IKATAN PENULIS SABAH:
Wadah Penulis Muda
oleh
Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
Ikatan
Penulis Sabah
1.0 PENGENALAN
GERAKAN sastera bermula di Sabah sebaik saja ANGKATAN GAYA BARU (AGABA) ditubuhkan pada tahun 1957. Kemudian Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) pula lahir pada tahun 1960-an ekoran daripada kegagalan Angkatan Gaya Baru (AGABA) meningkatkan secara berkesan menangani sastera di negeri Sabah. Tetapi APMS juga terpaksa bersaing dengan Persatuan Penulis-penulis Sabah (PERPESA) sehingga lahir dua badan penulis yang amat disegani ketika itu iaitu [1]Badan Bahasa Sabah (BAHASA) dan Gabungan Penulis Sedar (GAPURA).
2.0 SEJARAH
DAN LATAR BELAKANG
MENJELANG tahun 1990-an terdapat beberapa persatuan penulis lahir aktif
khususnya di Kota Kinabalu. Persatuan-persatuan ini telah menyumbang dan
membantu menyemarakkan aktiviti kesusasteraan di negeri Sabah. Salah satu
persatuan yang dimaksudkan ialah Ikatan Penulis Sabah atau IPS.
Idea penubuhan persatuan ini diutarakan oleh 3 orang penulis muda yang amat
giat membicarakan perlunya sebuah persatuan yang akan membantu melahirkan dan
membentuk keterampilan penulis-penulis muda ketika itu.
Mereka ialah Aliuddin Mohd Salleh, Abd Naddin Haji
Shaiddin dan Jasni Matlani. Menurut [2]Abd Naddin, sukar menafikan
bahawa gelora jiwa muda mereka waktu itu.
Semangat yang membara untuk memberikan sesuatu, menghimpunkan tenaga dan
fikiran untuk menyemarakkan lagi dunia sastera di negeri Sabah. Idea mereka ini
lahir selepas beberapa siri pertemuan, sejak lebih setahun sebelumnya, ketika penulis
angkatan muda waktu itu bertemu untuk memperkatakan karya sastera sambil makan
tengahari, minum petang dan sebagainya.
Idea penubuhan IPS menjadi kenyataan pada 23 Februari
1990 bertempat di Sudut Penulis Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS).
Seramai 21 orang penulis, peminat dan
penggiat sastera yang aktif di Kota Kinabalu hadir. Pada 24 Mac 1992 IPS akhirnya
didaftarkan secara rasmi oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan dengan nombor
pendaftaran IPS ialah PPM-005-12-24031992.
3.0 [3]MATLAMAT
IPS
Sebagai sebuah organisasi berteraskan
bahasa, sastera dan budaya, IPS mempunyai harapan yang besar untuk melihat
bahasa, sastera dan budaya tempatan Sabah terus mekar merentasi zaman, menjadi
identiti kepada keunikan dan keindahan Malaysia di mata dunia..
Dalam erti
kata yang lain, IPS ditubuhkan dengan matlamat-matlamat yang berikut:
·
Mendaulatkan Bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
·
Meningkatkan mutu
sastera berbahasa Melayu di Sabah sebagai teras bahasa kebangsaan.
·
Menggalakkan
penghasilan karya sastera berunsur pembangunan insan.
·
Menerbitkan
karya-karya ahli.
·
Menganjurkan
bengkel, diskusi dan seminar bertemakan sastera.
·
Menganjurkan
sayembara sastera dengan pihak-pihak tertentu.
·
Memperkenalkan
sastera Sabah ke peringkat kebangsaan dan serantau.
·
Melahirkan bakat
penulis sastera kebangsaan yang bermutu melalui bengkel penulisan.
·
Menjaga kebajikan
ahli, khususnya dalam bab penulisan.
4.0 TOKOH-TOKOH DAN AHLI JAWATANKUASA
[4]Ahli jawatankuasa IPS yang bentuk semasa penubuhannya adalah seperti berikut:
Ketua Satu: Jasni Matlani
Ketua Dua: Ramlah Haji Osman
Setiausaha Satu:
Aliuddin Mohd Salleh
Setiausaha Dua:
Abd. Naddin Shaiddin
Bendahari: Rahimah Haji Mohd Salleh
Ketua
Penerangan: Noorrahim Matlin
AJK Tertinggi: Hamidah Pg Abdul Rahman
Omarman Haji Adul
Bakri Undayah
Parsi Haji Itar
Ramlee Abok
Mohelena Nawan
AJK Dilantik: Sharifah AM Nordin
Alung Jesmin
Esther Mawan
Ariff Osman
Waydi Mison
Salbini Marakim
IPS telah diketuai oleh para penulis yang
berkaliber. Selepas Jasni Matlani meletakkan jawatan sebagai Ketua Satu IPS
pada tahun 1998, IPS dipimpin oleh Haji Sukor Haji Usin (Hasyuda Abadi).
Hasyuda Abadi berjaya membangunkan semula IPS daripada kesan krisis yang
berlaku dalam persatuan tersebut ketika itu. Beliau adalah pemimpin IPS paling
lama iaitu sejak 1999 sehingga 2019 sebelum berundur diri untuk ahli-ahli
melantik Abd Naddin Shaiddin sebagai Ketua Satu yang baharu. Pimpinan Abd
Naddin agak singkat yakni hanya satu penggal sahaja (2019-2022). Sejak Mac
2022, IPS diketuai oleh Ustaz Abdul Muizz Awang Marusin. Abdul Muizz merupakan
generasi kedua ahli-ahli IPS yang dibesarkan persatuan ini. Dalam usia yang
masih mudah, IPS mempunyai masa depan yang sangat baik buat Abdul Muizz
mencorak lebih cemerlang lagi bersama barisan ahli jawatankuasa yang memiliki
kebolehan masing-masing.
Dalam menyelaras pentadbiran dan gerakan kegiatan,
IPS telah merekayasa semula jentera pentadbirannya dari semasa ke semasa. Sejak
1999, IPS melantik empat orang tokoh sastera, budaya dan bahasa sebagai Ahli
Kehormat. Antara tokoh yang pernah dilantik ialah Allahyarham Datuk Haji
Shuhaibun Yussuf, Allahyarham Dayang Salmah Salam, Prof. Siti Zainon Ismail,
Allahyarham Ali Amat Anas dan Dato’ Dr, Haji Janathan Kadok. Kini ahli-ahli
kehormat yang dilantik di bawah Majlis Penasihat IPS yang terdiri daripada Prof.
Madya Dr. (Ts) Ramzah Dambul, Mohamed Haji Salleh, Laliman Ahmad dan Hasyuda
Abadi.
Di samping barisan Jawatankuasa, IPS dibantu oleh Jawatankuasa Biro dan Jawatankuasa Duta. Jawatankuasa Biro berfungsi sebagai unit penyelaras IPS di luar kawasan Kota Kinabalu, makanala Jawatan Duta pula berfungsi sebagai perwakilan kehormat IPS di luar negeri Sabah.
[5]Senarai Ahli Jawatankuasa IPS sesi 2022-2024:
Ketua Satu : Abdul
Muizz Awanga Marusin
Ketua Dua: Fauziah
Haji Moksin
Setiausaha Satu: Mohd. Nurazwan
Augustine
Setiausaha Dua: Juliah
Hj. Matnoor
Bendahari: Roslan
Sohasto
Penolong Bendahari: Siti
Hajar Abdullah
Ketua Penerangan: Mohd
Azrone Sarabatin
AJK Tertinggi: Abd
Nadin Haji Shaiddin
Haji
Ghazali Haji Suhaili
Hussien
Mohamad
Junaidah
Parudin
Ashrafi
Harumin
Mabulmaddin
Haji Shaiddin
Hajah
Sahara Jais
Nurfatihah
LB Abdullah
Ramlee
Abok
Warman
Wagiman
Jawatankuasa Biro:
Nama AJK |
Biro Kawasan |
Junaidah Parudin |
Ketua Biro Sandakan (merangkap
Telupid, Tongod, Beluran dan Kinabatangan) |
Mohd. Ashrafi Harumin |
Ketua Biro Keningau |
Mabulmaddin Hj. Shaiddin |
Ketua Biro Kota Belud |
Nur Fatihah LB Abdullah |
Ketua Biro Tawau |
Nama AJK |
Duta Negeri |
Dr. Marlenny Deenerwan (Lenny Erwan) |
Duta untuk Kuala Lumpur, Selangor dan
Putrajaya |
Norlidah R. Bam |
Duta untuk Pulau Pinang |
Norjana Mohd. Adnan |
Duta untuk Kedah dan Perlis (merangkap Kelantan dan Terengganu) |
Wan Azzuar Shah Saaing |
Duta untuk Perak (merangkap
Pahang) |
5.0 KEAHLIAN IPS
IPS mempunyai tiga jenis keahlian:
§
Ahli
Kehormat yang dilantik oleh
Mesyuarat Agung bagi setiap penggal Jawatankuasa dari kalangan Ahli Biasa dan
Ahli Seumur Hidup dan berperanan menjadi penasihat kepada IPS, Jawatankuasanya
dan Ahli-ahlinya.
§
Ahli Seumur
Hidup yang berumur 18 tahun ke
atas, warga negara Malaysia yang berasal dari atau menetap di negeri Sabah,
mendaftar sekali untuk seumur hidup dengan IPS dan membayar yuran keahlian
sebanyak RM 150.00.
§
Ahli Biasa yang berumur 18 tahun ke atas, warga negara
Malaysia yang berasal dari atau menetap di negeri Sabah, mendaftar secara
tahunan dengan IPS, membayar yuran masuk sebanyak RM 10.00 setelah kemasukannya
dan RM 10.00 lagi yuran keahlian setiap tahun.
Ahli Seumur Hidup dan Ahli
Biasa selanjutnya dapat membeli kad keahlian daripada Jawatankuasa dengan harga
RM 35.00.
6.0 SUMBANGAN DAN KEGIATAN
IPS
Beberapa perkara telah
diberikan perhatian oleh IPS. Antara yang penting ialah penubuhan Institut
Penilaian Sastera atau INPES pada tahun 2001. Institut ini merupakan usaha yang
dilakukan oleh IPS atas idea ahli kehormat IPS, Yang Berbahagia Datuk Dr. Haji
Janathan Kandok. INPES ditubuhkan di bawah Amanah Raya Berhad (ARB) atas
perkenan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah. Misi INPES antaranya
memberikan penilaian terhadap karya dan penulis dan membuat kajian ilmiah
mengenai budaya, bahasa dan sastera. Salah satu misi INPES dan telah dilaksanakan
ialah memberi ruang kepada penulis melancarkan buku baru mereka di tempat lahir
masing-masing dengan sokongan masyarakat setempat. Pemikiran melalui karya
penulis terbabit diperkenalkan kepada khalayak di tempat berkenaan.
Kedua, IPS memandang serius
terhadap wacana sastera yang harus diberikan perhatian. Bengkel-bengkel
penulisan yang laksanakan bagi IPS, harus diikuti oleh pembitaraan karya.
Bagaimana karya dapat dibitarakan? Penerbitan Majalah Komposisi sebagai salah
satu wadah penyaluran karya, IPS mampu melaksanakan lebih daripada sekadar
sebuah penerbitan stensilan. Namun begitu, tanpa adanya segelintir ahli yang komited
dalam merealisasikan Komposisi di peringkat awal dahulu seperti Jasni Matlani,
Abd Naddin Shaiddin, Sharifah AM Nordin dan beberapa ahli yang lain, IPS
mungkin hanya dilihat sebagai pertubuhan yang kosong.
Ketiga, penerbitan
buku-buku sastera selain majalah Komposisi turut diberikan perhatian. IPS
pernah menerbitkan beberapa buah buku tetapi tanpa rujukan ISBN Perpustakaan
Negara Malaysia. Buku-buku yang diusahakan adalah dalam bentuk stensilan
seperti Antologi Puisi ‘Pengantin’, Antologi Puisi ‘Jalan ke Hujung Taman’ dan
Antologi ‘Arca’. Sebuah Antologi Cerpen ‘Titian Pertama’ telah
diterbitkan dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah.
Pada tahun 1997, IPS
yang pernah beroperasi di Asia City Kota Kinabalu telah menerbitkan Kumpulan
Puisi ‘Kabus’ karya Jasni Matlani, Kumpulan Puisi ‘Akar Cahaya’ dan ‘Datang
Kembali’ karya Hasyuda Abadi, Kumpulan Puisi ‘Tetap Merdeka’ karya Allahyarham
K.Bali dan dua siri buku bimbingan Penulisan Kreatif dan Penulisan Skrip Drama
Radio disusun oleh Robby A. Pada 2013, IPS mendapat mandat menjadi penerbit
buku oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Sejak daripada itu, IPS telah menerbitkan
Kumpulan Pantun ‘Usul Mengenal Asal’ karya Hasyuda Abadi, Kumpulan Puisi
‘Seniman Menangis’ karya Melan Bujang, Antologi Puisi ‘Menjilbab Cinta’ karya
para penulis IPS dan Asterwani Brunei sempena kunjungan muhibbah ahli-ahli IPS
ke negara berkenaan. Pada 2015, IPS menerbitkan antologi puisi ‘Taman Fikir’ karya
36 orang penulis IPS dan penulis-penulis Sabah. bersempena ulangtahun IPS
ke-25. Majlis jubli perak IPS tersebut telah diadakan secara gilang-gemilang pada
14 April 2015 dengan sokongan DBP Cawangan Sabah dan Dewan Undangan Negeri
Sabah.
Untuk menggerakkan ahli, IPS menganjurkan
aktiviti-aktiviti seperti Pertemuan Penulis Muda, Manifestasi Seni, Khemah
Sastera, Malam Nostalgia Sasterawan Sabah, Forum Sabah Baharu, Sayembara
Menulis Puisi Ramadan, Bicara Umum Shuhaibun Yussuf, Dondang Puisi Anjung, Baca
Puisi Teluk Likas, Baca Puisi ‘Tangisan Padang’, Baca Puisi ‘Daulat’, Malam
Apresiasi Seni PPD Tuaran dan Bengkel Penulisan Kreatif.
Pemerkasaan
aktiviti-aktiviti terus dilaksanakan dengan lahirnya program Santai Minda dan
Wacana Sastera. IPS telah dinobatkan sebagai persatuan penulis paling aktif
sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1999, 2002 dan 2004 daripada Majlis
Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS) dan DBP Cawangan Sabah.
IPS yakin ia masih
relevan menjadi payung para penulis muda di Sabah. Pemerkasaan IPS terus
dilakukan pada skala yang amat sederhana. Namun begitu konsep bitara yang
diperkenalkan semasa program motivasi pada bulan Februari 2015 akan menjadi
tanda aras kepadanya terus unggul untuk membina dan membangunkan citra sastera
kebangsaan. Bitara yang membawa maksud pencapaian paling unggul dalam
bidangnya, harus difahami oleh setiap lapisan ahli. Setiap ahli perlu mempunyai
impian dan memantapkan setiap jalur ke arah impian itu dengan iltizam serta
tumpuan masing-masing. Menjadi terampil dalam dunia persuratan harus memegang
prinsip melalui pemilikan buku sendiri, melibatkan diri dengan serius dalam pelbagai
acara sastera tanah air mahupun antarabangsa dan mengambil tahu aktiviti
persatuan pada masa yang sama terlibat dalam aktiviti-aktiviti persatuan.
Inilah antara pengisian
perjuangan yang diasaskan generasi yang menggerakkan IPS sejak ditubuhkan dan
disusuli iltizam generasi penerus selepas berlaku krisis 1998. Sejarah Gerakan sastera dalam kalangan generasi muda yang berlaku
di Semenanjung Malaysia pada saat itu turut memberikan pengaruh yang besar
terhadap kecenderungan para penulis muda di Sabah. Pada masa yang sama memang
berlaku rasa kecewa kerana kurangnya perhatian terhadap penulis generasi muda.
Persatuan penulis sedia ada seperti Badan Bahasa Sabah (BAHASA) yang dipelopori
oleh penulis-penulis senior hanya menumpukan kepada kegiatan-kegiatan sastera
yang besar tetapi kurang memberikan perhatian kepada penggiat generasi muda.
Ketika itulah IPS menjadi wadah penulis muda dalam memperjuangkan idealisme mereka dan memastikan agar suara penulis muda didengar dan rintihan mereka dalam konteks penerbitan karya diselesaikan.
7.0 PENCAPAIAN IPS DAN IMPAK
7.1 Penerbitan
7.1.1 Majalah Komposisi
Majalah Komposisi diterbitkan sebagai wahana penampungan karya ahli-ahli
IPS. Majalah ini sifatnya dalam bentuk stensilan mula diusahakan pada bulan Jun
1990. Semangat berkarya dalam kalangan ahli sangat mengujakan. Pemikiran
penulis-penulis muda seperti Sharifah AM Nordin, Abd Naddin Shaiddin, Jasni
Matlani, Mabulmaddin Shaiddin, Arif Osman, Ramlah Osman, N.R. Rahim dan
Norjanna Mohd Adnan pada era kebangkitan menjadikan majalah ini sarat dengan
idealisme baharu daripada generasi baharu.
Sebagai persatuan yang relatif bergerak secara sederhana, penerbitan
majalah ini sangat berkala. Pada tahun 1997 majalah Komposis terbit dengan baik
sekali tetapi kemudian menghilang dan lahir semula pada 2015 ketika merayakan
ulang tahun IPS yang ke-25.
7.2 Buku dan Kelahiran Penulis
Penerbitan buku turut menjadi
salah satu objektif IPS. Berikut ini merupakan buku-buku yang memuatkan
karya-karya kreatif ahli-ahli IPS dan penulis-penulis Sabah:
1. Antologi Cerpen ‘Titian Pertama’ (1991) |
Penyelenggara: Japar Ungki dan Aliuddin Mohd Salleh
2. Antologi Puisi ‘Menjilbab Cinta’ (2013) |
Penyelenggara: Azridah PS Abadi dan Firdaus HN.
3.
Kumpulan Pantun ‘Usul Mengenal Asal’ (2014) Karya Hasyuda Abadi
4. Antologi Puisi ‘Taman Fikir’ (2015) | Penyelenggara:
Hasyuda Abadi dan Jaliha Jaman
IPS turut bertanggungjawab dalam melahiran ramai penulis muda yang
berpotensi. Mereka merupakan penulis-penulis penting bagi genre puisi, cerpen, novel,
drama dan kritikan sastera. Antara penulis yang lahir dan berkembang ialah Jasni Matlani, Hasyuda Abadi, Aliuddin Mohd Salleh,
Ali Karim, Sharifah AM Nordin, Aida AR, Abd Naddin Shaiddin, Mabulmaddin
Shaiddin, Noorahim Haji Matlin (N.R Rahim), Norjanna Mohd Adnan, Ramlee Abok,
Mohd Azrone Sarabatin, Norawi Haji Kata, Sahara Jais, Liberia Stephen Arkadious
(Robby A), Muharsafa Kirana Bacho, Mohd
Jasni Yakub, Katerina Tati, Norawi Hj Kata, Dr Lenny Deen Erwan, Ony Latifah
Osman, Sukri Saifuddin, Rosyanti Hj Mohammad, Dr Mohd Puad Bebit, Diana Mohd
Derin, Rafidah A. Ghani, Rafidah Matasan, Juilis Mokejal, Junaidah Parudin (Azridah
PS Abadi), Fauziah Hj Moksin, Mohd Ashrafi Harumin, Abdul Muizz Hj Awang
Marusin, Nur Fatihah LB Abdullah, Mohd Izzudin Fitri Ali, Mohd Nurazwan
Agustine, Rozeline Vitalis, Dr Zakaria Dasan, Monsu Gudon, Wan Azuar Syah
Saaing, Roslan Sohasto, Hj Ghazali Suhaili, Warman Wagiman, dan Anirah Arbam.
7.3 Forum Sabah Baru
Semasa kerajaan baharu memerintah Negeri Sabah pada tahun 1994, IPS telah mengambil inisiatif menganjurkan sebuah forum berkaitan isu Sabah Baru dari sudut peranan golongan penulis dalam menzahirkan idealisme slogan ini. Penulis sesungguhnya mempunyai fungsi penting kerana mereka adalah golongan yang mampu mengubah pemikiran penduduk yang masih terkongkong dengan sentimen politik kesukuan yang tebal. Masyarakat perlu bersedia menerima dasar kerajaan yang mahu membina Sabah Baru demi meningkatkan tahap pemikiran mereka di samping memajukan sosioekonomi seiring dengan pembangunan negeri. Penulis adalah agen perubahan yang mampu membentuk minda masyarakat dalam menjelaskan dasar kerajaan dengan lebih berkesan. Masyarakat perlu didedahkan mengenai dasar kerajaan dan nilai murni untuk melahirkan masyarakat yang terbuka kepada perubahan. Prof. Dr. Abdul Haleem Mohd Radzi dari Universiti Kebangsaan Malaysia menggalas amanah membahas isu Sabah Baru ini. Seramai 60 orang peserta menghadiri forum ini.
7.4
Khemah Sastera IPS
Khemah Sastera IPS merupakan aktiviti tahunan anjuran
Ikatan Penulis Sabah sejak tahun 1997 yang diadakan di Binsuluk Resort,
Membakut. Yang Berhormat Datuk Karim Haji Bujang telah menyempurnakan majlis
perasmiannya. Khemah Sastera yang kedua telah diadakan pada tahun 2001 di
Kampung Tanaki, Papar, dirasmikan oleh Pengarah DBP Cawangan Sabah Encik Zaini
Ozea. Seterusnya pada tahun 2004 aktiviti ini berlangsung di Borneo Paradise
Beach Hotel Kinarut Papar dan disempurnakan majlis penangguhannya oleh Yang
Berhormat Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad, Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah
merangkap Pengerusi Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS). Aktiviti ini
dilanjutkan pada tahun 2006 di Sumur Mahmudah, Kampung Sabandar, Tuaran.
Aktiviti
ini dibuka penyertaannya kepada semua penulis di Sabah. Program ini dirancang untuk melestarikan lagi kegiatan ahli-ahli Ikatan
Penulis Sabah dalam bidang masing-masing yang berkaitan dengan kesenian tulis
seperti cerpen, puisi, novel dan lukisan. Di samping itu, aktiviti ini juga bertujuan
untuk merapatkan perhubungan sesama ahli baik penulis lama mahupun penulis
baru. Mereka akan berinterakasi sesama sendiri dan para penulis tersohor Negeri
Sabah seperti Datuk Haji Ismail Abbas, Datuk Hajah Zaiton Ajamain, Hajah Dayang
Salmah Salam, Tuan Haji Shuhaibun Yussuf, Datuk Haji Ariffin Mohd Arif dan para
pegawai DBP Cawangan Sabah.
Khemah
Sastera ini memberi pendedahan dalam bentuk ‘brain storming’ dan motivasi kepada
para peserta. Para peserta juga akan berinteraksi dengan para penulis mapan
negeri Sabah di samping mengadakan mini forum sastera yang akan membincangkan
hala tuju sastera mengaitkannya dengan isu-isu mutakhir yang hangat dibicarakan
pada masa ini.
7.5
Sayembara Menulis Puisi Ramadan
Sayembara menulis puisi Ramadan merupakan aktiviti
tahunan dianjurkan oleh IPS sejak tahun 1997.
Aktiviti ini telah menarik minat ramai khususnya para penulis dan
penyair seluruh negeri Sabah menyertai sayembara ini dan menghasilkan
puisi-puisi bermutu yang bertemakan Ramadan.
Objektif sayembara ini ialah untuk menyemarak serta mengimarahkan bulan Ramadan, memupuk
dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam kesusasteraan khususnya puisi. Selain
daripada itu, ingin mengembangkan dan meningkatkan bakat dan minat penulisan
puisi berunsur Islam dalam kalangan penulis di Sabah. Seterusnya untuk
mendapatkan puisi-puisi berunsur Islam yang bermutu dihasilkan oleh para
penulis beragama Islam di negeri Sabah.
Peraduan ini terbuka kepada penulis Malaysia yang bermastautin di Sabah. Syarat-syarat lain ditetapkan bahawa penyertaan puisi mestilah bertemakan ketuhanan dan kerohanian berunsur Islam. Keutamaan hendaklah diberi terhadap peristiwa-peristiwa penting dan pengajaran yang berlaku di bulan Ramadan.
7.6 Program Ziarah Sastera-Budaya
7.6.1 Kunjungan Saling Silang IPS-Asterawani
Dalam ungkayah pelestarian ilmu, ahli-ahli IPS turut didedahkan kepada
aktiviti di luar negara. Melalui lawatan ini akan memberikan sedikit sebanyak nilai
tambah pengetahuan berbudaya. IPS telah mengadakan ziarah dan lawatan ke Negara
Brunei Darussalam pada 2013 dan Pulau Belitung Indonesia pada 2019.
Kunjungan ke Negara Brunei Darussalam mengukuhkan lagi
jalinan dengan persatuan penulis utama iaitu ASTERAWANI atau Angkatan
Sasterawan dan Sasterawani Negara Brunei Darussalam, malah juga telah membawa
suatu pengalaman yang amat berharga kepada ahli-ahli IPS yang terlibat dalam
suasana perayaan Hari Keputeraan Sultan bagi Negara Brunei Darussalam.
Pelbagai program dan aktiviti telah diatur
sepanjang lawatan ini, antaranya dialog sastera, pengucapan puisi, syair dan
pelancaran sebuah buku antologi sajak karya ahli-ahli IPS dan ASTERAWANI. Buku
usaha sama antara IPS dan ASTERAWANI ini telah berjaya mengumpul sebanyak 63
buah sajak karya 15 orang penyair IPS dan 14 orang penyair ASTERAWANI. Antologi
sajak yang bertajuk 'Menjilbab Cinta' ini telah diselenggarkan oleh Azridah PS
Abadi dan Firdaus HN dan dilancarkan
oleh Pengarah DBP Brunei, Hajah Aminah Momen pada 28 September 2013 di Balai
Sarmayuda DBP Brunei.
Pada bulan 15 Februari - 23 Februari 2014 Asterawani
Brunei mengadakan lawatan balas ke Negeri Sabah. Antara penulis yang turut serta dalam
kunjungan ASTERAWANI ini adalah penerima-penerima anugerah SEA Write’s Award
bagi Negara Brunei. Antara kegiatan yang disusun sempena kunjungan ini ialah
Majlis Bicara Buku, Ziarah Sasterawan Datuk Jamdin Buyong, Lawatan ke Muzium Tamadun
Islam, Majlis Makan Tengahari bersama Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan
Majlis Sumbangsih Serantau Budaya.
Acara Bicara Buku ‘Antologi Sajak Menjilbab Cinta’
diadakan di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah. Dua orang tokoh sasterawan dari
Sabah dan Brunei menangani pembicaraan terhadap buku ini iaitu Jasni Matlani,
dan Profesor Madya Ampuan Berahim Ampuan Tengah. Sementara Juilis Mokejal
bertindak sebagai moderator.
Aktiviti Sumbangsih Serumpun Budaya pula menjadi
puncak terhadap program lawatan ini di mana ahli rombongan ASTERAWANI telah
dipertemukan dengan para penulis dan tokoh-tokoh sasterawan Negeri Sabah. Di
samping majlis makan malam, mereka juga akan disajikan dengan persembahan
kebudayaan, baca puisi, lagu puisi dan pertunjukan drama pendek dari Creative
Stage IPS. Aktiviti ini berlangsung di Dewan Besar DBP Cawangan Sabah pada 15
Februari 2014.
Program kunjungan sasterawan ini diharapkan akan merapatkan lagi hubungan dua negara Malaysia dan Brunei khususnya dalam gerakan persuratan kedua-dua wilayah yang sedia terjalin.
7.6.2 Kembara
Sastera ASASI Kedah ke Sabah
Pada 27 November - 30 November 2015 IPS menjadi tuan rumah sempena Program
Kembara Sastera ahli-ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Matlamat
kembara ini adalah untuk mengenali dan berinteraksi dengan para penulis Sabah
secara lebih dekat, mengadakan bicara sastera, memperkenalkan karya antara IPS
dengan ASASI dan pada masa yang sama berpeluang menikmati keindahan Negeri di
Bawah Bayu.
ASASI mengetengahkan dua orang penulisnya iaitu
Hassan Baseri Budiman yang memperkatakan buku penulis Sabah, Mohd Ashrafi
Harumin, manakala Zaidin Abadi mengupas buku Antologi Puisi IPS, ‘Taman Fikir’.
Dari Sabah, Dr Asmiaty Amat dan Yatim Ahmad diberi amanah mengupas karya
ahli-ahli ASASI,
Acara bicara karya silang penulis ini sangat menarik kerana masing-masing penulis belum mengenali secara dekat. Acara ini juga menjadi penanda aras bagi sastera di Sabah melalui pengimarahan karya-karya mengikut kajian serta pandangan penulis dari wilayah yang berbeza.
7.6.3 Kembara Sastera IPS ke Pulau Belitung
Seramai 20 penulis Sabah telah menyertai
Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS) Ke Belitung, Indonesia. Sepanjang
lawatan tersebut rombongan sempat berkunjung ke replika SD Muhamadiyah di
Gantung, Belitung Timur. Replika SD Muhammadiyah itu digunakan sebagai salah
satu lokasi penggambaran untuk filem Laskar Pelangi yang diangkat daripada
novel karya penulis Andrea Hirata.
Rombongan itu teruja dengan pengalaman
berkunjung ke sekolah itu, meskipun cuma replika dan mereka mengingat
bagaimana kegigihan sepuluh anak pulau Belitong bersekolah yang dididik oleh
seorang guru berdedikasi iaitu Ibu Muslimah Hafsari.
Lebih mengujakan lagi ialah ketika
berkunjung ke Museum Kata. Rombongan Kembara Sastera IPS sempat mendengar
sendiri pengalaman yang disampaikan oleh Ibu Muslimah Hafsari yang sudi hadir
ke Museum Kata untuk bertemu penulis-penulis dari Sabah.
Kunjungan ke SD Muhammadiyah, Museum Kata dan Tanjung Tinggi, salah satu lokasi penggambaran Laskar Pelangi adalah antara tempat yang dikunjungi penulis Sabah sepanjang kunjungan mereka ke pulau Belitung, sebuah pulau yang terletak di Provinsi Bangka Belitung. Kedudukan pulau itu sendiri terletak di antara pulau Jawa, Sumatera dan Kalimantan. Rombongan IPS juga turut mengunjungi Bupati Belitong Bupati Belitung, Bapak H Sahani Salleh.
7.7 Penubuhan INPES
INSTITUT
PENILAIAN SASTERA atau INPES ditubuhkan di bawah the Trustees (Incorportion)
Ordinance (CAP.148). INPES telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Sabah atas
perkenan Yang DiPertua Negeri Sabah pada 28 November 2001.
7.7.1 Ahli Lembaga Pengarah/Urus
setia INPES
Pengerusi Eksekutif: YBhg.
Dato' Haji Dr. Janathan Kandok
Setiausaha: Abd Naddin Haji Shaiddin
Bendahari: Haji Sukor bin Haji
Usin
Urus
Setia: Ikatan Penulis Sabah
7.7.2 Objektif INPES
a. Untuk menilai kesan sastera kepada warganegara Malaysia dalam
memenuhi kewajiban mereka sebagai warganegara.
b.
Menilai keberkesanan penulis dari segi teknik
menulis.
c.
Untuk menilai sumbangan penulis dalam pembangunan
negara.
d.
Menilai kesan kesusasteraan dalam memahami Islam.
e.
Menilai karya sastera dalam hal anugerah yang
memberikan anugerah.
f.
Menilai sumbangan organisasi-organisasi yang telah
memainkan peranan
penting
dalam pembangunan sastera kebangsaan.
g.
Menilai pembangunan sumber manusia dari segi
penghasilan kualiti karya
sastera.
h.
Untuk menyebarkan hasil penilaian sastera kepada
pihak yang
berkepentingan.
i.
Menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi
pembangunan penulis
Malaysia.
7.7.3 Sasaran INPES
INPES
akan terus memainkan peranan sebagai sebuah organisasi yang bergiat dalam
bidang penilaian sastera, menjalankan penyelidikan, penganjuran seminar,
bengkel, kursus dan sebagainya dalam usahanya untuk menyumbang ke arah
pembinaan bangsa dan Negara.
Antara pencapaian INPES
ialah penerbitan buku Kumpulan Cerpen ‘Sepasang Sayap Jelita’ karya Hasyuda
Abadi, penulis mapan Negeri Sabah. INPES juga turut menganjurkan ‘Kenduri
Puisi’ di Rumah Pangi, Sabandar Tuaran dan Program Serasehan Sastera di SMK
Perempuan Likas. Program Serasehan Sastera ini menampilkan Dr. Asmiaty Amat
membedah buku Kumpulan Cerpen ‘Sepasang Sayap Jelita’ karya Hasyuda Abadi.
Selain daripada itu INPES juga telah menjalankan penyelidikan melalui
sekumpulan penyelidik dari 3 buah universiti di Negara ini iaitu UiTM, UMS dan
UKM. Sebagai permulaan kajian memberikan tumpuan ke atas masyarakat Kimaragang
diikuti dengan masyarakat Irranun dan Murut sebelum dikembangkan kepada
masyarakat berbilang kaum yang lain di Sabah.
INPES sebagai sebuah
institusi bukan berasaskan keuntungan akan terus membuat penyelidikan,
penilaian dan promosi sastera, bahasa, sosial dan budaya masyarakat sesuai
dengan matlamat penubuhan institusi ini. INPES juga bersedia untuk memberikan
sumbangan ke arah pembangunan minda rakyat Malaysia menerusi wacana sastera
yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.
8.0 KESIMPULAN
MERPERKATAKAN
IPS sebagai sebuah persatuan di hujung kajian ini sebenarnya akan memberitahu
tentang hasrat besarnya agar dapat merealisasikan semua objektif persatuan,
Walaupun pada asasnya sesebuah persatuan itu ditubuhkan adalah untuk menjadi wahana
kepada ahli-ahli yang bernaung tetapi IPS harus juga mengambil kira kepada peranan
orang awam yang lain terhadap pembinaan dan perkembangan dunia sastera, bahasa
mahupun seni yang termaktub dalam objektif yang telah dikanunkan. IPS tidak
mahu ia dilihat hanya menjadi kepentingan ahli-ahli sehingga persatuan dilihat
dari skop yang sangat kecil. Ia membesar dalam ruang yang sangat terhad. Hal
ini juga mengelak tuduhan persatuan dikuasai individu tertentu. Oleh yang
demikan keberadaan IPS di tengah dunia yang disarati oleh kepelbagaian harus
memiliki sikap keterbukaannya.
IPS tentu tidak dapat bergerak dalam usahanya
mencapai wawasannya secara bersendirian tanpa bantuan dan sokongan material dan
moral daripada beberapa pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka Ibu Pejabat dan
Cawangan Sabah, Pejabat Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sabah, Jabatan
Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Lembaga Kebudayaan
Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah serta
agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang berkaitan. Pada masa yang sama IPS
di bawah kepimpinan yang dinamik dan progresif akan menjana fikiran dan tenaga secara
maksimum untuk merealisasikan wawasan ini sebagai satu prospek penting
penubuhannya.
IPS juga telah membina laman sesawangnya (www.ikatanpenulissabah.org) sebagai
salah satu usaha mempromosikan persatuan dan aktiviti-aktiviti persatuan. Sejajar
dengan perkembangan semasa dalam pengaplikasian teknologi, IPS turut bergerak
selari. Melalui perkembangan ini, gerakan aktiviti IPS mampu dilaksanakan
dengan lebih cekap. Sebagai contoh, mengajak orang ramai menyertai IPS tidak
lagi perlu memuat turun borang kerana sudah ada kemudahan dalam talian untuk
tujuan tersebut.
Sebagai sebuah organisasi berwibawa berteraskan
bahasa, sastera dan budaya, IPS berazam untuk menghidupkan bidang-bidang
kebitarannya menerusi aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat pembangunan insan
kepada ahli-ahlinya, rakan-rakan kongsinya dan masyarakat umum.
Sehubungan dengan itu, IPS juga telah menentukan
hala tuju dan juga wawasannya berasaskan kepada objektif persatuan. Tumpuan
atau sasaran IPS ialah kepada golongan generasi muda yang mempunyai masa depan
yang baik dalam bidang penulisan. Di bawah ini disenaraikan lapan agenda utama
IPS :-
o Mewujudkan rangkaian pemikir
dan pelaksana dalam organisasi melalui pembentukan Majlis Penasihat yang
terdiri daripada pakar-pakar tertentu dalam bidang seni, budaya, bahasa dan
sastera.
o Mewujudkan jawatankuasa Urus setia yang bertindak membantu
menjaga tempat urusannya dan melaksana semua kegiatannya. Urus Setia terdiri
daripada Ahli-ahli Jawatankuasanya sedia ada serta Ahli-ahlinya yang dilantik
sebagai kakitangan dan sukarelawan bagi membidangi urusan-urusan tertentu dalam
IPS.
o Merekayasa semula objektif
organisasi agar lebih terarah dalam usaha memandu gerakan sastera di Sabah;
o Melahirkan sasterawan muda
yang berkaliber menerusi program-program penataran, latihan, pertandingan
penulisan dan sebagainya;
o Membentuk minda sasterawan
muda dengan menjadikan bidang penulisan sebagai suatu profesion yang serius;
o Menggerakkan aktiviti sastera
secara profesional di samping meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap
aktiviti-aktiviti sastera;
o Menjadi penggerak utama
aktiviti sastera di Negeri Sabah dan meletakkan peranannya membantu badan-badan
yang sedia ada sebagai salah satu pusat sumber rujukan berkaitan sastera tanah
air; dan
o
Memberi penilaian secara profesional terhadap karya
sastera dan sasterawan melalui sebuah institusi yang telah ditubuhkan iaitu
Institut Penilaian Sastera (INPES) atau The Registered Trustees of The
Literary Evaluation Institute menerusi Amanah Raya Berhad (ARB) dan diluluskan
oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan perkenan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua
Negeri Sabah pada 28 November 2001.
Bibliografi
Abdul Naddin Haji Shaiddin, “IPS, 25 Tahun yang Lalu” dlm. Komposisi hlm. 5 April-Jun 2015.
Ikatan Penulis Sabah, 2022, Perlembagaan Ikatan Penulis Sabah (IPS). Kota Kinabalu. Ikatan Penulis Sabah.
Jasni Matlani, 2019, “Senario Penulis Muda dalam Konteks Sastera Melayu di Sabah” dlm.Angin Perubahan Memperkasa Sastera Melayu di Sabah. Kuala Lumpur.Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sharifah AM Nordin, “IPS, 25 Tahun yang Lalu” dlm. Komposisi hlm. 4 April-Jun 2015.
Wawancara
secara bebas antara penulis dengan pengasas Ikatan Penulis Sabah (IPS) iaitu Ustaz
Abdul Muizz Awang Marasin dan Abd Naddin Haji Shaiddin di Sudut Penulis Dewan
Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada jam 9.00 pagi pada 23 Julai 2022.
[1] Kini Badan Bahasa
dan Sastera Sabah (BAHASA)
[2] Seperti
tulisannya Abd Naddin Haji Shaiddin dalam Majalah Komposisi Edisi April-Jun
2015
[3]
Portal Ikatan Penulis Sabah. https://www.ikatanpenulissabah.org/latar-belakang/matlamat
[4] Majalah Komposisi,
Edisi Jun 1990
[5] Portal Ikatan Penulis
Sabah. https://www.ikatanpenulissabah.org/organisasi/jawatankuasa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan