Ahad, September 22, 2024

Puisi: POKOK DALAM CERITERA

Ceritera 1

Ada dua buah pokok, satu kecil satu gemuk. Tumbuh di jalanan rumahku. Setiap hari kusirami. Setiap hari kurawati. Ada dahan yang kering, ada daun-daun kering. Pokok yang kecil mula berkata, aku mahu agar tubuhku tinggi menghias taman rumah. Sedang yang gemuk juga berkata mari tumbuhkan pokok-pokok agar kuatkan taman. Aku memerhati dan berfikir. Mau dibuat apa pokok-pokok ini?

 

Ceritera 2

Angin bertiup kencang sejak beberapa hari yang lalu seperti akan menumbangkan pokok di laman rumah. Fikiranku bukan kerana ia patut tumbang tetapi simpati pada pokok dedalu yang menumpang
di situ. Ke mana ia akan teruskan kehidupan menumpangnya. Ia tidak boleh melompat!

 

Ceritera 3

Memilih agar berlaku adil sering sahaja manis di bibir. Menulis segala kemungkinan agar kebaikan ditafsir dalam pelbagai tamsil. Dibesarkan oleh akar, pokok tidak tegak sendirian. Tanpa tunjang dan akar menjalar, kau tak segak menjadi megahan. Dari akar mempertahankan agar tak goyang atau tumbang. Kau merimbun segar, mendapat sanjungan pokok paling bergaya di perkebunan. Demikian tabii alam sering lupa, di luar dan di dalam tak teranyam faham. Akar di bawah tak kelihatan, kau gerunkan taufan, segala unggas yang datang menyerang. Kau mesra membiar dahan-dahan didiami galak lumut. Cuaca silih bertukar tak pernah merobah pokok-pokok yang dibesarkan, belajar pada pedoman.

Kota Kinabalu,
2024. 

                                     

Tiada ulasan: