DUNIA telah bergerak dengan pantas, cepat dan begitu nekad. Segala-galanya memandang ke hadapan dan mara tanpa sempat menoleh ke kanan atau ke kiri. Beralih sahaja pandangan kita, maka tertinggallah kita buat selama-lamanya. Ekstasisnya cukup menggoda dan menakjubkan dan tatasusila hidupnya pun beradatkan simulasi; realiti dan fantasi menjadi kembar, yang palsu menjadi benar, malah yang palsu lebih dihargai dan disayangi daripada yang asli. Itulah pancaran menebarkan kekuasaannya di dunia. Dunia itu dinamakan hipermodenisme.
Baudrillard (1997) melihat bahawa apa yang sebetulnya terjadi ialah berkembangnya wacana sosiobudaya menuju apa yang dapat disebut sebagai gejala hipermodenisme, iaitu keadaan ketika segala sesuatu tumbuh lebih cepat; ketika setiap wacana, termasuk sastera, seni, ekonomi, seksual tumbuh ke arah titik ekstrem. Hipermodenisme mara dengan puluhan istilah baharu seperti hiperrealisme, hiperpower, hiperideologi, hipertekstualisme, hiperpengarang, hiperkritik, dan bermacam lagi yang hiper dan super.
Hiperrealisme membayangkan kebinasaan pelbagai realisme yang ada, dan kekuasaannya disebut oleh rekayasa model simulasi, dan citraannya lebih semulajadi daripada sumber realitinya sendiri. Bayangkan raksasa godzilla yang diperbuat kuasa fibre optik dan laser, bergerak dan hidup bagaikan lebih semulajadi daripada godzilla yang asli. Hiperpower memperlihatkan puncak kekuasaan, mekanisme kekuasaan budaya dan sastera yang dibangunkan daripada tahap perfiral, represi dan stimulasi seterusnya kepada hegemoni yang luar biasa. Kekuasaan yang berada di atas puncaknya. Hiperideologi menunjukkan bahawa ideologi tersangat penting dalam sesebuah gerakan sosiobudaya, yang sekali gus menjelaskan bahawa sistem nilai dan sistem falsafah hidup manusia berdasarkan seseorang pengarang atau landas berfikir. Masyarakat tegak dengan segala macam sosiologisme dan isme. Hipertekstualisme menerangkan bahawa teks akan mengalami anjakan paradigma yang luar biasa, yang tidak dapat ditunjukkan daripada segala kewujudannya. Perubahan secara radikal akan berlaku.
Hiperpengarang pula cuba menyifatkan perwatakan kepengarangan zaman baharu yang serba berkemampuan, mencari dan membina dari sudut kuantiti dan kualiti yang berbeza daripada pengarang-pengarang sebelumnya. Hiperkritik pula ialah gambaran tentang keadaan kritikan yang serba canggih yang sesuai dengan teks dan zaman pengarang zaman hipermodenisme itu. Kritikan yang mencapai peningkatan penyempurnaan penggunaan teori, pendekatan, analisis, empiris, saintifik dan tepat.
Hipermodenisme menuduh bahawa pengkarya tidak sahaja terjerat dengan kata keramat objektivitinya, mendirikan teks di atas paksi mandiri dalam dunia pascamodenisme, bahkan pengkaji dan pengkritik pun terbenam dan terpenjara dengan kaedah pragmatik dan objektif itu. Dapat kita bayangkan betapa teks sastera kelihatan serba hiper, serba ilusif dan serba virtual. Itulah yang dinamakan dunia simulakrum, dunia yang menjelma daripada replika realiti pengarang yang sukar ditentukan tipa induk dan hipogramnya. Antara realiti dan bukan realiti dikatakan menipis dan sukar dibezakan antara kedua-duanya.
Dari segi istilah, hiperrealiti pernah digunakan oleh Jean Baudrillard, salah seorang pengasas pascamodenisme, tetapi dalam konteks memaknakan realiti yang pekat dan tebal. Meskipun pandangan Baudrillard itu tercetus pada saat-saat pascamodenisme berada di singgahsananya, namun barangkali terkilas dalam fikirannya bahawa pada suatu hari nanti pascamodenisme akan mencair juga. Hipermodenisme dengan gerakan dan aluran tentulah membawa persoalan baharu. Dan setiap yang baharu, orang selalu bertanyakan positif dan negatifnya. Kita pun dilanda oleh pertanyaan-pertanyaan demikian; samalah waktu kehadiran sastera pascamodenisme dahulu. Kata sesetengah daripada mereka, pascamodenisme adalah suatu bentuk kolonialisme baharu. Negara Dunia Ketiga yang banyak bergantung kepada keilmuan dari Barat, telah menghantar anak-anak mereka untuk belajar tentang keilmuan pascamodenisme itu, seperti menguasai teori pendekatan dan falsafahnya. Sekembali ke negara masing-masing mereka pun mencanai teori yang baharu itu dengan rasa penuh mukjizat dan magis. Dan berperanjatlah dunia sastera dan budayanya serta penghuni di negaranya. Malah, penyampai atau pengamal teori pascamodenisme itu dianggap tokoh terpenting, padahal rupa-rupanya dia hanyalah 'mubaligh' Barat.
Begitulah sekali lagi kita dihadapkan dengan bentuk kolonialisme baharu daripada hipermodenisme itu. Persoalannya, adakah kesusasteraan Melayu akan terseret ke dunia hipermodenisme itu? Melihat pada takdir sejarah sastera, lazimnya kita tidak dapat mengelak daripada terjahannya, sama seperti yang dialami sewaktu kehadiran modenisme dan pascamodenisme. Kini pun, kita sudah merasakan ledakan kehadirannya. Dunia multimedia, aneka siber dan perubahan-perubahan ekonomi dapat menunjukkan adanya arus kecepatan dan ekstrem itu dalam budaya hidup kita. Analisis kondisional terhadap beberapa gejala yang berfenomena adalah penting kerana biasanya ia menjadi katalis dan prasarana kepada kehadiran sesebuah perubahan budaya. Apapun, sekali lagi sastera kita akan mendapat ujian (Yasraf Amir Piliang, 1998).
Hipermodenisme
dalam cakerawalanya, ingin memetakan sebuah kehidupan yang super dan hipermaju.
Manusia akan menjadi raja. Segala-galanya bergerak cepat dan disediakan demi
manusia. Sastera apakah yang sesuai untuk dunia yang bergerak penuh spektakular
dan ajaib itu? Ujar Alam Touraine (1992:45-37), hukum yang mengatur budaya
manusia terkini ialah budaya chaos suatu
budaya yang tercipta hasil daripada kemodenan yang keterlaluan dan sampai ke
puncaknya. Unsur hiperkomoditi dan ekstremiti tergambar dalam masyarakat
sekarang yang dengan pantas bergerak menjulang dengan kadar laser yang penuh
daya yang di dalamnya kebaikan dan keburukan berbuar-baur dan bercampur aduk. Melampaui batas alamiah
merupakan perkara biasa, manusia melangkahi nilai-nilai semula jadi sebagai
manusia.
Hipersastera sudah terlihat pada beberapa teks yang dikatakan selari dengan keadaan zaman yang menderas dan mengekstrem itu. Oleh sebab masa telah dirampas oleh sekian banyak hiper, khalayak menuntut teks yang lebih pendek, tetapi cukup menyegarkan. Teks yang panjang, berjela-jela, melentur-lentur dan perulangan pun menjadi sebahagian daripada stilismenya, dianggap sebagai teks satanik. Sebuah novel dianggap terlalu tebal sekiranya mempunyai halaman 100 muka. 500 kosa kata sudah cukup untuk sebuah cerpen. Apalah gunanya teks yang panjang jika hanya wahana pengarangnya berceloteh dan membazirkan kata-kata. Seandainya diangkat hanya dengan menggunakan kata yang terlalu minimum untuk sebuah teks penuh estetik dan artistik, untuk apa pembaziran? Dan salah satu kriteria kritikan hipermodenisme ialah menilai kepadatannya (Mana Sikana: 2004:441).
Apa yang amat kita khuatiri, sastera tradisional akan kehilangan khalayaknya. Kita khuatir generasi alaf ini mengisytiharkan kematian terhadap sastera tradisional, seperti golongan pascamoden mengisytiharkan kematian pengarang. Mustahil! Demikian kata kita, tetapi bagaikan seorang bertubuh besar, tiba-tiba diserang ahmar, kita pun terdampar dan jadi nanar. Mungkin itu sebuah telaah masa hadapan dengan mata samar. Kata peneliti dunia alaf ketiga, dunia akan menjadi alaf nomad, akan berlaku perpindahan dari budaya ke budaya, dari cara hidup ke cara hidup, dari sistem ekonomi ke sistem ekonomi, daripada satu yang lain kepada sesuatu yang lain. Terjadi malapetaka, terperangkap oleh jerat sendiri atau masing-masing memberhalakan ideologinya; kesemuanya pesimis daripada dunia hipermodenisme. Adakah dalam kehidupan sedemikian masyarakat akan menghargai yang tradisi? Hanya orang yang mengetahui nilai tradisi akan menghargai tradisi, yang dikhuatiri ketika itu orang-orang itu hanya tinggal pada nama seperti di beberapa buah negara Islam yang hanya tinggal nama.
Berfikir seperti demikian, kita masuk ke dalam dunia chaos, dan menuntut kita bersikap cerdik
dan berwaspada. Dalam hidup ini, kita memang diajar untuk selalu sedar tentang
selalu adanya kritik. Malah, wujud manusia yang dilahirkan khusus untuk
menjadi sadis, dan kini pun sadisme itu
berkembang dalam kalangan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan