Rabu, Disember 20, 2017

Memekar Sastera Islami di Taman Tamadun


Oleh HASYUDA ABADI
hasyuda@gmail.com
MENGINGATI Rasul Junjungan tidak sekadar perarakan atau ceramah bahkan ikut diimarahkan dalam bentuk kesenian dan persuratan. Di negeri ini misalnya, perayaan Maulidur Rasul begitu sinonim dengan pengungkapan-pengungkapan sastera yang mesra. Misalnya penganjuran Mahrajan Sastera Islam yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Malam Mengucapan Puisi Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Melalui aktiviti ini masyarakat telah mengenali apakah peranan penyair dalam usaha menerapkan ajaran Islam melalui karya sastera khususnya puisi.
Sesungguhnya Mahrajan Sastera Islam berlangsung dengan berjaya sekali. Nadwah sastera Islam mengenengah ramai tokoh dari dalam dan luar negara. Bidang penerbitan pula menzahirkan banyak buku puisi berunsur Islam. Sebanyak 18 buah antologi puisi telah diterbitkan sehingga tahun 2005. Antaranya Antologi Puisi Kekasih (1987), Ujana Laut Ujana Hati (1989), Al-Kahfi (1992), Kiswah Rindu (1993), Qiam (1995), Kafilah (1996), Mujaddid (1997), Tasbih Rindu (1998), Cahaya (2000), Sapaan Bonda (2002), ‘Iktikaf (2003), Nyanyian Iman  (2004) dan Hadrah Cinta (2005). Buku-buku puisi ini menjadi khazanah sastera paling penting apabila membicarakan perkembangan sastera Islam di Sabah malah sebagai sumber penting sastera Islam nasional.
Pemikiran Islami dapat diterapkan menerusi nadwah yang dianjurkan, di situ sahaja dapat menyalurkan gerakan aktiviti persuratan Islam dan seterusnya mengekalkan kehebatan Mahrajan Sastera Islam yang menjadi miliki kita sekian lama. Bagaimanapun, untuk memiliki semua ini, bergantung kepada kewibawaan dan iltizam bersama.Penulis perlu dilibatkan, aktiviti kesenian Islam harus melibatkan kelompok yang lebih luas bukan semata-mata pihak-pihak tertentu semata-mata. Kesenian Islam itu bukan hanya pada seni nasyid, seni khat, seni kompang dan sebagainya tetapi ia harus menyeluruh. Apabila bertemua dengan sahabat-sahabat lama, ada perkara yang telah dengan sengaja menjadi buah cerita, cerita-cerita itu tetap sama. Sastera kita sepatutnya semakin melebar dalam intipati kehidupan masyarakat kita, yang telah digelombangi pelbagai perubahan budaya. Tentu sahaja apabila menoleh kembali ke belakang kita inginkan kegemilangan itu terus berlangsung.
Beberapa orang penyair terbaik dari luar negara pernah dipelawa menyertai Nadwah Sastera Islam sebagai salah satu program Mahrajan Sastera Islam.  Bukan mudah bagi penulis bahkan masyarakat tempatan menemui penyair nusantara Taufik Ismail atau Abdul Hadi W.M. secara lebih dekat selain membaca puisi-puisi melalui buku-buku mereka.Melalui aktiviti ini juga masyarakat diperkenalkan dengan tokoh-tokoh penyair selain berupaya membacakan puisi-puisi Islam bahkan diangkat sebagai tokoh penyair negeri yang disegani.Penobatan Tokoh Penyair Islam Sabah meletakkan penulis dan penyair terbaik bagi Negeri Sabah berada di pentas penghargaan. Itu kenangan yang tetap segar bagi saya dan saya fikir sahabat-sahabat yang terlibat ketika itu.  Menerusi Mahrajan Sastera Islam, kita telah mempunyai tokoh penyair Islam, antaranya Pengiran Haji Adnan Pengiran Abbas (Allahyarham), Datuk Haji Jamdin Buyung, Ustaz Datuk Haji Jalidar Abdul Rahim, Datuk Haji Shuhaibun Yussuf (Allahyarham), Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain, Datuk Hajah Noraini Datuk Haji Salleh, Haji Harun Haji Salleh (Allahyarham), Hajah Sairah Haji Antin (Allahyarhamah), Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Ariff, Haji A.B.M Fajeer (Allahyarham), Hasyuda Abadi dan Datuk Jasni Matlani. 
Begitu pun kita bersyukur program Mahrajan Sastera Islam masih terus berlangsung sejak 2012 dan dijadikan program tahunan kepada daerah Membakut di bawah pimpinan Datuk Haji Mohd Ariffin Haji Mohd Arif. Mahrajan Sastera Islam membuka ruang lebih luas ke Nusantara lalu mengubah nama program kepada Mahrajan Persuratan dan kesenian Islam Nusantara. Beberapa orang tokoh sasterawan Nusantara dari Indonesia, Brunei dan Malaysia sendiri diberi anugerah penghargaan. Dua buah antologi puisi turut berjaya diterbitkan iaitu ‘Sinar Sidiq’ dan ‘Hitam dan Putih’. Pada tahun 2018 program ini merupakan tahun ke-7 dan akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JAHIENS). Antara pengisian yang telah dilancarkan ialah Pertandingan Menulis Khat Asean dan Peraduan Menulis Puisi Islam Asean.
Perancangan yang dinamik memerlukan iltizam yang amat tinggi namun hal-hal yang lebih umbi harus diserlahkan oleh para penyair untuk mendalami sirah Rasullah SAW sebagai pembawa rahmat dan merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar.Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.
Para penyair juga boleh memperteguhkan mesej Islami mereka mengenai Rasulullah SAW dari sudut politik baginda. Kekuatan politik Nabi Muhammad telah menjadi kuat apabila umat Islam berjaya mengalahkan orang Quraisy dan menakluk kota Mekah pada tahun 629 Masihi. Dengan kejatuhan Kota Mekah, penyair-penyair Arab yang mencaci agama Islam dan menghina Nabi Muhammad SAW dalam puisi mereka merasa gentar dan mulai khuatir tentang hukuman yang bakal diterima.Dengan perubahan politik tersebut, penyair-penyair Arab mulai mengubah sikap mereka dan juga tema-tema puisi yang diciptakan.
Haji Zainal Arifin Abbas dalam bukunya bertajuk  Peri Hidup Muhammad Rasulullah S.A.W (1969: 28) menerangkan bahawa, satu, dua, atau tiga bait syair yang dapat memberikan pujian yang tinggi kepada seorang pembesar dapat menjadikan seseorang itu dipandang mulia dan membuka ruang untuk hidup lebih senang. Sebaliknya, satu, dua atau tiga bait syair yang dikesan menghina para pembesar, khalifah ataupun amir-amir dapat mencelakakan penyairnya.Justeru, bukan sedikit leher penyair yang dipenggal kerana syair gubahan mereka.
Sikap Rasulullah terhadap puisi umpamanya sangat menggalakkan kerana tindak tanduk Baginda sendiri mencerminkan kegemaran Baginda terhadap puisi-puisi bermutu. Pernah dikisahkan dalam suatu perjalanan bersama seorang sahabat, Rasulullah S.A.W. telah meminta sahabat baginda mendeklamasikan puisi gubahan Umaiyah bin Abi al-Salt, seorang penyair pra-Islam. Apabila sahabat Baginda berhenti bersyair, Rasulullah S.A.W. meminta sahabat tersebut menyambung semula sehingga ke seratus baris. Setelah selesai puisi tersebut dideklamasikan, Rasulullah bersabda bahawa di dalam puisi itu, Umaiyah bin Abi al-Salt hampir menjadi seorang Muslim. 
Kegemaran Rasulullah S.A.W. terhadap puisi terserlah apabila Baginda menggunakan tenaga beberapa penyair Muslim untuk membantu menentang musuh Islam. Antara penyair-penyair tersebut ialah Hassan bin Thabit, Ka’b bin Malik dan Abdullah bin Rawahah.
Hassan bin Thabit dikenali sebagai penyair yang mula-mula mempelopori tradisi puisi memuji Rasulullah S.A.W. Lantaran itu, beliau telah dilantik dan diberi kepercayaan selaku penyair peribadi Baginda dalam usaha menangkis sindiran dan kecaman penyair-penyair musyirikin. Rasulullah pernah berdoa kepada Allah yang khusus ditujukan kepada Hassan bin Thabit iaitu, “Ya Allah tetapkanlah dan kuatkanlah Hassan dengan Ruhul Kudus.” Menurut keterangan seorang sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah bahawa, yang dimaksudkan Ruhul Kudus ialah malaikat Jibril.
Syair yang dihasilkan oleh Hassan ke arah membela dan mempertahankan Rasulullah dari menjadi mangsa ejekan dan penghinaan orang kafir Quraisy terutamanya dalam menangkis penyair-penyair yang terdiri daripada kaum musyirikin.Dalam peristiwa perang Badar, Hassan telah membela Nabi dari serangan syair kaum musyirikin yang menghina Baginda dan ajaran agama yang dibawa oleh Baginda.Namun begitu, Hassan dapat membalas segala syair mereka secara spontan.
Rasulullah S.A.W pernah berkata kepada Hassan iaitu, “Ejeklah mereka hai Hassan dan Jibril sertaimu.” Hal demikian diperjelaskan lagi oleh Abul Faradj al Isfihany di dalam kitabnya bertajuk Al A-Ghany yang mengatakan bahawa Jibril telah menolong Hassan dengan tujuh puluh bait syair memuji Rasulullah S.A.W.
Menurut riwayat Imam Abu Daud dari Ummul Mu’minin Aisyah r.a, Rasulullah S.A.W telah mengadakan suatu tempat khas di mimbar Baginda di Madinah bagi Hassan bersyair dengan tujuan membalas penghinaan  sekalian musuh yang memomokkan Baginda dan agama Allah. Menurut riwayat Ummul Mu’minin Aisyah r.a, beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Itulah dinding antara kita dan orang munafik, tidak ada yang mencintai Hassan melainkan orang yang beriman dan tidak ada yang membencinya melainkan orang yang munafik.”
Di dalam Al-Quran Allah SWT telah menegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”  (al-Ahzab 21: 670)
Ayat di atas menjelaskan bahawa, Rasulullah S.A.W. adalah ikutan atau contoh yang baik bagi orang yang beriman iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan pahala dari Allah SWT dan mengharapkan balasan pada hari kemuliaan serta mereka sentiasa mengingati Allah. Puji-pujian terhadap Rasulullah S.A.W. yang dijelmakan dalam kesusasteraan Islam khususnya dalam genre puisi yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan Baginda merupakan salah satu usaha para penyair melahirkan rasa kecintaan dan sanjungan terhadap Rasul Junjungan. Secara tidak langsung ia dapat membawa amanat bahawa nilai-nilai terpuji Rasulullah S.A.W. wajar dijadikan panduan dan suri teladan bagi membentuk peribadi Muslim dalam menggerakkan susastera Islami di taman tamadun sepanjang zaman.


PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2017

Tiada ulasan: