Sabtu, Mac 04, 2023

Persembahan Puisi Fragmen dari Pemuisi D'Bayu (Sabah Maju Jaya - karya Hasyuda Abadi)

SABAH MAJU JAYA 

Puisi juga sangat dekat dengan sesuatu inspirasi cerakinan sesuatu hal atau isu yang lebih besar. Puisi ingin menjelaskan intipati sesuatu daripada bentuk yang terbuku kepada imaginasi agar membuka ke ruang yang lebih terbuka. Puisi menggambarkan kepada umum ruang lingkup perjuangan, hala tuju mahupun impian seseorang atau sekumpulan pemikir. Demikianlah kemampuan seorang sasterawan dalam merentas pemikiran untuk dirasai, dinikmati, diterima dari sudut yang berlainan. 

Sabah Maju Jaya ditulis bersempena setahun YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah yang dimuatkan dalam Majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada September 2021. 

Sabah Maju Jaya telah lama disejatikan dalam jata negeri Sabah. Namun apabila mutakhir untuknya menjadi sebuah dasar penting untuk merujuk kepada pembangunan di Negeri Sabah. Paksi SMJ ditekankan agenda membina masyarakat dan negeri yang bersatu padu dan makmur, penggunaan sumber asli dan hasil mahsul secara optimum, merangsang  pemulihan ekonomi dan melonjakkan pembangunan modal insan. Inilah manifestasi kepada aspirasi dan kehendak rakyat Sabah yang diterjemahkan melalui peti undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan pada 26 September 2020. 

Penyair tertarik dengan isu-isu pembangunan yang diutarakan dalam dasar yang digaris dalam teras strategi dan pemboleh daya melalui SMJ Jalan ke Hadapan. Memindahkan dasar-dasar dalam pelan pembangunan ke dalam ungkapan-ungkapan puitis sudah tentu menghadapi tantangan yang tersendiri. 

Penyair memulai dengan sejarah masa lampau “membaca bait-bait sukma bangsa’ yang dirasai rakyat melalui jatuh dan bangun seebuah pimpinan di negeri Sabah “membentang benang jaya” dan “menjahit luka-luka masa sudah”. 

Langsung memasuki era keberadaan sewajarnya buat negeri yang sangat kaya dengan sumber asli dan kelebihan-kelebihan dalam ekosistem semula jadinya. Penyair melukiskan wajah bumi Sabah yang “mewah, segar dan subur" adalah realiti sebenar. Di situlah wujud “akar sebuah sumpah menjaga ibu pertiwi”. Merekayasa “harga diri dan akal budi” yang telah menjadi pegangan setiap individu yang mencintai tanah airnya. Ini sudah tentu telah lama terpahat dalam sanuberi para pejuang dan pahlawan tempatan semasa melawan penjajah dahulu. 

Oleh sebab itu, kemampanan kemakmuran negeri Sabah tidak harus diabaikan dalam arus pemodenan dunia melalui pengiktirafan pimpinan melaksanakan hala tuju mereka. Bagi penyair, SMJ menjadi payung rakyat jelata menerusi para pemimpin yang siaga dan lebih berani membesarkan idea dan pemikiran mereka.Sehingga akhrinya kelak tampul dibanggai negara dan dunia. Di sinilah terpamer rahsia jaya SMJ sebenarnya.

Jumaat, Mac 03, 2023

Watikah Penghargaan ASNS3

Ucapan Semasa Menerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah ke-3

MALAM ANUGERAH PENA KINABALU
UCAPAN PENERIMAAN
OLEH
HAJI SUKOR HAJI USIN
(HASYUDA ABADI)
SASTERAWAN NEGERI SABAH KETIGA
3 MAC 2023 (JUMAAT)
7.30 MALAM
GRAND BALLROOM,
HOTEL SHANGRI-LA TANJUNG ARU

Bismilahhirrahmanirrahim...
Terima kasih Tuan Pengacara Majlis.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin
dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr. Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R. M. Jasni.
Saya dengan penuh takzimnya merakamkan junjungan kasih atas perkenan Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berangkat hadir ke Malam Anugerah Pena Kinabalu seterusnya menyampaikan Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Ketiga kepada saya pada malam ini.
Tuan Yang Terutama Tun,
Dengan penuh takzimnya saya mohon izin untuk menyampaikan ucapan saya kepada para tetamu yang hadir dalam majlis ini.
SALUTASI
1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam buat junjungan besar kekasih yang tercinta Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat baginda. Mari kita merafakkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan kita hadir di Malam Anugerah Pena Kinabalu 2023.
2. Pada malam yang berbahagia ini, saya ingin menyatakan bahawa begini kita menerima sesuatu atas ketentuan dari Allah SWT jua, sesungguhnya saya sangat gembira diberikan suatu penghormatan dengan penobatan adanya seorang sasterawan di negeri yang amat saya cintai. Terima kasih buat para penilai anugerah yang arif. Saya berterima kasih sebagai antara puluhan rakan seperjuangan di negeri Sabah berada di tempat ini. Setelah melalui tempoh lebih 40 tahun mencenderungi dunia sastera, saya mempunyai peranan yang bukan kecil agar sastera bukan semata-mata melahirkan puisi yang bagus. Bahkan puisi harus membuka jalan-jalan kecil dan rumit kepada ruang yang dituju dengan aman dan membahagiakan. Sudah tentu bersama ujian-ujian yang tersendiri. Ruang fikir yang jitu. Mengajak masyarakat merenungi diri dan kemaslahatan untuk agama, bangsa dan negerinya.
3. Berasa asing oleh segelintir orang terhadap dunia sastera adalah hal biasa tetapi bagi saya sastera itu adalah kehidupan kita seharian. Ketika kita berkomunikasi, berimaginasi, berfikir dan sebagainya saat inilah ‘dunia sastera’ bersama kita. Namun lebih jauh daripada itu saya percaya bahawa ada suara dari alam sunyi membawa kita ke alam makna yang lebih bebas memancarkan pemikiran. Sudah tentu setiap patah kata itu mengandung makna tertentu yang boleh dimanfaatkan sewajarnya.
4. Alhamdulillah, sukacita saya ingin menyatakan bahawa agensi penting yang memayungi keberhasilan susastera dan bahasa para penulis khususnya di negeri kita ialah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, yang telah bertapak sejak 1 Januari 1977 dengan pejabat yang sangat cemerlang bersama para pimpinan agensi yang bertukar ganti sehingga terkini Yang Berbahagia Puan Aminah Haji Awang Basar dan para pegawai yang dedikasi, dulu sampai kini serta staf-staf yang juga datang dan pergi hingga kini tetap juga memberikan kesungguhan, melaksanakan tanggungjawab mereka membina dan memperkasakan dunia persuratan. Terima kasih Dewan Bahasa dan Pustaka.
5. Dalam pada itu, sudah tentu secara peribadi saya amat berterima kasih setinggi-tingginya kepada Kerajaan Negeri Sabah yang turut memberikan perhatian dan penghargaan sebegini. Bagi seluruh penulis negeri ini, anugerah ini memberikan impak yang terbaik kerana memberikan kami peluang memberikan sesuatu buat negeri yang tercinta ini. Terima kasih ingin saya tujukan kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri yang dikasihi. Iltizam Kerajaan Negeri Sabah terhadap gerakan sastera, bahasa dan budaya sangat disanjung tinggi. Bagi pihak seluruh warna penulis di Negeri Sabah kami sangat menghargainya.
TYT Tun, Toh Puan, Datuk-datuk Seri Panglima, Datuk-Datuk, Datin-datin dan hadirin hadirat yang dihormati sekalian.
6. Pada kesempatan ini sukacita saya ingin menyampaikan rasa terharu dan penghargaan kepada pelbagai figura yang membina dan melahirkan insan ini kepada perihal kemanusiaan yang lebih bererti. Sudah tentu kepada kedua almarhum ibu dan ayah saya kerana mereka adalah guru terawal. Seterusnya kepada guru-guru akademik. Guru-guru dunia sastera saya yang bermula di pantai Putera Philip di Tanjung Aru Kota Kinabalu pada 1979 ketika dipertemukan dengan Yang Berbahagia Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain dan rakan-rakan di Kumpulan Anak Seni sehingga melahirkan sebuah puisi yang pertama tersiar di akhbar Sabah Times pada 13 Disember 1980 bertajuk ‘Mengapa O Mengapa’. Guru puisi yang sangat disanjung almarhum Datuk Dr Haji Ahmad Khamal Abdullah (Kemala), almarhum Dr. Supardi Joko Damono, bapak Taufiq Ismail dan Dr. Abd Hadi WM. Tidak dilupakan Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Arif, seorang sahabat dan guru rujukan saya dalam dunia persuratan Islam.
7. Selanjutnya semasa berjuang dalam semangat yang jitu mengurus Ikatan Penulis Sabah (IPS) bersama Yang Berbahagia Datuk Jasni Matlani , Sdr Abd Naddin Shaiddin II , Sdr Mohd Jasni Yakub , Dr. Sifu Art Mohd Puad Bebit, Ustazah Ony Latifah Osman, Puan Jaliha Jaman, Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin dan ramai lagi. Kepada para penerbit buku-buku saya. Kepada para editor media massa yang menyiarkan puisi-puisi serta karya-karya saya yang lain seperti cerpen dan artikel kritikan sastera.
8. Pastinya, isteri - Puan Hajah Sahara Jais dan anak-anak tercinta -sangat mendorong saya memperhalus skop bicara pengucapan agar terangkum sehingga menjadi bait-bait indah dan bermakna. Kalian figura penting dalam membangunkan RupHA - Rumah Puisi Hasyuda Abadi – di Kampung Gudon Manggatal, Kota Kinabalu, yang menempatkan khazanah buku-buku Pustaka Iqbal Nazim dan rumah ngaji yang menghasratkan motto memandaikan bangsa melalui al-Quran di Rumah Ngaji Baitul Muqaddam. Semoga cadangan yang diutarakan dalam wacana sasterawan Sabah baru-baru ini untuk menjadikannya sebagai sebuah institusi kelak akan menjadi kenyataan.
TYT Tun, Toh Puan, Datuk-datuk Seri Panglima, Datuk-Datuk, Datin-datin dan hadirin hadirat yang dikasihi.
9. Sesungguhnya anugerah ini atas izin Allah SWT juga. Saya hanya meminjam secubit kebahagiaan daripada kasih sayang-Nya, sebagai sesuatu yang harus saya jiwai dan percaya. Dengan kebahagiaan itu, saya menggalas tanggungjawab tersendiri. Bagaimana sastera mampu membina dan membangunkan jatidiri insaniyyah. Sukacita saya ingin mengakhiri ucapan ini dengan sedutan daripada salah sebuah puisi saya yang berjudul “RUMAH SASTERA”:
Sastera di tengah masyarakat
katanya tidak berjejak
bukankah sastera itu matlamatnya satu
membawa suara dari diam sunyi
ke alam makna anyaman diksi
bebas menggamit tugas
terpancar fikiran di sebalik nilai
besarnya niat menjelaskan persoalan.
Biarkan sastera hidup bersama pengikutnya
buka pintu-pintunya yang dikunci anggap
silakan ia terus bergerak
seperti mengalirnya air ke saujana makna
biarkan penikmat indahnya lautan terbentang
bukan melihatnya di hujung jalan
yang kian mengecil tirus tidak terjangkaukan.
Sekian. Terima kasih. Wassalamualaikum wbth.

Rabu, Mac 01, 2023

MALAM ANUGERAH PENA KINABALU

UCAPAN PENERIMAAN

OLEH

HAJI SUKOR HAJI USIN
(HASYUDA ABADI)

SASTERAWAN NEGERI SABAH KETIGA

3 MAC 2023 (JUMAAT)

7.30 MALAM

GRAND BALLROOM,

HOTEL SHANGRI-LA TANJUNG ARU

Bismilahhirrahmanirrahim...

Terima kasih Tuan Pengacara Majlis.

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin

dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr. Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R. M. Jasni.

Saya dengan penuh takzimnya merakamkan junjungan kasih atas perkenan Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berangkat hadir ke Malam Anugerah Pena Kinabalu seterusnya menyampaikan Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Ketiga kepada saya pada malam ini.
 
Tuan Yang Terutama Tun,

Dengan penuh takzimnya saya mohon izin untuk menyampaikan ucapan saya kepada para tetamu yang hadir dalam majlis ini.

SALUTASI

1.      Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam buat junjungan besar kekasih yang tercinta Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat baginda. Mari kita merafakkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan kita hadir di Malam Anugerah Pena Kinabalu 2023.

2.      Pada malam yang berbahagia ini, saya ingin menyatakan bahawa begini kita menerima sesuatu atas ketentuan dari Allah SWT jua, sesungguhnya saya sangat gembira diberikan suatu penghormatan dengan penobatan adanya seorang sasterawan di negeri yang amat saya cintai. Terima kasih buat para penilai anugerah yang arif. Saya berterima kasih sebagai antara puluhan rakan seperjuangan di negeri Sabah berada di tempat ini. Setelah melalui tempoh lebih 40 tahun mencenderungi dunia sastera, saya mempunyai peranan yang bukan kecil agar sastera bukan semata-mata melahirkan puisi yang bagus. Bahkan puisi harus membuka jalan-jalan kecil dan rumit kepada ruang yang dituju dengan aman dan membahagiakan. Sudah tentu bersama ujian-ujian yang tersendiri. Ruang fikir yang jitu. Mengajak masyarakat merenungi diri dan kemaslahatan untuk agama, bangsa dan negerinya.

3.           Berasa asing oleh segelintir orang terhadap dunia sastera adalah hal biasa tetapi bagi saya sastera itu adalah kehidupan kita seharian. Ketika kita berkomunikasi, berimaginasi, berfikir dan sebagainya saat inilah ‘dunia sastera’ bersama kita. Namun lebih jauh daripada itu saya percaya bahawa ada suara dari alam sunyi membawa kita ke alam makna yang lebih bebas memancarkan pemikiran. Sudah tentu setiap patah kata itu mengandung makna tertentu yang boleh dimanfaatkan sewajarnya.

4.     Alhamdulillah, sukacita saya ingin menyatakan bahawa agensi penting yang memayungi keberhasilan susastera dan bahasa para penulis khususnya di negeri kita ialah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, yang telah bertapak sejak 1 Januari 1977 dengan pejabat yang sangat cemerlang bersama para pimpinan agensi yang bertukar ganti sehingga terkini Yang Berbahagia Puan Aminah Haji Awang Basar dan para pegawai yang dedikasi, dulu sampai kini serta staf-staf yang juga datang dan pergi hingga kini tetap juga memberikan kesungguhan, melaksanakan tanggungjawab mereka membina dan memperkasakan dunia persuratan. Terima kasih DBP.

5.           Dalam pada itu, sudah tentu secara peribadi saya amat berterima kasih setinggi-tingginya kepada Kerajaan Negeri Sabah yang turut memberikan perhatian dan penghargaan sebegini. Bagi seluruh penulis negeri ini, anugerah ini memberikan impak yang terbaik kerana memberikan kami peluang memberikan sesuatu buat negeri yang tercinta ini. Terima kasih ingin saya tujukan kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri yang dikasihi. Iltizam Kerajaan Negeri Sabah terhadap gerakan sastera, bahasa dan budaya sangat disanjung tinggi. Bagi pihak seluruh warna penulis di Negeri Sabah kami sangat menghargainya.

TYT Tun, Toh Puan, Datuk-datuk Seri Panglima, Datuk-Datuk, Datin-datin dan hadirin hadirat yang dihormati sekalian.

6.    Pada kesempatan ini sukacita saya ingin menyampaikan rasa terharu dan penghargaan kepada pelbagai figura yang membina dan melahirkan insan ini kepada perihal kemanusiaan yang lebih bererti. Sudah tentu kepada kedua almarhum ibu dan ayah saya kerana mereka adalah guru terawal. Seterusnya kepada guru-guru akademik. Guru-guru dunia sastera saya yang bermula di pantai Putera Philip di Tanjung Aru Kota Kinabalu pada 1979 ketika dipertemukan dengan Yang Berbahagia Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain dan rakan-rakan di Kumpulan Anak Seni sehingga melahirkan sebuah puisi yang pertama tersiar di akhbar Sabah Times pada 13 Disember 1980 bertajuk ‘Mengapa O Mengapa’. Guru puisi yang sangat disanjung almarhum Datuk Dr Haji Ahmad Khamal Abdullah (Kemala), almarhum Dr. Supardi Joko Damono, bapak Taufiq Ismail dan Dr. Abd Hadi WM. Tidak dilupakan Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Arif, seorang sahabat dan guru rujukan saya dalam dunia persuratan Islam.

7.           Selanjutnya semasa berjuang dalam semangat yang jitu mengurus Ikatan Penulis Sabah (IPS) bersama Yang Berbahagia Datuk Jasni Matlani, Sdr Abd Naddin Shaiddin, Sdr Mohd Jasni Yakub, Dr. Mohd Puad Bebit, Ustazah Oneh Latifah Osman, Puan Jaliha Jaman, Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin dan ramai lagi. Kepada para penerbit buku-buku saya. Kepada para editor media massa yang menyiarkan puisi-puisi serta karya-karya saya yang lain seperti cerpen dan artikel kritikan sastera.