Jumaat, Mei 31, 2024

Pengalaman Kreatif












PROSES KREATIF ‘MELAWAN KEBIASAAN’

 

MEMINJAM pandangan Carl S.Hale tentang kebijaksanaan dalam dunia penulisan kreatif: creative writers provide the covert foundation for social change and spiritual transformation, which requires that they remain loners who are totally dedicated to their work bermaksud penulis kreatif menyediakan asas dalaman untuk perubahan sosial dan transformasi rohani yang memerlukan mereka tetap menyendiri yang benar-benar berdedikasi untuk kerja mereka. Saya sentiasa mencari dan memahami bahawa menjadi seorang penulis itu harus menuju ke arah kebijaksanaan rohani yang bermaksud bukan sekadar suka-suka menulis. Tidak juga disebabkan terlanjur menulis akibat sesuatu peristiwa yang melukai tetapi menjadikan bidang ini sebagai sebuah landasan menyampaikan buah fikiran. Seandainya tidak mampu banyak, sedikit pun memadai untuk diingat dan diisi dalam hasil kreatif masing-masing. Di saat ada pihak yang telah dibahagi-bahagikan mengikut kepelbagaian etniknya sedangkan kreativiti harus berlangsung tanpa sempadan.

Puisi pertama saya tersiar di surat khabar Sabah Time pada 1980 bertajuk ‘Mengapa o Mengapa’ tidak menjanjikan sesuatu yang besar. Namun di sebalik karya yang kecil itu tersimpan suatu analisis kehidupan manusia. Saya adalah seperti ramai penulis sering dinilai dalam perspektif yang pelbagai. Mereka diperhati sebagai insan yang berkebolehan yang jarang ada pada orang lain. Mereka merupakan pemikir, pencetus, penyampai, penganalisis dan pendorong dalam pelbagai dimensi kehidupan. Dalam masyarakat penulis menjadi penyumbang inspirasi terhadap isu-isu semasa atau isu-isu yang hangat diperkatakan masa kini dan masa lalu. Penulis juga penyumbang kepada berlakunya percaturan pemikiran antara kelompok masyarakat. Penulis mempunyai entiti yang tersendiri. Mereka membentuk identiti tertentu yang mempunyai pengikut tertentu. Sesetengah daripada mereka merupakan mentor yang tersohor kerana pendapat mereka begitu diamati.

Saya meyakini bahawa penulis adalah sebahagian manusia yang aneh dan pelik. Mereka sering mengutarakan idea-idea yang pelik dan bernas. Penulis mengupas isu-isu global yang luar biasa, mampu merentas angkasa, benua dan lautan. Realitinya kepelikan penulis memang ada asasnya misalnya dalam soal kehidupan seharian. Kalaulah penulis hidup seperti rutin orang biasa, dia tidak akan nampak apa yang ada di sebalik kebiasaan itu. Tulisannya akan kehilangan suara-suara yang boleh memberi tumpuan. Kelainan penulis sebagai seniman akan memberikan keinsafan atau kesedaran orang biasa untuk membaca atau menonton atau mendengar sesuatu sama ada yang baru atau yang selalu disampaikan.

Kehidupan ini bukankah merupakan pusingan yang sentiasa berulang? Sesungguhnya penulis menulis sejarah. Penulis memperkatakan perihal kehidupan mengikut pilihannya. Mereka menulis berasaskan landasan kreatif. Puisi yang relatif pendek tetapi menyimpan makna yang amat besar. Cerpen yang dinamik mengajak pembaca meneroka pemikiran yang sederhana kepada segmen-segmen pemikiran yang  besar dan global. Sedangkan novel atau teater menjanjikan perjalanan yang panjang dan jauh terhadap isu-isu yang digarap menerusi sumbangan falsafah, asbab-asbab dalam pergerakan plot citra para penulis. Kreativiti menjadikan kemustahilan itu sebagai kebenaran dalam pemikiran. Tidak jarang juga menjadi kebenaran dalam kehidupan itu sendiri.

Saya sentiasa belajar daripada pengalaman bagaiman melawan kebiasaan yang berlaku setiap hari. Daripada teguran kedua orang tua tentang kehidupan ini, terus belajar daripada itu dan juga panduan para guru saya sama ada dalam bentuk akademik mahupun langsung kepada dunia penulisan. Begitu juga para sahabat yang dekat, saya mengakrabi kehidupan mereka. Saya memilih puisi kerana puisi menghidupkan fikiran yang buntu. Puisi sentiasa hidup dalam kehidupan. Pelayaran hidup yang diragami - suka dan duka disertai hiruk pikuk peristiwa sentiasa memberikan makna yang istimewa untuk dituang dalam wahana perpuisian. Mari ikuti puisi di bawah ini:

 

‘Dalam dendamnya tetapi perlu diam 

dan manusia paling riang mengembalikannya

kepada rasa redha dan pasrah. Diburu banyak 

tikaman termasuk pisau kesilapan 

tidak disangka tumbuh setelah daun-daun 

waktu berguguran membiarkannya bertahan.

 

 

Mungkinkah ada matahari mengupas sunyi

atau bulan memadam lentera yang dibiarkan dulu 

kini harus diinsafi perlu untuk melawan. Teringat 

kembali ketika di puncak berdiri gopoh berbicara 

hingga tiada menyedari kekhilafan berada di dalam 

siaga yang diamanahkan. 

 

Kifarah datang silih seperti hari berganti 

tiada mampu kembali memetik buah-buah ranum 

di kebun dan di bawahnya sungai mawar mengalir

maha adil akan menempatkan masa sudah 

di dalam renungan tanpa sejalur mimpi.’

 

(Melawan Rasa Bersalah, m.s. 81)

 

Namun dengan bersederhana dalam kehidupan, beruzlah dan menqiami diam yang bermakna, menziarahi kedamaian yang dicari, membesarkan sebuah cinta Maha Agung, bermujahadah dan bermuhasabah menjadikan kita pasrah, patuh, tunduk, sedar betapa kerdilnya kita di sisi Yang Maha Esa. Meski ia bersifat fitrah dan lumrah bagi insan yang beriman, tetapi kepada insan lain pengalaman batin seperti ini memberi kias serta panduan yang terbaik untuk mentarbiah diri agar menjadi insan yang kamil. Puisimemuliakan jiwa. 

Karya sastera dalam konteks ini puisi, memang subjektif sifatnya, terutama berkaitan aspek keindahan. Namun, semacam ada konsensus atau persetujuan bersama yang diterima pakai di mana-mana, yang menegaskan sastera itu mempunyai sisi kemanusiaannya tersendiri, mempunyai keunggulan tersendiri dalam membangun peradaban dan ketamadunan bangsa dan negara. Hal ini sangat jelas, apatah lagi jika dihubungkan konsep sastera untuk kebaikan, sastera untuk kebenaran, yang ditenun melalui bahasa yang indah, yang menyebabkan khalayak dapat mencerna dengan mudah, akan kebaikan dan kebenaran yang terkandung dalam sesebuah karya sastera itu keseluruhannya. Di sinilah kita akan menemuikan nilai-nilai ‘melawan’ yang positif dan beretika yakni menerusi bimbingan dan kewibawan asuhan:

 

‘Tatkala terburai langkah bersilat pendekar,

berbaki hanya asuhan perjuangan

berani bertahan menunggu musimnya

melupakan luap semangat menemukan titiknya.’

 

(Asuhan Melawan, m.s.47)

.

Dalam pertimbangan sastera, ada masanya penulis karya kreatif mengabaikan hal-hal berkaitan kejujuran dalam berkarya. Sebab itu penulis sering diingatkan soal keluruhan jiwa, kejernihan hati. Apakah penulis berdosa kerana menulis apa sahaja tanpa mengambil kira kebaikan atau faedah daripada intipati penulisan mereka? Atau dosa itu langsung tidak menjadi hambatan kerana beranggapan apa yang disampaikannya hanya berupa cerita yang diperindah melalui diksi-diksi terpilih, atau latar perisitwa yang dikreatifkan, bahkan meletakkan hujahan sekadar lontaran idea atau pemikiran semata-mata.  Sudah tentu penulis berasa kurang bebas kerana digarisbawahi oleh andaian-andaian yang menyebabkan mereka tidak selesa. Penulis sukakan kebebasan. Pemikiran berkembang dengan adanya ruang yang lepas berlegarnya nuansa kreatif.

Kreatif tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Semua manusia hidup bercirikan nuansa kreatif. Kreativiti manusia sesungguhnya amat pelbagai. Jangan cuba katakan bahawa manusia adalah mahluk yang kaku, beku dan pelbagai ungkapan seolah-olah manusia itu tidak berfikir. Waima yang kurang bijaksana sekalipun memilikinya. Hanya barangkali corak kreativiti manusia tidak serupa. Manusia bergelar penulis tidak sama dengan manusia yang memanipulasikan bidang geografi. Tetapi mereka juga kreatif bagaimana geografi boleh mendidik manusia memahami pergerakan awan sehingga memberitahu manusia lain agar berwaspada terhadap puting beliung akan melanda. Seorang bergelar guru, mempunyai jalur kreativiti yang lain bagaimana memberikan kefahaman kepada para pelajarnya sehingga mampu menjadi ahli falsafah yang berwibawa.

Ahli politik juga menelusuri ruang lingkup bidang mereka berdasarkan kreativiti berbahasa untuk memenangi hati rakyatnya. Cara mereka melebarkan janji-janji merupakan aspek perlu yang bukan mudah disebarkan. Menyebarkan dakyah bukan seperti melempar batu atau menabur benih di atas tanah. Perlunya alat yang sesuai dan antara alat paling mujarab ialah menerapkan kreativiti.

Seterusnya bagaimana manusia menjadikan tipu helah, memanipulasi muslihat, memilih kawan dan lawan tidak dapat melepaskan dunia kreatif. Kelicikan manusia begini sering tidak disedari berada dalam kehidupan kita. Manusia berseteru sesama sendiri, manusia membina ukhuwah, manusia bermasyarakat, manusia bernegara dan sebagainya akan ada bersamanya corak, cara, acuan dan bentuk yang tersendiri. 

Bagaimana dengan sifat gelojoh dalam mencapai cita-cita? Kreativiti mereka cukup hebat. Sebenarnya lawan kepada sifat ini adalah sifat sabar. Apa yang membezakan antara manusia yang rakus dengan tidak adalah sabar. Orang yang sabar tidak mahu bersandar pada benda-benda dan tidak mahu menyandarkan diri pada kekuatan serta kekuasaan benda-benda yang ada di sekelilingnya. Sebab dia mengetahui semua itu pada akhirnya akan hilang dan yang abadi hanya Allah S.W.T. Kerana itu kekuatan dan kepercayaan dirinya berkembang dengan sangat baik. Dia tidak memerlukan pemilikan dan kemewahan untuk mengumpulkan rasa percaya diri dan kekuatan dalamannya. Ada atau tiadanya benda-benda di sekitarnya tidak mempengaruhi kekuatan dan kepercayaan dirinya.

Orang yang terlalu membanggakan hubungkait dirinya dengan kekayaan, kedudukan dan yang seumpamanya, sebenarnya sedang memperlihatkan ketidak-berdayaannya dan ketidak-percayaan pada dirinya sendiri. Orang ini kelihatan penuh rasa percaya diri dan kekuatan itu disebabkan oleh rasa kepemilikannya. Jika apa yang dimilikinya hilang, maka rasa percaya dirinya juga akan mengewap habis dan lenyap. Ini juga merupakan pertanda tidak bersedianya seseorang dalam menghadapi musibah.

Orang yang terlalu membanggakan kekuasaan dan harta miliknya menunjukkan rasa cinta dan rasa memiliki yang berlebihan. Sehingga jika kekuasaannya tercabar atau hartanya hilang dia akan berasa terlalu terpukul. Kerana itu beruntunglah orang yang sabar. Mereka tidak cinta berlebihan dan tidak berasa terlalu terikat pada kekuasaan dan harta yang dimilikinya. Mereka menggenggam harta itu dengan amanah dan menggunakannya dengan baik tanpa wujud rasa riak, angkuh dan bengis.

Sifat-sifat mazmumah di atas bukanlah berlatarbelakangkan kreativiti tetapi 'nafsu nafsi'. Bagaimanapun kreativiti akan terus menguasai manusia. Manusia yang menguasai kreativiti mungkin akan terus berkuasa dalam mencapai pilihan masing-masing. Soalnya hanya satu sama ada pilihannya itu bakal memberikannya kesempurnaan bukanlah sesuatu yang mutlak. Ada kalanya penulis oleh kerana terlalu taksub kepada hal-hal yang dianggap baharu berasa seronok sendiri tanpa mempedulikan apakah karya itu diterima bulat-bulat oleh pembaca. Bahkan apakah berlaku sebarang impak yang ketara terhadap jalur-jalur fikirannya itu. Karya sastera harus menjelaskan kewibawaan, ia bukan semata-mata bersebab keberanian berkarya, kemudian melambung tinggi oleh pujian oleh para pengkritik upahan. Jika inilah ranah nuansa kreatif apakah sastera mempunyai kemilikan? Ya, kehidupan akan berlarutan kerana kreativiti tidak akan pergi. Selagi manusia tahu memanipulasi akalnya dengan baik, kreativiti akan memberikan pulangan yang sama.

 

Saat menang di situlah tewasnya harga maruah 

dibiarkan berharga murah, di situlah

nilai sampah diulang-ulangi, jika mampu

pulanglah, pulanglah ke rumah mahmudah

 

(Menuju Mahmudah, m.s. 74)

 

Demikianlah data-data penting yang menjadi dasar penulisan saya untuk menzahirkan sekumpulan karya ini. Sudah tentu ini bukan sesuatu yang terakhir kerana kehidupan itu sendiri terus berlangsung. Idea-idea untuk puisi terus berlaku. Menulis puisi bermakna menulis fikiran. Secara semula jadi memang beginilah dan tanpa disedari. Berkreatif bermula ketika idea-idea muncul di jendela fikir. Idea-idea menguggah fikiran, menyalin aktiviti berfikir dalam bentuk boleh difahami iaitu kata-kata.

Saya sentiasa mengasah ketajaman pemikiran menerusi puisi. Pada 1987 saya menerima bimbingan daripada Yang Berbahagia Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) melalui Program Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah. Daripada projek ini, saya kemudiannya berjaya menghasilkan buku ‘Balada Paduka Mat Salleh’. Sepuluh tahun selepas itu, iaitu pada 1997, DBP memberikan peluang kepada saya menyertai Program Penulisan MASTERA di Pusat Bahasa, Jakarta, mengikuti bengkel penulisan puisi di bawah asuhan Taufik Ismail, Allahyarham Dr Sapardi Joko Damono dan Dr Abdul Hadi WM.

Semoga puisi-puisi yang terdapat di dalam buku ‘Melawan Kebiasaan’ ini tidak semata-mata menjadi bahan bacaan ringan tetapi mampu mencabar kebiasaan dalam meladeni rencah kehidupan. Puisi seharusnya juga dapat mengubah kebiasaan dalam pelbagai hal sehingga meraih kecemerlangan yang lebih baik lagi. 

 

 


Jumaat, Februari 02, 2024

APRESIASI SASTRA






NONGKRONG.CO – Ikatan Penulis Sabah (IPS) ingin dapat menjadi jembatan kesusastraan antarpenulis se-ASEAN. Hal ini disampaikan oleh Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Awang Abdul Muizz bin Awang Marusin, pada Rabu (31/1) malam lalu.

Pernyataan ini terungkap setelah Ikatan Penulis Sabah (IPS) menggelar kegiatan temu penulis Malaysia-Indonesia. Kegiatan tersebut bertajuk “Malam Hari Tiga” dengan dihadiri oleh sejumlah pekarya dari Malaysia dan Indonesia.

“Malam ini, kita telah membuktikan bahwa pertemuan ini tidak hanya kegiatan diskusi biasa. Dengan kehadiran tamu penulis dari Indonesia, kita berharap IPS lebih dari sekadar komunitas, tetapi dapat menjadi jembatan pertemuan penulis se-ASEAN,” ujar Awang.

Menurut Awang, program Malam Hari Tiga telah berjalan secara berkesinambungan. Dalam kegiatannya, program ini selalu menghadirkan para sastrawan Malaysia yang komitmen untuk dibedah karyanya.

“Kegiatan tersebut mengambil lokasi Rumah Puisi Hasyuda Abadi, Kinabalu, Sabah, Malaysia. Lokasi tersebut menjadi bukti bahwa sastrawan takzim Malaysia concern terhadap program Malam Hari Tiga. Bahkan, sebagai tuan rumah,” tuturnya.

Hasyuda Abadi sendiri di Malaysia dikenal sebagai penyair yang telah menerima banyak penghargaan, seperti Anugerah Sastera Negeri Sabah ke-3, Anugerah Tokoh Penyair Islam sabah ke-11, dan Tokoh Seni Sastera Islam Sabah, ASIS.

Dalam program tersebut pula, terdapat beberapa penulis, penyair, dan pekarya aktif lain dari Malaysia, seperti Abd. Naddin Hj Shaiddin, Hasyuda Abadi, Jasni Yakub, Hj. Sahara Jais, Rosnah Radin, Roslan Sohasto, Fauziah Hj. Moksin, Jaliha Jaman, Fitriah, Masarah, dan Fauziyah Nurdin. Selain nama-nama tersebut, tampak pula seniman dan sastrawan Malaysia, seperti Dr. Mohd Puad Bebit dan Haji Gazali Suhaili.

“Untuk tamu dari Indonesia, kami mengundang Panji Pratama, Nasrullah Fauzi, dan Mudrika. Mereka memaparkan proses kreatif dalam menulis sastra, terutama puisi dan prosa,” ujar Abd. Naddin Hj Shaiddin, peserta acara yang juga dikenal sebagai Bung Nadin -wartawan senior di Sabah, Malaysia, kepada nongkrong.co.

Menurut Bung Naddin, kesediaan penulis Indonesia dalam Malam Hari Tiga dapat membawa khazanah tersendiri dalam dunia literasi dan sastra dua negara. Buku yang dibedah oleh penulis Indonesia tersebut menjadi sudut pandang unik dari perbedaan sastra negara serumpun.

“Seperti puisi yang dibacakan oleh Panji Pratama berjudul “Sabah Tempias Salju” tadi, menjadi bukti bahwa penulis Indonesia memandang Sabah sebagai rumah keduanya,” tambah Bung Naddin, yang juga dikenal sebagai pelopor Ikatan Penulis Sabah (IPS).

Kesuksesan Malam Hari Tiga tentu saja menjadi perhatian sastrawan senior, seperti Dr. Mohd. Puad Bebit. Pria yang dikenal aktif sebagai seniman dan dekan Fakultas Seni Kreatif Universitas Malaysia Sabah tersebut, ikut pula meramaikan acara dengan membacakan sebuah Sajak Jenaka atau di Malaysia dikenal sebagai Sajen yang berjudul “Bujang Senang tidak Semestinya Buaya”.

Selain itu, tampak pula sastrawan lain yang ikut menghangatkan acara dengan diskusi-diskusi hangat soal perkembangan sastra dua negara di era Artificial Intelegencies (AI).

Dalam diskusi tersebut, para peserta sepakat bahwa AI tidak akan dapat mengalahkan kreativitas dan ruh dari sastra ciptaan manusia.

“AI itu dapat menjadi kengerian, tetapi juga hikmah. Bagi penulis sastra, tentu saja kita lebih diunggulkan karena puisi dengan diberi ruh akan lebih menggetarkan daripada diciptakan oleh robot belaka. Maka keberadaan Ikatan Penulis Sabah (IPS) adalah bukti bahwa manusia lebih bernyawa daripada sekadar teknologi,” pungkas Haji Gazali Suhaili, peneliti Bahasa dari Malaysia. (*)

Oleh: Panji Pratama

Rabu, Januari 10, 2024

CATATAN KECIL MENINGKATKAN IMEJ IPS



TAHUN 2024 ini Ikatan Penulis Sabah (IPS) berusia 33 tahun. Pada usia ini saya percaya bibit-bibit perjuangan ahli semakin kental, semangat yang semarak semakin membara untuk mencapai matlamat hala tuju sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Pada usia ini juga IPS harus bersiap siaga untuk mempertahankan setiap langkah supaya persatuan bukan sahaja teguh sebagai sebuah organisasi bahkan dihormati. IPS hendaklah berdiri dengan kesiap siagaannya tetapi pada masa yang sama harga dirinya harus dipertahankan walau dengan apa cara sekali pun.

Walaupun IPS hanyalah sebuah NGO yang sederhana, tidak punya wang banyak, tetapi pada asasnya, inilah sebuah pertubuhan atau persatuan penulis yang terus berada di negeri ini, memberikan jalan kesederhanaan kepada para penggiat sastera dan budaya. Persatuan inilah yang boleh dijadikan wadah atau gelanggang untuk ahli-ahlinya melatih diri bersilat kata, membentuk nahu, mempertahankan kegemilangan bahasa leluhur dan kemegahan negara kita iaitu Bahasa Melayu yang harus kita jadikan perisai perpaduan dalam kalangan rakyat yang hidup dalam kepelbagaiannya.

Saya terlibat dalam gerakan sastera di Sabah agak lama, lebih empat dekad. Banyak yang dialami, banyak yang difikirkan dan salah satunya saya bertanya mengapa saya dan dalam konteks pada hari ini, menyertai persatuan penulis. Untuk suka-suka atau mengisi masa? Saya percaya bukan ini jawapannya. Jika itu jawapan anda, tentu IPS atau pertubuhan lain bukan tempatnya. Demikian juga untuk mengisi masa, bukan dalam ruang begini, bukan di sini. Sudah tentu masing-masing kita mempunyai sebab yang tersendiri. Begitulah saya. Namun saya tidak gemar meletakkan diri sendiri sebagai contoh terbaik. Kebaikan atau kecemerlangan diri tidak seharusnya dinilai oleh diri sendiri tetapi oleh orang lain. Biarlah mereka yang memberikan kredit kepada sikap, iltizam dan juga perjuangan seseorang. 

Namun demikian, sebagai anggota IPS, semua ahli harus menanamkan kepentingan persatuan. Apabila berasa berada dalam kelompok IPS, setiap anggota harus sematkan dalam jiwa, inilah wadah perjuangan kita, inilah juga wadah mengindahkan karya-karya kita, inilah wadah menyalurkan bakat kreatif kita, inilah wadah untuk kita bersama-sama mempertahankan kredibiliti IPS sebagai sebuah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang dan kerana itu ia harus diberikan benteng. Bentengnya apa? Bentengnya ialah jiwa besar seluruh kerabat. Tidak ada harta yang lebih berharga sekiranya kita sedar bahawa kita telah memiliki sesuatu dalam sebahagian kecil kehidupan kita iaitu memiliki IPS. Kita harus sayangkan persatuan ini dan tidak gentar dengan segala tohmahan serta provokasi sesiapa pun yang memilih jalan yang lain.

Saya pernah mengetuai IPS 20 tahun (1998-2018) sebelum itu menjadi Ketua Dua 6 tahun (1992-1998). Tentu sahaja sarat dengan pelbagai kisah pahit manis kadang-kadang ‘sengsara’. Pada 1998 kami meneruskan persatuan tanpa sesen pun duit di tabung. Bagaimana pun IPS harus bangun semula selepas berlaku krisis 1998. Berkat kesepaduan tekad dalam tempoh itu IPS kembali menyinar. IPS menubuhkan INPES (Insitut Penilaian Sastera). Ahli-ahli baharu pasti baru mendengar ini mungkin. INPES diketuai YBhg Dato’ Dr Janatan Kandok dan ada dua ahli lembaga pengarah. 

Dalam tempoh dua dekad itu, pelbagai kegiatan dilaksanakan dengan suntikan dana dari agensi Kerajaan dan tidak dapat dielak duit poket Ketua Satu serta kawan-kawan yang mampu. Kita terus bergerak walaupun ada masanya persatuan agak perlahan kemudian rancak semula terutama selepas IPS dipimpin oleh ahli yang pernah kami bimbing. Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin lulusan UIA memiliki kebolehan yang amat diperlukan oleh persatuan. Beliau mahir dalam bidang penyelidikan, berpengetahuan, mahir ict, berwawasan jauh dan banyak idea serta berani melakukan perubahan. Mungkin tidak semua ideanya dipersetujui oleh sebilangan kecil ahli, tetapi ahli-ahli boleh menilai sendiri kemajuan IPS sejak 2022 hingga kini. Rujuk laman web persatuan dan pencapaian IPS memang memberangsangkan. Saya tidak mahu mengulas hal ini. Saya bukan juga bermaksud mengangkat anak muda ini tetapi realiti kewibawaannya jelas. Kerana itu kita inginkan persatuan terus gemilang di bawah pimpinannya. Namun beliau tidak boleh bekerja bersendirian, kita sebagai ahli mesti memberikan buah fikiran bernas selain sokongan semangat yang bulat dan teguh. Sebagai salah seorang penasihat persatuan dengan beberapa orang yang lain, kami juga sentiasa berada bersama beliau dalam menakhodai persatuan ini.

Kita bebas mahukan yang terbaik. Sedangkan memilih yang boleh bekerja 100 peratus dari kehidupannya agak sukar. 2024 merupakan masa yang sangat bermakna kerana cabaran yang pasti hebat ketimbang tahun lepas. Sebab itu tiada jalan mudah tetapi dengan adanya kepercayaan bersama, insyaAllah, persatuan kita ini terus siaga. Tahun ini beberapa aktiviti besar dijadualkan misalnya peraduan menulis puisi (Hadiah K Bali) dilestarikan. Peraduan peringkat Asean ini menjadi salah satu tanda aras IPS di peringkat antarabangsa. Kemudian penerbitan buku, melalui Program Sepanggar Membaca serta Sepanggar Berpantun merupakan gelombang baharu untuk sastera dan bahasa di Sabah. Program Puisi Adalah… akan bergerak di beberapa tempat termasuk di premis DBP Cawangan Sabah, JKKNS dan sebagainya. Untuk ini, jalihan ukhuwwah dalam kalangan kita semua sangat penting agar objektif persatuan terus tercapai lebih terbentang gemilangnya. Dengan slogan ‘Wasatiyyah, Istiqomah dan Berimpak Tinggi’ kita yakin kebolehan persatuan memperkasakan gerakan sastera dan bahasa kita. InsyaAllah.

Takzim serta Salam Maju IPS.

Hasyuda Abadi
Pengerusi Majlis Penasihat
IPS

10 Januari 2024

Ahad, Januari 07, 2024

Aktviti HA 2023

AKTIVITI HA 2023

  • 21/1/2023 Mesyuarat Agung IPS KE-33
  • 21-22/1/2023 Program Retreat Rumah Ngaji Sabah di Loft Imago Kota Kinabalu
  • 23/1/2023 Majlis Penutupan Kem Remaja Islam di Masjid Al-Mujahidin Kg Gudon Manggatal Kota Kinabalu
  • 27/1/2023 Perasmian Bengkel Majalah di Bilik Darjah di SK Ulu Kukut Kota Belud
  • 12/2/2023 Ziarah Jenazah Allahyarham Sdr. Japar Hj Ungki, mantan Pegawai DBP Cawangan Sabah dan sahabat baik di Kampung Jawi-jawi Kota Belud..
  • 25/2/2023 Wacana Sasterawan Sabah di Rumah Puisi Hasyuda Abadi
  • 1/3/2023 Kunjungan Hormat Ahli Majlis Tertinggi IPS Terhadap Menteri Sains dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Hj Mohd Ariffin Mohd Arif
  • 3/3/2023 Menghadiri Malam Anugerah Pena Kinabalu 2023 di Shangri-La Tanjung Aru Resort (STAR)
  • 18/3/2023 Kenduri Kesyukuran di Kampung Lumadan Beaufort bersama ahli keluarga dan penduduk kampung
  • 18-20/5/2023 Wacana Sasterawan di Miri Sarawak
  • 28/5-3/6/2023 Kembara ke Kalimantan
  • 18/6/2023 Perjumpaan Mahabah SNS3 bersama rakan-rakan penulis di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RUPHA)
  • 20/6/2023 Bicara Buku 'Amil Jaya Penulis Versatil' di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah, Kota Kinabalu
  • 21/6/2023 Program Riadah Seni di Dewan Amil Jaya DBP Cawangan Sabah, Kota Kinabalu sempena Ulangtahun DBP ke-67
  • 3-6/8/2023 Dialog Borneo-Kalimantan di Bandar Seri Begawan Brunei Darussalam sebagai pemakalah dan peserta
  • 12-13/8/2023 Program Permukiman IPS di Rumah Pangi Sabandar Tuaran
  • 17/8/2023 Bengkel Puisi di SMK St John Beaufort
  • 20/8/2023 Pelajar Bahasa Melayu SMK Badin Tuaran bersama Sasterawan Negeri Sabah ke-3 di RupHA
  • 28/8/2023 Puisi Adalah…
  • 8/9/2023 puisi Adalah Khas di ILPKK
  • 16/9/2023 Puisi Adalah... bersama KRT Kg Seri Aman Matunggong Kudat
  • 20-21/9/2023 Nadwah Serantau Sastera Islami 2023 di Dewan Amil Jaya DBP Cawangan Sabah, Likas
  • 29-30/9/2023 Hari Sastera di Hotel Promenade Kota Kinabalu
  • 4/10/2023 Jumpa Malam Hari Tiga (MHT) di RupHA
  • 7/10/2023 Puisi Adalah... Edisi Maulidur Rasul SAW di RupHA
  • 13/10/2023 Tetamu Kehormat Pementasan Teater Monodrama 'Transit Borneo-Malaya' di Dewan Amil Jaya DBP Cawangan Sabah
  • 17/10/2023 Majlis Perasmian Karnival Semarak Bahasa Tahun 2023 dan Pelancaran Buku Baharu Penulis Sabah di Dewan Amil Jaya DBP Cawangan Sabah
  • 17/10/2023 Pelancaran Buku DBP di DBP Cawangan Sabah
  • 21/10/2023 Majlis Penutup Program Menyemarakkan Seni Budaya 'Orang Kita Budaya Kita' Siri 2 di Kompleks JKKN Sabah 2023
  • 28/10/2023 Bengkel Penulisan Cerpen di SMA Tun Mustapha KInarut
  • 7/11/2023 Menghadiri Undangan Program Wacana Buku Antologi Cerpen Remaja 'Talia Ellysa' di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah