Isnin, Januari 26, 2026

Positif dalam Pemikiran

PEMIKIRAN positif sering dijadikan panduan hidup untuk mencapai ketenangan hati. Ia mengajar manusia agar tidak terperangkap dalam kesedihan yang berpanjangan dan tidak tunduk kepada putus asa. Namun dalam tradisi Islam dan falsafah, pemikiran positif bukan sekadar sikap optimis kosong, sebaliknya satu bentuk ‘kesedaran jiwa’ yang berpaut pada hikmah, kebenaran dan tanggungjawab moral.
Dalam Islam, sikap positif berakar pada konsep ’husn al-zan’ (bersangka baik). Namun sangkaan baik ini bukan bersifat membuta tuli. Ia terikat dengan ‘hikmah (kebijaksanaan)’ dan ‘adl (keadilan)’. Bersangka baik kepada manusia tidak bermakna menafikan kesalahan, sebagaimana berserah kepada Tuhan tidak bermaksud meninggalkan usaha. Rasulullah SAW sendiri mengajar keseimbangan ini melalui sabdanya: “Ikatlah untamu, kemudian bertawakal’. Positif tanpa usaha dan penilaian adalah kelalaian bukan keimanan.
Dari sudut falsafah pula, pemikiran positif yang matang selari dengan gagasan Aristotle tentang ‘phronesis’ (kebijaksanaan praktikal) iaitu keupayaan menimbang tindakan terbaik dalam situasi sebenar bukan ideal semata-mata. Falsafah ini mengingatkan bahawa kebaikan tidak boleh dipisahkan daripada konteks dan optimisme harus disertai pertimbangan akal.
Pemikiran positif yang tidak ‘bertirai’ bermaksud positif yang tidak menutup mata terhadap realiti. Dalam masyarakat, sikap terlalu positif tanpa keberanian menegur boleh memelihara ketidakadilan. Atas nama harmoni, ada yang memilih diam; atas nama kesatuan, ada yang menormalisasikan kesalahan. Dalam Islam, diam terhadap kemungkaran bukanlah sifat terpuji, kerana iman menuntut keberanian moral - sama ada dengan tangan, lidah atau sekurang-kurangnya hati.
Cahaya pemikiran positif seharusnya berfungsi sebagai ‘nur al-basirah’ (cahaya kebijaksanaan) yang menerangi pandangan batin. Ia membantu manusia membezakan antara sabar dan pasrah, antara redha dan putus asa antara harmoni dan kepura-puraan. Positif yang benar melahirkan ketenangan tanpa mematikan nurani, dan kesabaran tanpa mengorbankan prinsip.
Dalam kehidupan seharian, pemikiran positif menjadi sumber motivasi yang menguatkan jiwa ketika diuji. Islam mengajar bahawa ujian bukan tanda kebencian Tuhan, tetapi ruang pemurnian diri. Namun ujian juga menuntut muhasabah dan perubahan. Positif yang sejati mendorong seseorang bertanya: apakah hikmah di sebalik ini dan apakah tanggungjawab aku selepas ini?
Pemikiran positif menurut Islam dan falsafah bukan sekadar seni menenangkan hati, tetapi ‘amanah membina diri dan masyarakat’. Ia adalah cahaya yang menerangi jalan; sifatnya bukan tirai yang menyembunyikan kebenaran. Apabila positif dipandu oleh ilmu, hikmah dan akhlak ia bukan sahaja menyelamatkan jiwa individu tetapi menyuburkan keharmonian sosial dan makna hidup yang lebih berimbang.
Dangau Sastera Sepanggar
Sabah

Tiada ulasan: