BULAN Penulis Sabah secara positifnya ingin meletakkan para penulis di
Sabah pada satu aras yang seimbang dengan kerjaya lain. Mengapa saya
katakan demikian? Kerana kewibawaan penulis belum dijadikan agenda
penting dalam kalangan masyarakat. Keprihatinan masyarakat belum
memperlihatkan kesungguhan bahawa penulis itu wujud dalam komuniti
mereka. Sekiranya benar ada perhatian yang bersungguh-sungguh, kita
percaya para penulis melalui badan-badan penulis yang ada pada masa ini
tidak mungkin terus meminta-minta. Sudah pasti tidak lagi kedengaran
suara daripada badan-badan penulis menyatakan harapan ahli-ahlinya agar
pihak berwajib memberikan komitmen terhadap perjuangan mereka.
Sebelum itu ucapan tahniah kepada Badan Bahasa dan Sastera Sabah
(BAHASA) atas penganjuran Bulan Penulis Sabah 2014 yang pelancarannya
berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya Kota Kinabalu
baru-baru ini. BAHASA sebahagian besar ahli-ahlinya merupakan penulis
yang berwibawa telah mengambil inisiatif melalui penganjuran Bulan
Penulis Sabah ini. Setelah 3 tahun aktiviti ini dilaksanakan, apakah
pencapaiannya memberi makna kepada para penulis secara menyeluruh?
Apakah sikap masyarakat terhadap program yang telah diatur? Dan apakah
sikap pihak Kerajaan menerusi agensi-agensinya terhadap para penulis.
Soalan-soalan ini wajar dijawab. Kita percaya para penulis Sabah telah
mengambil perhatian bahawa penulis sudah ada masa 'satu bulan', atau
satu ruang waktu, diberikan untuk mereka. Meskipun program yang telah
dirancang diadakan hanya di beberapa tempat terpilih sepanjang bulan
yang dipilih, aktiviti-aktiviti juga boleh dilakukan di tempat-tempat
lain seandainya para penggiat sastera ingin melaksanakannya. Mungkin ada
dalam kalangan penulis cenderung bergiat sendiri-sendiri, bukan dalam
mana-mana kelompok yang ada, namun ruang waktu yang direncanakan wajar
dimanfaatkan. Barangkali tidak semua penulis maklum wujudnya 'bulan
penulis'. Maka hanya segelintir penulis saja yang merasakan penting nya
perhatian diberikan kepada usaha ini. Hal ini sudah pasti boleh
diperbaiki.
Penulis di Sabah berada di mana-mana. Berseleraknya
individu-individu penulis, yang bergerak bersendirian atau disebabkan
penampilan mereka itu sifatnya berkala, atau mungkin sahaja para penulis
itu sendiri tidak pasti apakah dia seorang penulis (lagi) disebabkan
sudah lama tidak menulis, menjadi punca keberadaan bilangan penulis
tidak begitu memberangsangkan. Barangkali dengan kehadiran minimumnya
20-30 orang amat memadai tetapi mereka ini merupakan penulis jati yang
berkualiti. Kita sudah tentu berharap apa juga aktiviti memberikan satu
impak yang luar biasa pada satu-satu masa. Dan hal ini ia boleh
dilakukan dengan syarat iltizam semua penulis bukan semata-mata berada
dalam satu-satu kelompok sedang yang lain menjadi pemerhati.
Bukan suatu yang mengejutkan andainya kehadiran penulis dalam mana-mana
majlis sastera begitu mendukacitakan. Keadaan ini berlaku di mana-mana.
Ada yang berpendapat bahawa kehadiran yang ramai itu memberi tanda
sambutan yang baik terhadap program yang dianjurkan. Sebaliknya ada yang
melihat kuantiti tidak menjamin keberhasilan program, maka biarlah
kehadiran yang relatif kecil tetapi berkualiti lebih bermakna untuk
sebuah program yang sederhana. Sebab itu menganjurkan program yang besar
harus memastikan kemeriahan mengatasi matlamat sebenar.
Sebagai
penulis yang inginkan sesuatu yang bermakna, kita harus menyatakan rasa
penghargaan kepada beberapa orang penulis yang komited menjayakan
program-program sastera di Sabah. Masyarakat wajar difahami peri
pentingnya peranan penulis dalam menjalankan tanggungjawab mereka
terhadap pengkhazanahan ilmu. Tanpa penulis ilmu tidak mungkin mampu
berkembang. Tanpa penulis masyarakat hanya mendengar bunyi yang sunyi.
Bayangkan berada dalam sebuah dunia yang sunyi. Sedangkan kesunyian itu
diperindah oleh ilmu. Ilmu tidak dapat disebarluaskan tanpa kepakaran
yang lain. Waima orang di zaman batu sekali pun akhirnya menjadi pintar
dalam kalangan mereka menerusi tulisan-tulisan mereka di
dinding-dinding gua.
Inikan pula dalam sebuah tamadun manusia
yang inteleknya tinggi. Penulis sebagai sebahagian komuniti umat manusia
sewajarnya juga diletakkan sama pentingnya dengan kelompok manusia yang
dikatakan berilmu. Meskipun penulis yang dimaksudkan dalam catatan ini
lebih terarah kepada genre sastera dan bahasa, kedudukan mereka juga
harus diperhatikan. Pernah dahulu pandangan diutarakan agar karya
sastera diletakkan dalam muzium, semata-mata dalam sastera itu hanyalah
cebisan kenangan indah manusia yang dihidupkan peristiwa masa sudah. Ia
sering dikaitkan dengan sejarah, mereka menganggap sejarah itu hanya
sesuai berada dalam premis sejarah. Walaupun pandangan ini telah
dilupakan, saya percaya, satu sikap yang wajar dipulihkan adalah
menghargai peranan penulis.
Rasa terima kasih kita kepada BAHASA
amat wajar sekali dan berharap agar program seperti ini menjadi
aktiviti yang hebat dan terbilang di masa akan datang. Peri pentingnya
asas-asas profesionalisme supaya kerterbilangannya itu juga seirama
dengan nilai kenusantaraannya. Perlunya ketelitian dengan mengelak
kecelaruan. Sewajarnya diungkayahkan satu ketika nanti penganugerahan
tokoh penulis kepada para penulis yang berjasa. Peranan ini perlu
dimainkan oleh kerajaan Negeri Sabah. Melalui agensi yang berkaitan
perlu disediakan satu geran peruntukan disalurkan kepada Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah atau Majlis Bahasa dan Sastera Sabah
(MBSS). Mengambil contoh seperti yang diberikan oleh Kerajaan Negeri
Sarawak baru-baru ini kepada DBP Cawangan Sarawak. Walaupun barangkali
senarionya berbeza namun semua itu terletak kepada sikap dan mahu atau
tidak para pemimpin yang berwibawa melakukannya. Kata yang paling sesuai
adalah iltizam para pemimpin politik kita dan didorong oleh sikap
terbuka mereka terhadap perjuangan para penulis.
Tidaklah memadai
program Bulan Penulis Sabah ini hanya diserikan oleh wacana pemikiran
sastera, majlis pelancaran buku, majlis bicara buku, membawa penulis
kepada masyarakat menerusi program memasyarakatkan sastera semata-mata.
Kita yakin sekiranya pihak berwajib memberikan komitmen mereka terhadap
aktiviti para penulis dengan sepenuh perhatian dan serius, program
tahunan ini menjadi program yang amat dirasai keindahannya oleh para
penulis keseluruhannya. Ia bukan sekadar dimiliki oleh segelintir
penulis. Ia juga bukan sekadar sebuah slogan tetapi sebuah landasan
paling bererti agar pemikiran penulis terus diberikan pengiktirafan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan