Kita sering mendengar
kata-kata penuh semangat yang bergema dalam ruang-ruang pidato, wacana dan
media - “Kami buat apa kami kata.” Ungkapan ini kedengaran teguh,
seolah-olah menjadi ikrar kepada kejujuran dan kebertanggungjawaban. Namun,
dalam realiti kehidupan berorganisasi dan berpolitik, slogan ini kerap menjadi
gema yang tidak berakar. Ia berhenti di bibir, tidak menjalar ke tindakan.
Maka, timbullah persoalan: apakah kata-kata ini lahir daripada kelopak yang
jujur, atau sekadar retorik yang diperindah untuk meraih kepercayaan sementara?
Kata-kata, walau seindah
manapun, akan kehilangan makna tanpa kesetiaan terhadap perbuatan. Sebuah
perjuangan tidak dapat dipertahankan dengan retorik musiman. Ia memerlukan
bukti yang berpanjangan, seperti sebatang pokok yang memerlukan masa untuk
tumbuh dan sejarah untuk mematangkan akarnya. Begitulah juga dengan
kepercayaan; ia tidak tumbuh dalam sehari, dan tidak dapat dipaksa melalui
slogan. Kepercayaan lahir daripada kesungguhan yang diuji oleh masa dan
tindakan yang berulang tanpa lelah.
Dalam konteks kepemimpinan dan
kemasyarakatan, manusia perlu terlebih dahulu mampu memanusiakan manusia
yakni, berperanan bukan sekadar sebagai penyampai janji, tetapi sebagai teladan
yang menunjukkan kejujuran dan ketelusan dalam setiap tindakan. Ini bukan tugas
mudah. Ia menuntut kesabaran, kesedaran diri, dan keazaman yang istiqamah.
Istiqamah di sini bukanlah tindakan spontan atau “bidan terjun”, tetapi satu
bentuk keutuhan moral yang dibina melalui proses panjang pembentukan jiwa dan
nilai.
Kejujuran tidak boleh dipaksa,
ia perlu dipupuk. Sama seperti sebuah pohon yang menegakkan batangnya ke
langit, manusia juga perlu menegakkan prinsipnya dalam menghadapi cabaran.
Keyakinan orang lain terhadap kita tidak datang daripada kata-kata yang kuat,
tetapi daripada keselarasan antara kata dan perbuatan. Ketika tindakan tidak
selari dengan janji, maka seluruh nilai perjuangan akan runtuh, walaupun slogan
terus dilaungkan.
Benarlah bahawa semangat itu
penting, tetapi semangat tanpa bukti hanyalah nyala sementara yang mudah padam.
Perjuangan yang sebenar adalah kesanggupan untuk terus membenarkan apa yang
diucapkan walau ketika tiada tepukan, tiada sanjungan, dan tiada keuntungan
segera. Prinsip “kami buat apa kami kata” hanya akan menjadi kenyataan
apabila ia disertai istiqamah dan keikhlasan yang tidak bermusim.
Apakah prinsip ini mampu menjadi teras sebuah hala tuju? Jawapannya, ya - prinsip ini
boleh direalisasikan. Tetapi syaratnya satu: ia mesti diperkasa secara
berterusan, dengan kesetiaan kepada kebenaran yang tidak mudah digoyahkan oleh
keadaan. Kerana akhirnya, yang membezakan antara retorik dan perjuangan tulen
ialah kejujuran yang diterjemahkan dalam perbuatan.
Dangau Sastera
Sepanggar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan