Ahad, Januari 01, 2006

2005 dan Buku

Kota Kinabalu 2005 diawali dengan majlis pelancaran buku: Bisikan Nurani karya Dg Salmah Salam, Di Kebun Amal (Ramlie A.R.) dan Taufan (A.B.M. Fajeer) terbitan DBP Cawangan Sabah. Di majlis yang sama meraikan persaraan Tuan Haji Hamzah Hamdani, Pengarah DBP Cawangan Sabah dan mengalu-alukan penggantinya Encik Zubaidi Abas. Haji Hamzah Hamdani menamatkan perkhidmatanya sebagai pengarah Dewan di Sabah selama 7 bulan dengan 7 buah penerbitan buku. Empat buku yang lain: Biografi Penulis Sabah, Pelayaran (Rubiah Nordin), Menginai Badai (Hasyuda Abadi) dan Kumplan Puisi Mahrajan Sastera Islam 2004. Tentu saja lebih banyak buku karya penulis-penulis Sabah sekiranya beliau belum bersara. Kita berharap usaha penerbitan khas ini akan diteruskan oleh pengarah yang baru. Misalnya bagi genre sastera yang lain khususnya cerpen. Jasni Matlani dan saya berbicara panajng tentang hal ini semalam. Syabas ditujukan kepada pegawai Dewan yang bekerja keras dengan komitmen yang amat tinggi terhadap usaha penerbitan ini. Tentunya kepada Sdr Japar Ungki wajar diberikan penghargaan. Bukan mudah menyelenggarakan 3 buah buku sekali gus pada satu-satu masa!

Tahniah juga kepada kekanda Fajeer, Abang Ramlie AR dan juga bonda Dg Salmah. Membaca sekali imbas buku-buku mereka saya dapat mengesan keistimewaan masing-masing: nurani, fikrah, nuansa, intuisi, harapan... Ahli-ahli Kemsas yang tidak berkesempatan menghadiri malis malam tadi di Promenade Hotel, Kota Kinabalu, bolehlah mendapatkan buku-buku ini di DBP Cawangan Sabah. Kita berharap bila buku dah terbit keberadaan ketiga-tiga penulis veteran ini terus 'bernadi' di persada sastera tanah air. Ya, menarik diungkapkan Datuk Sapawi: (dari) bisik nurani di kebun amal (ada) taufan (yang memberi cabaran).

Salam puisi.

Selasa, Disember 13, 2005

Juara Festival Teater 2005

Lebih awal saya menduga bahawa anugerah bagi sinografi terbaik harus diberikan kepada Rumpun Seni Persembahan Anak Kolej PTPL (RENTAK PTPL). Saya meletakkan jempol kepada pengarahnya selepas berakhirnya persembahan kumpulan itu. Berbanding kumpulan-kumpulan teater yang lain, saya suka persembahan PTPL. Lain dari yang lain. Saya juga mengharapkan lebih banyak anugerah diberikan atas kombinasi produksi yang tidak sedikit masa digunakan dan tidak kecil pengorbanan tenaga kerja diberikan. Banyak elemen yang digunapakai. Erwan Azzly Awang Taip selaku pengarahnya malah memberitahu banyak lagi elemen patut diaplikasi ke dalam sebuah teater sesuai dengan keadaan termasuklah penerimaan audiens yang sudah berubah masa kini. Saya tidak hairan jika anugerah sinografi itu menjadi milik mereka disebabkan elemen-elemen baru yang Erwan maksudkan. Saya tidak pandai menceritakan apa elemen-elemen baru dalam teater. Nilai rasa saya itulah, Kerusi ditangan Erwan dan krew yang lain lebih bertenaga kalau dibuat perbandingan dengan 'Lagenda Sampang Mengayau', 'Benda Sulit', 'Hasutan', 'Menanti Puteri Hijau' atau sebuah lagi 'Kerusi' meski ada elemen-eleman tersendiri yang harus dibanggakan. Rem telah mengulas empat persembahan dengan penilaiannya yang tersendiri. Saya memang berfikir sekiranya Rem menonton dua lagi persembahan yang diadakan waktu bekerja itu, tentulah penilaiannya juga turut berbeza (mungkin).

Ya, saya sungguh bangga dengan PTPL, pengarahnya masih muda. Kalau dibanding dengan Maskuji atau Mastari, kedua-duanya orang lama. Tetapi itu bukanlah ukuran mutlak. Ilmu juga boleh mengukur kecemerlangan ditambah dengan kombinasi kerja yang profesional. Saya fikir begitu. Boleh ditambah nanti. Tidak pernah saya menjadi begitu gembira selepas menonton teater. Kali ini lain. Mungkin kerana Erwan itu adik sepupu saya atau memang menggemari produksi 'Kerusi' PTPL yang kena buku dengan ruas?

Jelasnya, keputusan muktamad menyebelahi PTPL dengan enam buah anugerah berjaya dibolot iaitu Johan Kumpulan, Pengarah Terbaik, Sinografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan dan Pelakon Wanita Harapan. Anugerah lain diterima oleh UiTM (Naib Johan Kumpulan), G-Tel UMS (Ketiga Kumpulan), Pelakon Wanita Terbaik (UiTM), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (G-Tel UMS) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (UiTM). Kumpulan PENTAS (Kudat), PUTERI (Pitas) dan sebuah lagi ABAI (Sandakan) nampaknya tercicir daripada sebarang anugerah dalam festival kali ini.

Syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah. Tahniah juga kepada penganjur. Semua berharap industri teater terus semarak di negeri Sabah seperti pada tahun-tahun 80-an yang telah meninggalkan sejarahnya sahaja. Demikian juga kalau dipersetujui supaya pihak penganjur menyediakan hadiah yang lebih baik berbanding festival teater 2005 ini.

12 Disember 2005

Ahad, November 13, 2005

Tidak ramai tapi intim...itulah kami

Kami tidak ramai tapi memang intim... Inilah yang sering tidak dapat saya nafikan ketika memiliki sebuah persahabatan. Sejak dulu lagi. Saya tetap mengingati sahabat-sahabat seperti JM (Jasni Matlani), ANS (Abd Naddin Shaiddin), Robby (Liberia S. Arkadious), Ailin, Sharifah, Along, Muharsafa Kirana, Wan, Sahara, Shukri, NR Rahim kemudian Ony, JY (Jasni Yakub), RR (Rosnah Radin), Mabul, Rafidah, Maskuna, Mohd Azrone, hingga kini Anira, Anthonia dan seterusnya. Kami tidak ramai tapi kerana keintiman itu menjadi kami tetap kuat. Seperti kata Ony, tidak mendengar suara JY beberapa hari, aduhai seperti ada sesuatu yang tidak kena!

Sahabat-sahabat ini datang dan tidak pernah pergi meskipun harus berada di tempat jauh lantaran tanggungjawab yang tidak mungkin dielak. Tiara yang kami kenal lewat Kemsas juga, tidak mungkin renggang dalam naluri ukhwah persaudaraan. Tiara bersedia datang dua kali di tahun yang sama ke Kota Kinabalu menjelaskan tarikan tali persahabatan yang luar biasa. Robby walaupun jarang-jarang bersapa tapi saya tahu ada sentuhan tersendiri yang tidak dapat dicakapkannya. Meskpun JM, Ailin, NR Rahim atau Wan tidak bersama di IPS tetapi IPS itu menjadikan kami tidak jauh. Kata Robby, jauh tapi dekat! Apatah lagi perjuangan yang sama apabila JM meneruskan peranannya menerusi Bahasa. Dia selalu mengajak saya mengadakan aktiviti.

Menariknya lagi keintiman itu diikatkan dengan kehadiran anak-anak yang kami punya menjadi suatu keluarga yang kedua selain rumah sendiri. Anak saya terutama yang bongsu begitu mengenali sahabat-sahabat ayahnya. Kenal siapa Zaini Ozea kalau saya menyebut Sarawak. Malah kenal Zubaidi Abbas bila saya terlupa dia akan ingatkan nama pengarah DBP Sabah itu. Kenal juga seorang penyair yang amat terkenal dengan cara deklamasi yang agresif dalam persembahan baca puisi, Haji Ismaily Bongsu. Dia kenal beberapa tokoh teater Sabah seperti Karim Gulam, A.Karim Kadir, Cikgu Ramli, Matnor Makbul, Mat Konggo... Malah masa festival teater baru-baru ini dia begitu bersetuju jika drama 'Kerusi' PTPL itu menjadi juara! Bayangkan seawal tahun 5 sekolah rendah. Ini pendedahan yang terbaik untuk menyemai generasi mengenal tokoh. Salah satu saya fikir. Namun keintiman itu pada saya tetap saja dipelihara meskipun ada waktunya kami diberati tanggungjawab yang berbeza. Sebab itu pertemuan warga Kemsas dan keluarga IPS di Sumur Mahmudah (SM) sentiasa diharapkan terjadi. Sering terjadi tidak semestinya di SM bakan di tempat-tempat lain. Saya telah memikirkannya. Saya amat menghargai sahabat-sahabat yang hadir dalam pertemuan warga Kemsas sabtu lepas termasuklah Rem, Norzah, Brahim Samad dan Ustaz Ismail Duah. Tunggak utama kami ialah JY dan Ony. Ini dua persona yang diibaratkan bagai kuku dan isi buat IPS. Ada juga sahabat yang tidak kesampaian lantaran tersesat jalan. Sungguh Sumur Mahmudah itu terletak jauh dari Kota Kinabalu.

Seperti kata Anthonia, nasib baik ada yang sudi menumpangkannya ke SM. Saya berbisik kepada Ony, nanti bina penanda jalan, biarlah setiap simpang ada penanda ke SM. Ini menjadi harapan Ony juga yang punya hasrat yang mahmud untuk menjadikan SM sebagai salah satu pusat pengembangan sastera. IPS akan laksanakan Khemah Sastera tahun depan di SM jika tiada aral. Mudah-mudahan akan mengeratkan lagi tali persaudaraan dan persahabatan antara ahli di samping mengekalkan tradisi yang kami punyai sejak 15 tahun yang lalu.

12 November 2005

Selasa, November 08, 2005

Pemimpin jangan jadi seumpama nangka!

Wakil Rakyat

ketika kami mengulangi permintaan
mereka hanya memandang dari dalam
sedang kami mengeja-eja
harapan dan menghafalnya

seperti orang lain mereka juga mewarnakan kehidupan
menyusun payah dan meletakkan sengsara di dinding
memelihara kebencian sering bersahabat ketika malang

wakil rakyat tempat kami
mengadu nasib dan meminta
suara kami menyeberangkan mereka ke benua jangka
membina rumah

malangnya kepada kami segala sengsara
segala sengketa dicanai dipersembah api membara
kami dipimpin dan hidup membaca huruf-huruf dusta

tiada atau ada dua kata yang menyatu pertanyaan
siapakah yang memimpin dan dipimpin
siapakah yang memilih dan dipilih

siapakah yang bernama wakil
siapakah yang bernama rakyat
siapakah yang tak henti-henti berharap

saat ini,
lakaran perdebatan dan peperangan saraf
khianat fitnah atau tak ada taat setia
rebah pekerti musnah hati budi dan hilang timbang rasa

saat ini, mereka kembali mencari diri
mencari kehilangan yang mereka lupakan
mengembalikan akar menegakkan pohon impian

Komentar:

Sengaja mengirim sebuah sajak seperti di atas untuk menilai kembali apakah para wakil rakyat lakukan kepada orang ramai yang diwakilinya. Apakah amanah yang disandar di bahunya itu dilaksanakan dengan sebaiknya, mencapai apa yang pernah disuarakan, diukir sebagai janji pilihan raya... Memang sebal apabila melihat dan mendengar suara-saura kecewa ramai orang tentang para wakil yang tidak menepati tanggungjawab mereka itu. Benar, tidak adil untuk memberikan penilaian kepada wakil yang baru. Bagaimana bagi para wakil yang telah diberi gelar YB lebih satu penggal? Boleh semahunya melakukan apa yang bagus kepada dirinya dan orang-orang kelilingnya sahaja. Tidak boleh diteugr. Tidak boleh dikomentar. Jika anda merasakan punya wakil rakyat, cuba-cubalah melihat ke dalam. Seperti pernah saya tulis mereka itu harus 'duduk di luar rumah bukan di dalam rumah!' Sajak 'Wakil Rakyat' itu pernah juga diberi komentar oleh T.Alias Taib (Arwah) bahawa tidak semua wakil rakyat itu dilihat secara negatif. Benar, tetapi pernah terjadi. Misalnya apakah yang mereka rancangkan tentang pembangunan belia? Mengapa ramai belia tidak bekerja? Mengapa semakin tinggi tiras perangkaan pengamal syabu? Mengapa semakin tidak terkira masalah sosial melanda? Apakah hanya pembangunan material sahaja yang menjadi fokus dalam agenda di dewan persidangan? Meski bagus tetapi harus diberi perimbangan yang wajar. Wakil rakyat harus ada wawasan masing-masing. Wawasan yang jelas, wawasan yang berpaksi. Wawasan yang berakar. Fikirkan sesuatu yang lebih mendasar dan memberikan kebaikan semua pihak. Sekiranya ada rasa ikhlas, jujur dan amanah menjalankan tanggungjawab sebagai orang yang diberikan kewajipan wakil rakyat, saya fikir tidak ada masalah yang menjadi perbicaraan umum dan menyakitkan telinga dan hati. Semasa punya sedikit kuasa, kita tidak pernah merasakan apa-apa meski tahu orang tidak menyukai, tetapi satu hari nanti, kita semua memerlukan orang lain mengurus kita terutama saat nafas berada di hujung kehidupan. Kuasa itu bukan mainan. Kuasa itu tanggungjawab. Kuasa itu amanah. Kuasa itu keikhlasan. Kuasa itu sebuah harapan. Kuasa itu umpama tongkat yang menunjuk jalan kebahagiaan (Lihat sajak: Menemukan Tongkat Musa'). Mengapa harus menunggu musim mendatang barulah faham peranan mereka. Barulah melangkah dan bersusah melebar senyum untuk setiap pengundi di kawasan masing-masing. Barulah tahu sifat-sifat kepemimpinan yang cemerlang, gemilang dan terbilang, walaupun sebenarnya temberang! Boleh temberang, boleh ego, boleh tinggi diri, boleh semarakkan peribadi tetapi letakkanlah segalanya itu di atas tempat yang betul. Seperti yang saya catatkan pada bait terakhir puisi di atas:

saat ini, mereka kembali mencari diri
mencari kehilangan yang mereka lupakan
mengembalikan akar menegakkan pohon impian
Mungkin saat itu anda sudah terlewat. Benarlah kata seseorang bahawa jangan jadi pemimpin seumpama buat nangka yang masaknya sekali dan gugur tidak boleh naik lagi di dahannya.



Seperti di Kemsas
7 November 2005