Baru-baru ini dengan bantuan seorang sahabat saya berpeluang menunggang uji sebuah skuter terbaru berjenama
SYM (Sanyang Motor Industries), sebuah syarikat yang berasal dari
Taiwan dan telah lama bertapak di Malaysia melalui model yang dipasang
oleh Modenas iaitu Elegan 150 & 200 (dikenali sebagai Joyride
dipasaran Taiwan). Kini motosikal dan skuter keluaran SYM dibawa masuk & dipasang oleh pihak MForce Holding di kilang yang terletak di Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Model Maxsym
400i ini merupakan skuter premium yang dikeluarkan oleh SYM. Ia telah
diperkenalkan di pasaran Eropah terlebih dahulu pada tahun 2010 sebelum
dibawa masuk ke Malaysia dan dikeluarkan secara
pemasangan tempatan (CKD) pada pertengahan tahun 2012. Enjin skuter ini
berkuasa 399cc 4 lejang suntikan bahan api elektronik dengan silinder tunggal “electroplated ceramic”. Sistem sejukan skuter ini adalah dari jenis cecair dan transmisinya dari jenis “Continuously Variable Transmission” (CVT).
Dari segi kuasa pecutan, enjin skuter
ini memberikan respon yang sangat baik dengan tambahan pula sistem
“twist n go” dengan kemampuan untuk memecut dengan pantas dari kedudukan
pegun tanpa perlu menukar gear. Sewaktu sesi menunggang
uji, kelajuan maksimum yang pernah saya catatkan ialah 155 km/j. Walau
bagaimanapun saya dapati meter Maxsym ini agak ringan kerana apabila
bacaan pada meter kelajuannya menunjukkan had 140 km/j, rekod kelajuan
pada unit GPS dan meter kereta pula hanyalah sekitar 115-120 km/j.
Paparan meter untuk Maxsym bagi pasaran
Eropah adalah lebih tepat dengan kelajuan maksimum yang dipaparkan pada
meter ialah 180 km/j berbanding 220 km/j untuk pasaran Malaysia. Kenapa
bacaan meter untuk pasaran Malaysia terlalu ringan tidaklah
diketahui. Tayar hadapan bersaiz 120/70 dengan rim bersaiz 15 dan saiz
tayar belakang adalah 160/60 dengan rim bersaiz 14. Tayar standard dari
jenama Maxxis ini memberikan cengkaman yang baik untuk permukaan jalan
yang kering tetapi agak kurang mencengkam ketika permukaan jalan basah. Kebanyakan pemilik skuter Maxsym 400i telah menukar tayar kepada jenama Bridgestone yang lebih baik dari segi cengkaman.
Sistem brek yang dilengkapi pula adalah
dari jenis cakera (disc) berkembar di hadapan dan tunggal di belakang
dengan diameter 275mm untuk memberikan kuasa membrek yang optimum, dengan tuil brek sebelah kanan mengawal brek hadapan dan tuil brek kiri menggunakan ciri “Combined Brake System
(CBS)” yang menggabungkan kuasa brek hadapan dan belakang. Berat
keseluruhan skuter ini adalah 224 kg (tidak termasuk berat petrol), dan
oleh kerana skuter ini agak besar dan berat, ia turut dilengkapi dengan
ciri “Parking Brake” disebelah kanan berhampiran tempat letak kaki
penunggang yang memudahkan penunggang apabila berhenti di permukaan
jalan yang bercerun tanpa perlu menarik tuil brek.
Maxsym 400i yang ditunggang uji ini telah pun menempuh perjalanan jauh dari Sungai Petani – Kuala Lumpur
– Sungai Petani tanpa sebarang masalah sepanjang perjalanan tersebut.
Dari segi ergonomik, ianya cukup selesa untuk perjalanan jarak jauh
dengan saiz tempat duduk yang lebar dan disertakan dengan penyandar
belakang untuk penunggang yang boleh dilaras serta penyandar untuk
pembonceng. Pemijak kaki pembonceng boleh dilipat dan dikeluarkan dengan
menekan atau memijak butang yang terdapat di bahagian pemijak tersebut.
Lampu hadapan merupakan dari jenis
projektor yang memberikan suluhan yang sangat baik pada waktu malam dan
disertakan sekali dengan lampu DRL LED yang kelihatan begitu anggun.
Lampu belakang pula dari jenis LED yang juga cukup terang apabila
dilihat dari jauh. Pelindung angin hadapan (Windshield) boleh dilaras
mengikut keselesaan penunggang. Sistem suspensi hadapan adalah dari
jenis telescopic dan belakang pula dari jenis Unit Swing dengan 5 tahap pelarasan.
Panel meter selain penunjuk kelajuan
ialah takometer, penunjuk baki minyak dan penunjuk suhu yang dipaparkan
dalam bentuk analog dan penunjuk digital untuk tahap voltan bateri,
waktu, tarikh, tripmeter dan juga odometer. Paparan meter Maxsym ini
sangat cantik dan jelas untuk dilihat oleh penunggang dan kelihatan
seperti paparan meter kereta apabila dilihat pada waktu malam, dengan
lampu latar berwarna biru dan merah untuk jarum penunjuk yang
menyerlahkan lagi keanggunan skuter ini. Pada panel meter ini juga
terdapat simbol atau lampu amaran untuk mengisi minyak, suhu, tongkat
sisi tidak dinaikkan, tempat letak barang dibawah tempat duduk terbuka,
penukaran minyak enjin, sistem EFI dan Parking Brake apabila digunakan.
Terdapat 4 ruang meletak barang pada skuter ini dengan yang paling besar adalah di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah
helmet bermuka penuh dan barang-barang peribadi yang lain. Tempat letak
barang di hadapan mempunyai soket pengecas DC 12V dan juga soket USB.
Terdapat juga tempat meletak barang-barang kecil di sebelah kiri dan
kanan di bawah bar pemegang yang sesuai
untuk meletakkan glove atau telefon bimbit. Skuter yang ditunggang uji
ini telah dipasang dengan kotak simpanan belakang untuk memberi lebih
ruang meletakkan barang-barang.
Tempat mengisi petrol terletak di tengah
antara kedua-dua belah kaki penunggang yang memudahkan penunggang untuk
pengisian semula, dengan bacaan penggunaan petrol dalam lingkungan
perjalanan 300 km untuk setangki penuh sebanyak 14.7 liter dalam
kelajuan 110-120 km/j. Secara keseluruhannya, skuter ini sangat sesuai
bagi mereka yang inginkan sebuah jentera yang santai dan dalam masa yang
sama berkuasa untuk sesi perjalanan jarak jauh. Ianya telah dibuktikan
oleh sekumpulan pemilik skuter ini yang telah melakukan siri jelajah
Semenanjung Malaysia pada hujung November tahun lepas di mana mereka
telah menunggang skuter ini selama 4 hari dengan jarak perjalanan hampir
2,000 km tanpa sebarang masalah.
Dengan harga atas jalan dalam lingkungan RM27,000.00,
skuter Maxsym 400i ini menawarkan pakej yang sangat menarik bagi
peminat-peminat jentera automatik beroda dua yang bukan saja hadir
dengan enjin yang lebih berkuasa, malah dengan reka bentuk yang cukup
bergaya.
PUSTAKA IQBAL NAZIM
1 ulasan:
wow...! tunggu maxsym anda saya punya
Catat Ulasan