Ahad, April 09, 2017

Masyarakat sastera yang memasyarakatkan sastera


Oleh Hasyuda Abadi



DUNIA sastera mengalami evolusinya. Sementelahan orang tidak faham bahawa sastera sebagai mekanisme kehidupan yang telah wujud semenjak manusia dilahir di dunia. Ia lahir bersama tangisan pertama bayi. Ia wujud terus hinggalah pada satu tahap sang bayi sudah boleh berkata-kata dengan baik, mendengar suara merdu alam, menikmati makna setiap kata berdasarkan acuan yang dia ada. Semua ini menjadi pengalaman dan menyebabkan dia bermakna dalam kehidupannya dan kehidupan manusia yang lain. Semakin ia matang dan dewasa, fikiran dan tingkahlakunya menjadi cerminan orang lain dan masyarakat yang besar.

Kini mereka menjadi pemimpin bagi dirinya, bangsa, agama dan negaranya. Namun sastera diberikan jenama yang lain yang dikeluarkan daripada jati diri seseorang hingga sastera itu sendiri akan hilang dan  mati. Ketika sastera dikatakan hanya selayaknya berada di muzium sejarah menjadi suatu kesedihan dan elegi untuk kita semua.Tapi benarkah ia akan mati atau akan hilang tatkala sastera tidak lagi menjadi subjek di sekolah? Tahukah kita bahawa para pelajar sekolah itu pun hanya menumpukan kepada peperiksaan bukan disebabkan sastera itu berguna.

Sastera tetapi berakar selagi kita masih boleh berkata-kata dengan indah, selagi kita masih menikmati makna falsafah kemanusiaan dan selagi kita bahagia menjadi insan yang berfikir. Sastera tidak akan hilang, percayalah. Saya percaya sastera terus hidup selagi kemanusiaan hidup. Selagi manusia perlukan kata-kata tulisan kerana menulis adalah sastera. Budaya tulis itu adalah antara elemen-elemen sastera sejak aktiviti ini dikenali di zaman batu. Saat manusia masih memiliki emosi memugarkan lagi kepercayaan terhadap sastera. Dengan emosi manusia berkata-kata. Berkata-kata itu melibatkan bahasa. Bahasa itu juga elemen dalam sastera. Saya suka berkata jangan patah hati sastera bakal dimatikan. Sebenarnya banyak lagi penjelasan bahawa sastera adalah sebuah dunia yang luas. Kita melanjutkan kerja memperkasa sastera bukan kerana sastera akan mati. Tanggungjawab kita melestarikan semua elemen, unsur, bahan dan sebagainya untuk manusia dan kemanusiaan. Sastera hanya akan mati apabila dunia ini mati!

'Hidup'nya sastera berupa dunia yang tidak kelihatan tetapi ia dirasai dan dinikmati. Dari segi intrinsiknya, acuan menikmati itu juga tidak sama antara pembaca atau penikmat yang lain, yang berbeza latar kehidupan, latar pendidikan dan status dalam masyarakat mereka khususnya berkaitan dengan sikap, nilai dan dorongan.  Dalam Puitika Sastera Melayu, Dr. Muhammad Haji Salleh meletakkan sastera sebagai alatan dan ekspresi bangsa Melayu yang terpenting, kerana di dalamnya juga tercakup karya-karya agama, adat istiadat, hukum, sejarah, salasilah, perubatan dan sebagainya. Ke dalamnya dicurahkan segala fikiran orang Melayu tentang tatanilai untuk dijadikan teladan, hubungan antara manusia yang melancarkan perjalanan masyarakat, malah hal-hal harian yang dapat membantu seseorang pembaca atau pendengar dalam hidupnya. Sementara itu . Pramoedya Ananta Toer dalam novelnya Bumi Manusia dalam konteks sastera beliau mengatakan bahawa hasil sastera dan seni itu  ialah keindahan. Pengalaman merasa wujud indah itu terlalu kompleks, malah menjadi persoalan yang abstrak dan boleh sekaligus konkrit. Pengalaman estetik dalam dunia sastera menjadi persoalan falsafah dan menjadi teka-teki intelektual yang dibahaskan dengan hangat sejak zaman Yunani Purba hingga kini.  

Wellek dan Warren (1956:240) juga menyebutkan bahawa sastera ialah ‘aksi sosial dan etika’, suatu perlakuan atau perbuatan sosial sesuatu bangsa. Aksi boleh berupa tindakan jasmaniah, pemberontakan, perebutan kuasa atau serahan untuk memajukan bangsa. Secara abstrak, aksi juga boleh merupakan usaha memilih yang baik daripada yang buruk, yang lurus daripada yang berliku-liku. Dalam hal lain, sastera juga tidak silu-silu memberikan gagasan, contoh dan petunjuk ke arah bagaimana manusia dapat menjadi lebih sempurna, lebih maju dan lebih baik. Dalam berbuat demikian sastera menggerakkan manusia berfikir, dan seterusnya bertindak ke arah kesempurnaan, kemajuan dan kebaikan.

Ada yang mengatakan bahawa sastera tidak akan ke mana-mana sekiranya sastera tidak dibesarkan dalam masyarakat. Soalnya,  masyarakat itu siapa? Penulis, pembaca, penganalisis sastera juga menjadi bahagian masyarakat ketika mereka tidak menulis, membaca atau menganalisis. Masyarakat yang membaca itu pula tidak akan memberikan sebarang respons terhadap bacaannya. Siapa tahu bahawa idea atau pemikiran penulis telah mereka ketengahkan dalam dunia masing-masing. Siapa tahu pemikiran para penulis mereka telah transformasikan dalam kerjaya atau dalam organisasi. Sesungguhnya memahamkan masyarakat sifatnya subjektif kerana pada saya sastera adalah alami yang hidup dengan sendiri dalam diri manusia, siapa pun dia.   

Menghayati perbincangan sastera mutakhir di Sabah ia tidak sekadar membaiki pintu tetapi mengajak kita membukanya dengan berhemah. Alangkah besar dan luasnya dunia sastera itu sebenarnya. Pasti tidak semudah menyusun kata-kata. Sastera pasti akan mengalami evolusinya sendiri secara tidak disedari. Ini perlu dilihat daripada perspektif yang lebih luas. Sastera harus mampu dimanipulasi secara sihat dan jujur. Memang benar juga, ramai tidak menyedari 'kematian' itu sebenarnya berlaku, kerana ada kalangan yang tidak merasai 'roh' sastera itu sebenarnya. Semua ini berpunca daripada tipisnya program pengisian. Hujah saya, sambutan masyarakat yang semakin mengecil. Masyarakat yang dimaksudkan termasuklah penggiat, pelanggan sastera malah pengurus sastera itu sendiri. Apa yang terjadi, wujud sikap asal jadi, tidak serius dan seperti melepas batok di tangga.  

Penggiat tegar dalam persatuan penulis terus merasakan tidak menerima layanan yang sewajarnya padahal pengorbanan yang mereka lakukan bersifat sukarela semata-mata mendambakan agar dunia sastera terus bernafas dengan segar di bumi yang mewah dan merdeka. Sedangkan segala kemewahan itu hanya dinikmati sesetengah pihak yang bijaksana menggunakan peluang, manakala penulis terus dihantui peluang terbaik, sampai bila, kita tidak tahu. Ramai penulis yang merajuk dan tidak mungkin terpujuk, mereka ini merupakan penulis yang begitu berwibawa pada satu tempoh. Sebenarnya yang berada di muzium sejarah ialah para penulis yang telah hilang sedang sastera tetap berligar-ligar di lapangan manusia yang terus menikmati makna sasteranya.

Jika pandangan dari luar mengatakan bahawa Sabah mempunyai kumpulan penulis yang hebat saya fikir ia tidak semudah sekadar tanggapan tanpa merujuk kepada roh kegiatan sastera yang lebih menyeluruh. Kita perlu melahirkan lebih ramai penulis, bukan setakat ramai bahkan perlu mengangkat karya mereka dengan prasarana-prasarana sedia ada. Memang tidak mudah. Pengurus sastera termasuklah pemimpin kerajaan yang berkaitan, yang hanya faham tentang tanggungjawab kerana mereka dibayar gaji barangkali hanya mampu melakukan pada tahap-tahap yang telah ditentukan. Nilai tambah yang diperlukan oleh pelanggan mereka amat sukar ditemui saat ini.  Natijahnya, para penulis dan penggiat sastera mahu tidak mahu perlu menjana kewibawaan mereka dengan menggerakkan aktiviti mereka sendiri. Penulis tetap berkarya. Mereka mengadakan pertemuan-pertemuan sesama rakan, berbincang dan menjalani proses penciptaan mengikut acuan merekai. Kumpulan-kumpulan membaca buku di lokasi-lokasi strategik juga membantu menyemarak nikmat sastera itu sendiri. Merekalah masyarakat sastera yang memasyarakatkan sastera.

Semua ini hanya berupa elemen-elemen sokongan yang menyebabkan aktiviti sastera dirasai kewujudanya. Apa yang sering dipertikaikan hanya berhubung dengan soal pengisian bukan bertujuan mencari salah siapa. Mencari langkah terbaik agar kita boleh meneruskan acuan yang pernah dibina oleh generasi masa lalu. Tanpa sastera, sebahagian besar daripada ilmu bangsa Melayu tidak akan sampai kepada kita hari ini, atau kepada berpuluh generasi sebelum kita yang memerlukannya. Sekiranya pupus cerita-cerita lisan dan tulis dalam bentuk manuskrip, maka akan hilang pulalah ilmu bangsa itu. Di sisi kemegahan yang kita ada kita juga terlupa bahawa masih banyak kelemahan terjadi di luar sedar. Kita tahu tidak pernah ada kesempurnaan untuknya. Kita boleh memperbaiki ketika kita terlupa untuk melakukan kebaikan tetapi segala kelemahan itu natijah lantaran cabaran-cabaran yang hebat. Setiap hari kita akan berbicara dalam ungkapan sastera, berlapis makna tetapi ada masanya kita terpaksa berkata di luar sastera, kita berdebat secara sihat. Kewajarannya sentiasa kita fikirkan berdasarkan hujah-hujah yang membawa kedewasaan lebih matang.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: