oleh: HASYUDA ABADI hasyuda@gmail.com |
MUNGKIN pena dalam pengertian kini merujuk kepada pemikiran kritis penulisnya. Pemikiran yang kritis dan bernas penulis sesungguhnya boleh membawa manusia berubah oleh pengaruh gagasan yang dibawa berbanding dengan penggunaan undang-undang mahupun kuasa politik. Gagasan yang disampaikan melalui penulisan lebih menusuk jauh ke dalam jiwa dan seterusnya membentuk keyakinan dan kepercayaan ke arah satu bentuk tindakan. Keyakinan dan kepercayaan inilah yang akan menjadi daya kepada manusia untuk bertindak dalam kehidupan lebih berani dan dinamik.
Ibn Sina sebagai tokoh perubatan Islam menerusi ratusan karyanya khususnya Qanun Fi al-Tibb telah menjadi rujukan penting dalam membangunkan dunia perubatan sama ada di dunia Barat mahupun dunia Islam selama hampir 500 tahun. Penulisan bapa kapitalis dunia, Adam Smith pula mencetuskan daya perubahan kepada sistem kehidupan dunia menerusi bukunya, The Wealth of Nations yang telah melahirkan sistem kapitalis sehingga kini.
Sepanjang abad ke-20, nama-nama seperti Almarhum Shaykh Abul Hassan Ali An Nadwi, Dr. Yusuf al-Qardhawi, Alvin Toffler, Almarhum Muhammad al-Ghazali, John Naissbitt, Syed Muhammad Naqiub al-Attas, Almarhum Ismail Faruqi, Francis Fukumaya, Samuel P. Huttington, Noam Chomsky, Almarhum Malek Bennabi dan Edward Said merupakan sebahagian tokoh pemikir yang berjaya mencorakkan pemikiran manusia di dunia menerusi buku mereka. Karya mereka berjaya mewujudkan perbincangan ilmiah yang terus mencorakkan dan mengubah perjalanan dunia hingga kini. Gagasan dan hasil penulisan mereka telah menimbulkan polemik, perbincangan dan wacana semasa. Pemikiran para penulis ini telah dirujuk dalam pembinaan dasar-dasar negara sama ada bersifat domestik mahupun antarabangsa, penubuhan institusi pendidikan dan juga dijadikan garis-garis besar haluan pergerakan bagi pertubuhan sosial.
Perbezaan seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain ialah sejauh mana dia boleh menulis dalam kata lain menghasilkan pemikirannya menerusi buku. Lihatlah berapa ramai pemimpin tanah air kita yang menulis buku. Sememangnya penulis dan karya mereka sangat berperanan dalam mencorakkan masyarakat. Penulis dan karyawan merupakan pembentuk pandangan umum masyarakat dalam menanggapi sesuatu persoalan dan merekalah yang memimpin pemikiran manusia. Atas hakikat inilah kebanyakan penulis tetap menghasilkan karya walaupun menyedari bahawa menjadi penulis mungkin tidak berpeluang menjamah populariti seperti para artis dan penghibur sensasi, ataupun berkuasa seperti para pemimpin dan tokoh politik hatta kaya raya seperti Bill Gates dan empayarnya atau Mark Zuckerberg pengasas Facebook yang amat popular hari ini. Sebaliknya, penulis dan karyawan mengetengahkan gagasan dan lontaran pemikiran, membongkar kepincangan ilmu, mendedahkan kisah manusia dan memberikan harapan kepada insan lain menerusi karya mereka.
Pemikir Islam Nusantara, Almarhum Prof. Dr. Haji Abdul Malik bin Dr. Syekh Haji Abdul Karim Amrullah, yang lebih dikenali sebagai Hamka turut mempunyai pengaruh dan karisma yang mampu mengukuhkan kedudukannya dalam bidang politik. Malah para pengikut dan anak muridnya pernah mencadangkan secara serius agar beliau terjun ke kancah politik dalam melebarkan sayap perjuangannya. Tetapi dengan jiwa yang besar dan kefahaman yang mendalam tentang peranan perlu dimanfaatkan olehnya dalam membangunkan umat, Almarhum Hamka dengan rendah diri menjawab melalui kata-kata yang penuh kebijaksanaan, cerminan nurani beliau:
Lapangan siasah bukan medanku
dikenal orang aku pujangga
yang bersayap terbanglah laju
alat juangku tetaplah pena.
Memang terbukti, Hamka terbang tinggi menerusi pena dan pemikirannya. Dengan pilihan ini, Hamka pada hari ini terus berbicara dengan kita menerusi Tafsir al-Azhar yang satu-satunya tafsir al-Quran yang mencerminkan watak dan batin umat Islam dalam lingkungan rumpun Melayu. Malah, 'Tenggelamnya Kapal Van Der Vick' sekiranya kita pernah membacanya atau menyaksikan di You Tube tetap menjadi hikayat cinta penuh tragedi yang menjadi bahan bacaan muda-mudi yang ingin mencari seribu satu pengertian cinta dan pengorbanan. Karya-karya Hamka seakan-akan tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan sehingga kini.
Persuratan di zaman ini sesungguhnya kehilangan takhta, kehilangan kekuasaannya, kehilangan peminatnya. Sastera dilunturkan oleh teks-teks popular. Orang lebih gemar membaca yang popular. Sastera dan bahasanya menjadi popular dan kadang-kadang berlaku pencemaran, dan perlu pemurniannya oleh sastera tinggi.Teks-teks sastera menjadi sang musafir di dalam benuanya sendiri, marginal dan terpinggir. Puisi-puisi pula tidak lagi diutuhkan oleh diksi yang kental dengan makna.
Dalam tradisi sastera zaman Abassiyyah pemerosakan kemurniaan sastera ini dinamakan adab al-mafasid, yang disebabkan berlakunya pembauran atau ikhtilad antara su’uzhan, buruk sangka dan mutatharrif, sifat melampau. Dalam konteks inilah kita memerlukan reformasi sastera atau al-Islah al-Adabi, yang sering dilakukan oleh golongan sufi dalam sastera. Elok kita mendekati persuratan daripada susuran aslinya.
Untuk menjadi manusia sastera yang mutakammil, contoh paling ideal, menurut Mana Sikana (2008) ialah Junjungan Besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Perlu ditegaskan Nabi Muhammad s.a.w bukanlah seorang penyair seperti yang dituduh oleh musyrikin Quraisy. Nabi Muhammad s.a.w. menguasai bahasa sastera. Sejak zaman remajanya sudah menguasai banyak dialek bahasa Arab, mengetahui kiasan, kata-kata hikmah, peribahasa dan syair-syair Arab. Nabi juga menguasai sastera daripada pelbagai kabilah orang-orang Arab Jahiliyyah. Baginda juga bersahabat dengan para penyair dan pemidato.
Sewaktu Islam mula dianut dan penyebarannya dituntut, Nabi Muhammad s.a.w. menyebarkan dakwahnya dengan menggunakan bahasa sastera, bahasa dialek dan menggunakan peribahasa dan sebagainya untuk memudahkan fahaman dan mengindahkan uslubnya. Baginda juga mengelakkan daripada bahasa yang sukar difahami apalagi yang memerlukan pentakwilan. Syair-syair dibacakan di masjid-masjid. Bukan sahaja penyair menjadi sahabatnya, juga ada yang dilantik sebagai ketua perang, misalnya, Ibnu Rawahah adalah ketua perang Islam yang ketiga.
Kita sering merujuk Surah al-Rum (ayat 22), yang mafhumnya: “Dan daripada tanda-tanda kebesaran Allah ialah menjadikan langit dan bumi dan perbezaan bahasa, sastera dan bangsa kamu sekalian, sesungguhnya yang demikian itu adalah tanda-tanda bagi orang yang berilmu.”
Para karyawan dan penulis mempunyai peranan yang besar untuk mengubah masyarakat. Sungguhpun begitu, setiap penulis seharusnya menulis dan menghasilkan karya mereka dengan penuh tanggungjawab dan berpandukan beberapa nilai-nilai yang penting agar penulisan pemikiran mereka menghadirkan kebaikan kepada umat sejagat.
Mereka hendaklah menulis berpandukan iltizam untuk menyampaikan sesuatu maklumat dan ilmu dengan penuh ketepatan. Matlamat sesebuah penulisan itu hendaklah sentiasa berpaksikan kepada prinsip menegakkan yang hak, mendukung kebenaran dan menjunjung keadilan. Perkara ini dirumuskan dalam al-Quran menerusi ayat 27 surah al-Maidah, "...ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) dengan hak...."
Ternyata ayat ini mengandungi etika pemberitaan yang jelas dan wajar dijadikan panduan oleh para penulis dalam menghasilkan sesebuah karya. Semua yang termuat dalam penulisan itu hendaklah benar, tepat, tidak dikurangi atau dilebihi dan ditokok tambah untuk menjadikan hasil mereka lebih menarik atau popular. Hal ini demikian kerana karya mereka mungkin dijadikan pegangan oleh khalayak pembaca sampai bila-bila.
Menurut tokoh pemikir persuratan Islam dan persuratan Melayu negara, Dato' Dr. Siddiq Fadzil ketika merumuskan kepentingan sastera Islam menegaskan bahawa karya yang baik tidak sewajarnya meriah dengan unsur-unsur dekoratif semata-mata, tetapi lebih ditentukan intipati kandungan yang sarat dan padat dengan muatan kebenaran. Biarlah setiap hasil penulisan itu mampu membawa daya merubah (taghyir) ke arah penyempurnaan (takmilah) dan pembaikan (tahsin) kemanusiaan.
Sudah terbukti bahawa mereka yang memegang pena memang sudah sekian lama mencorakkan dunia. Persoalannya, adakah kita juga ingin menyertai golongan yang berjaya ini? Tepuk dada, tanyalah kebijaksanaan dan nurani masing-masing. Dunia sentiasa menanti kelahiran penulis-penulis berwibawa yang mampu memeriahkan persada penulisan sejagat dengan karya-karya yang berisi ilmu, kebenaran dan daya untuk menghijrah. Sastera tidak hanya tertakluk kepada kreativiti untuk menjadikannya menarik atau dari penulis yang genius semata-mata tetapi sejauh mana karya-karyanya itu membuka nurani insani. Mudah-mudahan, menerusi usaha menulis, anda yang digerakkan oleh pembelajaran berterusan, nilai keilmuan, kegigihan dan kesabaran serta dirangkul keizinan Tuhan Yang Maha Esa, anda berjaya melakukannya.
PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan