PERBINCANGAN tentang sastera sering berlegar pada dua paksi besar yakni ‘karya dan tokoh’. Namun di antara keduanya wujud satu elemen yang lebih luas dan sering dipersoalkan iaitu masyarakat. Siapakah masyarakat yang dimaksudkan dalam wacana sastera? Adakah mereka benar-benar membaca atau sekadar hadir sebagai angka dalam laporan program?
Pertanyaan ini bukan sekadar retorik tetapi cerminan kegelisahan terhadap kedudukan sastera dalam kehidupan awam. Selama ini kita sering mengandaikan bahawa masyarakat ialah khalayak umum. Mereka merupakan pelajar, guru, penjawat awam, pembaca bebas dan seumpamanya. Namun hakikatnya masyarakat pembaca sastera tidak homogen. Ia berlapis. Ada yang membaca dengan tekun, ada yang sesekali menyentuh dan ada pula yang hanya hadir apabila diundang.
Di sinilah timbul persoalan yang lebih kritikal: adakah masyarakat benar-benar membaca karya sastera, atau sekadar menjadi hadirin? Dalam banyak acara, kehadiran sering dijadikan ukuran kejayaan. Dewan yang penuh dianggap tanda sambutan, gambar dirakam sebagai bukti, laporan ditulis sebagai justifikasi. Tetapi kehadiran tidak semestinya bermakna keterlibatan. Sastera tidak hidup hanya dengan tubuh yang hadir tetapi dengan fikiran yang berinteraksi.
Lebih membimbangkan apabila sastera seolah-olah dijadikan alat untuk menghadirkan masyarakat bukan untuk menyentuh mereka. Program diatur, dana dibelanjakan tetapi impaknya kabur. Apakah selepas acara, peserta benar-benar membaca? Apakah mereka membawa pulang pemikiran baharu atau sekadar pengalaman kerana hadir? Jika tidak ada kesinambungan maka sastera berisiko menjadi ritual - berulang tanpa makna yang berkembang.
Dalam konteks ini, isu pulangan pelaburan (return on investment atau ROI) menjadi relevan, khususnya apabila dana negara terlibat. Setiap peruntukan bukan sekadar angka yang dibelanjakan tetapi amanah yang menuntut hasil. Namun, bagaimana mengukur ROI dalam sastera? Ia tidak semudah mengira keuntungan material. Sebaliknya ia harus dilihat melalui perubahan sikap membaca, peningkatan wacana, pertumbuhan komuniti pembaca dan kesan jangka panjang terhadap pemikiran masyarakat.
Ini menuntut satu anjakan pendekatan. Program sastera tidak boleh hanya berorientasikan acara tetapi perlu berfokus pada ekosistem. Dari penghasilan karya, penerbitan, pengedaran hingga kepada pembacaan dan perbincangan, semuanya perlu dirangka sebagai satu rantaian yang saling menguatkan. Tanpa kesinambungan ini, sastera akan terus berlegar dalam lingkaran yang sama. Hadir, diraikan kemudian dilupakan.
Peranan tokoh sastera juga perlu dilihat dalam konteks ini. Mereka bukan sekadar simbol atau ikon tetapi agen pemikiran. Keterlibatan mereka seharusnya melampaui pentas - menyentuh pembaca, membimbing generasi baharu dan menghidupkan dialog. Begitu juga karya yang tidak sepatutnya terhenti sebagai objek tetapi menjadi pemicu kepada perbincangan yang berterusan.
Persoalan siapa masyarakat perlu dijawab dengan lebih jujur. Masyarakat bukan sekadar mereka yang hadir di kerusi dewan tetapi mereka yang membaca, berfikir dan berubah. Jika sastera gagal mencapai kelompok ini maka kita perlu menilai semula pendekatan. Bukan menyalahkan masyarakat tetapi memperbaiki bagaimana kaedah atau cara sastera disampaikan.
Sastera tidak seharusnya menjadi alasan untuk membelanjakan dana hingga ribuan atau jutaan ringgit tetapi alasan untuk membina makna, hasil. Setiap recehan wang yang digunakan harus kembali dalam bentuk yang lebih besar iaitu kesedaran, pemikiran dan budaya membaca yang hidup!
Jika tidak, kita hanya mengulang satu kitaran yang indah di permukaan tetapi kosong di dalam. Dan mungkin di situlah cabaran sebenar sastera hari ini: bukan sekadar hadir di hadapan masyarakat, tetapi benar-benar sampai ke dalam diri mereka.
HA
Dangau Sastera
Sepanggar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan