Sebagai penulis kelahiran Sabah saya tidak pernah
melupai jasa yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.
Ramai penulis bermula dari situ termasuklah saya. Antara kejayaan DBP cawangan
ini ialah Program Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah. Pada 1987 saya
menyertai program ini di bawah asuhan Dato' Kemala. Program ini antara aktiviti
bimbingan penulisan anjuran DBP Cawangan Sabah yang terbaik diperkenalkan pada
1985. Saya bersama penyair Saibil Madun bertuah selepas Obasiah Hj
Othman (Novel/1985) dan Siti Rahmah Ibrahim dan Hajah Mariam Omar
(Cerpen/1986). Selain menerima bimbingan, matlamat utamanya ialah menerbitkan
karya sebagai produk program ini. Alhamdulillah Saibil berjaya menghasilkan
'Kumpulan Puisi Laut Sebuah Ayunan' manakala saya menulis sebuah puisi balada
(Balada Paduka Mat Salleh). Buku-buku ini diterbitkan pada 1988. DBP secara
keseluruhannya tidak pernah kontang dengan aktiviti penataran, bimbingan dan
sebagainya. Pada 1997 saya menjadi penulis pertama dari Sabah bersama
Dr Hazami Jhari, Uthaya Sangkar dan Mattaib Nordin dipilih menyertai
Program Penulisan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Indonesia. Lebih tiga dekad, seingat saya DBPlah yang terus memperkasa bidang penulisan kreatif ketika saya menyertai Kumpulan
Anak Seni (1979-1990) dan Ikatan Penulis Sabah (1990 hingga kini).
DBP Sabah yang dipimpin oleh para pengarah yang dedikasi seperti Encik
Kamaruzzaman, Haji Mohd Ariffin Siri, Haji Hamdan Yahya, Datuk Haji Ismail
Abbas (Allahyarham), Encik Osman Ismail, Encik Zulkifli Salleh,
Haji Hamzah Hamdani, Encik Zubaidi Abas (Allahyarham),
Haji Jamaluddin Mohd Sulong, Hajah Asmiah
Ajamain (Allahyrhamah) dan kini Puan Aminah Awang Basar terus siaga memperkasa agensi ini. Tahniah! Sejak sekian lama para penulis
berhadapan dengan pelbagai isu khususnya penerbitan. Hal ini terus berlangsung
hingga kini termasuklah para penulis Sabah. Alhamdulillah juga alternatif para
penulis di seluruh negara dinikmati melalui ITBM. Semakin ramai penulis
mempunyai peluang menerbitkan buku masing-masing. Ada yang lebih daripada
sebuah, namun lebih penting ialah persoalan penerbitan sekurang-kurangnya telah
dapat diselesaikan
Kini DBP kembali diperkasakan
khususnya penerbitan. Kami di Sabah berharap DBP Cawangan Sabah turut
memperkasakan aktivitinya agar selari dengan kecenderungan penerbitan buku
kebangsaan. Penulis tidak harus terlalu bergantung kepada ITBM sedangkan DBP
juga mempunyai ruang yang terbaik agar turut diterokai. Kedua-dua agensi ini
amat penting buat kita, masyarakat dan negara. Selain penerbitan, penataran,
pemugaran dan bimbingan juga perlu diperhebatkan mengikut keperluan dan
pendekatan yang lebih realistik. Dengan nilai duit yang semakin mengecil,
penyediaan kewangan untuk menampung aktiviti yang turut semakin menyusut,
penulis harus menyedari bahawa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan perlu
diubah.
Di pihak kerajaan Negeri khususnya
pula sewajarnya turut serta mengambil peranan. Perkara ini sudah terlalu lapuk
untuk diperkatakan, sedangkan beberapa buah negeri di Semenanjung dan Sarawak
telah bertindak mengangkat sastera sejajar dengan keperluannya dan malah terus
dimartabatkan. Di Sabah, pengaugerahan sastera digalas oleh DBP yang tidak
mampu memberikan sesuatu yang lebih besar berbanding beberapa negeri yang
dimaksudkan. Kerajaan Negeri sepatutnya telah lama memberikan perhatian,
soalnya tidak pasti apakah dalam kabinetnya tidak ada suara yang kuat atau
suara yang kuat itu tidak dianggap perlu disegerakan. Akhirnya, segera pun
bukan maka para penulis menerima apa adanya daripada agensi yang begitu komited
iaitu DBP sendiri. Syabas DBP! Kita hanya berdoa agar ada yang lebih baik di
masa mendatang jika tidak berlaku pada masa ini. Perjuangan akan terus
dilangsungkan. InshaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan