Selasa, September 07, 2021

ULASAN UMUM SAYEMBARA MENULIS CERPEN SEMPENA HARI MALAYSIA 2020 ANJURAN IKATAN PENULIS SABAH (IPS)

Ketua Panel Hakim
Umumnya cerpen sekurang-kurang memenuhi perkara-perkara asas seperti berikut:

Pertama - Intelek iaitu ada sesuatu pemikiran yang tinggi dalam cerpen tersebut.  Maknanya dalam karya tersebut ada mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca supaya boleh direnung dan difikir oleh pembaca untuk dijadikan panduan, mendapatkan pengetahuan dan Kedua wepengalaman.

Kedua - Pancaran emosi dalam cerpen tersebut sama ada gembira, sedih, sinis. Maknanya cerpen tersebut memilih persoalan dan stail/gaya bahasa yang boleh dihayati dengan baik oleh pembacanya dan dapat menimbulkan suatu fikiran khusus serta memberikan kesan pengajaran dan hiburan.

Ketiga - Peristiwa/persoalan dalam cerpen tersebut dituliskan dengan mata hati dan mata fikir iaitu dengan imaginasi yang mengandungi unsur-unsur pemikiran bukan angan-angan. Ada matlamat dalam penulisan cerpen ini dan biasanya hal-hal yang positif.

Keempat - Sesebuah cerpen mempunyai teknik persembahannya iaitu cara olahannya, susunan peristiwanya dan frasa-frasa yang dipilihnya.

Dalam konteks menghasilkan cerpen bertemakan tokoh-tokoh sejarah Sabah sudah tentu penulis perlu mendapatkan data dan fakta sejarah tokoh-tokoh berkenaan. Apabila menceritakan semula kisah ataupun riwayat hidup mereka secara kreatif penulis tidak dapat mengetepikan ciri-ciri penulisan kreatif. 

Ciri-ciri yang dimaksudkan antaranya cerpen hendaklah singkat, padu, intensif (ada perkara yang ditekankan). Berlaku adengan, watak dan gerak. Bahasa hendaklah tajam dan menarik. Interpertasi pengarang kepada kehidupan dan dapat menimbulkan satu kesan. Seterusnya, menarik perasaan pembaca, penggambaran jelas pada peristiwa yang dipilih. Akhirnya wujud cerita/persoalan utama, watak utama, latar dan suasana.

Cerpen bertemankan sejarah atau tokoh sejarah entitinya sangat jelas menerapkan data dan fakta penting. Data dan fakta seperti latar belakang tokoh seperti bagaimana ia dibesarkan,  peristiwa-peristiwa luar biasanyavsehingga diangkat menjadi ikon atau tokoh yang diterima dalam komuniti di zamannya. Apabila menerapkan data dan fakta penulis tidak akan menulis seolah-olah mencatatkan sebuah biodata atau biografi. Walaupun sebuah cereka bertema tokoh bersejarah perlukan semua data serta fakta kehidupannya, untuk menulis sebuah cerpen, kreativiti yang tinggi penulis sangat dituntut. Ini dianggap mandatori. Melanggar prinsip ini akan menafikan karya berkenaan sebagai sebuah karya kreatif.

Dalam sayembara menulis cerpen bertemakan tokoh-tokoh sejarah Negeri Sabah menarik minat ramai penulis berbakat seluruh Malaysia. Kelebihan dalam kalangan mereka apabila mampu menelusuri sejarah hidup tokoh yang dipulih. Meskipun pada hemat saya tidak menyeluruh tetapi unsur-unsur sejarah yang berkaita dengannya menimbulkan perasaan dan menampilkan nilai yang wajar dibanggakan.

Dalam menilai teks yang dikemukakan, penilai hanya diberikan teks tanpa nama penulis. Oleh itu, tiada unsur-unsur pilih penulis tetapi membaca karya yang baik dari semua yang terbaik. Sukatan penilaian telah dijelaskan di atas secara umum. 

Tujuh buah cerpen terbaik telah diputuskan sebagaimana di bawah:

Tiga hadiah utama
1. Mari Kita Pulang Rumah (Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun)
2. Perjalanan Terakhir Seorang Hoguan Siou (Tun Mohd Fuad Stephen)
3. Cita-cita Tanpa Kemahuan Tidak Ke mana  (Tan Sri Abdul Ghani Gilong)

Empat penghargaan
1. Biola Masa Silam Mencari Saudara kembar (Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun)
2. Antanom Pahlawan Murut (Antanom - Ontoros Ensui)
3. Tun Datu Muatapha Datu Harun
4. Kisah Juang di Bawah Bayu (Tun Mohd Fuad Stephen/Tugu Peringatan Double Six)


Hasyuda Abadi
RupHA
7 September 2021

Selasa, Ogos 17, 2021

SEBAGAI AYAH APAKAH YANG PERNAH DIHARGAI, ANAK


sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
dulu membelai manja menjadi majnunnya malah seawal bayi merah, mengawal waktunya, sering juga berjaga waktu matahari tiba sinar pertamanya memberikan cahaya, sederap langkah sebelum itu merangkak di bawah asuhan dan pandai berjalan, berlari sendiri

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
melebihi hayat seorang ibu, ada makna akrab yang mendekatkan naluri kasih lebih daripada insani lebih daripada segalanya, waktu-waktu berlalu dan berarus tanpa pernah berkata apa atau memandang silih berganti hari-hari yang membesarkan melihat suntimu kini lebih daripada itu, bijak memilih pilihan bau cuaca dan kegemaran pada mata seorang anak dara

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
menyalur halus kasih sayang biar apa pun yang harus datang dan menghalang, malang atau walang, derita atau ria suka bahkan menyimpan rahsia peribadi, memahami raung ruang remaja, mengerti malah erti cinta biarpun cuma anak-anak hingusan yang baru membesar didewasakan bacaan atau tontonan zaman

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
memandang ada duka yang bertamu di dalamnya, nestapa api yang membakar perih pedih pilu luluh! ungkapan apa lagi, anak suara ini hanya lagu-lagu yang didendangkan tanpa makna bukan sebuah gerakan kasih sayang yang luhur sambil hanya melihat celoteh sentiasa saja terjadi dan terjadi. dan sajak ini terjadi diabadikan di sini dengan derai air mata

sebagai ayah entah apakah yang pernah menghargainya, anak!

 

Tersiar di: Harian Ekspres, 18 Jun 2007

Hadiah Sastera Sabah 2006/2007


:: Klik ulasan puisi di sini.

Isnin, Ogos 02, 2021

SABAH MAJU JAYA


Membaca bait-bait sukma bangsa
merakam denyut fikir dan harap warga
mencintai damai dan merdeka
di peti sejarah lampau peraga ragam
pengalaman bermakna dihadam dan difahami
adalah teras sangat nyata untuk bangkit
membentang benang jaya
Menjahit luka-luka masa sudah.
Tak pernah mengabaikan cinta
negeri yang mewah, segar dan subur
indah bumi dipusakai berbanjaran berlembah
di bawah bayu ranum cuaca berganti silih
digagahi megah terbujurnya Kinabalu tersergam
kebanggaan nusa tanah bertuah
simbol sebongkah jati diri yang gemilang
menjadi akar sebuah sumpah menjaga ibu pertiwi
mempertaut harga diri dan akal budi.
Slogan megah di jata Negeri kembali menjadi obor
kelangsungan perjuangan mengembalikan impian
merungkai falsafah panji-panji megah
dipasak utuh berkibar penuh makna di angkasa raya
azimat kuasa rakyat setia penuh amanat
Sabah Tanah Air merakam semangat cinta
menjulang berani bangsa.
Sabah Maju Jaya adalah jati jiwa agenda besar
memacu impian bersama jiwa yang mampu berdepan ujian
kerja bersama pasukan, menzahirkan kepercayaan dan tanggungjawab,
menjulang nilai-nilai iltizam, moral dan ketabahan
seperti pesan pemimpin, inilah kunci utama
dalam mengurus ranah perubahan.
Betapa luas terbentangnya negeri
hanya yang tabah menjiwai nilai keberhasilan
amanah digalas dengan kemas dan dedikasi
rakyat menantikan detik memetik buah-buah nikmat
kerana sesuatu yang diucapkan telah dan akan dilaksanakan
kerana satu persatu telah dirangka sepenuh upaya
dengan kuatnya sumber insan menggalas
cekap dan berkesan.
Kilauan pingat kejayaan bakal dikalungkan
bukan semata-mata bererti puas namun ini bukti
sesuatu yang digalas penuh yakin diraih untuk dirai bersama
betapa patriotiknya warga berjaya negeri yang kembali
memacu semangat pahlawan memilih impian terbentang
wawasan mengembalikan kebangkitan kemajuan.
Jaringan komunikasi yang menawarkan nilai kekinian
menerobos masa depan yang gemilang
mendekatkan rasa berjauhan dari segala daerah
utara ke selatan, pedalaman mahupun di belantara
bahkan lebih daripada itu
mengangkat akaliah lebih ke hadapan
kemampuan menggali akar budaya ke puncak ilmu
gagasan generasi mengangkat negeri bermartabat
siaga di dataran rimbun ekonomi mampan.
Sabah Maju Jaya bergema ke seluruh pelusuk negeri
memayungi rakyat jelata pemimpin menapak berani
lebih siaga mengayun fikrah memperkasa tanah air
lebih terampil dibanggai negara dan dunia tampil
menginai rahsia jaya diberkati selama-lamanya.


HASYUDA ABADI,
Kota Kinabalu, Sabah.
2 Ogos 2021

Jumaat, Januari 15, 2021

CEPATLAH PULIH MALAYSIAKU


Saudara-saudara yang
tidak berhenti bertelagah
berselimut menjadi musuh
retorik menulis syarat
dihormat rakyat
telah sampai dibenci rakyat.
Saudara-saudara yang
tidak puas berpidato
mengukur berapa jauh hasta kuasa
ketika menggapainya siapa
menjadi mangsa
menyaksikan layar panggung
didendang canggung.
Saudara-saudara yang
menggunakan kuasa rakyat
dibawa dari segala urat nadi mereka
ke pintu Parlimen
menjadikannya kandang pertengkaran
bukan menyelesaikan masalah.
Saudara-saudara yang
mempamerkan kerakusan
tak pernah berasa berlaku kerakusan
setelah diberikan kuasa
mahu apa lagi kecuali tak putus asa
mencair keris purba
yang tempang di atas persilatan kata-kata.
Persiapkan kebenaran apa
yang ingin diperjuangkan
setelah nyaman ditakhta kemerdekaan
kembalikan keagungan negara
pulihkan Malaysiaku
kerana yang mengembilangkannya
bukan kemahuan diri yang berduri
ketamakan
bukan retorika perbahasan
di medan perbudakan.
HASYUDA ABADI
Akademi Rupha
15 Januari 2021