan masalahnya di arena sastera. Jadilah juga sebuah ciptaan
yang dangkal dan asal siap, kurang nilai seninya, kurang diksi yang mencabar,
dan inilah karya yang mungkin diterima lantaran mudah difahami. Sedangkan
mereka yang benar-benar menggilai sastera yang sudah berani membenarkan pilihan
diksi di luar kebiasaan, diletakkan di suatu kamar lain. Terdapat ada penulis
yang ingin menulis dalam semua genre walaupun kekuatannya hanya pada satu
genre. Dia menulis novel, cerpen, drama dan puisi. Bila menghasilkan puisi,
karyanya tidak begitu kukuh berbanding karya-karya prosa. Nilai estetikanya
kurang menyerlah, pemilihan diksinya kurang dinamik, teknik penulisannya juga
kurang bertenaga.
Mengukuh
kepunyaan dalam konteks mendalami bagaimana pencarian kata dan bahasa dalam
penciptaan karya kreatif khususnya puisi perlu melalui fasa-fasa tertentu. Masa
lalu sering menjadi harga yang berwibawa dan membaca segala peristiwa dengan
tekun. Mohammad
Diponegoro pernah mengatakan, “satu-satunya nasihat bagi pengarang muda ialah
sesuatu yang mungkin sangat baru bagi sebahagian mereka, iaitu membaca. Jika
anda senang menulis, kenapa anda meremehkan apa yang sudah ditulis?” Ya, kenapa
tidak? Tidak sedikit penulis terkenal yang berawal dari kesenangannya dalam hal
membaca.
Bacalah buku apa saja untuk menangkap gaya setiap penulis. Membaca juga membuat kita tahu apa yang membuat sebuah tulisan itu bagus serta memperluas kosa kata. Tapi begitu tiba waktunya menulis, kita harus mulai dengan gaya kita sendiri. Mulailah menulis apa saja yang anda tahu. Tulislah apa yang anda alami dan apa yang anda rasakan. Itulah yang kulakukan, pesan J.K. Rowling.
Bagi
penulis generasi baharu, sudah sampai masanya diutarakan pendekatan yang lebih profesional
agar tidak berlaku anggapan ada penulis yang diabaikan. Dengan kata-kata lain,
sewajarnya digembelingkan usaha penjabaran ilmu penulisan ini dari bawah.
Program penataran sastera kreatif di peringkat remaja harus dihidupkan semula.
Ini tidak berhenti setakat ini tetapi membawa mereka yang berbakat dan
berpotensi itu mendalami lagi dunia penulisan kreatif pada tahap yang kedua
seterusnya tahap-tahap yang lanjut.
Peranan
dunia persuratan dalam kalangan generasi muda cukup bermakna, sebab itu
generasi muda yang meminati dunia penulisan kreatif harus diberikan perhatian. Sikap
mandiri dan ingin berdikari mengikut rentak fikiran serta hal tuju generasi
yang mahukan kebebasan, hak memasarkan buah fikiran yang menyimpang daripada
kebiasaan, sewajarnya dielakkan. Kini kita sedang menghadapi gerakan penulis
generasi baru atau generasi Indies atau hiliran yang berani mengatakan kumpulan
mereka mustahil untuk duduk bersama-sama dengan para penulis yang konvensional.
Ini juga antara fenomena terhadap sastera mutakhir. Apapun juga yang
menjadikannya suatu fenomena, ia akan melalui gelombang demi gelombang situasi
atau keperluan yang akhirnya akan menemukan satu titik. Demikian halnya ketika
ucapan tahniah yang terus berkumandang di mana-mana media, fenomena kemenangan
yang tidak terlepas daripada tohmahan, kritikan, rasa tidak puas hati dan
pelbagai garapan pemikiran yang ada kalanya tidak rasional, kita anggap sahaja
ia sekadar fenomena yang sementara. Inilah sastera, sebuah dunia, yang kita
sedang mengalaminya.
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan