Khamis, Oktober 26, 2017

DWIFUNGSI KARYA SASTERA

Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
KEMAJUAN sesebuah negara tidak hanya berasaskan ukuran pembangunan jasmaniah, sains dan teknologi tetapi perlu mengambil kira aspek-aspek kemanusiaan dan kerohanian. Kesusasteraan mempunyai perkaitan dengan cabang ilmu lain seperti agama, falsafah, budaya, politik, perubatan, undang-undang dan sebagainya. Teks sastera penuh dimensi dan ia memberi banyak ruang untuk diteroka. Selain itu ilmu kesusasteraan merupakan disiplin ilmu yang berkait rapat dengan aspek emosi dan nilai hidup manusia. Sastera bukan sekadar memberi maklumat tentang keintelektualan tetapi melengkapkannya dengan dunia emosi dan nilai kepada manusia. Kehadiran aspek nilai menjadi penting dalam pemupukan dan pembentukan kualiti insan. Sayang sekali tidak ramai yang melihat hal ini.

Karya sastera tidak dapat lari daripada dua fungsi utama. Pertama karya sastera bertujuan untuk menghiburkan dan keduanya untuk memberi pengajaran, pesanan atau peringatan. Keperluan untuk menghiburkan melahirkan karya sastera yang membawa keseronokan yang indah. Hiburan terhasil dari keindahan kata-kata yang diungkapkan, irama atau rentak yang yang tesusun, kemampuan karya sastera untuk membelai emosi pembaca atau pendengar, unsur kelucuan dan sebagainya. Kepentingan fungsi hiburan menjadikan karya sastera seperti cerita penglipurlara diterima oleh masyarakat sebagai karya yang diminati dan digilai masyakarakat pada suatu ketika.

Pantun misalnya merupakan karya sastera yang cukup popular kerana keupayaannya membawa keindahan yang menghiburkan. Saya teringat pantun-pantun lama berbunyi seperti berikut :

Orang Daik memacu kuda,
Kuda dipacu deras sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.

Berburu di padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berburu kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Kualiti menghiburkan dalam pantun tersebut cukup banyak. Rentak dan rima yang bersukat membentuk irama dalam pantun. Malah pantun pula mempunyai struktur bacaan yang tersendiri yang menghasilkan keindahan dalam pembacaan. Selain itu, pantun disampaikan pula dalam pelbagai variasi yang semakin menambahkan fungsi menghiburkan seperti dijadikan lirik dikir barat di Kelantan, lirik lagu popular, lirik berunsur patriotik dan sebagainya. Kemampuan pantun untuk bertahan sebagai karya sastera yang popular menunjukkan bahawa unsur hiburan ini amat banyak dalam pantun.

Fungsi kedua karya sastera adalah untuk memberi pengajaran, nasihat atau pesanan kepada masyarakat. Fungsi ini juga menjadikan karya sastera sebagai suatu bahan yang dapat membawa kesedaran kepada masyarakat, mengubah pemikiran, serta memberi ruang untuk masyarakat menyerap nilai-nilai moral yang dibawa dalam karya sastera. Cerita Sang Kancil dengan Buaya misalnya cukup terkenal bukan semata-mata kerana ceritanya menghiburkan tetapi keupayaannya untuk memasyarakatkan nilai, unsur moral dan pengajaran yang berguna kepada masyarakat. Bagi masyarakat teknologi cerita rakyat ini sudah tentu membosankan dan ketinggalan zaman. Namun tanpa kita sedari kita dibesarkan dalam asuhan moral yang dibawa dari cerita tersebut. Tanpa sedar kita diserapkan dengan kepentingan nilai tolong-menolong dan kita pula diperingatkan betapa buruknya sikap tidak mengenang budi.

Sama seperti pantun kedua di atas, pemilihan kata ‘berburu’ dan digandingkan dengan ‘berguru’ memberi mesej yang penting pada kita. Dalam ungkapan yang ringkas, pantun membawa tafsiran makna yang mendalam. Kerja berburu sama sukarnya dengan berguru. Ia memerlukan kemahiran dan ketekunan. Peringatan yang cuba dibawa dalam pantun iaitu pentingnya ilmu tetapi jangan salah berguru.

Untuk menjadikan karya sastera dapat diterima dengan berkesan sudah pastinya  dwifungsi sastera itu harus berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Meski pun karya sastera itu sendiri sudah lengkap dengan unsur hiburan dan pengajarannya, bagaimana ia dapat disampaikan kepada khalayak? Ia pastinya menjadi satu cabaran kepada guru-guru bahasa Melayu, misalnya. Jika karya sastera tidak sampai kepada pelajar dalam bentuk yang menghiburkan nilai sastera sebenar tidak sampai kepada pelajar. Keindahan sastera tidak dapat diselami oleh pelajar. Akhirnya pelajar terasa sastera hanya membebankan mereka dengan teks yang banyak bukan menghiburkan mereka. Kepalang ajar kadangkala lebih banyak membunuh minat dan kecenderungan pelajar. Begitu lah seterusnya dalam masyarakat yang begitu liat menerima sastera dalam budaya hidup mereka. Perlu kesungguhan serta iltizam yang mendalam.

Dalam konteks pembelajaran, penggunaan bahan sastera bermatlamat ke arah membina perkembangan bahasa. Interaksi pelajar atau sesiapa juga dengan bahan sastera memberi ruang kepada mereka mengasah kemahiran membaca dan memahami. Pengajaran tentang sesebuah teks sastera melibatkan pengajaran kemahiran membentuk makna bukan sahaja tentang teks yang dibaca tetapi juga makna yang dibawa oleh teks tersebut dan hubungannya dengan pengetahuan dan pengalaman seseorang. Hal ini juga bermaksud bahawa makna atau maksud yang dibawa oleh sesebuah teks sastera yang dibaca, bukan sahaja didapati dalam teks, tetapi juga diperoleh melalui interaksi dengan teks. Konteks hubungan pembaca dengan teks dapat diperkayakan dengan penguasaan laras bahasa dalam karya kreatif. Mereka dapat mengenalpasti gaya bahasa dalam karya sastera, menganalisis gaya bahasa dan unsur bunyi dalam karya sastera. Mereka juga dapat menguasai aspek penggunaan gaya bahasa dan unsur bunyi dalam penulisan kreatif.

Kemahiran berbahasa diperluaskan melalui interaksi dengan keindahan bahasa yang terpancar dalam karya sastera. Keindahan bahasa yang menjadi intisari sesebuah karya sastera berupaya mendekatkan pembaca dengan keragaman dan kekayaan bahasa sastera yang indah dan menarik. Matlamat pengunaan bahan sastera adalah untuk membentuk kepekaan seseorang terhadap variasi bahasa yang wujud dalam teks sastera. Melalui penghayatan karya sastera kita dapat mempelajari kekayaan bahasa masyarakatnya dan dapat meneladaninya untuk memperoleh kekuatan bahasa. Selain itu, kemahiran berbahasa dilengkapkan melalui kemampuan kita menghasilkan penulisan kreatif. Penghasilan prosa atau puisi secara terancang, kemas, serta mematuhi pengunaan bahasa yang tepat, indah, dan menarik menjadi sesuatu yang ingin disampaikannya itu terbina lebih indah dan menarik lagi.

Karya sastera tidak terlepas daripada pancaran nilai yang terakam di dalamnya. Nilai-nilai yang dipaparkan bersifat nilai kesejagatan yang membawa kelangsungan kepada umat manusia. Manusia dilukiskan untuk membayangkan nilai-nilai murni supaya manusia terus hidup dengan lebih sempurna. Mendekati karya sastera bermakna kita dapat merenung, berfikir, dan membuat refleksi tentang situasi dirinya dalam kehidupan ini. Kesejahteraan dan kemakmuran manusia yang dipancarkan dalam karya sastera dapat menyemai naluri keinsanan dalam jiwa.

Fungsi mendidik yang dibawa dalam karya sastera bertujuan untuk pembinaan sahsiah seseorang. Sastera dapat membina manusia yang berfikir, berpegang pada etika, manusia yang halus pertimbangannya, bersikap adil dan saksama, serta dapat membayangkan perasaan orang lain. Karya sastera memberi ruang kepada pelajar untuk merasa prihatin terhadap keperitan dan kedukaaan yang dialami orang lain. Mereka menjadi peka kepada sesama manusia dan persekitarannya. Karya sastera mengajak manusia untuk membina sebuah masyarakat atau manusia yang baik.

Sastera yang tumbuh dalam jiwa dan bahasa sesuatu bangsa akan menjadi alat, bukti, dan unsur jati diri bangsa berkenaan. Sastera akan menjadi sebahagian daripada wajah dan jiwa bangsa. Karya-karya sastera tradisional seperti pantun, syair, seloka, dan gurindam serta karya-karya prosa tradisional seperti sastera rakyat, mitos, legenda, dan epik menjadi khazanah yang amat dibanggakan. Mengenali teks sastera bermakna memberi ruang kepada generasi muda memahami jati diri mereka. Sastera menjadi warisan kerana di dalamnya terkumpul alatan komunikasi, fikiran, konsep, persepsi, emosi, muzik, dan seni bangsa itu (Muhammad Haji Salleh: 2004). Bahkan daripada bahan-bahan sastera ini berupaya untuk memberikan pendedahan berkaitan unsur budaya, pemikiran, sikap, dan nilai yang diamalkan dalam masyarakat.


PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2017

Tiada ulasan: