Oleh Mohd Azrone Sarabatin
DUNIA sastera Sabah yang kembali tenang selepas seketika tegang berikutan pemilihan Sasterawan Negeri Sabah 2020 yang menimbulkan kemarahan sekumpulan penulis, dilihat kembali kepada perang dingin antara dua persatuan penulis.
Perang dingin bermula apabila pengasas Ikatan Penulis Sabah (IPS), Datuk Jasni Matlani menganggap tindakannya mengasaskan persatuan penulis itu 32 tahun lalu sebagai dosa besar kerana memecahbelahkan penulis yang baharu saja bersatu selepas sedekad bercerai-berai.
Malah Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) itu secara terang-terangan mendedahkan tindakannya meninggalkan IPS pada 1998 kerana persatuan penulis itu tidak ke mana-mana atau tidak boleh pergi jauh.
Jasni yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuat pendedahan berkenaan pada majlis Wacana Perkembangan Persatuan Penulis Sastera di Sabah di Kompleks DBP Cawangan Sabah di Kota Kinabalu, semalam.
Sementara itu, Ketua Satu IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin, berkata, walaupun dianggap tidak boleh pergi jauh atau ke mana-mana, namun IPS terus bertahan lebih tiga dekad lalu dan tidak goyah ketika dunia dilanda pandemik COVID-19.
“IPS tidak ramai tapi IPS ada. IPS masih ada sampai kini. Alhamdulillah. Yang menjadikan IPS masih ada sejak 24 Mac 1990 itu pendahulu dan penerusnya, termasuk kami semua ahlinya.
“Selagi ada kudrat dan iradat, kami meneruskan sekadarnya. Sebab adanya kami di sini bukan sahaja untuk berkiprah kepada bangsa dan negara dalam bidang kebitaraan kami, tetapi juga yang lebih penting ialah untuk meraih kasih sayang Tuhan yang Maha Kuasa, Allah SWT.
“Semoga menjadi amal jariah kepada kami semua, baik pendahulunya mahupun penerusnya... dan terima kasih kepada semua yang telah dan masih ada untuk kita semua, bangsa dan negara," katanya.
Seorang lagi pengasas IPS, Abd Naddin Shaiddin yang juga bekas Ketua Satu persatuan itu, mahu semua ahli menganggap pendedahan itu sebagai cabaran kecil untuk lebih maju dan bermartabat.
Mengulas mengenai ada ahli IPS yang mahu menyertai kegiatan kesusasteraan di ibu negara dan negeri lain yang dikelolakan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), ditolak penyertaan mereka kerana IPS bukan anggota GAPENA, Abd Naddin berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana gabungan persatuan penulis itu memperoleh dana daripada kerajaan dan sepatutnya menaungi semua penulis.
Katanya, IPS sudah dua kali mengajukan permohonan menjadi kerabat GAPENA tetapi kedua-duanya ditolak.
Malah katanya, ada tokoh dari Sabah sendiri yang menjadi ‘dalang’ untuk menolak kehadiran IPS kerana bimbang menjadi saingan kepada mereka.
Beliau berkata, selepas itu, IPS tidak lagi memohon menjadi kerabat GAPENA kerana merasakan bahawa menjadi ahli GAPENA tidak lagi begitu penting. Sebaliknya menjadi diri sendiri, dengan jati diri sendiri.
“Sebenarnya permohonan kita sendiri atas cadangan orang GAPENA dan mereka pun hairan kenapa ada pihak tertentu hanya mahu persatuan mereka menjadi kerabat,” katanya.
Terdahulu, Jasni yang juga Jawatankuasa Kerja GAPENA pada sesi soal jawab, ketika menjawab isu penolakan persatuan tertentu sebagai kerabat GAPENA menjelaskan antara puncanya adalah kekangan dana.
“Ini kerana, semakin banyak anggota kerabat bermakna dana untuk anggota pun turut meningkat dan banyak lagi isu berbangkit termasuk cadangan ahli kerabat sendiri, sebuah negeri sewajarnya hanya diwakili sebuah persatuan,” katanya.
Sesungguhnya, IPS persatuan yang berwibawa. Bukan persatuan kekampungan yang boleh diperlekehkan.
**Penulis adalah Ketua Penerangan IPS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan