Ahad, Februari 25, 2018

Plagiarisme, kesedaran dan mendidik


PERBUALAN paling hangat sepanjang minggu lepas di media sosial Malaysia ialah mengenai plagiarisme. Isu ini menjadi hangat apabila terpapar pendedahan penyalinan bulat-bulat seorang penulis muda terhadap beberapa buah puisi yang digunakannya dalam penyiaran di surat khabar dan peraduan yang dimenanginya. Bagi pengkarya isu ini perlu difahami malah harus mendalaminya dengan serius. Pengkarya, penulis, pencipta dan sebagainya memiliki hak cipta yang wajar dipelihara dari segi hak-hak tertentu yang termaktub dalam perundangan.

Kata ‘Plagiat’ itu berasal daripada perkataan bahasa Inggeris ‘Plagiarism’ yang terhasil daripada perkataan Latin, ‘Plagiarius’, dan perkataan Greek ‘Plagion’. Kata ‘Plagion’ ini membawa maksud menculik atau mencuri sesuatu atau seseorang. Kamus Dewan pula mendefinisikan plagiat sebagai perbuatan meniru, mencontoh karangan (tulisan, hasil kerja orang lain) atau mengutip karangan orang lain (tanpa izin penulis asal). Plagiat juga dianggap sebagai mencedok, iaitu mencedok ciptaan orang lain dan menyiarkannya sebagai ciptaan sendiri.

Penciplakan bukanlah cetak rompak. (Khatijah Mohamed & Ahmad Shamsul Abd Aziz, 2006). Sementara kedua-dua istilah boleh merujuk kepada sesuatu perbuatan yang sama, masing-masing membawa maksud yang berbeza. Cetak rompak bermaksud pencabulan hak terhadap pemilik hak cipta, di mana bahan-bahan yang dilindungi hak cipta digunakan sewenang-wenangnya tanpa izin. Sementara itu pula. penciplakan pula berkaitan dengan perbuatan memplagiat reputasi penulis yang dicapai melalui dakwaan penulisan yang palsu.

Dengan kecanggihan dunia Internet, segala informasi kini berada pada hujung jari sahaja. Internet menjadi sebuah perpustakaan yang lengkap, terdapat banyak bahan ilmiah yang boleh digunakan sebagai sumber rujukan oleh segenap lapisan masyarakat. Atas ciri-ciri ini, tanpa disedari telah wujud satu budaya baharu dalam masyarakat kita. Kecenderungan untuk melakukan plagiat melalui dunia internet kini telah berleluasa dan menular.

Terlalu banyak aktiviti plagiat yang boleh dilakukan menerusi Internet. Antara aktiviti plagiat ini kebiasaanya melibatkan teks, perisian komputer, animasi – tidak kira dalam bentuk video, audio, grafik dan sebagainya. Terdapat juga aktiviti plagiat di mana teks daripada artikel, buku, blog, wikipedia dan jurnal ditiru. Beribu-ribu hasil carian seperti artikel, data dan gambar boleh didapati dengan hanya menaip kata kunci dan melakukan satu carian yang mudah. Hasil carian diperoleh dalam masa beberapa saat sahaja. Hasil carian kemudiannya boleh di salin tampal, di muat turun ke dalam komputer sendiri malahan ada yang sanggup bertindak lebih jauh lagi – dengan membayar bagi mendapatkan salinan karya tersebut.

Menurut Wikipedia, terdapat tujuh aktiviti yang boleh digolongkan sebagai tindakan plagiat:
1.Mengakui tulisan orang lain sebagai tulisan sendiri,
2.Mengakui idea orang lain sebagai idea sendiri,
3.Mengakui penyelidikan, data dan uji kaji orang lain sebagai kepunyaan sendiri,
4.Mengakui karya kelompok orang lain sebagai hasil sendiri,
5.Menyajikan tulisan yang sama pada masa yang lain tanpa menyebut asal-usulnya (karya asal)
6.Menyalin, meringkas dan menulis semula perkataan, ayat atau idea yang diperoleh daripada sumber lain dan menulis semula mengikut kefahaman sendiri. (sama ada menyebut atau tidak menyebut sumber asalnya)
7.Melakukan terjemahan bahasa tanpa menyatakan sumber asal terjemahan tersebut.

Melakukan plagiat adalah sesuatu yang sangat mudah, semudah ‘salin-tampal’. Plagiat tidak memerlukan seseorang itu untuk mengeluarkan sebarang kos yang tinggi dan mereka juga tidak perlu memerah otak dan keringat untuk menghasilkan sebuah karya yang asli dan bermutu. Masa yang diperlukan untuk menghasilkan sesebuah karya juga adalah singkat dan cepat. Plagiat juga membolehkan seseorang itu menghasilkan karya atau artikel tanpa memerlukan mereka membuat sebarang penyelidikan, pengumpulan data atau bersusah payah melakukan ujikaji di dalam makmal.

Dikategorikan sebagai jenayah besar dalam bidang penulisan, plagiat tidak hanya dilakukan oleh segelintir golongan, ia mungkin boleh dilakukan oleh pelajar, penulis blog, penulis buku, artis dan juga bagi mereka yang telah bekerja. Di Malaysia sendiri, pernah terjadi kes yang dibawa ke mahkamah dimana dua orang kakitangan akademik di sebuah IPTA tempatan telah memplagiat bahan rujukan untuk menghasilkan sebuah buku panduan untuk kegunaan pelajar. Selain itu, terdapat juga kes-kes lain dimana puisi dan hasil karya penulis asal telah diolah semula dan diterbitkan dalam media yang berbeza. Walaupun begitu, kes-kes yang berlaku di Malaysia tidaklah se-ekstrem seperti yang berlaku di tahap antarabangsa. Misalnya di Perancis, Patrick Poivre d'Arvor (PPDA) dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh memplagiat 100 halaman daripada 258 halaman buku Along With Youth: Hemingway, The Early karya penulis Amerika, Peter Griffin. (Roziyah Mahamad, 2011)

Terdapat beberapa faktor penyebab mengapa seseorang itu melakukan plagiat. Antaranya kesuntukan masa dan tiada idea dalam menyiapkan sesuatu tugasan, tiada kemahiran dalam melakukan penyelidikan, sikap mereka yang melakukan plagiat itu sendiri dan kurangnya pendedahan tentang plagiat dan undang-undang hak cipta.

Segelintir masyarakat yang tidak faham sejauh mana aktiviti meniru itu boleh dikategorikan sebagai plagiat. Ada yang menyangka plagiat itu hanyalah satu aktiviti di mana kata demi kata ditiru dan kemudiannya hasilnya diperakui sebagai hasil karya sendiri. Namun tidak ramai yang sedar bahawa secara langsung plagiat itu juga terjadi apabila penulis itu menyalin ayat-ayat penting sahaja tanpa sebarang perubahan atau mencantumkan beberapa karya lain menjadi satu karya baharu.

Tidak ramai penulis Malaysia yang berjuang di mahkamah apabila karya mereka diplagiat, meskipun kes plagiat karya kreatif seperti cerpen, puisi kerap berlaku, malahan sorotan Akta Hak Cipta 1987 menunjukkan hanya satu peruntukan dalam seksyen 36 (1) berhubung perkara terbabit. Akta itu antara lain menyebut bahawa pelanggaran hak cipta terjadi apabila seseorang yang tidak memegang hak cipta melakukan atau menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang perlakuannya dikawal oleh hak cipta di bawah akta itu.

Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987 pula menggariskan mereka yang melakukan plagiarisme boleh didenda tidak melebihi RM10,000 setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali (bagi kesalahan pertama).
Walaupun termaktub sedemikian, kedua-duanya kelihatan sangat longgar, apatah lagi jika dibandingkan dengan penalti kesalahan cetak rompak yang terkandung dalam akta sama, mengenakan denda minimum RM2,000 dan satu denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan.

Di bawah seksyen yang sama, turut menggariskan mereka yang melakukan muat turun daripada internet secara haram boleh dikenakan penalti lebih tinggi dengan denda tidak lebih daripada RM250,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun.

Dengan kecanggihan dunia Internet pada masa ini, melakukan plagiat adalah sesuatu yang mudah dan mendatangkan hasil dengan kadar yang segera. Walau bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa segala informasi yang terdapat di internet adalah terpelihara dan dilindungi di bawah undang-undang hak cipta – Akta Hak Cipta 1987. Informasi ini tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan atau diterbitkan semula tanpa keizinan penulis asal. Kenyataan ini sebenarnya terdapat di lembar pertama dalam buku-buku yang diterbitkan.

Perbuatan plagiat atau ciplak memang perbuatan yang tidak beretika. Walaupun tiada sesiapa dapat mengesan secara lahiriah perbuatan meniru dan menyalin sebahagian atau sepenuhnya sesuatu hasil penciptaan kreatif sebagai hasil karyanya tetapi ia tetap memberi kesan psikologi yang memanjang. Bukan tertakluk hanya kepada citra bertulis bahkan ciptaan-ciptaan kreatif yang lain seperti seni lukis, seni muzik, seni bina dan sebagainya. Walaupun telah sering diberikan panduan melalui perundangan tidak ramai yang menahami subjek plagiat merupakan suatu kesalahan dalam etika berkreatif. Dalam hal ini semuanya berbalik kepada diri setiap penulis, pereka, pelukis dan sebagainya harus serius memandang kejelekan perbuatan plagiarisme ini.

Dalam kehidupan, kita sentiasa meniru kepada hal-hal yang sering dibuat orang lain. Aristotle juga berpendapat begitu. Dalam dunia persuratan ciri-ciri plagiarisme tidak dapat diperiksa satu persatu dan ia berlaku tanpa disedari. Mungkin pengaruh sesetengah tokoh amat tebal. Pantun-pantun misalnya sering ditiru terutama pada pembayangnya. Karya-karya tradisional yang tidak tercatat pencipta menurut Sasterawan Negara Dato’ Zurinah Hassan, bukan satu kesalahan sebagai plagiat apabila berlaku peniruan. Bagaimana pun dalam kasus plagiat ini, cara sesetengah pihak membuka ruang pendedahan mungkin memerlukan pendekatan mendidik dan kesedaran bukan memberi aib kepada pihak yang terbabit. Biarlah hal ini diselesaikan dengan baik oleh kedua belah pihak yang terlibat sama ada melalui perundangan atau perundingan dan sebagainya.

Rujukan:

Khadijah Mohamed & Ahmad Shamsul Abd Aziz. (2006).Undang-undang Harta Intelek di Malaysia. Perlis: Penerbit Universiti Utara Malaysia.

Plagiat dipetik dari laman web: https://ms.wikipedia.org/wiki/Plagiat

Plagiarisme Bawa Penulis Ke Mahkamah dipetik dari laman web:

https://pts.com.my/berita/plagiarisme-bawa-penulis-ke-mahkamah/

Masalah Plagiat dalam Dunia Perniagaan dan Internet, dipetik dari laman web: https://www.usahawan.com

Hak Cipta dan Perundang-undangan, dipetik dari laman web: http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=6107


2018 © PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Februari 18, 2018

MENGHADAPI JIWA HEDONIS


oleh Hasyuda Abadi, RupHA
KEMUNCULAN aliran sekularisme pada masa ini yang secara jelas bersifat anti agama dan berasaskan budaya hawa nafsu sedikit sebanyak telah menghancurkan pemikiran umat Islam. Menurut Muhammad Naquib al-Attas, sekularisme bermaksud pembebasan manusia daripada aspek agama dan metafizik. Ia juga dapat didefinisikaan sebagai satu ideologi atau ajaran yang membina seluruh pengarahan hidup manusia dalam setiap aspeknya selain daripada ibadah keagamaan di atas asas kepentingan, keperluan, ukuran, dan nilaian duniawi semata-mata. Dalam erti kata lain ajaran ini menolak ukuran agama sebagai asas bermasyarakat dan bernegara di samping menjadikan pemenuhan tuntutan duniawi sebagai matlamat tertinggi dan sebenar manusia. Akibat daripada menjadikan akal sebagai tunjang utama kehidupan, timbul pelbagai aliran pemikiran dalam masyarakat mengikut acuan yang tersendiri seperti komunisme, 'indiesisme' dan hedonisme.

Hedonisme menurut pengertian Kamus Dewan ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Manakala Drs. Sudarsono dalam bukunya ‘Etika Islam Tentang Kenakalan Remaja’ terbitan Bina Aksara pula mengatakan hedonisme merupakan sebagai doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan yang paling utama dan kewajipan seseorang untuk mencari kesenangan bagi tujuan kehidupan. Ia beranggapan bahawa sesuatu perbuatan yang baik adalah mendatangkan kelazatan atau nikmat. Dalam erti kata lain mereka beranggapan bahawa kesenangan dan kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir hidup.

Menyoroti sejarah, fahaman hedonisme didokong oleh Aristipus (433-355 S.M), salah seorang murid ahli falsafah Yunani yang terkenal iaitu Socrates. Hal ini merujuk kepada pertanyaan Socrates kepada beliau tentang tujuan terakhir bagi kehidupan manusia atau apa yang terbaik untuk manusia. Aristipus kemudiannya mengatakan bahawa yang terbaik untuk manusia adalah kesenangan, hal ini terbukti kerana sudah sejak masa kecil manusia berasa tertarik akan kesenangan dan apabila telah menikmatinya, ia tidak mencari sesuatu yang lain dan menjauhkan diri daripada ketidaksenangan.

Idea ini kemudiannya dikembangkan oleh Epicurus dengan mengatakan tujuan hidup untuk kesenangan dan kedamaian. Dalam fahaman ini, Epicurus menekankan bahawa kebaikan tidak mungkin akan difahami seandainya kita menolak unsur kelazatan dalam hidup kita termasuk kelazatan indera rasa, cinta serta kelazatan lain yang dapat dilihat dan didengar oleh penglihatan dan pendengaran. Bahkan asas kepada segala kebaikan adalah kelazatan yang dirasai perut sehinggakan ilmu, kebijaksanaan, budaya, dan tamadun umat manusia mesti merujuk kepadanya. Manakala kelazatan minda pula dikatakan sinonim dengan proses berfikir tentang kelazatan-kelazatan yang dicapai oleh unsur fizikal tersebut.

Dalam pemikiran terkini berkaitan hedonisme, G.E Moore dilihat sebagai tokoh kontemporari hedonisme. Beliau dilihat masih berpegang kepada konsep baik yang bertitik tolak kepada keseronokan dan menegaskan tidak ada yang baik kecuali keseronokan dan keseronokan sahaja yang menjadikan kebaikan sebagai satu matlamat. Sekiranya diteliti hedonisme merupakan salah satu cabang fahaman Sekularisme. Ajaran Sekularisme telah meletakkan lima prinsip utama sebagai neraca dalam alirannya. Prinsip Vetalisme menekankan apa-apa yang berbentuk kuat dan menguntungkan daripada segi kebenaran akan dianggap baik. Prinsip Kreativiti meletakkan sesuatu yang boleh mencetuskan daya kreativiti dan menghasilkan ciptaan baru akan dianggap sebagai baik dan bermutu.

Prinsip Relatif pula menekankan tidak ada sesuatu konsep dan pemahaman terhadap sesuatu fakta atau teori yang bersifat mutlak dan kekal. Sebaliknya semuanya boleh berubah mengikut perubahan zaman dan perkembangan ilmu pengetahuan. Prinsip Hedonisme pula menggariskan apa-apa sahaja yang boleh memuaskan hawa nafsu manusia akan dianggap baik , manakala apa-apa sahaja yang boleh membawa penderitaan nafsu akan dianggap buruk. Prinsip terakhir pula menganggap majoriti masyarakat sebagai pemutus. Aliran ini menganggap pilihan majoriti adalah baik.

Akibat daripada ideologi ini, mereka telah terpesong dalam gejala-gejala yang bertentangan dengan norma kehidupan seperti arak, seks bebas dan sehingga ke peringkat menolak agama. Impak daripada pengembangan budaya hedoinisme ialah permasalahan sosial yang berleluasa dalam masyarakat. Ramai ahli akademik berpendapat hedonisme adalah faktor utama masalah sosial dan keruntuhan akhlak.

Gaya hidup hedonis adalah suatu pola hidup yang mencari kesenangan seperti banyak  menghabiskan waktu di luar rumah, lebih banyak bermain dan senang membeli belah terutama barang-barang yang berharga mahal. Perilaku hedonisme saat ini sudah sangat melekat pada sebahagian masyarakat negara kita terutama masyarakat yang tinggal di bandar-bandar besar. Perilaku hidup seperti ini bersifat negatif kerana hanya mementingkan kenikmatan, kesenangan dan  kepuasaan yang semuanya bersifat duniawi.

Ketika manusia hidup mereka mencari kesenangan dan kepuasan kerana itu merupakan dasar sifat manusia. Contohnya pada saat ini kemajuan teknologi informasi telah menawarkan berbagai macam gaya hidup kepada masyarakat terutama kepada generasi remaja. Para remaja berlumba-lumba untuk menyertai trend gaya hidup untuk mencapai kepuasan peribadi yang kadang-kadang menjerumus kepada hal-hal yang bersifat negatif.

Budaya hedonisme telah mendorong ramai orang memiliki sesuatu barang atau mencari kepuasaan di mana suatu barang dan kepuasaan tersebut bukanlah keperluan utama dalam kehidupan. Selain itu budaya hedonisme hanyalah membuat kesenangan individu, dalam menghadapi budaya hedonisme yang sangat banyak membawa efek atau pengaruh negatif dalam kehidupan bermasyarakat.

Memilih gaya hidup atau budaya hendonis sesungguhnya tidak akan pernah membawa kebahagiaan dan kepuasan dalam hidup. Bagi yang belum terlanjur atau tidak pernah terpengaruh gaya atau budaya hidup seperti ini segeralah ubah perilaku tersebut, kerana sesungguhnya kebahagiaan itu sebenarnya berada pada hati dan jiwa di setiap individu, saatnya bagi kita menumbuhkan akhlak dan kembali kepada jalan Illahi. Tumbuhkan juga rasa kepedulian pada sesama kita dan juga buanglah sifat mementingkan kepentingan individu.   
 
Kerana banyaknya efek buruk yang ditimbulkan oleh adanya budaya hedonis maka kita perlu untuk mengambil bahagian dengan misalnya perlunya kearifan dalam memilih barang atau kepentingan agar tidak terjebak dalam gaya hidup hedonisme. Selain itu cuba menanamkan pola hidup sederhana dalam peribadi masing-masing, adanya kedewasaan dalam berfikir, perlunya ketelitian dalam mengelola wang terutama wang yang ada pada diri remaja yang biasanya berasal daripada orang tua agar pengeluaran tidak lebih besar dari pada pemberian, dalam berbelanja pula  hendaknya kita mencari suatu yang benar-benar diperlukan?

Budaya hedonisme menggariskan keseronokan sebagai tunjang utama kehidupan. Keseronokan ini diputuskan sendiri oleh akal manusia. Hal ini sedikit sebanyak bertepatan dengan matlamat sekularisme yang mahu memastikan manusia bebas daripada segala unsur ketuhanan. Selain daripada itu, keseronokan yang diputuskan oleh individu boleh menyebabkan berlakunya perselisihan antara satu sama lain. Sebagai contohnya seseorang individu menganggap membunuh adalah perkara yang menyeronokkan manakala seseorang individu lain pula menganggap ia sesuatu perkara yang menakutkan. Budaya hedonisme telah dikenal pasti sebagai agen penghakis amalan tradisi dalam sesuatu budaya. Melalui media hiburan yang dibawa dari Barat, generasi muda telah didedahkan dengan alat pertuturan yang kasar, gaya pemakaian yang mencolok mata dan cara pergaulan yang bebas. 

Oleh itu, secara jelas konsep pemikiran hedonisme tidak relevan digunakan dalam hal ini kerana boleh mewujudkan perbezaan pemikiran. Walaubagaimana pun, ia menjadi malang sekali kerana remaja-remaja di Malaysia sekarang kebanyakan telah terdedah dengan pemikiran ini samada sedar atau tidak. Hilangnya rasa menghormati sesama telah menyebabkan berlakunya gejala buli, bergaduh, vandalisme dan sebagainya. Sekiranya tidak dibendung, pemikiran ini akan menghancurkan masyarakat Malaysia suatu hari nanti. 


© 2018 Pustaka Iqbal Nazim

Rabu, Februari 07, 2018

Hebatnya Nuansa Kreatif

Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
MEMINJAM pandangan Carl S.Hale tentang sang bijaksana dalam dunia penulisan kreatif: creative writers provide the covert foundation for social change and spiritual transformation, which requires that they remain loners who are totally dedicated to their work', saya sentiasa mencari dan memahami bahawa menjadi seorang penulis itu harus menuju ke arah kebijaksanaan bukan sekadar atau pas-pasan atau alang-alang dan semata-mata suka-suka menulis. Tidak juga disebabkan terlanjur menulis akibat sesuatu peristiwa yang melukai tetapi menjadikan bidang ini sebagai sebuah landasan menyampaikan buah fikiran. Seandainya tidak mampu banyak, sedikit pun memadai untuk diingat dan diisi dalam hasil kreatif masing-masing. Di saat ada pihak yang telah dibahagi-bahagikan mengikut kepelbagaian etniknya sedangkan kreativiti harus berlangsung tanpa sempadan.

Penulis sering dinilai dalam perspektif yang pelbagai. Mereka diperhati sebagai insan yang berkebolehan yang jarang ada pada orang yang lain. Mereka merupakan pemikir, pencetus, penyampai, penganalisis dan pendorong dalam pelbagai dimensi kehidupan. Dalam masyarakat penulis menjadi penyumbang inspirasi terhadap isu-isu semasa atau isu-isu yang hangat diperkatakan masa kini dan masa lalu. Penulis juga penyumbang kepada berlakunya percaturan pemikiran antara kelompok masyarakat. Penulis mempunyai entiti yang tersendiri. Mereka membentuk identiti tertentu yang mempunyai pengikut tertentu. Sesetengah daripada mereka merupakan mentor yang tersohor kerana pendapat mereka begitu diamati.

Penulis adalah sebahagian manusia yang aneh dan pelik. Mereka sering mengutarakan idea-idea yang pelik dan bernas. Penulis mengupas isu-isu global yang luar biasa, mampu merentas angkasa, benua dan lautan. Realitinya kepelikan penulis memang ada asasnya misalnya dalam soal kehidupan seharian. Kalaulah penulis hidup seperti rutin orang biasa, dia tidak akan nampak apa yang ada di sebalik kebiasaan itu. Tulisannya akan kehilangan suara-suara yang boleh memberi tumpuan. Kelainan penulis sebagai seniman akan memberikan keinsafan atau kesedaran orang biasa untuk membaca atau menonton atau mendengar sesuatu sama ada yang baru atau yang selalu disampaikan.

Kehidupan ini bukankah merupakan pusingan yang sentiasa berulang? Penulis menulis sejarah. Penulis memperkatakan perihal kehidupan mengikut pilihannya. Mereka menulis berasaskan landasan kreatif. Puisi yang relatif pendek tetapi menyimpan makna yang amat besar. Cerpen yang dinamik mengajak pembaca meneroka pemikiran yang sederhana kepada segmen-segmen pemikiran yang  besar dan global. Sedangkan novel atau teater menjanjikan perjalanan yang panjang dan jauh terhadap isu-isu yang digarap menerusi sumbangan falsafah, asbab-asbab dalam pergerakan plot citra para penulis. Kreativiti menjadikan kemustahilan itu sebagai kebenaran dalam pemikiran. Tidak jarang juga menjadi kebenaran dalam kehidupan itu sendiri.

Dalam pertimbangan sastera, ada masanya penulis karya kreatif mengabaikan hal-hal berkaitan kejujuran dalam berkarya. Sebab itu penulis sering diingatkan soal keluruhan jiwa, kejernihan hati. Apakah penulis berdosa kerana menulis apa sahaja tanpa mengambil kira kebaikan atau faedah daripada intipati penulisan mereka? Atau dosa itu langsung tidak menjadi hambatan kerana beranggapan apa yang disampaikannya hanya berupa cerita yang diperindah melalui diksi-diksi terpilih, atau latar perisitwa yang dikreatifkan, bahkan meletakkan hujahan sekadar lontaran idea atau pemikiran semata-mata.  Sudah tentu penulis berasa kurang bebas kerana digarisbawahi oleh andaian-andaian yang menyebabkan mereka tidak selesa? Penulis sukakan kebebasan. Pemikiran berkembang dengan adanya ruang yang lepas berlegarnya nuansa kreatif.

Kreatif tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Semua manusia hidup bercirikan nuansa kreatif. Kreativiti manusia sesungguhnya amat pelbagai. Jangan cuba katakan bahawa manusia adalah mahluk yang kaku, beku dan pelbagai ungkapan seolah-olah manusia itu tidak berfikir. Waima yang kurang bijak sana (baca: bodoh) sekalipun memilikinya. Hanya barangkali corak kreativiti manusia tidak  serupa. Manusia bergelar penulis tidak sama dengan manusia yang memanipulasikan bidang geografi? Tetapi mereka juga kreatif bagaimana geografi boleh mendidik manusia memahami pergerakan awan sehingga memberitahu manusia lain agar berwaspada terhadap puting beliung akan melanda. Seorang bergelar guru, mempunyai jalur kreativiti yang lain bagaimana memberikan kefahaman kepada para pelajarnya sehingga mampu menjadi ahli falsafah yang berwibawa.

Ahli politik juga menelusuri ruang lingkup bidang mereka berdasarkan kreativiti berbahasa untuk memenangi hati rakyat. Cara mereka melebarkan janji-janji merupakan aspek perlu yang bukan mudah disebarkan. Menyebarkan dakyah bukan seperti melempar batu atau menabur benih di atas tanah. Perlunya alat yang sesuai dan antara alat paling mujarab ialah menerapkan kreativiti.

Seterusnya bagaimana manusia menjadikan tipu helah, memanipulasi muslihat, memilih kawan dan lawan tidak dapat melepaskan dunia kreatif. Kelicikan manusia begini sering tidak disedari berada dalam kehidupan kita. Manusia berseteru sesama sendiri, manusia membina ukhuwah, manusia bermasyarakat, manusia bernegara dan sebagainya akan ada bersamanya corak, cara, acuan dan bentuk yang tersendiri.

Bagaimana dengan sifat gelojoh atau 'geragas' dalam mencapai cita-cita? Kreativiti mereka cukup hebat. Sebenarnya lawan kepada sifat ini adalah sifat sabar. Apa yang membezakan antara manusia yang rakus dengan tidak adalah sabar. Orang yang sabar tidak mahu bersandar pada benda-benda dan tidak mahu menyandarkan diri pada kekuatan serta kekuasaan benda-benda yang ada di sekelilingnya. Sebab dia mengetahui semua itu pada akhirnya akan hilang dan yang abadi hanya Allah S.W.T. Kerana itu kekuatan dan kepercayaan dirinya berkembang dengan sangat baik. Dia tidak memerlukan pemilikan dan kemewahan untuk mengumpulkan rasa percaya diri dan kekuatan dalamannya. Ada atau tiadanya benda-benda di sekitarnya tidak mempengaruhi kekuatan dan kepercayaan dirinya.

Orang yang terlalu membanggakan hubungkait dirinya dengan kekayaan, kedudukan dan yang seumpamanya, sebenarnya sedang memperlihatkan ketidakberdayaannya dan ketidakpercayaan pada dirinya sendiri. Orang ini kelihatan penuh rasa percaya diri dan kekuatan itu disebabkan oleh rasa kepemilikannya. Jika apa yang dimilikinya hilang, maka rasa percaya dirinya juga akan mengewap habis dan lenyap. Ini juga merupakan pertanda tidak bersedianya seseorang dalam menghadapi musibah.

Orang yang terlalu membanggakan kekuasaan dan harta miliknya menunjukkan rasa cinta dan rasa memiliki yang berlebihan. Sehingga jika kekuasaannya tercabar atau hartanya hilang dia akan berasa terlalu terpukul. Kerana itu beruntunglah orang yang sabar. Mereka tidak cinta berlebihan dan tidak berasa terlalu terikat pada kekuasaan dan harta yang dimilikinya. Mereka menggenggam harta itu dengan amanah dan menggunakannya dengan baik tanpa wujud rasa riak, angkuh dan bengis.

Sifat-sifat mazmumah di atas bukanlah berlatarbelakangkan kreativiti tetapi 'nafsu nafsi'. Bagaimanapun kreativiti akan terus menguasai manusia. Manusia yang menguasai kreativiti mungkin akan terus berkuasa dalam mencapai pilihan masing-masing. Soalnya hanya satu - sama ada pilihannya itu bakal memberikannya kesempurnaan bukanlah sesuatu yang mutlak. Ada kalanya penulis, oleh kerana terlalu taksub kepada hal-hal yang dianggap baharu berasa seronok sendiri tanpa mempedulikan apakah karya itu diterima bulat-bulat oleh pembaca. Bahkan apakah berlaku sebarang impak yang ketara terhadap jalur-jalur fikirannya itu. Novel dan puisi harus menjelaskan kewibawaan, ia bukan semata-mata bersebab keberanian berkarya, kemudian melambung tinggi oleh pujian oleh para penkritik upahan. Jika inilah ranah nuansa kreatif apakah sastera mempunyai kemilikan? Ya, kehidupan akan berlarutan kerana kreativiti tidak akan pergi. Selagi manusia tahu memanipulasi akalnya dengan baik, kreativiti akan memberikan pulangan yang sama.


2018 © PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Januari 28, 2018

KARYA SASTERA BERIMPAK SASTERA


Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
DI NEGARA-NEGARA maju sastera menjadi salah satu komponen penting dalam mengimbangi tuntutan fizikal dan nilai insan. Kehebatan dalam industri tidak meminggirkan kesusasteraan malah diperhebatkan lagi kerana inilah faktor yang menyuntik pertimbangan kemanusiaan. Kesusasteraan tidak pernah tersisih sebagai kelas dua atau tiga kerana pembangunan fizikal tidak mampu membangunkan hal-hal yang berkaitan dengan kemanusiaan. Sebab itu  sastera mendapat tempat yang penting dalam laras pembangunan sesebuah masyarakat dan negara maju.
Sasterawan adalah pemikir. Daripada golongan ini masyarakat boleh menumpang bahtera untuk menyeberangi lautan fikir yang luas terbentang tidak bersempadan. Pada masa yang sama sasterawan membentuk pola pemikiran ke arah pembangunan bukannya pemusnahan. Setitis tinta pena sasterawan mampu mengubah segugus tanggapan terhadap sesuatu. Dari sinilah timbulnya mata pena lebih tajam daripada mata pedang dengan syarat keberanian dan kebijaksanaan menggunakan pena untuk tujuan yang membina.
Sesiapa juga termasuk pihak berwajib tidak boleh terlepas pandang terhadap peri pentingnya golongan sasterawan ketika menggubal sesuatu dasar yang menyentuh kepentingan rakyat. Sasterawan lebih memahami denyut nadi dan getar jiwa berbanding para birokrat yang ada kala kontang rasa manusianya. Hasil penulisan yang tinggi falsafahnya tidak akan lupus ditelan zaman malah terus dijadikan cermin untuk menyingkap kehebatan silam seterusnya dijadikan penyuluh masa depan.
Sebab itu peranan penulis berlaku sepanjang zaman. Saya pernah mengemukakan pertanyaan yang nakal, apakah penulis buat andainya tidak ada sebarang peraduan atau sayembara penulisan. Ikatan yang boleh disimpul dalam isu ini ialah penulis lahir bukan bersebabkan ada atau tidaknya sebarang insentif seperti peraduan atau sayembara, kerana penulis adalah pencetus idea dan tanggungjawabnya sebagai arkitek pembangunan minda manusia.
Bagi generasi persuratan di negeri ini, apa lagi yang kita tidak punya. Mekanisme pembinaan tersedia. Ada agensi diwujudkan. Ada gelanggang menunjukkan bakat. Media massa sastera, kita ada tiga syarikat persuratkhabaran ditambah lagi majalah di bawah seliaan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Kita juga mempunyai ramai tokoh dan ramai penulis yang berwibawa malah diakui berbakat. Meski kurang pengkaji sastera kita masih ada tokohnya yang telah dibuktikan melalui pencapaian di dalam dan luar negara. Tidak hairan satu hari nanti seorang sasterawan kita meraih Anugerah Sastera Negara selepas meraih Anugerah Penulis Asia Tenggara.
Kita tidak lagi bercakap hanya dalam lingkungan daerah atau negeri tetapi mencakupi nusantara dan dunia malah. Tidak bersalahan menjadikan Sabah sebagai dataran persuratan di rantau ini kerana kita mempunyai banyak kelebihan misalnya sumber alam yang kaya dengan kearifan tempatan dari sudut budaya, kepercayaan adat dan adab, politik yang matang dan sebagainya. Oleh yang demikian jangan pandang ringan apabila negeri kita mengadakan program-program yang bertaraf kebangsaan dan antarabangsa. Mari sama-sama membentang idea-idea bernas dalam menanam pasak jati diri untuk sebuah masa depan yang dinamik. Maju bukan semata dari sudut pembangunan fizikal yang tampak bahkan pembinaan batiniah yang akan dijadikan benteng kekuatan kita sebagai insan yang berpedoman, berpanduan dan berwibawa.
Ada tiga hal yang setidaknya mempengaruhi perkembangan peribadi seseorang. Tiga hal itu berupa bakat, lingkungan, dan buku yang dibaca. Bakat mengarah kepada suatu pembawaan sejak lahir. Sedangkan lingkungan merupakan tindakbalas dalam merangsang bakat sebagai kesempurnaan kewujudan. Sementara buku adalah ruang khidmat untuk menandaskan idea dan gagasan-gagasan yang menawarkan ruang inspirasi.

Salah satu bakat yang dimiliki oleh seseorang iaitu kemampuan untuk berbahasa. Secara normal, semua orang yang dilahirkan ke dunia, kemampuan berbahasa menjadi bekal pokoknya. Hal itu menjadi saranan dalam mengembangkan potensi keperibadiannya yang lain. Tinggal di mana orang tersebut berada, maka bahasa yang terbentuk adalah sesuai dengan lingkungannya.

Sementara yang berkait dengan bahasa dan merupakan sebahagian bentuk daripada pengembangan kemampuan berbahasa adalah sastera. Dalam mencipta karya sastera konstruksi bahasa tidak akan terlepas daripadanya. Bahasa sastera merupakan bahasa pengembangan peribadi manusia yang mengarah kepada nilai estetika. Bahasa ini pada dasarnya dibentuk sama dengan bahasa-bahasa pada umumnya, iaitu melalui proses interaksi dengan lingkungan yang bertumpu pada pembawaan masing-masing.

Seseorang menuturkan bahasa disebabkan oleh adanya wacana lingkungan, baik lingkungan fizik mahupun psikik. Lingkungan itulah yang menjadi media pemicu akan hadirnya ujaran bahasa termasuk sastera. Orang tersebut bermaksud ingin menyampaikan pesan tertentu atas fenomena yang telah diperolehinya. Oleh sebab itulah, estetika bahasa dalam sastera merujuk pada dua hal iaitu estetika struktural dan estetika semiotik. Estetika struktural (khasnya puisi) diwakili dengan adanya perwujudan nilai puitis yang berhubungan dengan diksi, rima, irama, aliterasi, asonansi, permajasan, enjambemen dan tipografi. Estetika semiotik pula berorientasikan pada makna dan nilai-nilai yang hendak disampaikan pengarang melalui karya sastera yang membekasinya.

Untuk mencapai kedua estetika tersebut, seorang pengarang tidaklah serta merta atau secara spontan menggenggamnya. Seorang pengarang harus menempuh proses tertentu dalam menggauli dan mengintimi sastera. Proses tersebut dapat ditempuh dengan dua jalan, iaitu menghujani fikiran dengan bacaan-bacaan dan bertukar fikiran atau bertukar pengalaman dengan rakan yang sama-sama berkecimpung dengan sastera. Kedua hal itu tentunya tidak terlepas dari faktor lingkungan juga. Sebab fenomena lingkunganlah yang mengilhami akan hadirnya sebuah karya dari peribadi seseorang.

Kedua-dua estetika di atas pada gilirannya akan menjelma sebagai suatu kekuatan yang sungguh luar biasa dalam karya sastera. Dapat dikatakan bahawa dua hal itu seiring sejalan. Yang satu sebagai jasad dan yang lainnya sebagai roh. Jasad tanpa roh maka tak ada kehidupan. Roh tanpa jasad maka tidak tampak jejak keberadaannya.

Karya sastera adalah karya seni yang berbicara tentang masalah hidup dan kehidupan, tentang manusia dan kemanusiaan yang menggunakan bahasa sebagai mediumnya (Esten, 1980). Seirama dengan itu (Rusyana, 1982) menyatakan, "Sastera adalah hasil kegiatan kreatif manusia dalam pengungkapan penghayatannya tentang hidup dan kehidupan, tentang manusia dan kemanusiaan yang menggunakan bahasa." Daripada kedua-dua pendapat itu dapat ditarik pengertian bahawa karya sastera adalah karya seni, yang menggunakan alat ungkap bahasa sebagai alat penyampainya, yang esensinya adalah tentang hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan. Daripada simpulan itu kemudian dapat dimunculkan pertanyaan, "Apakah seseorang perlu belajar sastera?" Jika ya, apa hasil akhir yang diharapkan daripada pembelajaran itu? Bagaimana pembelajaran itu dilaksanakan? Logikanya pembelajaran sastera memang tidak dapat dipisahkan dengan pembelajaran bahasa. Namun, pembelajaran sastera tidaklah dapat disamakan dengan pembelajaran bahasa. Perbezaan hakiki keduanya terletak pada tujuan akhirnya.

Kembali kepada isu pokok untuk membentuk sastera yang mantap kita harus memberi tumpuan kepada aktiviti menulis. Seperti kata Nisah Haron: menulis itu suatu kerja serius. Bukan sekadar melakar kata, menyusun ayat dan berbahasa puitis. Menulis ialah cara seseorang itu berfikir. Menulis karya kreatif pula bukan sekadar mengadun emosi dan menyatukan manusia dengan peristiwa. Ya, menulis itu penuh dengan tanggungjawab kerana sebuah karya itu bukan tempat melampiaskan luahan hati dan perasaan. Penulis juga bukan sekadar menyampaikan cerita tetapi juga mendidik pembaca. Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga. Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah kepada pembaca.

Mungkin ada segelintir pengarang yang bangga kerana telah menghasilkan sejumlah buku sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan tetapi apakah karya-karya itu telah memberikan kesan atau sesuatu perubahan yang ketara dalam kehidupan pembacanya? Segelintir pengarang pula begitu ghairah meletakkan judul-judul buku tanpa memikirkan kesan terhadap sensitiviti masyarakat. Selain daripada itu, kegemaran yang menjadi ikutan sesetengah kumpulan penulis dalam tindak tanduknya ingin mempopularkan produk sastera melalui bentuk karya yang indah pada bahasa tetapi tidak pada mesej atau intipatinya. Maka meletakkan sastera tidak cukup berpolakan hanya kepada penobatan seseorang pengarang atau kepada sebuah karya yang luar biasa tanpa dibuktikan oleh kehebatan peristiwa atau impak yang menyatu. Akhirnya kita ingin mengatakan bahawa sastera perlu bangun secara semula jadi apabila masyarakat yang membicarakan sesuatu isu itu mampu menekuni pengajaran daripadanya secara luar biasa.


2018 © Pustaka Iqbal Nazim