Assalamualaikum wbkt
Saya dengan penuh takzim merafakkan rasa syukur ke atas Hadrat Allah
SWT kerana dengan izin-Nya, kita diberikan iktizam dan kekuatan jiwa untuk
menyempurnakan amanah pada hari ini. Kehadiran anda dari merata daerah negeri
Sabah yang kita cintai menjadi petanda bahawa tanggungjawab kita bukan
semata-mata untuk persatuan kita tetapi lebih daripada itu. Kita ingin terus
berjuang merapatkan saf anggota seiring dengan gerakan sastera tanah air yang
sedang hebat gelora dan gelombangnya.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati.
Sepertimana yang kita sama-sama maklum, IPS kini berusia 27 tahun yang tepatnya
pada 24 Mac yang lalu. Hari ini
mudah-mudahan kita dapat meraikan ulang tahun persatuan kita ini. Sudah tentu setiap anggota persatuan mempunyai perasaan yang tinggi
untuk memperagakannya kepada masyarakat, samada sesuatu yang telah kita lakukan
dan gerakan kita selepas ini. Kita tidak harus gentar memandang kembali ke
belakang dan pada masa yang sama
berani meneroka jauh ke hadapan. Andai ada kegembiraan tercalit juga duka yang tidak
dapat dielakkan. Sebab, kehidupan juga demikian, dan kehidupan dalam persatuan
kita tidak terlepas daripada mengingatinya. Cuma, saya fikir dan tuan-tuan dan puan-puan juga pasti
bersetuju bahawa masa lalu biarlah ia berlalu sebagai satu sempadan dan
motivasi buat kita semua dan IPS sendiri. Kita perlu melihat jauh ke hadapan.
Namun semua ini perlu bermula daripada sekarang. Jika kelmarin adalah
pengalaman yang mengingatkan kita tentang kekurangan tetapi tidaklah bersalahan
agar kita terus berusaha memperbaiki segala kekurangan itu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Tahun ini genap dua dekad
saya mengnakhodai IPS. Saya cukup dewasa untuk
memperkatakan sumbangan IPS. Saya mempunyai satu sikap bahawa apabila sesebuah
organisasi ditubuhkan ia harus memberikan sesuatu kepada mereka yang menjadi
tonggak selain memastikan semua objektif yang termaktub dalam perlembagaannya
dipenuhi. Kemudian, bagi saya sumbangan daripada sebuah persatuan yang
sederhana dalam segala segi tidak semestinya ia dilihat hanya melalui
program-program yang besar. Walaupun kemampuan IPS itu kecil namun ia tetap
meninggalkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat, kepada ahli-ahlinya dan
kepada negara, dengan kata yang mudah dan mulia iaitu menghasilkan impak yang
besar. IPS tidak mungkin mampu bergerak sehingga ke hari ini seandainya cabaran
untuk mengekalkan sikap sedia ada melalui semangat kesetiaan, keseiaan hati, jiwa dan tindakan, dan paling penting kesederhanaannya telah dihadapi dengan bijaksana.
Sesuai dengan sebuah motto yang saya perkenalkan iaitu 'Wastiyyah
Kesejagatan Sastera', sebuhan
intisari
ungkapan-ungkapan yang menjadi landasan
kebersamaan melalui semangat kekeluargaan dan persahabatan. Persatuan dalam
fikiran saya bukan untuk meraih faedah persaingan apatah lagi keuntungan
bersifat material. Apakah yang kita faham tentang kebersamaan dalam IPS?
Walaupun saya memimpin persatuan kecil ini namun, segala keputusan menjadi
agenda semua orang di dalam persatuan. Saya selalu berkongsi idea, info, saranan dan
sebagainya di FB, melalui whatapps atau catatan saya di media.
Namun saya percaya, semua itu tidak harus
menjadi agenda kita. Agenda utama kita ialah bagaimana merekayasa sebagai
kesinambungan pengisian sebelum masuk ke gerbang terakhir wawasan
2020.Sewajarnyalah, IPS harus mempunyai produk,
disiplin dan sikapnya sendiri. Ketiga-tiga hal ini harus dihormati dan wajib
IPS perhebatkan walaupun dalam skala yang sifatnya sederhana namun IPS tetap
akan menempatkan kesemuanya dalam hati orang ramai dengan ketelusan dan amanah
menjadi keutamaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sudah pasti anda semua masih ingata pada
tahun 2015 Cikgu Mohd Khaidir Harun seorang kauseler dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah berkongsi ilmunya menerusi kosultasi
dan motivasi untuk ahli-ahli dan para penulis di Sabah. Salah satu persoalan
yang telah beliau angkat ketika itu ialah mengapa kita menyertai perstuan penulis atau apa juga pertubuhan
bukan kerajaan yang lain? Apakah kerana adanya tarikan istimewa di dalam
pertubuhan berkenaan seperti memberi tunjukajar mengenai sesuatu bidang,
sebagai keperluannya menambah nilai dalam hidupnya. Atau apakah sekadar
suka-suka semata-mata. Barangkali disebabkan peluang untuk makan angin terbuka
luas dan sebagainya lagi. Nah, sebab itu kita, saya dan seluruh anggota persatu
harus jelas peranannya sebagai ahli dan sebagai ahli jawatankuasa sekira
memegang sebarang jawatan dalam pertubuhan. Dalam konteks IPS, kita ingin
membentuk satu pasukan yang mantap berdasarkan sejauh mana kecenderungan yang
ada dalan fikiran setiap anggota. Ahli dan AJK yang memiliki hala tuju dalam
kehidupannya sudah pasti tidak menjadi masalah yang besar agar ditranformasi
dalam kehidupan yang lebih besar dan global. Peranan kita mungkin kelihatannya
sedikit atau kecil dalam pertubuhan namun kita tidak sedari bahawa peranan yang
sedikit dan kecil itu sebenarnya memberikan kesan tertentu sehingga pertubuhan
disegani. Mungkin disebabkan ciri-ciri kesederhanaan kita atau atas penerimaan
masyarakat gerakan kita sesuai apabila komuniti sasaran kita jelas dan
bertumpuan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Kita harus fokus kepada setiap bidang yang ingin kita laksanakan.
Tidak mengapa status aktiviti itu berskala yang kecil dan tidak kelihatan
terlalu hebat. Hebat berhasilkan sesuatu yang tidak banyak manfaatnya sudah
tentu lebih baik kita memilih jalan yang sederhana tetapi hebatnya kita telah
melaksanakan satu amanah dengan tepat.
Sudah tentu tidak bersalahan juga jika kita melakukan saranan agar dunia persuratan
kita direvolusikan. Sastera harus dihidupkan, digayakan, dikembangkan dan
diwangikan. Kita mahu agar sastera terus dihormati dan dihargai. Kita juga mahu
masyarakat memberikan perhatian mereka sama seperti ketika mereka memberikan
tumpuan kepada bidang kerjaya harianan atau sara hidup keluarganya dan semangat
jiwa raganya dalam menyintai agama dan negara. Barangkali sesuai dengan gagasan
negara TN50 yang menjadi bualan hangat dalam kalangan para pemimpin dan rakyat
semua peringkat khususnya golongan generasi muda, kita sebagai seniman,
sasterawan, penulis, budayawan dan sebagainya menggunakan wahana ini
menyampaikan pemikiran kita untuk direalisasikan pada era tersebut. Sudah tentu
kita akan memilih akliah yang berakidah dan dipandu oleh akhlakiah yang jitu.
Dalam memperkasa hasrat masa depan yang belum tentu tepat, kita juga mempunyai
peranan untuk menjadi antara pendukungnya yang penting. Masa hadapan harus
bersama dengannya hati budi yang luhur dan dibimbing oleh ciri-ciri adabiyyah
yang mantap.
Pada
saya , tiada syarat lain lagi apa yang harus kita miliki. Kita harus menjadi manusia yang mempunyai cukup
sikap yang tegap yakni merasa memiliki dan
dimiliki. Sebagai ketua satu IPS,
saya amat terbuka bila mana ada ahli-ahli yang ingin menyertai dan yang keluar
daripada arus perdana persatuan kita. Hari ini dunia semakin kecil tetapi
manusianya yang ramai. Banyak hal yang telah, sedang dan akal berlaku. Dalam
dunia yang kecil ini, kehidupan semakin meriah dengan kepelbagainya. Para
seniman terus bergelomang dengan dunianya. Para penulis berlumba-lumba
mengarang dan menerbitkan karya-karya mereka. Semkain ramai penulis yang hebat,
hebat kerana menulis dan memiliki buku-buku masing-masing. Mereka juga semakin
galak menyertai apa jua program dan aktiviti persuratan. Para penulis terus
bersaing, menyertai peraduan-peraduan serta penataran kepengarangan di bawah
asuhan para penulis terkemuka tanah air.
Kita
berbangga kerana penulis masa ini bukan sahaja menulis tetapi sudah berani
meneroka dunia perbukuan dan pemasaran. Melalui media sosial perhubungan antara
rakan penulis, dan antara pengarangnya dan peminat mudah ditelusuri. Manfaat
ini patut dikaut dengan bersungguh-sungguh agar kita akan sentiasa berada di
hadapan. Manusia seniman harus berada di hadapan dan di atas. Mereka harus
memiliki jati diri yang ilmu yang banyak; bukan semata-mata berkaitan dunia
persuratan dunia antarabangsa bahkan mengenai tanah air kita sendiri. Di mana
bumi dipijak di situ langit dijunjung. Saya suka menyarankan teruslah menghasilkan
karya sastera yang menarik. Jika anda meminati genre penulisan yang bagus
mengapa tidak bergerak lebih pantas di hadapan? Asalkan kita tahu siapa kita,
kita perlu merawat penyakit masyarakat yang cepat merasa bosan dan mengalah.
Tuan-tuan dan puan-puan.
Apakah yang dimaksudkan dengan bitara? Bagi guru-guru di sekolah, kata bitara
bukanlah satu istilah jargon atau terlalu baharu buat mereka. Kita perlukan
bitara ini. Dalam kehidupan kita juga, bitara menjadi tanda aras dan juga hala
tuju sejauh mana kemantapan kita terhadap sesuatu matlamat. Dalam IPS, apa
pentunjuk penting bitara yang kita kehendaki. Dengan kedudukan kewangan yang
kecil, apakah bitara yang kita mahu capai? Dengan bilangan ahlinya yang
sederhana, bolehlah kita katakan kita mesti bitarakan gerakan objektif kita
sepenuhnya? Dan dalam konteks yang lebih besar, apakah hala tuju persatuan
sebenarnya? Semua persoalan ini mudah kita jawab apabila setiap daripada kita
memiliki sikap dan sifat bitara dalam kehidupan. Bitara yakni mencapai tahap
paling tinggi dalam sasaran. Bukan bererti tahap yang kita tidak boleh capai.
Kita tujui berdasarkan kemampuan kita. Apakah bitara kita?
Mungkin untuk mencapai dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, kita
mampu menjenamakan persatuan lebih daripada sebagai sebuah persatuan yang
kecil. Kita mempunyai aset yang tersendiri seperti bangunan, rumah dan aktiviti
yang menyeluruh. Anggota kita berkualiti. Aktiviti-aktiviti kita juga demikian.
Namun semua ini berpunca daripada sejauh mana kukuhnya ekonomi kita yakni
kedudukan kewangan kita mantap. Mulai sekarang kita harus letakkan peranan
semua untuk mencari jalan terbaik bagaimana mengukuhkan kewangan dalam
persatuan. Kita tidak harus terlalu bergantung kepada bantuan pihak lain, yang
kadang-kadang kita ini seumpama pengemis, melukut di tepian gantang dan amat
memalukan apabila mendengar omelan 'ini tiada lain, mesti minta duit'.
Kedua, aktiviti-aktiviti kita perlu dimantapkan dari segi kualiti
penganjuran. Setakat ini alhamdulillah, kita melakukan aktiviti dengan lancar
tanpa sebarang isu yang timbul. Namun kita perlu bitarakan aktiviti kita.
Misalnya program Santai Minda yang kita telah anjurkan beberapa tahun lalu. Santai Minda ini kita boleh pelbagaikan skopnya, dalam kata lain
pengisiannya tidak tertakluk kepada bidang persuratan tetapi juga disiplin seni
yang lain. Tahun ini saya mencadangkan Santai Minda akan diteruskan dengan isu-isu persuratan yang lebih mencabar.
Membicarakan karya seperti novel-novel terpilih, karya-karya ahli
dalam bentuk buku dan eceran juga wajar diketengahkan. Ini sering saya sebut; semasa Mahrajan Persuratan dan Kesenian
Islam Nusantara baru-baru ini juga saya sentuh dan di sini ingin saya ulangi pentingnya usaha ini digembelingkan. Sebagai persatuan penulis kita ingin membantu agensi yang berkaitan
kerana ini tugas mereka, namun kita juga mempunyai amanah tertentu mengenai hal
ini. Ramai ahli kita menulis puisi, karya mereka jarang diambil perhatian untuk
dibuatkan resensi, apatah lagi melalui penilaian kritis. Sudah ramai juga
ahli-ahli yang mempunyai buku sendiri dan sekali lagi kita tidak mengangkat
buku tersebut dalam satu gelanggang atau forum yang sesuai. Sewajarnya juga
kita melibatkan para sarjana di UMS atau para siswa-siswi di menara gading ini.
Ketiga, penerbitan. Saya
berharap barisan AJK Tertinggi persatuan yang akan dipilih atau dilantik akan merancang gerakan aktivitinya dengan lebih dinamik dan
teratur. Terutama sekali bidang penerbitan yang memerlukan kesatuan nilai dan
makna kebersamaan dalam konteks fikrah. Sempena 25 tahun penubuhan IPS yang lepas, kita
telah pun menzahirkan penerbitan sebuah antologi puisi khas yang melibatkan ahli-ahli
dan para penulis yang akrab dengan persatuan sebagai penyumbang. Buku tersebut bertajuk ‘Taman Fikir’
merambat hati kita untuk membaca. Begitu juga penerbitan majalah Buletin
Komposisi, kita harus teruskan biarpun dalam skala yang kecil. Yang penting
kita mampu mencadangkan kepada sesiapa juga menariknya dunia persuratan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Tiga isi teras dalam ucapan ini diharapkan dapat kita laksanakan.
Saya tidak mengharapkan apa-apa yang besar tetapi biarlah kita sama-sama
bekerja dan sama-sama merasai hasilnya. Tidak semua hal sepanjang 25 tahun yang
lalu kita lalui bersama-sama namun sebagai generasi IPS berikutnya, tempoh itu
kita rasai bersama atas beberapa kejayaan dan ingin membantu sedaya kita agar
segala kekurangan mampu diatasi. Saya juga tidak kisah sangat soal wang yang
saya keluarkan jika perlu kerana duit dapat kita cari tetapi soal perjuangan
yang jelas tidak dapat kita lakukan tanpa pengorbanan. Antaranya kita sanggup
melakukan yang terbaik untuk persatuan kita ini.
Untuk makluman, saya tentu sahaja tidak ingin berlama sangat
memimpin IPS. Pada hari ini suka saya
maklumkan bahawa saya membuka peluang kepada semua ahli memilih dalam kalangan
rakan-rakan kita menggantikan saya jika kewajaran itu ada. Tidak bermakna saya
ingin lari daripada dunia pimpinan kerana IPS tetap di hati dan telah mengalir
bersama darah dalam tubuh ini. Saya berkata hal ini dalam mesyuarat agung yang
lalu di tempat ini juga. Jika diberikan peluang, saya akan membantu di
mana-mana yang sewajarnya.
Di
akhir ucapan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua AJK
Tertinggi yang ada antaranya memang istiqamah bersama-sama saya sejak 20 tahun
yang lepas. Kepada para ahli yang jauh dan dekat, ada yang tidak pernah
berjumpa secara bersemuka, saya ingin mengalu-alukan terutama yang baharu
menyertai IPS. Marilah kita sama-sama berganding bahu, menggenggam jemari, dan
membulat tekad untuk memperkasakan lagi IPS. Kita harus sayangi IPS. Jangan
biarkan IPS hanyut. Jangan biarkan IPS ditelan gelombang dunia yang mengajak
manusianya melupakan nilai perjuangan dan pengorbanan para penggeraknya. Jika
bukan kita tiada siapa `lagi yang sanggup meluangkan masanya untuk IPS walaupun
hanya seketika.
Ini sahaja ucapan saya, agar IPS terus relevan dalam gerakan
sastera tanah air, marilah berganding bahu dan mara siaga ke hadapan. Ke arah
IPS bitara dengan slogan besar kita 'wasatiyyah kesejagatan sastera'.
Sekian, terima kasih.
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan