Jumaat, Ogos 11, 2023

Sastera Membina Masyarakat Madani

PANDANGAN HASYUDA ABADI TERHADAP SASTERA YANG MEMBINA MASYARAKAT MADANI DI MALAYSIA

Awang Abdul Muizz Awang Marusin[1]

 

Abstrak

Hasyuda Abadi, Sasterawan Negeri Sabah ketiga, telah menyumbang kepada pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera Melayu di Malaysia, terutamanya di Sabah, sejak tahun 1979. Kajian ini cuba menganalisis usaha beliau membina masyarakat madani di Malaysia dalam bentuk pengkaryaan puisi. Kajian kepustakaan dan pemerhatian terhadap 15 buah puisi yang terkandung dalam sembilan buah buku kumpulan puisi karya beliau dan antologi puisi kelolaan kumpulan penyelenggara mendapati bahawa beliau telah memanfaatkan sastera sebagai wahana yang mempromosikan nilai-nilai yang membina masyarakat madani di Malaysia, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Menariknya, kesemua puisi yang digunakan dalam kajian ini ialah puisi berunsurkan Islam, yang menunjukkan bahawa Islam merupakan asas kepada pembinaan dan pengukuhan sastera yang mengangkat masyarakat madani di Malaysia dan enam nilai yang menunjanginya. Ketika falsafah masyarakat madani di Malaysia dinaik taraf sebagai dasar kerajaan yang dinamakan semula sebagai gagasan Malaysia Madani pada 19 Januari 2023, sastera telah mendapatkan tempatnya terlebih dahulu sebagai penyumbang kepada keberhasilannya. Perkara ini sedikit sebanyak merintis jalan untuk menggabungjalinkan Islam dan gagasan Malaysia Madani dalam konteks sastera, agar idea baru bernama ‘sastera madani’ dapat didokumenkan dan dikupas secara akademik pada masa hadapan. 

Kata kunci: Malaysia Madani, masyarakat madani, puisi Islam, sastera Islam, Hasyuda Abadi. 

Pengenalan kepada masyarakat madani 

Kewujudan masyarakat madani bertitik-tolak daripada kewujudan tamadun manusia dan tamadun-tamadun yang dipecahkan mengikut agama, bangsa dan kawasan geografi. Walaupun para sarjana bersepakat dengan pernyataan sebegitu, mereka juga berbeza pandangan mengenai ciri yang terdapat pada masyarakat yang hidup dalam sesebuah tamadun. Arnold Toybee dan Oswald Splenger, seperti yang dipetik oleh Navari (2000) dan Kidd (2012), percaya bahawa tamadun jatuh dan bangun dalam bentuk kitaran dan nasib sebenar sesebuah tamadun terletak pada tindak balasnya terhadap cabaran dan krisis.

Confucius, seperti yang dipetik oleh Yuan, Chia dan Gosling (2023), percaya bahawa budi bahasa yang ditanam dalam diri seseorang individu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Sun Yat-sen juga percaya kepada budi bahasa yang menjadi salah satu warisan tradisional masyarakat Cina yang dapat digunakan walaupun tamadun China mengalami pemodenan kesan daripada revolusi yang dipimpinnya (Kinderman, 1989). Rabindranath Tagore pula, seperti yang dipetik oleh Mukherjee dan Pyne (2016), memandang pentingnya kepelbagaian budaya dikekalkan dan kefahaman antara budaya dipertingkatkan dalam tamadun menerusi pendidikan. Mahatma Gandhi yang senada dengan Tagore, memandang pentingnya pendidikan bagi merapatkan jurang ekonomi dan sosial yang wujud dalam masyarakat (Bharati, 1991). 

Islam mempunyai pandangan yang lebih komprehensif tentang tamadun. Al-Farabi, menurut Akhmetova (2017), menekankan kepentingan bernegara dan mendaulatkan undang-undang demi mengekalkan masyarakat yang adil dan sejahtera. Al-Ghazali, pada sisi yang berbeza, meletakkan Allah sebagai puncak kepada tamadun dan masyarakat yang memayunginya. Dalam erti kata yang lain, reformasi sosial dan politik hanya dapat dicapai menerusi pembangunan rohani dan penyucian jiwa individu dan masyarakat (Zakaria Stapa, 2009). 

Begitu juga dengan reformasi ekonomi yang dipromosikan oleh Ibnu Khaldun. Menurut beliau, kemakmuran sesebuah masyarakat bergantung kepada keupayaannya untuk mengawal dan mengeksploitasi sumber semula jadi, dan tamadun yang paling berjaya adalah mereka yang mampu mengekalkan keseimbangan antara pertanian, perindustrian, dan perdagangan (Aimi Khairunnisa Abdul Karim & Nurliana Suhaimi, 2020). 

Secara ringkasnya, masyarakat madani dapat difahami sebagai masyarakat yang membangun bersama tamadun yang menaunginya secara dalaman dan luaran. Pembangunan secara dalaman merujuk kepada kepercayaan seseorang terhadap sesuatu yang hanya difahami oleh akal dan hati dan penterjemahannya menerusi penampilan dan tingkah laku, manakala pembangunan secara luaran merujuk kepada ciri-ciri yang dapat dilihat dalam sesebuah tamadun di depan mata seperti pembangunan bandar, bentuk pemerintahan, susun lapis sosial dan sistem komunikasi simbolik. 

Masyarakat madani dalam konteks Malaysia 

Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki rakyat dan penduduk yang berbilang agama, bangsa dan budaya. Menyedari hakikat ini, Malaysia tidak mengkhususkan masyarakat madani kepada makna tertentu sahaja. Makna ‘masyarakat madani’ terbuka untuk dikaji, dibahaskan dan diberikan definisi khusus oleh individu atau kumpulan tertentu mengikut sudut pandang mereka masing-masing. 

Secara umumnya, masyarakat madani di Malaysia ialah rakyat dan penduduk Malaysia yang menghargai keamanan, keharmonian, dan penghormatan terhadap kepelbagaian. Antara bentuk penghargaan tersebut termasuklah menghormati hak dan kepercayaan orang daripada latar belakang etnik, agama dan budaya yang berbeza serta menggalakkan toleransi dan persefahaman. Definisi tersebut dibina berasaskan lima prinsip Rukunegara dan diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif dan program yang bermatlamat mempromosikan kesepaduan masyarakat dan perpaduan negara, terutamanya pelaksanaan Dasar Perpaduan Negara oleh Kementerian Perpaduan Negara. 

Kajian ini cuba mencari makna ‘masyarakat madani’ secara khusus dalam aspek bahasa, sastera dan budaya Malaysia berdasarkan pandangan penyair Hasyuda Abadi. Menerusi kajian kualitatif yang diadakan menerusi ulasan kepustakaan menggunakan kajian-kajian kebelakangan mengenai peradaban dan kesusasteraan serta pemerhatian terhadap karya-karya sastera Islam yang dihasilkan oleh Hasyuda Abadi, kajian ini dibuat untuk mencerakinkan usaha beliau membina masyarakat madani di Malaysia dalam bentuk pengkaryaan puisi. 

Gagasan Malaysia Madani 

Zairudin Hashim (2023) memahami pandangan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, terhadap masyarakat madani sebagai sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan di antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat. Idea ‘Membangun Malaysia Madani’ sebetulnya telah wujud sebelum Dato’ Seri Anwar menjadi Perdana Menteri. Menurut beliau, Malaysia mesti mendukung reformasi, perubahan menyeluruh bukan sahaja mengambil tempat di peringkat institusi, malah di peringkat akar umbi. Hal ini demikian menurut beliau bagi membolehkan jati diri dan semangat Malaysia kekal dalam acuan Malaysia dan bukan mengikut acuan Timur (seperti Korea Selatan dan Jepun) atau Barat (seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom) (Anwar Ibrahim, 2022). 

Hanya setelah beliau menjadi Perdana Menteri, beliau telah mengarusperdanakan ‘Malaysia Madani’ sebagai dasar pemerintahan Malaysia. Beliau telah memperkenalkan gagasan ‘Membangun Malaysia Madani’ buat pertama kalinya pada 19 Januari 2023 di Putrajaya. Menurut Berita Harian (2023), gagasan tersebut diperkenalkan bagi membolehkan kepercayaan dicerna antara kerajaan dan rakyat berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama. 

‘Malaysia Madani’ sejak daripada itu menjadi dasar pemerintahan Malaysia mulai November 2022. Serentak dengan itu, Dato’ Seri Anwar menggariskan enam prinsip yang dapat memacu gagasan tersebut ke arah keberhasilannya, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan (Anwar Ibrahim, 2022; Berita Harian, 2023). 

Sastera dari sudut pandang Malaysia Madani 

Sastera tidak disebutkan secara khusus dalam gagasan Malaysia Madani. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, apabila menulis huraian yang amat panjang tentang ‘Membangun Malaysia Madani’, tidak menyatakan dengan jelas perkataan ‘sastera’ dalam huraian tersebut. Namun begitu, perkara ini tidak bermakna bahawa sastera tidak mempunyai tempat dalam Malaysia Madani. 

Sastera, sebagai sebuah seni dan budaya yang liberal dan kreatif (Anwar Ibrahim, 2022), mempunyai tempat yang tersendiri dalam Malaysia Madani. Hal ini demikian pada hemat pengkaji kerana sastera ialah suatu disiplin sains sosial dan kemanusiaan yang memberi kebebasan kepada individu untuk menuliskan sesuatu perkara menggunakan kreativiti dan inovasi yang telah dikurniakan kepadanya dalam bentuk bunga-bunga bahasa. Kreativiti dan inovasi yang dimaksudkan oleh Muhammad Al Afzan Ali Hussin (2018) termasuklah pemilihan dan pembinaan ayat, rima, diksi, simile, metafora, anafora, hiperbola, sinkope, asonansi, aliterasi, perulangan, perlambangan dan personifikasi yang para penulis sastera di Sabah telah sering gunakan baik dalam puisi, pantun, syair, cerpen mahupun novel. 

Ketokohan Hasyuda Abadi, Sasterawan Negeri Sabah ketiga 

Ketokohan Sasterawan Negeri Sabah Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Usin yang menyumbang kepada sastera Malaysia sejak tahun 1979 tidak dapat disangkal lagi. Ezura As’ad Azam (2022) mengakui bahawa Hasyuda memiliki kreativiti dan inovasi yang tersendiri dalam mengeluarkan karya-karya sastera. 

Abdul Halim Ali (2020), dari sudut pandang yang lain, melihat sastera Islam yang dicitrakan oleh Hasyuda Abadi sebagai wajah baru dan wajah segar dalam sastera Sabah. Puisi-puisi berunsurkan Islam nukilan Hasyuda Abadi, seperti yang pengkaji cuba tonjolkan dalam kajian ini, menunjukkan sumbangan beliau kepada pembinaan dan pengembangan sastera Islam di Sabah, malah kepada Islam itu sendiri di Sabah, sehingga menjadi ikutan dan teladan kepada para penulis di Sabah yang turut meminati dan menguasai sastera Islam. 

Hal ini demikian kerana, walaupun Islam merupakan agama rasmi di Sabah dan majoriti rakyat dan penduduk Sabah menganut agama Islam, masih ramai dalam kalangan mereka yang memerlukan dakwah untuk sampai kepada mereka dan kekal bersama mereka. Berhanundin Abdullah dll. (2016) mencadangkan kebudayaan dan kesenian ‒ termasuk kesusasteraan ‒ sebagai bentuk dakwah yang boleh disampaikan kepada golongan sasar. 

Hubungkait antara Islam dengan Malaysia Madani dari sudut pandang kesusasteraan Hasyuda Abadi 

Hasyuda Abadi dilihat mempunyai kesedaran memikul tanggungjawab dakwah sehinggakan banyak puisi berunsurkan Islam nukilan beliau mengutamakan mesej akidah berbanding syariah mahupun akhlak. Sajak beliau yang bertajuk ‘Perlimbahan Cinta’ (Japar Ungki, 2011), misalnya, cuba menggambarkan pengakuan perhambaan seorang manusia kepada Tuhan yang Maha Mencipta. Tidak kurang juga sajak yang bertajuk ‘Ombak adalah Qasidah Maha Diam’ (Hasyuda Abadi, 2021) yang menceritakan gelora hati manusia menempuhi kehidupan sehingga memungkinkan beliau kembali kepada Tuhan yang Maha Kuasa. 

Sajak bertajuk ‘Menjelang Hijrah’ (Hasyuda Abadi, 2006), pada sudut yang berbeza, merupakan apresiasi kepada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Sajak tersebut tidak sekadar menerangkan cara peristiwa itu berlaku, tetapi juga menerangkan cara sesuatu perbuatan dikaitkan dengan niat asal seorang manusia. 

Walaupun puisi-puisi berunsurkan Islam nukilan Hasyuda Abadi memberatkan akidah, puisi-puisi tersebut turut menampilkan mesej-mesej yang membolehkan seseorang individu memiliki keperibadian yang terpuji. Salah satu mesej yang Hasyuda Abadi cuba bawakan ialah agar seseorang individu menjauhkan diri daripada sifat mazmumah yang menjejaskan diri sendiri dan satu pihak yang lain. Mesej tersebut digambarkan dalam sajak yang bertajuk ‘Jangan Bicara Tentang Jatuh’ (Hasyuda Abadi, 2004). 

Penerapan sifat mahmudah juga merupakan fokus dakwah Hasyuda Abadi menerusi puisi. Sajak yang bertajuk ‘Segaris Senyum’ (Hasyuda Abadi, 1997), contohnya, mengajak manusia untuk membudayakan senyuman dalam kehidupan seharian. Hasyuda Abadi, dalam sajak tersebut, percaya bahawa senyuman merupakan punca kepada lebih banyak nilai murni yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian seperti keramahan dan penghargaan. 

Dakwah tidak akan lengkap jika tidak ada dalamnya seruan untuk beribadah di samping seruan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta seruan untuk membudayakan nilai murni dan budi bahasa. Sajak Hasyuda Abadi yang bertajuk ‘Merangkak pada Selembar Jumaat’ (Zaini Ozea dll., 2003), walaupun berlatar belakangkan solat fardu Jumaat berjemaah di sebuah masjid, cuba mengajak pembaca untuk menyedari kepentingan mengabdikan diri kepada Allah menerusi ibadah solat. 

Begitu juga dengan ibadah di bulan Ramadan, yakni puasa, zakat fitrah, solat sunat Tarawih, tadarus al-Quran, zikir, qiamullail dan sedekah. Hasyuda Abadi tidak menyebut ibadah-ibadah wajib dan sunat tersebut dengan jelas satu persatu. Tetapi, puisi bertajuk ‘Segugus Kasih Ramadhan’ (Hasyuda Abadi, 1997) menerangkan kelebihan menunaikan ibadah-ibadah tersebut di setiap malam dan siang di bulan Ramadan. 

Berdasarkan puisi-puisi berunsurkan Islam yang dinukilkan oleh Hasyuda Abadi, kajian ini mendapati bahawa puisi-puisi tersebut benar-benar menggambarkan mesej dakwah Islamiah yang beliau cuba bawakan agar (i) manusia beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; (ii) manusia mengabdikan diri kepada Allah mengikut sunnah yang diajarkan oleh Rasul-Nya SAW; dan (iii) manusia berpegang dengan akhlak mulia. Rahmah Ahmad Osman dan Mohd Shahrizal Nasir (2011) memandang penting mesej-mesej kesusasteraan yang disampaikan dengan unsur Islam bagi memastikan individu dan masyarakat dipandu untuk mencapai keseimbangan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. 

Malaysia Madani berdasarkan karya sastera Hasyuda Abadi 

Sastera Islam yang dibidangi oleh Hasyuda Abadi sedikit sebanyak membuka jalan kepada sastera yang mendukung dan mencitrakan gagasan Malaysia Madani. Tambahan pula, gagasan Malaysia Madani itu sendiri banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai Islam yang sentiasa bersifat sejagat. Tambahan pula, Islam sentiasa menjadi suatu cara hidup yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan. 

Keyakinan, misalnya, menuntut seseorang ‘menggenggam erat suatu kebenaran atau kebijaksanaan dalam kehidupan’. Namun begitu, keyakinan juga, menurut Dato’ Seri Anwar Ibrahim (2022), menuntut kepercayaan dan kebertanggungjawaban seseorang terhadap sesuatu. Dalam erti kata yang lain, seseorang bukan sahaja dikehendaki percaya dan dipercayai dalam sesuatu hal, tetapi juga bertanggungjawab dan sanggup dipertanggungjawabkan oleh pihak tertentu dalam hal tersebut. 

Dalam kerangka Malaysia, agama sentiasa menjadi sandaran kepada keyakinan individu mahupun masyarakat. Tambahan pula, ‘kepercayaan kepada Tuhan’ merupakan prinsip utama dalam Rukunegara. Sebagai seorang Muslim, Hasyuda Abadi meletakkan Islam sebagai sandaran kepada keyakinan dan pegangan hidupnya. Oleh hal yang demikian, puisi-puisi yang dinukilkan oleh Hasyuda Abadi banyak dipengaruhi oleh Islam. Puisi beliau yang bertajuk ‘Maw’izhatul Hasanah’ merupakan salah satu daripada banyak lagi puisi nukilan beliau yang banyak dipengaruhi oleh Islam dan Arab sesuai dengan kebitaraan beliau dalam bidang sastera Islam. 

Hilanglah duka itu

pada maw’izhah tulen dan agung

kalamullah al-Quran

ada cahaya petunjuk jalan yang sukar

dan benar

- sukar dari segala yang sukar

atau benar dari semua yang benar. 

‒ Maw’izhatul Hasanah (Hasyuda Abadi, 2008) 

Kemampanan, misalnya lagi, menghendakkan masyarakat menyeimbangkan tuntutan kelangsungan hidup manusia dengan kesejahteraan alam sekitar mengikut nuansa citra Malaysia bagi memenuhi keperluan semasa tanpa menggadaikan keperluan masa depan generasi penerus (Anwar Ibrahim, 2022). Hasyuda Abadi, dalam hal ini, tidak sentiasa menukilkan karya yang khusus tentang kemampanan. Namun begitu, elemen kemampanan sentiasa mendapat perhatian beliau dalam karya-karya yang beliau hasilkan. Hasyuda Abadi dikenali sebagai seorang penyair yang menghargai hubungan erat antara manusia dan alam sekelilingnya. Puisi bertajuk ‘Rimba Raya Kehidupan’, walaupun cuba bercerita tentang cabaran mengharungi usia dewasa, turut bercerita tentang peranan alam dalam membentuk kedewasaan seseorang manusia. 

Bukan hanya kenangan

yang membesarkan kehidupan

inilah kampung halaman kedewasaan

denyut rimba raya

daun-daun yang aman

di sisi akarnya sendiri.           

            ‒ Rimba Raya Kehidupan (Hasyuda Abadi, 2006) 

Puisi tersebut juga bercerita tentang pentingnya mencari dan meraih kesejahteraan kehidupan yang diertikan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (2022) sebagai ‘suatu kehidupan yang baik dan sering dikaitkan dengan… rasa selesa dan selamat’. Begitulah juga dengan puisi yang bertajuk ‘Sasterawan Bukan Menentang’ yang menceritakan peranan penggiat sastera sebagai jambatan antara rakyat di peringkat akar umbi dengan pemimpin di peringkat Persekutuan dan negeri. Nada puisi yang kedengaran kontra tidak menggambarkan perasaan penulis yang juga kontra, tetapi semata-mata suatu seruan kepada pemimpin agar sentiasa memudahkan urusan kehidupan mereka yang sentiasa memerlukan dan menjamin kesejahteraan rakyat yang beliau wakili di peringkat Persekutuan dan negeri. 

Membantu rakyat juga tugas sasterawan. Saya tahu puisi tidak bisa menggantikan perabot rumah yang rosak akibat banjir. Tapi dalam puisi itu ada rintih rakyat. Dalam cerpen teradun sukma derita rakyat. Dalam novel terangkum rakaman peristiwa musibah rakyat… 

‒ Sasterawan Bukan Menentang (Hasyuda Abadi, 2021) 

Di sebalik tema kesejahteraan dalam puisi tersebut, pengkaji turut mendapati tema ihsan, iaitu satu lagi rukun yang diterapkan dalam gagasan Malaysia Madani. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (2022) tidak sekadar menggambarkan ihsan sebagai peduli dan belas kasihan, tetapi juga ‘memelihara dan menyediakan keperluan asas yang diperlukan demi kesejahteraan semua pihak’. Dalam hal puisi bertajuk ‘Sasterawan Bukan Menentang’, penulis menggunakan nada yang kontra untuk mengharapkan ihsan pemimpin agar rakyat yang terkesan dapat menikmati kesejahteraan hidup seperti yang diharapkan. 

Walaupun begitu, takrifan ihsan tidak terhad kepada menyediakan keperluan asas semata-mata, tetapi lebih meluas kepada nilai berbuat baik sesama manusia mengikut kemampuan yang ada pada seseorang manusia. Malah, nilai ihsan dapat menjangkau nilai-nilai murni yang lain seperti kasih sayang, tolong-menolong dan kesyukuran. Perkara ini bertepatan dengan seruan Allah kepada umat manusia agar menjadikan ihsan sebagai budaya kehidupan di dunia. 

Hasyuda Abadi menggambarkan rasa ihsan tersebut dalam puisi beliau yang bertajuk ‘Negeri Persaudaraan’. Puisi yang beliau nukilkan ketika mengunjungi negara jiran, bercerita tentang kebaikan dan keramahan saudara serumpun yang telah menyambut kunjungan beliau dan rakan-rakan di sana. 

Negeri yang bergelar persaudaraan

menggenggam gelombang dan melumatkannya

berlari riang di padang-padang pantai

terbentang lautan menatap keagungan

menadah restu kesyukuran

 

‒ Negeri Persaudaraan (Japar Ungki, 2011) 

Sifat ihsan biasanya datang daripada sifat hormat-menghormati. Dalam erti kata yang lain, apabila seseorang menghormati seseorang yang lain, maka seseorang itu juga akan berlaku ihsan pada orang lain. Rasa hormat, sebagai salah satu daripada enam rukun Malaysia Madani, dapat dilakukan oleh sesiapa pun dan kepada sesiapa pun juga. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (2022) tidak mengehadkan kepada pihak tertentu sahaja, perbuatan ‘memberikan hak yang sewajarnya untuk setiap pandangan yang dilontar, keinginan yang terbuku, serta dalam soal melunaskan hak orang lain’ walaupun keutamaan sifat hormat-menghormati sentiasa didahulukan dalam lingkup kekeluargaan dan persaudaraan dalam sebuah keluarga besar, barulah diperluaskan ke ranah pendidikan, pekerjaan dan kemasyarakatan. 

Hasyuda Abadi menterjemahkan hormat menerusi sebuah puisi yang bertajuk ‘Sebagai Ayah Entah Apakah yang Pernah Dihargai, Anak’. Walaupun nada puisi ini kedengaran rintihan seorang ayah kepada anak-anaknya, puisi ini secara tersirat mendidik seorang anak untuk memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada ibu bapanya. 

Sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak melebihi hayat seorang ibu, ada makna akrab yang mendekatkan naluri kasih lebih daripada insani lebih daripada segalanya, waktu-waktu berlalu dan berarus tanpa pernah berkata apa atau memandang silih berganti hari-hari yang membesarkan melihat suntimu kini lebih daripada itu, bijak memilih pilihan bau cuaca dan kegemaran pada mata seorang anak dara 

‒ Sebagai Ayah Entah Apakah yang Pernah Dihargai, Anak (Hasyuda Abadi, 2008) 

Di atas lima rukun Malaysia Madani yang dikupas dalam kajian ini ialah satu lagi rukun Malaysia Madani, iaitu daya cipta. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (2022) meletakkan dua syarat kepada rukun daya cipta, iaitu rancangan proses pencapaian dan kreativiti penghasilan. Hakikatnya, asas kepada penulisan sastera dalam sebarang genre ialah daya cipta. Dalam erti kata yang lain, seorang penulis sastera dituntut untuk merancang proses untuk menyiapkan sesuatu karya dan memiliki kepelbagaian kreativiti dalam menghasilkannya. 

Daya cipta merupakan kelebihan yang dimiliki oleh Hasyuda Abadi sejak tahun 1979 sehingga kini. Kemampuan beliau menulis lebih daripada 4,500 buah puisi (Ezura, 2022) menunjukkan daya cipta beliau berada pada tahap yang tinggi. Puisi beliau bertajuk ‘Memandang Melayu’ yang menceritakan pengembaraan beliau dan rakan-rakan ke Negara Brunei Darussalam hanyalah salah satu daripadanya. 

Di daerah Melayu ini, membawaku kembali

ke halaman rumah kami, jiran yang ramah hati

mengutus salam tanpa pagar mengelilingi

menyambut tawa dan menggendong duka bersama

menuai bangga adat, menikmati lazat budaya

ranumnya tanpa musim, susah mudah menyisir rasa

kau atau aku tiada tetapi kami meriwayati persaudaraan

ikatan tidak disulam tetapi mengalir di ufuk kalbu 

‒ Memandang Melayu (Azridah PS Abadi & Firdaus HN, 2013) 

Hasyuda Abadi percaya kepada istiqamah dan wasatiyyah yang membuatkan beliau terus menyumbangkan karya-karya sastera dalam pelbagai bentuk sehingga ke hari ini. Dua prinsip hidup tersebut juga membolehkan beliau masih bergerak aktif bersama komuniti penulis di Sabah. Dua prinsip hidup tersebut jugalah yang membolehkan beliau merangsang daya cipta untuk menguatkan keyakinan, menghargai kemampanan, mewujudkan kesejahteraan serta membudayakan hormat dan ihsan. 

‘Sastera madani’ sebagai masa depan sastera Malaysia dalam era Malaysia Madani 

‘Sastera madani’ dapat difahami sebagai sastera yang mengangkat dan mengapresiasi nilai-nilai masyarakat madani. Dalam hal ini, gagasan Malaysia Madani berperanan dalam menyediakan nilai-nilai murni kepada masyarakat Malaysia yang madani. Puisi-puisi nukilan Hasyuda Abadi yang ditunjukkan dalam kajian ini membuktikan bahawa nilai-nilai masyarakat madani telah diterapkan dalam karya-karya sastera sebelum adanya gagasan Malaysia Madani. Di samping daya cipta sebagai asas pengkaryaan, lima nilai lain yang diterapkan dalam gagasan tersebut berperanan sebagai kandungan kepada karya yang dihasilkan. 

Islam, sebagai suatu cara hidup yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan, banyak memberi kesan kepada penghasilan karya-karya sastera yang memanfaatkan landskap masyarakat madani. Tambahan pula, Islam merupakan asas kepada tertegaknya gagasan Malaysia Madani. Islam melihat masyarakat madani sebagai kumpulan manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah, mengamalkan semua amalan yang diajarkan oleh Rasul-Nya dan yang membudayakan akhlak mulia dalam kehidupan seharian di dunia. Semua rukun yang terdapat dalam gagasan Malaysia Madani telah dirasionalkan dengan tuntutan yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, gambaran kepada masyarakat madani di Malaysia hanya dilihat lengkap dengan kehadiran Islam dalam masyarakatnya yang majmuk sebagai agama rasmi negara dan panduan hidup yang diterima oleh golongan majoriti. 

Secara tuntasnya, ‘sastera madani’ ialah suatu idea yang mengintegrasikan gagasan Malaysia Madani dengan bahasa, sastera dan budaya masyakat majmuk Malaysia berasaskan kepada Islam sebagai cara dan panduan hidup manusia. Kajian ini tidak semata-mata bertujuan untuk mewujudkan atau memperkenalkan sastera madani kepada komuniti sastera di Malaysia, tetapi juga untuk melihat kemampuan penulis menghasilkan karya sastera berunsurkan Islam yang menjiwai gagasan Malaysia Madani. 

Berdasarkan puisi-puisi Hasyuda Abadi yang ditonjolkan dalam kajian ini, ternyata kebitaraan Hasyuda Abadi menghasilkan puisi-puisi yang berjiwa Islami dan selari dengan gagasan Malaysia Madani tidak dapat disangkal lagi. Malah, telah ada penulis-penulis di Sabah yang mengikut langkah beliau menghasilkan karya sastera yang beracuankan Islam dan berdasar kepada gagasan Malaysia Madani. Begitu pun, kajian seperti ini perlu dikembangkan lagi dalam pelbagai aspek yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya agar masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan warna kulit dapat melihat sendiri kesesuaian sastera menjadi salah satu penyumbang kepada kejayaan gagasan Malaysia Madani sebagai sebuah idea dan dasar pemerintahan. 

Rujukan 

Abdul Halim Ali (2020). Kesepaduan Stail dengan Perutusan dalam Sajak-sajak Terpilih Lima Penyair Sabah. Jurnal Melayu, 19(1), 88-104. 

Aimi Khairunnisa Abdul Karim & Nurliana Suhaimi (2020). Kepentingan Teori dan Ilmu Sosiologi dalam Konteks Pendidikan Menurut Perspektif Ibnu Khaldun. Jurnal Tuah, 1(1), 41-53. 

Akhmetova, E. (2017). Al-Farabi and Said Nursi on the Civilising Mission of the Prophets. Intellectual Discourse, 25(Special), 453-475. 

Anwar Ibrahim (2022). Membangun Negara MADANI: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi. Shah Alam: IDE Research Centre Sdn. Bhd. 

Awang Abdul Muizz Awang Marusin (2023). Gagasan Malaysia Madani untuk Komuniti Penulis di Sabah. Dewan Sastera. Dipetik daripada https://dewansastera.jendeladbp.my/2023/02/09/7916/ pada 19 Februari 2023. 

Azridah PS Abadi & Firdaus HN (penyelenggara) (2013). Menjilbab Cinta. Kota Kinabalu: Ikatan Penulis Sabah.

 

Berhanundin Abdullah, Azli Fairuz Laki, Zawawi Yusoff & Nor Salimah Abu Mansor (2016). Pelaksanaan Dakwah kepada Masyarakat Pribumi Sabah dan Sarawak. Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, 12, 70-82. 

Berita Harian (2023, Januari 19). Membangun Malaysia Madani bagi bina masa depan negara - PM. Dipetik daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1053738/membangun-malaysia-madani-bagi-bina-masa-depan-negara-pm pada 18 Februari 2023. 

Bharathi, K. S. (1991). The social philosophy of Mahatma Gandhi (Vol. 4). Uttam Nagar: Concept Publishing Company. 

Ezura As’ad Azam (2022, Disember 15). Hasyuda Abadi Penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah ke-3. Dewan Sastera. Dipetik daripada https://dewansastera.jendeladbp.my/2022/12/15/7044/ pada 19 Februari 2023. 

Hasyuda Abadi (1997). Kumpulan Puisi: Akar Cahaya. Kota Kinabalu: Ikatan Penulis Sabah. 

Hasyuda Abadi (2004). Menginai Badai: kumpulan puisi. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. 

Hasyuda Abadi (2006). Sinar Sirna: Kumpulan Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Hasyuda Abadi (2008). Kembali di Lahad Rahsia. Beaufort: Pejabat Perhubungan ADUN N.24 Membakut. 

Hasyuda Abadi (2014). Sastera dalam Pandangan Islam. Dipetik daripada http://hasyuda-abadi.blogspot.com/2014/03/sastera-dalam-pandangan-islam.html pada 19 Februari 2023. 

Hasyuda Abadi (2021). Kelahiran Sekuntum Cermin: kumpulan puisi. Kota Kinabalu: Iris Publishing & Distributors. 

Japar Ungki (penyelenggara) (2011). Sutera Kunjungan. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. 

Kidd, I.J. (2012). Oswald Spengler, Technology, and Human Nature. The European Legacy, 17(1), 19-31. 

Kindermann, G. (1989). An Overview of Sun Yat-sen's Doctrine. Dlm. Cheng, C.; Tai, H.; Schiffrin, H.Z. & Ling, L. (penyunting) (1989). Sun Yat-sen's Doctrine in the Modern World. New York: Routledge. 

Mukherjee, S. &  Pyne, S. (2016). Cultural Diversity and Management Learning: A Study on Tagorean Leadership in Philosophy and Action. Philosophy of Management, 15, 51-64. 

Muhammad Al Afzan Ali Hussin (2018). Gaya Bahasa dalam Karya Sastera. Dipetik daripada https://cikguafzan96.blogspot.com/2018/03/gaya-bahasa-dalam-karya-sastera.html pada 18 Februari 2023. 

Navari, C. (2000). Arnold Toynbee (1889–1975): Prophecy and Civilization. Review of International Studies, 26(2), 289-301. 

Norjanah Yusof (penyelenggara) (2008). Rahsia Alam. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. 

Rahmah Ahmad Osman & Mohd Shahrizal Nasir (2011). Sastera Islam: Satu Perbandingan antara Pandangan Mohd. Affandi dengan Abu al-Hasan Ali al-Nadwi. Jurnal Elektronik Jabatan Bahasa & Kebudayaan Melayu (3), 55-81. 

Yuan, L., Chia, R. and Gosling, J. (2023) Confucian virtue ethics and ethical leadership in modern China. Journal of Business Ethics, 182(1), 110-133. 

Zaini Ozea, Sitti Hadiah Abdul Mutalib, Nelawati Ngadul & Melan Bujang (2003). Iktikaf. Kota Kinabalu: Jawatankuasa Kecil Mahrajan Sastera Islam Sabah sempena Maulidur Rasul 2003M/1424H. 

Zairudin Hashim (2023, Januari 22). Masyarakat Madani: Antara harapan dan keberanian bertindak. MalaysiaKini. Dipetik daripada https://www.malaysiakini.com/news/652483 pada 17 Februari 2023. 

Zakaria Stapa (2009). Manusia Pembina Tamadun: Perspektif Pemikiran Islam. Jurnal Hadhari, 1(1), 31-44.



[1] Pensyarah, Unit Pengajian Am dan Pusat Sumber, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia. E-mel: a.muizz@jtm.gov.my

Tiada ulasan: