Saudara-saudara yang
tidak berhenti bertelagah
berselimut menjadi musuh
dihormat rakyat
telah sampai dibenci rakyat.
Saudara-saudara yang
tidak puas berpidato
mengukur berapa jauh hasta kuasa
ketika menggapainya siapa
menjadi mangsa
menyaksikan layar panggung
didendang canggung.
Saudara-saudara yang
menggunakan kuasa rakyat
dibawa dari segala urat nadi mereka
ke pintu Parlimen
menjadikannya kandang pertengkaran
bukan menyelesaikan masalah.
Saudara-saudara yang
mempamerkan kerakusan
tak pernah berasa berlaku kerakusan
setelah diberikan kuasa
mahu apa lagi kecuali tak putus asa
mencair keris purba
yang tempang di atas persilatan kata-kata.
Persiapkan kebenaran apa
yang ingin diperjuangkan
setelah nyaman ditakhta kemerdekaan
kembalikan keagungan negara
pulihkan Malaysiaku
kerana yang mengembilangkannya
bukan kemahuan diri yang berduri
ketamakan
bukan retorika perbahasan
di medan perbudakan.
HASYUDA ABADI
Akademi Rupha
15 Januari 2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan