Sabtu, Mei 27, 2023

TENTANG MEMUJI


Memuji wajar bersebab. Mengeji juga mesti berlandas. Berujar biar memandang fikir. Bersabar dalam berhujah sambil berwaspada memilih kalimah. Jika berpihak tak perlu terlalu memuja memuji, tidak juga terlalu mengutuk mengetuk mengeji kerana tak suka. Jika kau fikir tentang sempurna tunggulah masanya tiba. Bersederhanalah waima sedang berbahagia. 

Salam Jumaat. 

10/4/2020  

Kita ni tiada apa-apa yang perlu dibanggakan. Kelemahan dan kekurangan itu hiasan hidup kita. Yang lemah ada hikmah, yang punya sedikit kekuatan pun ada juga hikmahnya. Rasanya tidak perlu sangat menidak atau memuji puja antara satu kerana kita ada kelebihan dan ada kekurangan. Elok akur pada apa yang kita punyai. Mengisi pada yang kurang bersyukur jika sedikit lebih. Andai saling membobrokkan antara satu, tiada siapa yang untung. Ruginya kita terus berbelah natijah daripada perbalahan yang tidak habisnya. Ada yang ketawa di luar sana. Semoga dapat kembali kepada pangkal perjuangan sebenar. Jom perkuatkan landasan untuk anak cucu kita. 

10 Oktober 2020 

Saya fikir hipokrit tidak memberi nilai kepada sesiapapun. Membodek, angkat kaki, memuji dengan membuta tuli tidak akan mengubah. Lihatlah tatkala melihat impaknya kemudian akan berlaku saling menyalahi. Barulah dikatakan: kalau diubah dari dulu kita akan lebih baik lagi dan sebagainya. Jadilah individu yang terbuka, berani dan matang. 

Salam Jumaat. 

16/11/2018 

Memuji diri kerana lupa bahawa memuji itu salah tempatnya. Minta dipuji juga selalu tersilap langkah. Lalu bagaimana? Mengharap pujian lagi aduh, sampai bila? Patutlah ada insan yang jadikan tabii memuji diri untuk mempromosi, apabila orang lambat bertindak memberi. 

23/2/2015 

Muawiyah berkata bahawa Rasulullah SAW jarang sekali meninggalkan pesanan ini di dalam khutbah Jumaatnya: 

"Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, diberinya kefahaman yang mendalam mengenai agama. Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya. Berwaspadalah kamu daripada perangai puji memuji. Sesungguhnya pujian itu adalah sembelihan." (Hadis riwayat Ahmad) 

Namun kita perlu bezakan antara memuji (ada udang sebalik batu) dengan memberikan pengiktirafan dan penghargaan. Memberikan pengiktirafan dan penghargaan digalakkan bertujuan memberi galakkan, melebarkan silaturahim dan mengeratkan kasih sayang. Nawaitu perlu dijaga sepanjang waktu. 

Kita juga dilarang memuji diri sendiri dan menyebut kebaikan diri. Firman Allah yang bermaksud: 

Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jugalah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun." (Surah an-Nisaa, ayat 49). 

1/5/2017 

Pujian itu bagus sekali. Ramai yang suka. Suka memuji dan suka dipuji. Seronok hidup dalam pujian. Jangan saja terlebih puji. Khuatir senget diri.

 9/4/2014

 

Tiada ulasan: