Sabtu, April 05, 2014

Bulan Penulis Sabah: sebuah percakapan kecil



BULAN Penulis Sabah secara positifnya ingin meletakkan para penulis di Sabah pada satu aras yang seimbang dengan kerjaya lain. Mengapa saya katakan demikian? Kerana kewibawaan penulis belum dijadikan agenda penting dalam kalangan masyarakat. Keprihatinan masyarakat belum memperlihatkan kesungguhan bahawa penulis itu wujud dalam komuniti mereka. Sekiranya benar ada perhatian yang bersungguh-sungguh, kita percaya para penulis melalui badan-badan penulis yang ada pada masa ini tidak mungkin terus meminta-minta. Sudah pasti tidak lagi kedengaran suara daripada badan-badan penulis menyatakan harapan ahli-ahlinya agar pihak berwajib memberikan komitmen terhadap perjuangan mereka.
Sebelum itu ucapan tahniah kepada Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) atas penganjuran Bulan Penulis Sabah 2014 yang pelancarannya berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya Kota Kinabalu baru-baru ini. BAHASA sebahagian besar ahli-ahlinya merupakan penulis yang berwibawa telah mengambil inisiatif melalui penganjuran Bulan Penulis Sabah ini. Setelah 3 tahun aktiviti ini dilaksanakan, apakah pencapaiannya memberi makna kepada para penulis secara menyeluruh? Apakah sikap masyarakat terhadap program yang telah diatur? Dan apakah sikap pihak Kerajaan menerusi agensi-agensinya terhadap para penulis.

Soalan-soalan ini wajar dijawab. Kita percaya para penulis Sabah telah mengambil perhatian bahawa penulis sudah ada masa 'satu bulan', atau satu ruang waktu, diberikan untuk mereka. Meskipun program yang telah dirancang diadakan hanya di beberapa tempat terpilih sepanjang bulan yang dipilih, aktiviti-aktiviti juga boleh dilakukan di tempat-tempat lain seandainya para penggiat sastera ingin melaksanakannya. Mungkin ada dalam kalangan penulis cenderung bergiat sendiri-sendiri, bukan dalam mana-mana kelompok yang ada, namun ruang waktu yang direncanakan wajar dimanfaatkan. Barangkali tidak semua penulis maklum wujudnya 'bulan penulis'. Maka hanya segelintir penulis saja yang merasakan penting nya perhatian diberikan kepada usaha ini. Hal ini sudah pasti boleh diperbaiki.

Penulis di Sabah berada di mana-mana. Berseleraknya individu-individu penulis, yang bergerak bersendirian atau disebabkan penampilan mereka itu sifatnya berkala, atau mungkin sahaja para penulis itu sendiri tidak pasti apakah dia seorang penulis (lagi) disebabkan sudah lama tidak menulis, menjadi punca keberadaan bilangan penulis tidak begitu memberangsangkan. Barangkali dengan kehadiran minimumnya 20-30 orang amat memadai tetapi mereka ini merupakan penulis jati yang berkualiti. Kita sudah tentu berharap apa juga aktiviti memberikan satu impak yang luar biasa pada satu-satu masa. Dan hal ini ia boleh dilakukan dengan syarat iltizam semua penulis bukan semata-mata berada dalam satu-satu kelompok sedang yang lain menjadi pemerhati. 

Bukan suatu yang mengejutkan andainya kehadiran penulis dalam mana-mana majlis sastera begitu mendukacitakan. Keadaan ini berlaku di mana-mana. Ada yang berpendapat bahawa kehadiran yang ramai itu memberi tanda sambutan yang baik terhadap program yang dianjurkan. Sebaliknya ada yang melihat kuantiti tidak menjamin keberhasilan program, maka biarlah kehadiran yang relatif kecil tetapi berkualiti lebih bermakna untuk sebuah program yang sederhana. Sebab itu menganjurkan program yang besar harus memastikan kemeriahan mengatasi matlamat sebenar. 

Sebagai penulis yang inginkan sesuatu yang bermakna, kita harus menyatakan rasa penghargaan kepada beberapa orang penulis yang komited menjayakan program-program sastera di Sabah. Masyarakat wajar difahami peri pentingnya peranan penulis dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap pengkhazanahan ilmu. Tanpa penulis ilmu tidak mungkin mampu berkembang. Tanpa penulis masyarakat hanya mendengar bunyi yang sunyi. Bayangkan berada dalam sebuah dunia yang sunyi. Sedangkan kesunyian itu diperindah oleh ilmu. Ilmu tidak dapat disebarluaskan tanpa kepakaran yang lain. Waima orang di zaman batu sekali pun akhirnya menjadi pintar dalam kalangan mereka menerusi tulisan-tulisan mereka di dinding-dinding gua.

Inikan pula dalam sebuah tamadun manusia yang inteleknya tinggi. Penulis sebagai sebahagian komuniti umat manusia sewajarnya juga diletakkan sama pentingnya dengan kelompok manusia yang dikatakan berilmu. Meskipun penulis yang dimaksudkan dalam catatan ini lebih terarah kepada genre sastera dan bahasa, kedudukan mereka juga harus diperhatikan. Pernah dahulu pandangan diutarakan agar karya sastera diletakkan dalam muzium, semata-mata dalam sastera itu hanyalah cebisan kenangan indah manusia yang dihidupkan peristiwa masa sudah. Ia sering dikaitkan dengan sejarah, mereka menganggap sejarah itu hanya sesuai berada dalam premis sejarah. Walaupun pandangan ini telah dilupakan, saya percaya, satu sikap yang wajar dipulihkan adalah menghargai peranan penulis. 

Rasa terima kasih kita kepada BAHASA amat wajar sekali dan berharap agar program seperti ini menjadi aktiviti yang hebat dan terbilang di masa akan datang. Peri pentingnya asas-asas profesionalisme supaya kerterbilangannya itu juga seirama dengan nilai kenusantaraannya. Perlunya ketelitian dengan mengelak kecelaruan. Sewajarnya diungkayahkan satu ketika nanti penganugerahan tokoh penulis kepada para penulis yang berjasa. Peranan ini perlu dimainkan oleh kerajaan Negeri Sabah. Melalui agensi yang berkaitan perlu disediakan satu geran peruntukan disalurkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah atau Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS). Mengambil contoh seperti yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak baru-baru ini kepada DBP Cawangan Sarawak. Walaupun barangkali senarionya berbeza namun semua itu terletak kepada sikap dan mahu atau tidak para pemimpin yang berwibawa melakukannya. Kata yang paling sesuai adalah iltizam para pemimpin politik kita dan didorong oleh sikap terbuka mereka terhadap perjuangan para penulis.

Tidaklah memadai program Bulan Penulis Sabah ini hanya diserikan oleh wacana pemikiran sastera, majlis pelancaran buku, majlis bicara buku, membawa penulis kepada masyarakat menerusi program memasyarakatkan sastera semata-mata. Kita yakin sekiranya pihak berwajib memberikan komitmen mereka terhadap aktiviti para penulis dengan sepenuh perhatian dan serius, program tahunan ini menjadi program yang amat dirasai keindahannya oleh para penulis keseluruhannya. Ia bukan sekadar dimiliki oleh segelintir penulis. Ia juga bukan sekadar sebuah slogan tetapi sebuah landasan paling bererti agar pemikiran penulis terus diberikan pengiktirafan.

Rumah Puisi Hasyuda Abadi
Gudon Menggatal Sabah

Tiada ulasan: