Ahad, Disember 01, 2013

Sesuatu Tentang Orang


 
ANDAIKATA seluruh Negara ini tidak ada lagi terlibat dengan rasuah di semua peringkat dan keadaan, tidak ada kejahatan, keserakahan, maksiat atau segala macam nilai kacau lainnya, meski tidak dengan serta merta lalu menyebabkan warga Negara ini semuanya menjadi begitu selamat dan lebih merentas ke arah kemajuan yang menyeluruh.

Kebenarannya, baik buruk, jahat atau tidak bukanlah faktor penentu nasib manusia. Dimensi dasar nilai hidup manusia adalah baik dan buruk, benar dan salah, indah dan tidak indah, sebenarnya belum cukup. Masih ada dimensi mendasar lainnya.

Ada orang mengucapkan sesuatu dan melakukannya. Ada orang mengucapkan tetapi tidak melakukan. Ada yang melakukan tetapi tidak mengucapkan. Ada yang tidak mengucapkan dan tidak melakukan bersama kepelbagaiannya.

Ada orang yang tahu sedikit tentang sedikit hal. Ada orang tahu banyak tentang sedikit hal. Ada orang tahu sedikit tentang banyak hal. Ada yang tak tahu banyak tentang banyak hal dengan kepelbagaiannya.

Ada orang mengkritik dan memberikan jalan keluar. Ada orang mengkritik tetapi tidak dapat memberikan haluan keluar. Ada orang memberi jalan keluar tanpa mengkritik. Ada orang tidak mengkritik dan tidak memberi jalan keluar dengan kepelbagaiannya juga.

Ada orang berjuang berteriak-teriak, dan melaksanakan perjuangannya. Ada orang berjuang tidak berteriak tetapi mewujudkan perjuangannya. Ada orang berjuang dan tidak sibuk mengumumkan di media bahawa ia berjuang kerana teriakan mengganggu strategi perjuangannya. Ada orang berteriak-teriak dan tidak berjuang dengan segala kepelbagainya.

Ada orang yang mengerti dan mengerti bahawa ia mengerti. Ada orang mengerti tetapi tidak mengerti bahawa ia mengerti. Ada orang yang tidak mengerti tetapi mengerti bahawa ia tidak mengerti. Ada orang yang tidak mengerti dan tidak mengerti bahawa ia tidak mengerti, juga dengan kepelbagainnya.

Ada orang sedang berdagang dan memusatkan diri, perlu pelayanan terhadap pelanggannya. Ada orang berdagang sibuk pada apa kemahuannya terhadap pelanggan sehingga lupa apa mahunya pelanggan. Ada pedagang yang tidak peduli amat pada kemahuan pelanggan dan tidak memberikan perhatian kepada apa mahunya sendiri dalam berdagang.

Ada orang berperang dengan berbekal semangat dan keyakinan untuk menang, dengan menghitung cuaca, medan dan musuh. Ada orang berperang sangat teliti menyelidiki kekuatan cuaca, medan dan musuh sehingga tidak sempat menghitung kekuatan dan kelemahannya sendiri. Ada orang berperang sibuk membanggakan kehebatannya sehingga merasa  tidak perlu memperhitungkan lawan. Ada orang yang berperang yang atas musuh tidak terhitung dan atas dirinya sendiri juga tak terhitung dengan segala kepelbagaian dan ragamnya.

Ada orang sangat khusyuk dengan prinsip dan idealisme dan sangat sungguh-sungguh memikirkan strategi terapan prinsipnya. Ada orang yang total memegang prinsip sampai tidak punya kekuatan dan waktu untuk memikirkan bagaimana menerapkannya. Ada orang yang habis usianya untuk tata kelola dan tata kerapan sampai tidak ada prinsip yang tersisa, di dalam dirinya. Ada orang tidak peduli pada prinsip dan tidak sungguh-sungguh  melakukan apapun.
 
Ada orang ingin memberikan kebahagiaan kepada orang lain dalam keadaan dirinya tidak bahagia. Ada orang memikirkan itulah kebahagiaan yang terbaik diberikan olehnya tanpa sedikit pun penghargaan kerana tidak memahami apa yang diberikan itu soal bahagia atau tidak. Ada orang tidak peduli bahagia atau sebaliknya kerana yang penting baginya dirinya bahagia.

Memperaga diri dengan nawaitu yang baik asalnya untuk kegembiraannya, dengan wajah dan penampilan yang sempurna, sebenarnya titik tolaknya itu tidak berhasil apabila bukan semua orang menyukai atas alasan tertentu. Ada orang merasa cukup cantik tapi  cantik itu lahir di luar. Ada orang di luar jelek sedangkan penampilan jiwanya cukup mempesona baik dan menjadi ingatan ramai orang.

Ada orang cukup kaya seperti tidak menerima makna kekayaannya. Ada orang cukup miskin tetapi menerima kekayaan yang melimpah ruah daripada Ilahi. Walaupun kaya, yakin diri ketika bercakap dan dengan bangga memberikan keputusan atau pandangan, dia begitu diberikan perhatian kerana kekayaannya dan kedudukannya dalam masyarakat. Kerana miskin atau tarafnya tidak begitu berada, jarang didengar kata-katanya malah sesuatu yang benar sering ditafsir salah. Inilah kepelbagaian nasib manusia.

Memberi makan anak-anak sekolah dengan memberikan makan ibu atau bapa guru ada orang membeza-bezakannya. Untuk murid seketul daging ayam yang dikerat kecil, untuk ibu atau bapa guru dua ketul daging ayam yang dipotong besar dan enak masakannya. Orang memberikan beza kerana kedudukan dan kerana siapa dia. Orang memberikan tempat duduk yang empok untuk VIP sambil orang-orang kampung hanya kerusi kayu yang tidak beralas. Jika beralas dibezakan warnanya, dengan beza itu kita tahu untuk siapa dan kepada siapa, memang itulah kepelbagaiannya.

Benar bahawa ketika mencari sempurna mesti tidak terjumpa kerana kita mencari, padahal ia datang tanpa disedari dan ungkapan itu bukan daripada diri sendiri melainkan nilaian oleh yang lebih arif. Macam sang ayam jantan, macam juga sang bebek, macam juga sang pungguk, macam sang helang, macam juga sang gajah atau sang belang yang sering dijadikan analogi kehidupan manusia. Gagah, garang, besar, temberang, bersuara besar dan seumpama dengannya tidak akan kelihatan demikian apabila nilaian atau tafsiran dibuat selain dirinya sendiri, selain diri kita sendiri.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: