oleh Hasyuda Abadi hasyuda@gmail.com |
ADAT adalah aneka kelaziman dalam sesebuah negeri berdasarkan kepada keadaan dan situasi sesuatu masyarakat itu. Ringkasnya, adat adalah peraturan hidup sehari-hari. Ia merupakan gagasan kebudayaan yang terdiri daripada nilai-nilai kebudayaan, norma, kebiasaan, kelembagaan dan hukum adat yang lazim dilakukan di sesuatu daerah. Secara umumnya, kelaziman atau kebiasaan sesuatu perkara yang dilakukan itu telah bersebati dalam kehidupan sesuatu masyarakat; dari suatu negara, kebudayaan, waktu atau agama yang sama. Adat dapat diteruskan dengan adanya informasi yang disampaikan dari generasi ke generasi, baik secara bertulis ataupun lisan.
Adat resam atau adat istiadat yang diterima oleh sesuatu bangsa merupakan cetusan peraturan dan panduan di mana ia adalah satu garis penentu sesuatu hukum yang dilaksanakan oleh masyarakat tersebut. Sesebuah masyarakat menjalani kehidupan berdasarkan amalan nenek moyang mereka sebagai menyempurnakan atau melaksanakannya sebagai satu peraturan. Peraturan ini menjadi amalan dan kebiasaan, menjadi sifat dan tabiat manusia semulajadi di mana lama-kelamaan telah menjadi satu kemestian yang diikuti secara turun-temurun bagi mengekalkan tradisi sesuatu kaum itu. Misalnya majlis perkahwinan, upacara bercukur, anak turun tanah, berkhatan dan sebagainya.
Boleh dikatakan setiap suku bangsa mempunyai adat dengan pengertian masing-masing. Justeru, bagi memahami maksud adat sesuatu suku bangsa itu kita harus menggunakan atau memahami budaya dan falsafah hidup mereka.
Ramai sarjana juga telah membuat pelbagai penafsiran bagi istilah adat. Setiap masyarakat yang mengamalkan adat resam adalah masyarakat yang hidup bertatacara. Ini memperlihat kehidupan mereka berlandaskan norma-norma kehidupan positif yang perlu dipatuhi. Adat resam, adat istiadat dalam setiap suku bangsa itu semestinya terdapat perbezaan dan berlainan dari cara perlaksanaan dan pemakaiannya. Namun, apa juga penafsiran dan perbezaan adat dalam sesebuah masyarakat itu, tujuannya adalah serupa, iaitu untuk membentuk suatu masyarakat yang maju, dinamik dan progresif, kerana adat dapat mencerminkan jiwa suatu masyarakat atau bangsa dan merupakan suatu keperibadian dari suatu masyarakat atau bangsa.
Menurut Zainal Kling (2004), dari segi etimologis, adat berasal dari bahasa Arab yang bererti kebiasaan. Masyarakat Alam Melayu yang telah menerima pengaruh Islam dan peradaban Arab, mengetahui erti dan konsep adat. Walau demikian halnya, ternyata bahawa hampir semua masyarakat Alam Melayu atau Nusantara, baik masyarakat itu telah menerima pengaruh peradaban Islam atau tidak, telah memadukan konsep itu dengan erti yang hampir sama dalam kebudayaan mereka. Mereka ini termasuk masyarakat tradisional yang masih mengamalkan kepercayaan tradisi (animisme dan dinamisme), atau telah menganut agama Kristian—seperti masyarakat Iban, Bidayuh, Kenyah, Kayan, dan Kalabit di Sarawak; Murut, Kadazan (Dusun) di Sabah; Dayak Kalimantan; Batak Toba, Karo, di Sumatera Utara; dan Toraja di Sulawesi, dan juga suku bangsa Filipina, hingga melahirkan sebuah kesatuan dasar budaya serantau yang sangat menarik.
Dalam masyarakat tradisi Alam Melayu, konsep adat memancarkan hubungan mendalam dan bermakna di antara manusia dengan manusia juga manusia dengan alam sekitarnya, termasuk bumi dan segala isinya, alam sosiobudaya, dan alam ghaib. Setiap hubungan itu disebut dengan adat, diberi bentuk tegas dan khas, yang diekspresikan melalui sikap, aktiviti dan upacara-upacara. Adat ditujukan maknanya kepada seluruh kompleks hubungan itu, baik dalam erti intisari eksistensi sesuatu, dasar ukuran buruk dan baik, peraturan hidup seluruh masyarakat, mahupun tata cara perbuatan serta perjalanan setiap kelompok institusi.
Adat muncul sebagai struktur dasar dari seluruh kehidupan dan menegaskan ciri keperibadian suatu masyarakat. Oleh kerana itu, adat biasanya memiliki cerita atau mitos suci, watak-watak asal-usul yang gagah dan unggul, serta memberikan dasar makna terhadap setiap peristiwa dalam siklus hidup manusia, serta eksistensi institusi dalam masyarakatnya.
Dengan demikian, dalam masyarakat tradisi, adat memiliki kedudukan suci hingga mencapai martabatnya; dipancarkan oleh kelakuan yang benar serta halus; sebuah ciri kehidupan yang menyerap sistem kepercayaan, hukuman, dan denda. Setiap individu yang melanggar, menyelewengkan, melebihi, mengurangi, atau menafikannya, akan menerima balasan dan hukuman, baik melalui pemegang kekuasaan adat itu sendiri maupun Tuhan dalam kepercayaan mereka. Sebaliknya, setiap yang berhasil melaksanakan adat, akan berkuasa, berwibawa, juga memegang, menjalankan, dan patuh kepada adat. Dengan demikian, adat memberi makna konfigurasi yang mendalam, serta makna kestrukturan dalam sebuah masyarakat dan kebudayaannya.
Adat merupakan identiti yang berfungsi untuk mengintegrasikan seluruh masyarakat dan kelompok kecil masyarakat tersebut. Setiap kelompok akan dikenali oleh kelompok lain dengan perbezaan adatnya. Dalam rangka ini, adat juga menjadi identiti subkultur tertentu, seperti masyarakat Melayu membezakan adat orang Kelantan, Melaka, Perak, Johor, Deli, Riau, Bengkulu, Bangka-Belitung, Palembang, Kutai, Pontianak, dan lainnya. Demikian pula konsep yang sama dipergunakan untuk membezakan atau mengenali orang asing di luar konteks masyarakat Melayu.
Kegagalan kultural orang bukan Melayu, dalam rangka mengikuti cara orang Melayu duduk, makan, atau bersalaman pada upacara perkawinan misalnya, adalah kerana adat yang mereka gunakan berbeza dengan adat Melayu. Jika kesalahan adat ini berlaku sesama masyarakat Melayu, maka dengan sendirinya ia akan mendatangkan hukuman atau sanksi. Paling tidak seseorang itu dilarang berbuat atau menyebut sesuatu, kalau pun tidak dimarahi dengan hukuman tidak tahu adat atau tidak beradat. Dengan demikian adat memiliki fungsi (pengenalan) dan juga normatif (hukuman). Kedua fungsi ini berlaku dalam rangka hubungan manusia dengan sesama manusia, dan manusia dengan alam (baik alam kasat mata mahupun alam ghaib).
Menurut Tenas Effendy salah satu yang dihindari oleh orang Melayu adalah ia tidak tahu adat atau tidak beradat. Pernyataan ini bukan hanya sekadar hinaan, yang dimaknai secara budaya adalah kasar, liar, tidak bersopan santun, tidak berbudi—tetapi juga ia tidak beragama, kerana adat Melayu adalah berdasar pada agama. Jadi tidak beradat sinonim maknanya dengan tidak beragama (2004:57).
Ungkapan adat Melayu menjelaskan, ‘biar mati anak, jangan mati adat’ mencerminkan betapa pentingnya eksistensi adat dalam kehidupan masyarakat Melayu. Dalam konsep etnosains Melayu, dikatakan bahawa mati anak duka sekampung, mati adat duka senegeri, yang menegaskan keutamaan adat yang menjadi anutan seluruh lapisan masyarakat dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa, dan bernegara. Dari sisi lain, makna ungkapan adat biar mati anak jangan mati adat mengandung makna bahawa adat (hukum adat) wajib ditegakkan, walaupun harus mengorbankan keluarga sendiri. Maknanya adalah adat adalah aspek mendasar dalam menjaga harmoni dan konsistensi internal budaya, yang menjaga keberlangsungan struktur sosial dan kesinambungan kebudayaan secara umum. Jika adat mati maka mati pula peradaban masyarakat pendukung adat tersebut.
Menurut Husin Embi et al. (2004:85), masyarakat Melayu kaya dengan adat-istiadat, yang diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi ke generasi berikutnya. Komitmen yang ditunjukkan oleh masyarakat Melayu terhadap adat ini, jelas tergambar dalam ungkapan berikut ini.
Kecil dikandung ibu,
Besar dikandung adat,
Mati dikandung tanah.
Biar mati anak,
Jangan mati adat.
Laksmana berbaju besi,
Hidup berdiri dengan saksi,
Adat berdiri dengan tanda.
Besar dikandung adat,
Mati dikandung tanah.
Biar mati anak,
Jangan mati adat.
Laksmana berbaju besi,
Hidup berdiri dengan saksi,
Adat berdiri dengan tanda.
Lebih jauh menurut Tenas Effendi (2004:58), masyarakat Melayu menyatakan bahawa: Apa tanda Melayu sejati? Adat resamnya pakaian diri. Apa tanda Melayu terbilang? Adat dipakai pusaka disandang. Apa tanda Melayu bertuah? Memegang amanat ia amanah. Jadi contoh ideal seorang Melayu adalah ia memahami, menjalankan, dan menghayati adat. Sehingga ia akan selalu menggunakan adat dan pusaka budaya dalam kehidupannya, dan ia menjadi orang yang amanah (salah satu contoh ideal kepemimpinan dalam Islam).
Pentingnya adat dalam kehidupan masyarakat Melayu adalah berfungsi untuk mengatur hampir semua sisi kehidupan, memberikan arahan dan landasan dalam semua kegiatan, mulai dari hal yang besar sampai kepada hal yang paling kecil. Adat mengajar orang untuk menjadi manusia beradab, bersopan santun, toleran, saling menghormati, tahu diri, tolong-menolong—agar dapat menciptakan suasana kerukunan dan kedamaian dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa, dan bernegara. Selain itu, adat Melayu bersumber dan mengacu kepada ajaran Islam. Oleh kerana itu adat dijadikan identiti setiap peribadi orang Melayu. Sesuai dengan ajaran adat Melayu, kalau hendak tahu kemuliaan umat, tengok kepada adat-istiadatnya, bahasa menunjukkan bangsa, adat menunjukkan umat.
Rujukan Kepustakaan:
Husin Embi (et al.). (2004). “Adat Perkawinan di Melaka.” di dalam, Abdul Latiff Abu Bakar dan Hanipah Hussin (ed.), 2004. Kepimpinan Adat Perkawinan Melayu Melaka. Melaka: Institut Seni Malaysia Melaka.
Tenas Effendy. (1994). Tunjuk Ajar Melayu. Yogyakarta: Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu.
Tenas Effendy. (2004). Pemakaian Ungkapan dalam Upacara Perkawinan Orang Melayu. Yogyakarta: Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu
.
Zainal Kling. (2004). “Adat Melayu.” di dalam Abdul Latiff Abu Bakar dan Hanipah Hussin (ed.), 2004. Kepimpinan Adat Perkawinan Melayu Melaka. Melaka: Institut Seni Malaysia Melaka.
PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan