Sabtu, Ogos 26, 2017

INTI MERDEKA DAN SAJAK-SAJAK LAIN

I N T I  M E R D E K A

Mereka leka
merdeka dijadikan hanya pesta
hanya yang mengerti intinya jua
terbentang dalam jiwa yang merdeka.

Merdeka mana merdeka
andai diri masih diasaki kekeliruan
merdeka mana mereka
andai masih teruja oleh akal kontang
merdeka mana merdeka
andai memilih kebatilan lebih lumrah
merdeka mana merdeka 
andai penghayatan menyenangi busana indah 
merdeka mana merdeka 
andai laungan hebat semata suara tanpa jiwa.

Mereka leka
menulis intipati kemerdekaan
tatkala perseteruan terus menebal
saat persefahaman terus diperjuangkan
ketika perjalanan kemakmuran menjadi
tikaman dan libasan dalam diam-diam.

Kita memahami betapa harumnya negara
tatkala menikmati kemakmuran 
betapa rohani madani zahir 
kerana membenarkan nilai syukur
istiqamah menjunjung maslahat bersama
membentak musuh dengan jati hikmah,
sungguh musuh di bumi hati lebih parah
membunuh perkasa semangat tinggalan sejarah.

Mana perjuangan andai berjuang 
telah kehilangan panduan dan pedoman
dipimpin oleh galak insan
terus saling salak dan menyalak
menggigit, menerkam dan membaham
menghukum dan melupakan
mana perjuangan andai maksud inti integrasi
seumpama umpan bermaksud 
keremeh-temehan terus giat dipercaturkan.

Kucari inti perjalanan bangsaku
agar di hujungnya milik anak cucu
pewaris tanah air di zaman yang berliku.


HASYUDA ABADI
RupHA, Kota Kinabalu
12 Ogos 2017



HAMPAS SEJARAH
Merai perkabungan 
atau melestari pergabungan
dalam duka bersulam suka
suka mengalpakan duka
kerana saling ada di hadapan
gerbang-gerbang harapan
kerana saling digarap harap
slogan yang mendunia
perjalanan hidup yang diteruskan.

Di sana ada cerita
mereka menghadapinya
di sini juga punya cerita
mereka juga menghadapinya
tanah airku tetap juga berdenyut
nafasnya di celah-celah kemelut
yang mencari diri
yang mencari mahu
yang mencari kini
yang mencari masa lalu
yang mencari hilang
yang mencari ruang.

Berapung dalam kepungan 
kabung gabung
gabung kabung
senyum dan tawa
duka dan luka
bertembung mengalir
di kuala realiti bangsa
sesuatu ditemui
dalam catatan diari 
sifat dan pekerti
sikap dan intuisi
bergabung kabung
berkabung gabung
hingga titiknya
hampas sejarah
yang diingati.

HASYUDA ABADI,
Pustaka Iqbal Nazim,
Kg Gudon, Kota Kinabalu.
23/8/2017


P A D A  H A R I - H A R I
Y A N G  B E R H A R G A

Katamu nanti sama sahaja
berikan padaku mandat
dan bermacam-macam akan kubuat
benar, katamu lagi dengan yakin
ini bukan janji, jangan salah faham
ini harapan buat kalian, tolonglah faham!

Lihat sahaja nanti bila tiba waktunya
berbondong-bondong dengan murahnya menyapa
ziarah rumah walaupun majlis tiada apa-apa
kopi kosong pun boleh sahaja
waima roti kering atau ubi keladi habis rata!
Salamnya salam yang mengandung amanat
kita pun faham dan tak mungkin salah faham
kali ini harinya tiba mereka mula menjaja.

Puisi ini pun sama sahaja
mencitrakan masa sudah pemimpin
jika baik kukatakan baik atas wibawa
saksama kepada semua
kerja kerasnya tak memilih masa,
jika tak baik lihatlah bagaimana mereka berkata
rajinnya bermusim, rakyat mencari wibawanya
tapi sering sahaja hampa
dan seperti kata bapa, pandanglah sepanjang
hari-hari berharga kau amat dihargai
waima apa pun dan siapapun kau tak perlu gelisah
sentiasa diberi tanpa lagi meminta.

Kali ini tak pasti masih bererti lagikah mandat
dan amanat atau hari-hari berharga
kali ini, bijaksana akan mengatasi
kata-kata yang indah yang bergema di udara
kali ini kita mesti berani
membaca fikiran diri sendiri.

HASYUDA ABADI
Lumadan
22 Disember 2016

Tiada ulasan: