Sabtu, Disember 06, 2014

Pandu Uji Maxsym 400i


Baru-baru ini dengan bantuan seorang sahabat saya berpeluang menunggang uji sebuah skuter terbaru berjenama SYM (Sanyang Motor Industries), sebuah syarikat yang berasal dari Taiwan dan telah lama bertapak di Malaysia melalui model yang dipasang oleh Modenas iaitu Elegan 150 & 200 (dikenali sebagai Joyride dipasaran Taiwan). Kini motosikal dan skuter keluaran SYM dibawa masuk & dipasang oleh pihak MForce Holding di kilang yang terletak di Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Model Maxsym 400i ini merupakan skuter premium yang dikeluarkan oleh SYM. Ia telah diperkenalkan di pasaran Eropah terlebih dahulu pada tahun 2010 sebelum dibawa masuk ke Malaysia dan dikeluarkan secara pemasangan tempatan (CKD) pada pertengahan tahun 2012. Enjin skuter ini berkuasa 399cc 4 lejang suntikan bahan api elektronik dengan silinder tunggal “electroplated ceramic”. Sistem sejukan skuter ini adalah dari jenis cecair dan transmisinya dari jenis “Continuously Variable Transmission” (CVT).

Dari segi kuasa pecutan, enjin skuter ini memberikan respon yang sangat baik dengan tambahan pula sistem “twist n go” dengan kemampuan untuk memecut dengan pantas dari kedudukan pegun tanpa perlu menukar gear. Sewaktu sesi menunggang uji, kelajuan maksimum yang pernah saya catatkan ialah 155 km/j. Walau bagaimanapun saya dapati meter Maxsym ini agak ringan kerana apabila bacaan pada meter kelajuannya menunjukkan had 140 km/j, rekod kelajuan pada unit GPS dan meter kereta pula hanyalah sekitar 115-120 km/j.
SYM Maxsym 400i 2 Tunggang uji skuter premium SYM Maxsym 400i
Paparan meter untuk Maxsym bagi pasaran Eropah adalah lebih tepat dengan kelajuan maksimum yang dipaparkan pada meter ialah 180 km/j berbanding 220 km/j untuk pasaran Malaysia. Kenapa bacaan meter untuk pasaran Malaysia terlalu ringan tidaklah diketahui. Tayar hadapan bersaiz 120/70 dengan rim bersaiz 15 dan saiz tayar belakang adalah 160/60 dengan rim bersaiz 14. Tayar standard dari jenama Maxxis ini memberikan cengkaman yang baik untuk permukaan jalan yang kering tetapi agak kurang mencengkam ketika permukaan jalan basah. Kebanyakan pemilik skuter Maxsym 400i telah menukar tayar kepada jenama Bridgestone yang lebih baik dari segi cengkaman.

Sistem brek yang dilengkapi pula adalah dari jenis cakera (disc) berkembar di hadapan dan tunggal di belakang dengan diameter 275mm untuk memberikan kuasa membrek yang optimum, dengan tuil brek sebelah kanan mengawal brek hadapan dan tuil brek kiri menggunakan ciri “Combined Brake System (CBS)” yang menggabungkan kuasa brek hadapan dan belakang. Berat keseluruhan skuter ini adalah 224 kg (tidak termasuk berat petrol), dan oleh kerana skuter ini agak besar dan berat, ia turut dilengkapi dengan ciri “Parking Brake” disebelah kanan berhampiran tempat letak kaki penunggang yang memudahkan penunggang apabila berhenti di permukaan jalan yang bercerun tanpa perlu menarik tuil brek.

Maxsym 400i yang ditunggang uji ini telah pun menempuh perjalanan jauh dari Sungai Petani – Kuala Lumpur – Sungai Petani tanpa sebarang masalah sepanjang perjalanan tersebut. Dari segi ergonomik, ianya cukup selesa untuk perjalanan jarak jauh dengan saiz tempat duduk yang lebar dan disertakan dengan penyandar belakang untuk penunggang yang boleh dilaras serta penyandar untuk pembonceng. Pemijak kaki pembonceng boleh dilipat dan dikeluarkan dengan menekan atau memijak butang yang terdapat di bahagian pemijak tersebut.
SYM Maxsym 400i 7 Tunggang uji skuter premium SYM Maxsym 400i
Lampu hadapan merupakan dari jenis projektor yang memberikan suluhan yang sangat baik pada waktu malam dan disertakan sekali dengan lampu DRL LED yang kelihatan begitu anggun. Lampu belakang pula dari jenis LED yang juga cukup terang apabila dilihat dari jauh. Pelindung angin hadapan (Windshield) boleh dilaras mengikut keselesaan penunggang. Sistem suspensi hadapan adalah dari jenis telescopic dan belakang pula dari jenis Unit Swing dengan 5 tahap pelarasan.

Panel meter selain penunjuk kelajuan ialah takometer, penunjuk baki minyak dan penunjuk suhu yang dipaparkan dalam bentuk analog dan penunjuk digital untuk tahap voltan bateri, waktu, tarikh, tripmeter dan juga odometer. Paparan meter Maxsym ini sangat cantik dan jelas untuk dilihat oleh penunggang dan kelihatan seperti paparan meter kereta apabila dilihat pada waktu malam, dengan lampu latar berwarna biru dan merah untuk jarum penunjuk yang menyerlahkan lagi keanggunan skuter ini. Pada panel meter ini juga terdapat simbol atau lampu amaran untuk mengisi minyak, suhu, tongkat sisi tidak dinaikkan, tempat letak barang dibawah tempat duduk terbuka, penukaran minyak enjin, sistem EFI dan Parking Brake apabila digunakan.

Terdapat 4 ruang meletak barang pada skuter ini dengan yang paling besar adalah di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah helmet bermuka penuh dan barang-barang peribadi yang lain. Tempat letak barang di hadapan mempunyai soket pengecas DC 12V dan juga soket USB. Terdapat juga tempat meletak barang-barang kecil di sebelah kiri dan kanan di bawah bar pemegang yang sesuai untuk meletakkan glove atau telefon bimbit. Skuter yang ditunggang uji ini telah dipasang dengan kotak simpanan belakang untuk memberi lebih ruang meletakkan barang-barang.
SYM Maxsym 400i 8 Tunggang uji skuter premium SYM Maxsym 400i
Tempat mengisi petrol terletak di tengah antara kedua-dua belah kaki penunggang yang memudahkan penunggang untuk pengisian semula, dengan bacaan penggunaan petrol dalam lingkungan perjalanan 300 km untuk setangki penuh sebanyak 14.7 liter dalam kelajuan 110-120 km/j. Secara keseluruhannya, skuter ini sangat sesuai bagi mereka yang inginkan sebuah jentera yang santai dan dalam masa yang sama berkuasa untuk sesi perjalanan jarak jauh. Ianya telah dibuktikan oleh sekumpulan pemilik skuter ini yang telah melakukan siri jelajah Semenanjung Malaysia pada hujung November tahun lepas di mana mereka telah menunggang skuter ini selama 4 hari dengan jarak perjalanan hampir 2,000 km tanpa sebarang masalah.

Dengan harga atas jalan dalam lingkungan RM27,000.00, skuter Maxsym 400i ini menawarkan pakej yang sangat menarik bagi peminat-peminat jentera automatik beroda dua yang bukan saja hadir dengan enjin yang lebih berkuasa, malah dengan reka bentuk yang cukup bergaya.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

1 ulasan:

Izz Danish™ berkata...

wow...! tunggu maxsym anda saya punya