Ahad, September 03, 2017

BAHASA PATRIOTISME, BENDERA SEORANG WARGA


Oleh: HASYUDA ABADI
hasyuda@gmail.com
“APA faedahnya mengibarkan bendera?” Ini mungkin pertanyaan dan mungkin juga suatu pernyataan. Bagaimana pun bagi kebanyakan daripada kita akan mengaitkannya dengan bulan kemerdekaan sebagai menunjukkan semangat cintakan Negara atau patriotisme terhadap erti kemerdekaan yang dikecapi.  Seperti kelazimannya para penulis puisi dan cerpen telah menghasilkan karya-karya berkaitan patriotisme di sepanjang bulan Ogos lalu. Persatuan Penulis Nasional (PENA) misalnya telah mengambil inisiatif mengumpul 168 buah puisi sebagai zahir kemerdekaan oleh hampir 200 penyair dari seluruh negara.

Sejak kecil saya percaya semua telah tahu makna sebuah bendera. Di sekolah bendera akan dinaikkan setiap pagi diiringi lagu-lagu kebangsaan Negara dan Negeri masing-masing. Mana-mana agensi yang amat tinggi semangat cintakan organisasinya juga tahu makna bendera yang mereka miliki. Sikap ini sepatutnya telah menjadi diri setiap warga pekerja seperti mana setiap warganegara wajib menghayati kewujudan bendera Kebangsaan dan Negerinya.

Saya secara peribadi tidak pernah melupakan keharusan untuk menghormati bendera yang dimiliki selama ini. Telah lebih separuh abad usia, sudah tentu bukan masanya untuk memperlekehkan ‘daulat’ sebuah bendera. Di dalam sanubari kita telah tersemai semangat menjaga, menghargai dan menghormatinya. Pada setiap bulan kemerdekaan bendera menjadi suatu kewajaran untuk dikibarkan. Jalur gemilang sewajarnya digemilangkan.  Walaupun bendera hanyalah selembar kain yang dicorakkan dengan warna dan lukisan tertentu, namun bagi rakyat yang tinggi sifat patriotisme  melihat bendera kebanggaan negara itu mempunyai nilai dan darjat yang cukup istimewa.

Patriotisme sering ditunjukkan melalui tindakan-tindakan simbolik, seperti mempamerkan bendera, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan berunsurkan kenegaraan secara beramai-ramai, meletakkan pelekat patriotik pada kenderaan, atau apa-apa cara sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara pada peringkat umum. Bagaimanapun, masyarakat sekarang seakan-akan lupa akan pentingnya memupuk semangat patriotisme dalam diri masing-masing. Hal ini kerana kita sering kali melihat segelintir anak bangsa kita yang tidak mengambil endah akan isu-isu yang menonjolkan semangat patriotisme seperti bangga akan pencapaian negara dan budaya bangsa, kehendak memelihara ciri-ciri bangsa dan dasar budayanya dan identifikasi dengan ahli-ahli lain dalam bangsa. Namun ciri-ciri patriotmese kelihatan terserlah sewaktu menyaksikan para atlet kita sepanjang berlangsungnya Sukan SEA ke-29, 2017 baru-baru ini. Kita berharap semangat ini tidak bermusim sifatnya.

Tanpa kita sedar patriotisme memainkan peranan yang sangat penting dalam diri setiap rakyat Malaysia dalam mengekalkan kemerdekaan yang telah kita capai selama ini. Antara signifikasi patriotisme adalah membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum, menjadi pemacu kepada kemajuan negara serta satu pelaburan strategik ke arah keselamatan negara.  

Kestabilan ekonomi sesebuah negara tidak dapat dikekalkan jika masalah-masalah dalaman yang telah dihadapi atau sedang diharungi, tidak dirungkai. Rakyat Malaysia perlu sedar betapa pentingnya nilai patriotisme bagi memupuk semangat perpaduan yang tinggi sekali gus menentukan hala tuju negara ke arah negara maju yang kukuh. Kejayaan yang telah dicapai pada hari ini bukanlah bergantung kepada individu semata-mata, tetapi merangkumi semua aspek seperti ke arah patriotisme rakyat.

Mengaitkan patriotisme melalui pengibaran bendera, bagi sebuah negara berdaulat, bendera merupakan simbol dan juga identiti utama bagi negara itu. Bendera melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan sesebuah negara. Ia juga memiliki makna ideologi bagi negara itu.

Kajian ilmu tentang bendera (ilmu veksilologi) yang diasaskan oleh seorang Amerika Syarikat (AS) bernama Whitney Smith pada tahun 1957 adalah bukti begitu pentingnya nilai dan makna bendera bagi bangsa yang bertamadun. (http://pmr.penerangan.gov.my/, 2012)

Kajian tentang bendera ini cukup luas cakupannya merangkumi sejarahnya, reka bentuknya, bahagian-bahagian dari bendera tersebut, gaya, warna, gambarnya, protokol-protokol bendera dan apa jua yang berkaitan dengan bendera. Sepanjang sejarahnya, bendera yang digunakan oleh pelbagai bangsa dan negara itu mempunyai variasi (kepelbagaian) yang unik. Pada awalnya, bendera digunakan untuk membezakan pihak yang sedang berperang.

Dalam lipatan sejarah Islam, diceritakan seorang pembawa bendera bernama Mush’ab bin Umair. Mush’ab bin Umair adalah pemegang bendera Islam dalam peperangan. Ketika di medan perang Uhud, datang seorang penunggang kuda dari pasukan musyrik yang bernama Ibnu Qumai-ah al-Laitsi (yang mengira bahawa Mush’ab adalah Rasulullah SAW), memintas tangan kanan Mush’ab hingga terputuslah tangan kanannya. Benderanya beralih ke tangan kirinya. Lalu Ibnu Qumai-ah datang kembali dan menebas tangan kirinya hingga terputus. Mush’ab mendekap bendera tersebut di dadanya sehingga anak panah terpacak di dadanya, barulah bendera tersebut jatuh. Setelah Mush’ab gugur, Rasulullah menyerahkan bendera pasukan kepada Ali bin Abi Thalib (Ibnu Ishaq, Hal: 329).

Dalam sejarah perang salib antara Islam dan Kristian, kedua-kedua pasukan terbabit akan membawa dan mengibarkan bendera mereka bagi membakar semangat tentera dan rakyatnya. Tugas memegang bendera biasanya diserahkan kepada seorang atau beberapa pahlawan yang kental semangat juang agar tidak jatuh ke tanah. Mereka akan mempertahankan bendera masing-masing sebagai lambang kedaulatan. Dalam keadaan kucar kacir ketika peperangan, bendera pasukan akan dijulang tinggi  ke  udara supaya seluruh tentera segera berkumpul pada bendera tersebut bagi menantikan arahan selanjutnya daripada kepimpinan pasukan.

Penggunaan bendera kemudiannya berkembang sebagai simbol kelompok masyarakat, kelompok agama serta kelompok-kelompok lainnya. Akhirnya, bendera menjadi simbol negara-bangsa dan juga organisasi-organisasi seperti yang kita kenal sekarang ini.

Jelaslah bahawa kewujudan bendera itu mempunyai akar umbinya tersendiri. Seorang warganegara yang baik dan prihatin terhadap kedaulatan negaranya akan memberikan penghormatan sewajarnya terhadap bendera tanah airnya. Ia tidak akan memijak, menconteng dan mengoyakkan bendera tanah airnya. Ia juga sedar bagaimana dan di mana bendera harus diperlakukan. Bagaimana imej bendera itu diletakkan. Jangan pula ketika menebalnya semangat patriotik seseorang hingga menjadikan imej bendera bukan pada tempatnya misalnya dijadikan busana, topi serta bentuk-bentuk yang tidak dibenarkan. Sebab itu kita hendaklah memastikan bendera yang ingin dikibarkan itu berada dalam keadaan yang baik dan sempurna. Bendera akan dilipat dan dibentangkannya dengan baik dan tertib serta diletakkan di tempat yang bersih dan layak seperti mana telah ditetapkan dalam peraturan yang sedia ada.

Bendera bagi sesebuah negara turut dihargai oleh negara atau bangsa lain. Misalnya, apabila ketua tertinggi sesebuah negara itu mengadakan kunjungan hormat ke sebuah negara lain maka bendera negara tamu itu akan turut dikibarkan mengikut protokolnya.

Dalam pertandingan sukan antarabangsa, bendera negara-negara yang mengambil bahagian akan dikibarkan dengan megahnya. Namun, kerap juga berlaku bendera bagi sebuah negara dijadikan sasaran oleh negara lain terutamanya ketika saat krisis kedua-dua negara itu menjadi genting. Mungkin rakyat dari salah sebuah negara yang berkrisis itu menunjukkan kemarahan atau protes mereka dengan cara membakar, mengoyak dan memijak bendera seterunya.
Memang benar mengibarkan bendera bukannya satu-satunya cara untuk menunjukkan semangat patriotisme tetapi setidak-tidaknya sambutan kemerdekaan negara yang disambut setahun sekali itu dipamerkan melalui kemeriahan kibaran Jalur Gemilang. Apatah lagi jika ia dilakukan dengan penuh penghayatan terhadap erti sebuah kemerdekaan.

Ironinya pula, apalah erti Jalur Gemilang berkibar megah, jika nilai sejarah tidak dihormati? Apa gunanya setiap rumah mengibarkan bendera jika masih ada rakyat yang tidak boleh berbahasa Kebangsaan atau meremeh-temehkan bahasa Kebangsaan? Apa ertinya negara menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan atau Hari Malaysia, jika rakyat yang berbilang bangsa masih lagi bersyak wasangka sesama sendiri. Semua ini masalah pokok yang harus diselesaikan. Jika tidak sambutan-sambutan yang terbilang tidak ada erti dan tiada bezanya dengan perayaan lain yang dirayakan di negara ini. (Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, 2014)

Mungkin pantun klasik karya Allahyarham Dr. Burhanuddin al-Helmi (Burhanuddin bin Muhammad Nor), salah seorang tokoh pejuang kemerdekaan,  dapat memberikan erti kemerdekaan:

Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka;
Bersatu-padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.

Merdekakah kita sebenarnya? Merdekakah kita dengan kibaran bendera-bendera yang bermaksud kebebasan? Mungkin benar kita telah merdeka daripada jajahan, sebaliknya, kita terus dijajah oleh pemikiran kita sendiri. Terpenjara dalam ruang ciptaan prasangka yang tebal. Mari kita bebaskan diri kita ini dengan menghayati erti sebenar perit mencapai kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha mengekalkannya. Semoga teriakan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” yang dilaungkan penuh dengan getaran daripada jiwa yang benar-benar ingin merdeka. 


Pustaka Iqbal Nazim



Tiada ulasan: