Rabu, November 26, 2025

Kemunculan tokoh-tokoh baharu simptom kepada kematangan politik rakyat


DALAM sistem demokrasi yang sihat, tiada siapa sepatutnya kebal daripada penilaian rakyat  termasuk penyandang wakil rakyat. Jawatan bukan harta pusaka, bukan juga pelindung daripada kritikan. Tetapi dalam realiti politik tempatan, terutamanya dalam kawasan yang telah lama didominasi oleh satu figur atau satu parti, terdapat kecenderungan untuk menganggap kerusi sebagai “selamat”. Kepercayaan ini mula goyah apabila muncul calon-calon baharu yang berkualiti, berwibawa dan memiliki ketokohan tersendiri.


Kemunculan tokoh-tokoh baharu bukan fenomena luar biasa. Ia adalah simptom kepada kematangan politik rakyat. Ramai anak muda kini berpendidikan, peka terhadap isu semasa dan tidak mudah dipengaruhi oleh slogan kosong. Mereka menilai calon berdasarkan kemampuan menjawab masalah sebenar seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kemudahan asas, pendidikan dan tadbir urus yang bersih.


Bagi penyandang, persaingan ini adalah tekanan yang sebenar, bukan ancaman. Tekanan ini memaksa mereka kembali ke akar. Kembali ke kampung, kembali bertemu rakyat, kembali mendengar dengan telinga yang jujur, bukan sekadar menghadirkan diri ketika liputan media ada. Apabila rakyat mempunyai pilihan, penyandang tidak lagi boleh berlindung di sebalik bendera parti atau sejarah lampau.


Lebih membimbangkan ialah sikap sebahagian penyandang yang mempertahankan jawatan bukan dengan prestasi, tetapi dengan menyerang peribadi pencabar. Politik yang sepatutnya bertunjangkan idea dan penyelesaian masalah, bertukar menjadi medan peribadi. Inilah simptom ketidakmatangan kepimpinan: apabila hujah habis, serangan peribadi dimulakan.


Hakikatnya, kemunculan ramai calon yang berkualiti adalah berita baik untuk demokrasi. Ia mengangkat standard arau kelas politik ke tahap lebih tinggi. Penyandang dipaksa menjawab soalan-soalan yang selama ini dielakkan: Apa yang telah benar-benar berubah dalam tempoh lima tahun? Adakah kehidupan rakyat lebih baik? Atau hanya statistik di atas kertas yang berubah?


Rakyat tidak bodoh. Mereka tahu membezakan antara janji dan bukti, antara propaganda dan realiti. Apabila calon baharu tampil dengan pelan yang jelas, keberanian menyentuh isu sensitif dan kesungguhan berada bersama masyarakat, penyandang tidak lagi boleh memandang ringan saingan itu.


Demokrasi tidak seharusnya mesra kepada yang selesa, tetapi adil kepada yang bekerja. Keistimewaan sebagai wakil rakyat bukan pada akses kepada protokol atau media, tetapi pada keupayaan menyelesaikan masalah. Jika penyandang gagal membuktikan keberkesanan diri, rakyat berhak memilih yang lain.

Kita perlu berhenti mengagungkan status “penyandang” seolah-olah ia simbol keunggulan mutlak. Penyandang hanyalah individu yang pernah dipercayai dan kepercayaan itu boleh ditarik balik. Di situlah demokrasi memerintah, bukan manusia.


Lebih ramai calon berkualiti membawa lebih banyak idea, lebih banyak penyelesaian dan lebih banyak keberanian untuk mencabar amalan lama yang tidak adil. Ini bukan perpecahan, ini pembaharuan. Hanya mereka yang takut kehilangan kuasa akan menganggap pertandingan sebagai ancaman.


Pada akhirnya, pilihan rakyat bukan soal siapa paling lama berdiri, tetapi siapa paling ikhlas bekerja. Politik bukan pertandingan populariti; ia kontrak amanah. Setiap lima tahun, kontrak itu diperbaharui atau ditamatkan.


Dan apabila rakyat berani memilih calon baharu yang lebih mampu, itu bukan tanda penderhakaan tetapi itu tanda kematangan.


Dalam demokrasi yang matang, yang selamat bukan yang lama, tetapi yang bekerja.


Dangau Sastera

Sepanggar


26/11/2025

Selasa, November 25, 2025

Melawan Kebiasaan

KUTUK, kutuk, kutuk! Itu sahaja yang kalian mampu? Setiap kali menjelang pilihan raya, suara kalian lebih lantang mencela daripada membina.


Menghukum lawan seolah-olah itulah dasar, seolah-olah itu tanda kepimpinan. Namun dalam hiruk-pikuk kata-kata yang saling menikam itu, di mana dasar kalian?


Di mana hala tuju yang boleh memaut keyakinan rakyat? Di mana pelan jangka panjang yang bukan sekadar janji manis yang cair sebelum subuh esok? Rakyat tidak lapar dengan caci maki.Rakyat dahagakan keyakinan, bukan harapan kosong. Rakyat perlukan pemimpin yang boleh berdiri di pentas dengan wibawa, bukan dengan dendam politik yang membuak-buak.

Bukankah lebih mulia jika kalian membentangkan dasar dengan hemah, bercakap tentang pembangunan, keadilan, hak dan masa depan dengan nada matang, 

bukan memukul gendang kebencian yang akhirnya memecah belahkan masyarakat sendiri?

Perbezaan pendapat itu lumrah. Itu tanda demokrasi. Tetapi menjadikan perbezaan itu senjata untuk saling menghina - itulah punca keruntuhan adab politik. Ketepikan sedikit ketegaran kalian. Letakkan dahulu ego dan keinginan untuk menang dengan cara paling mudah iaitu menanamkan rasa benci dalam jiwa rakyat.


Angkatlah hala tuju masing-masing. Tunjukkan dasar yang hidup, bukan retorik. Tawarkan solusi, bukan sindiran.


Sampaikan visi yang membuatkan rakyat dapat melihat masa depan, bukan masa depan yang dikaburi oleh maki hamun di pentas politik. Kerana akhirnya, yang akan mengangkat kalian ke puncak bukan makian, tetapi keyakinan. Dan keyakinan tidak tumbuh dalam tanah yang dipenuhi kebencian, sebaliknya tumbuh dari akhlak politik yang matang, dasar yang jelas, dan perjuangan yang berprinsip.


Dangau Sastera

Sepanggar

Calon atau Parti?




MARI kita bercakap terus terang! Sabah tidak perlukan lagi pemimpin syok sendiri yang menang kerusi tetapi gagal membentuk kerajaan.

Dalam PRU kali ini pengundi harus ingat satu perkara mudah:

Pertama: Kalau pilih calon semata-mata anda mungkin dapat YB yang rajin turun padang, pandai prihatin dan muncul setiap kali ada liputan. Tapi bila partinya hanya menang sekangkang kera? Maka jadilah Sabah: kerajaan rapuh, ahli politik melompat dan rakyat jadi penonton wayang.

Calon hebat tanpa kerajaan kuat ibarat mesin rumput yang dipasang di tengah hutan. Bunyinya kuat tetapi tidak ada guna. Penyokong mungkin bersorak sekejap kerana menang tetapi mengharap kerajinannya berkhidmat tertakluk jika ia menang.

Kedua: Kalau pilih parti semata-mata. Ya, kerajaan mungkin stabil.Tapi kalau calonnya malas, bongkak, sombong dan hanya turun kampung bila nak undi? Anda akan dapat YB yang hilang lebih cepat daripada poster pilihan raya waima yang dipasang pada pohon paling tinggi.


Kerajaan kukuh pun tak guna kalau wakilnya tak tahu apa-apa. Tak tahu nak buat apa. Apa lagi yang bertenaga seperti penyapu baharu!

Ketiga: Pilihan paling pedas namun paling jujur. Pilih parti yang mampu membentuk kerajaan dan dalam parti itu pilih calon yang bukan sekadar lawa gambar di billboard. Waima calon-calon baharu tetapi berkebolehan. Bukan setakat bekas pegawai kerajaan sayangnya gagal membuka baju ‘kepegawaiannya’ di dunia rakyat.

Jangan terpedaya dengan janji “Saya akan perjuangkan nasib tuan-tuan.”Kalau partinya kalah, dia cuma boleh perjuangkan status Facebook, bukan pembangunan apa lagi hal-hal berkaitan polisi.

Calon yang menang tanpa kerajaan hanyalah penumpang. Kerajaan yang terbentuk tanpa calon berkualiti hanyalah hiasan. Sabah tidak perlukan lebih banyak drama. Cukup-cukuplah memperbodoh rakyat.

Sebaliknya Sabah perlukan kuasa yang stabil dan wakil yang bekerja, bukan yang cuma pandai berjanji. Sebuah parti yang ‘bersedia’ sejak lama bukan parti yang baru bermula apa lagi calon-calon wakil rakyat yang masih merangkak.

Masanya sedang mendekat. Nilai kembali. Pilihlah parti yang berwawasan, memiliki ketua dan barisan pemimpin yang berintegriti, berwibawa, berani dan tegas dalam mengurus Negeri.

Dangau Sastera
Sepanggar

Isnin, November 24, 2025

Wawasan Pilihan Raya: Janji atau Pandangan Jauh?


WAWASAN yang dilaungkan ketika pilihan raya sering kali tidak sama dengan wawasan yang dirangka di luar musim politik. Apa yang disebut wawasan sewaktu kempen sebenarnya lebih mirip janji ‘tergesa-gesa’ - tidak jelas bagaimana akan dilaksanakan, apatah lagi dijamin kesannya. Semuanya bergantung kepada satu syarat: ‘itu pun kalau menang.’


Wawasan sebenar tidak lahir dalam tempoh ‘dua minggu’ sebelum mengundi. Ia tidak dicetak hanya untuk disandar pada ‘billboard’ atau dibaca di atas pentas ceramah.


Wawasan yang utuh lahir lebih awal, di luar hingar-bingar politik, melalui kefahaman mendalam tentang realiti rakyat dan hala tuju masa depan negeri.


Seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa besar melihat masa depan lebih jauh sebelum namanya di-cadangkan menjadi calon. Dia sudah mengenal: 


1. cabaran yang bakal dihadapi masyarakat, 

2. strategi pembangunan jangka panjang, 

3. nilai yang perlu dijaga demi kesejah-teraan rakyat.


Ini bezanya antara pemimpin berwawasan dengan pemimpin bermusim.


Pemimpin bermusim menghasilkan janji. Pemimpin berwawasan menghasilkan arah. Apabila rakyat memilih, mereka bukan sekadar memilih individu tetapi mereka memilih masa depan yang diyakini mempunyai hala tuju yang jelas. Bukan sekadar impian sementara dalam musim pilihan raya.

Ahad, November 23, 2025

Bayaran Khas 40 % MA63

JANJI pilihan raya seringkali kedengaran manis, namun rakyat semakin bijak menilai bahawa isu Bayaran Khas 40%yang dijamin dalam MA63 sepatutnya telah diselesaikan sebelum tibanya musim pilihan raya. Hak negeri bukan bahan kempen, dan masa depan Sabah tidak boleh dijadikan pertaruhan strategi politik mana-mana pihak.

Jika kerajaan persekutuan benar-benar menghormati Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia, maka tunggakan pembayaran hasil itu mesti dilunaskan tanpa berdolak-dalik. Kelewatan hanya mengundang persoalan: adakah hak ini sengaja dijadikan alat tawar-menawar politik agar rakyat terus bergantung pada janji?

Rakyat tidak meminta lebih daripada apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963. Ketelusan undang-undang telah jelas menentukan hak tersebut; yang kabur hanyalah kehendak politik untuk menunaikannya. Selagi ia dibiarkan tergantung, selagi itu hilanglah keyakinan rakyat bahawa kerajaan betul-betul mendukung semangat pembentukan sebuah negara bersekutu yang adil.

Kini keputusan berada pada rakyat Sabah. Suara dan undi merekalah yang bakal membezakan antara janji yang berulang atau hak yang ditunaikan. Perjuangan 40% bukanlah slogan — ia adalah tuntutan maruah dan masa depan negeri.


Khamis, November 20, 2025

Janji Politik: Budaya Menjelang Pesta Kuasa

JANJI politik telah menjadi semacam ritual yang berulang setiap kali pilihan raya berlangsung. Sama ada dari pihak pemerintah, pembangkang, ataupun calon bebas yang baru menjejakkan kaki ke gelanggang kuasa, semuanya berlumba memberikan harapan yang melonjak tinggi ke langit keyakinan rakyat. Janji menjadi bahasa yang paling mudah dilafazkan, tetapi selalunya paling sukar ditunaikan.


Itulah budaya yang diwariskan dari satu musim pilihan raya ke satu musim yang lain — budaya menjual harapan, dan malangnya, membiarkan rakyat membeli kekecewaan selepas tirai kuasa dilabuhkan. Semasa kempen, setiap pemimpin dilihat begitu mesra; setiap masalah rakyat seolah-olah dapat diselesaikan dengan satu perjanjian manis di pentas ceramah. Ketika itu, rakyat dianggap permata yang harus digilap. Namun setelah menang, permata itu sepi di sudut gelap, dilupakan tanpa rasa bersalah.


Persoalan yang membara di hati marhaen: apakah janji itu satu sumpah perjuangan, atau sekadar umpan politik untuk memancing undi?

Rakyat bukan tidak tahu menilai. Mereka memahami perbezaan antara janji yang lahir dari keikhlasan dan janji yang sekadar retorik kosong. Mereka sedar ada pemimpin yang berjanji dengan hati yang berat memikul amanah, tetapi ada juga yang menjanjikan segala-galanya seumpama penjual mimpi murah di pasar kekuasaan.


Jika politik terus berpaut pada budaya janji tanpa integriti, demokrasi akan menjadi teater penuh lakonan dan rakyat hanyalah penonton yang dipaksa bertepuk tangan.


Sedangkan hakikatnya: janji politik ialah kontrak moral — sebuah pertanggung-jawaban Janji Politik: Budaya Menjelang Pesta Kuasa kehidupan manusia yang memilih dan mempercayai.


Sudah tiba masanya rakyat bukan sekadar menerima janji, tetapi menuntut pembuktian.


Sudah tiba masanya pemimpin bukan sekadar berkempen, tetapi beramanah Tanya syarat masa. Kerana kuasa yang ditegakkan atas janji palsu hanyalah bangunan rapuh yang menunggu masa untuk runtuh ditelan kemarahan rakyat yang dikhianati.

Selasa, November 18, 2025

Menuju Kota yang Berjiwa Sastera


SEBUAH kota yang berjiwa sastera bukan sekadar diukur melalui jumlah festival, bilangan perpustakaan atau kehadiran tokoh terkenal dalam majlis budaya. Ia adalah kota yang mengiktiraf sastera sebagai denyut nadi kehidupan intelektual dan sosial rakyatnya. Untuk mencapai taraf UNESCO sebagai City of Literature, beberapa syarat asas perlu dijadikan asas strategi pembangunan kota:


1. Pengiktirafan sastera sebagai dasar budaya
Sastera harus diangkat bukan hanya sebagai hiburan atau hiasan program tahunan tetapi sebagai teras strategi pembangunan manusia. Kota berjiwa sastera memahami bahawa karya-karya kreatif membentuk identiti, memupuk kritis dan membina empati dalam masyarakat. Ia adalah pengiktirafan bahawa manusia bukan sekadar ekonomi tetapi juga makhluk imaginatif dan reflektif.


2. Pembinaan ruang intelektual terbuka
Kebebasan wacana adalah nadi kota sastera. Platform di mana penulis, penyair dan pemikir boleh menzahirkan idea tanpa sekatan atau rasa takut menjadi tanda aras kematangan budaya. 


Perpustakaan, kafe buku, dewan wacana hingga forum digital harus wujud sebagai medan di mana perdebatan dan percambahan idea hidup subur.


3. Literasi sebagai agenda sosial
Membaca dan menulis bukan sekadar aktiviti tahunan yang dihiasi poster dan hadiah. Ia mestilah budaya hidu yang dimulakan di sekolah disokong oleh komuniti dan diperkaya melalui teknologi. Kota sastera menanam benih literasi sejak kecil kerana masyarakat yang membaca akan menghasilkan warganegara yang bijak, kritis dan peka terhadap nilai-nilai kemanusiaan.


4. Pengiktirafan kepada penulis tempatan
Kota berjiwa sastera tidak hanya menghargai nama-nama besar yang terkenal di pentas antarabangsa tetapi juga memberi sokongan kepada penulis tempatan. Penghargaan bukan sekadar simbolik; ia berupa sokongan ekonomi, peluang penerbitan, dana penyelidikan dan ruang kreativiti yang lestari. Inilah cara kota membina ekosistem sastera yang hidup dan berterusan.


5. Pembangunan digital sastera
Di era digital, kota sastera harus mampu mengadaptasi karya-karya sastera ke bentuk baharu - e-buku, podcast, pementasan interaktif atau media sosial yang kreatif. Digitalisasi bukan sekadar strategi pemasaran tetapi cara memperluas jangkauan sastera agar lebih dekat dengan generasi muda tanpa menjejaskan inti pengalaman estetik dan intelektual karya.


Kota yang berjiwa sastera bukanlah kota yang paling sibuk dengan acara, tetapi kota yang paling menjaga nilai, makna dan roh manusia di tengah arus pembangunan yang serba cepat. Ia kota yang menumbuhkan imaginasi warganya, menjadikan sastera sebagai penunjuk jalan moral dan budaya dan memastikan setiap insan mempunyai ruang untuk berfikir, merasai dan bercakap. Hanya dengan kesedaran ini, kota dapat benar-benar menghidupkan sastera sebagai nadi budaya yang abadi.

Naratif yang Diulang, Rakyat yang Muak


APABILA setiap hari naratif yang sama diulang-ulang tanpa henti, rasa muak itu hadir dengan sendirinya. Ucapan yang kononnya mahu memberi pencerahan akhirnya hanya memabukkan, bukan memahamkan. Mungkin kerana terlalu “genius” atau terlalu gemar menembirang maka mereka percaya rakyat akan menelan bulat-bulat segala yang dihidangkan.

Kami ini bukan tidak pintar cuma tidak rela diperbodohkan.


Kami tahu membezakan mana benang, mana tali; mana yang fakta, mana yang sekadar lakonan untuk menyelamatkan keadaan. Kadangkala terasa seperti naratif yang diwar-warkan itu sengaja dibentuk agar sentiasa berubah-ubah mengikut selera semasa. Hari ini begini, esok begitu; semuanya atas nama tafsiran baharu yang kononnya lebih progresif. Jika beginilah gayanya, barangkali memang betul  - inilah definisi lain bagi “madani” - merungkai isu mengikut acuan yang berubah sesuka hati, tanpa konsisten, tanpa pedoman tetap.


Masalahnya, rakyat tidak lagi hidup dalam zaman di mana kata-kata pemimpin diterima sebagai wahyu. Naratif yang tidak konsisten bukan sekadar melemahkan kepercayaan, malah menjadikan masyarakat semakin skeptikal. Dan bila rakyat semakin celik, naratif yang diulang tanpa isi hanya kedengaran seperti gema kosong  - kuat tetapi tidak bermakna.

Ketika Rakyat Menjadi Alat

ADA segelintir yang masuk gelanggang pilihan raya bukan kerana prinsip, bukan kerana perjuangan tetapi kerana mahu menguji sejauh mana aura mereka masih laku di pasaran politik. Seolah-olah rakyat ini papan ujian dan kawasan pilihan raya pula menjadi makmal eksperimen ego yang tidak pernah puas diuji.

Ironinya, ketika berada dalam kerajaan dahulu betapa banyak kebaikan, peluang dan kepercayaan diberikan. Tetapi semua itu mudah dilupa apabila nafsu kuasa mula berbunyi. Tiba-tiba mereka muncul sebagai “pejuang rakyat”, seolah-olah sejarah semalam sudah dipadam dan rakyat tidak mampu mengingati apa-apa.

Prinsip? Kadang-kadang perkataan itu hanya hiasan ucapan. Yang lebih menonjol ialah seni berpindah kem, seni membina cerita baharu dan seni melawan semata-mata kerana kerusi tidak lagi empuk seperti dulu. 

Namun rakyat kini tidak lagi selemah yang disangka. Mereka membaca gelagat ini sebagai apa yang ia benar-benar adalah: percubaan menyamarkan kepentingan peribadi sebagai perjuangan umum. Dan semakin kuat seseorang itu cuba menonjolkan diri sebagai “wira baharu”, semakin mudah rakyat melihat retaknya.

Pemimpin sebegini sering lupa satu perkara: Rakyat bukan pentas untuk eksperimen politik peribadi. Dan apabila tirai ditutup di bilik undi, rakyat tidak memilih siapa yang paling kuat menjerit tetapi siapa yang paling jujur dalam rekod dan tindakan.

Isnin, November 17, 2025

Bila Pemimpin Merasa Genius, Rakyat Dianggap Tidak Tahu Apa-Apa: Sebuah Refleksi


Ada satu penyakit yang kerap menjangkiti para pemimpin - penyakit merasa diri terlalu bijak hingga menyangka semua orang di sekitarnya tidak tahu apa-apa. Ia sejenis keangkuhan halus yang membiak dalam suasana penuh pujian, tepukan dan upacara rasmi, lalu membentuk ilusi bahawa kuasa itu kekal dan pemikiran mereka sentiasa paling benar.


Pemimpin yang terjangkit sindrom ini biasanya sangat petah berbicara tentang kejujuran dan integriti. Namun dalam nafas yang sama, mereka cukup mahir menyembunyikan kebohongan. Mereka percaya setiap kata yang meluncur dari bibir mereka akan diterima sebagai kebenaran mutlak - seolah-olah rakyat tidak membaca, tidak menonton, tidak menilai atau tidak mampu berfikir.


Hakikatnya, zaman sudah berubah. Rakyat bukan lagi penonton pasif yang sekadar tahu bertepuk tangan. Mereka adalah pemerhati yang meneliti setiap langkah, setiap janji, setiap kilasan muka yang penuh lakonan. Mereka mungkin diam, tetapi diam itu bukan tanda reda - diam itu tanda muak.


Naratif diulang-ulang: Memualkan, bukan mencerahkan


Lebih menyedihkan, kebanyakan pemimpin hari ini menyangka bahawa dengan mengulang naratif yang sama setiap hari, rakyat akan percaya. Kononnya dengan retorik yang diperkemaskan, semuanya akan kelihatan cerdik dan berwibawa. Namun naratif yang tidak berubah bukan membuat rakyat celik tetapi memualkan.


Ada masanya ucapan yang seharusnya membawa pencerahan hanya berubah menjadi mabuk kata. Mungkin kerana mereka merasakan diri terlalu genius, atau barangkali terlalu gemar menembirang, mereka lupa bahawa rakyat juga punya akal yang tajam.


Kami bukan tidak bijak. Kami hanya tidak suka diperlakukan seolah-olah tidak tahu membezakan antara benang dan tali, antara fakta dan cerita, antara penjelasan sebenar dan alasan yang direka-reka.


Kini seakan-akan gaya berpolitik baharu muncul - menukar acuan setiap hari, menafsir isu sesuka hati dan menamakan semuanya sebagai “pendekatan baharu”, “nilai madani”, atau “naratif segar”. Jika beginilah maksudnya, maka barangkali definisi lain “madani” itu ialah seni mengolah cerita sehingga yang salah tampak munasabah dan yang munasabah kelihatan tidak penting.


Rakyat tidak membalas dengan kata-kata - mereka membalas dengan kuasa


Namun ada satu hal yang para pemimpin sering alpa: rakyat mungkin tidak membalas melalui media sosial, mungkin tidak menentang secara terbuka, tetapi mereka memiliki satu kuasa yang tidak dapat diganggu sesiapa - kuasa memilih.


Dan ketika tiba waktunya, mereka tidak menjerit, tidak membantah, tidak bergaduh. Mereka hanya membuat satu tanda silang dalam peti undi. Satu silang yang lebih tajam daripada seribu sindiran, lebih kuat daripada seribu ceramah.


Tetapi… adakah pemimpin belajar? Itu persoalan yang rumit. Sejarah membuktikan: mereka jarang belajar.


Mereka yang sudah lama mabuk kuasa biasanya kehilangan deria untuk mendengar. Mereka tidak lagi mampu membezakan antara teguran dan amaran, antara nasihat dan kecaman. Mereka terus berjalan dengan yakin, walaupun tanah yang mereka pijak semakin rapuh.


Mungkin sudah tiba masanya para pemimpin melihat cermin yang sebenar bukan cermin yang digilap oleh penasihat komunikasi, tetapi cermin yang memantulkan wajah sebenar mereka di mata rakyat.


Kerana rakyat tidak bodoh. Mereka hanya menunggu masa untuk menunjukkan siapa sebenarnya yang lebih bijak.

Jumaat, November 07, 2025

Nilai Kekuasaan

DALAM setiap bidang kehidupan sama ada politik, organisasi mahupun perniagaan, kedudukan, pengaruh, kekayaan dan kemenangan sering dijadikan ukuran kejayaan. Keempat-empat unsur ini menjadi simbol kemuliaan sosial yang dikejar oleh ramai, seolah-olah hidup tidak sempurna tanpa kehadirannya. Namun, di sebalik pencapaian yang tampak gemilang itu, tersimpan ujian besar terhadap keperibadian manusia: sejauh mana seseorang mampu mempertahankan nilai moral ketika berhadapan dengan godaan kekuasaan dan kejayaan.

Kecenderungan manusia untuk menukar nilai dengan keuntungan memperlihatkan betapa rapuhnya prinsip hidup apabila berhadapan dengan kepentingan diri. Ketika kuasa dijadikan tujuan, bukan amanah; kekayaan dianggap lambang, bukan tanggungjawab; dan kemenangan disamakan dengan kemuliaan, bukan hasil usaha yang berkat maka prinsip hidup mula terhakis. Dalam konteks ini, perjuangan kehilangan roh moralnya dan manusia tergelincir dalam keasyikan memburu nama serta pengaruh.

Kepemimpinan yang tidak berpaksikan moral melahirkan krisis kepercayaan dan keruntuhan nilai kemanusiaan. Ia menjadikan individu sanggup mengorbankan persaudaraan, mengkhianati persahabatan, bahkan menidakkan kesetiaan demi mencapai matlamat peribadi. Kejayaan yang terhasil daripada pengkhianatan bukanlah kemenangan sejati, sebaliknya manifestasi kekalahan moral yang menyamar di sebalik pencapaian lahiriah. Dalam jangka panjang, keadaan ini menggugat keutuhan sosial dan melemahkan struktur nilai dalam masyarakat.

Prinsip hidup yang longgar dan tidak berakar pada integriti membuka ruang kepada penyimpangan nilai dan penyelewengan kuasa. Individu yang berjuang tanpa asas moral mudah hanyut dalam arus persaingan yang memuja kemenangan tanpa memperhitungkan etika. Justeru, kekuatan sesuatu perjuangan tidak dapat diukur melalui pencapaian material semata-mata, tetapi melalui keupayaan menegakkan kebenaran dalam situasi yang mencabar prinsip.

Dalam usaha mengejar impian, manusia sering terjebak dalam dilema antara cita-cita dan nilai. Lupa diri semata-mata kerana keghairahan mengejar kejayaan menjadikan seseorang sanggup menghalalkan segala cara demi mencapai tujuan. Fenomena ini memperlihatkan kemerosotan prinsip moral apabila kejayaan diukur semata-mata melalui hasil, bukan cara mencapainya. Keinsafan hanya muncul apabila keadaan menuntut, namun kesedaran itu sering dibiarkan berlalu tanpa tindakan kerana dianggap tidak memberi nilai segera kepada kepentingan diri.

Sikap sedemikian mencerminkan krisis moral yang lebih mendalam — kehilangan keupayaan menilai makna perjuangan dan tanggungjawab terhadap diri serta masyarakat. Apabila nilai diketepikan, perjuangan menjadi perjalanan yang hampa: suatu pencarian tanpa prinsip yang tidak berkesudahan. Dalam konteks ini, kejayaan bukan lagi hasil usaha yang bermaruah, tetapi sekadar kemenangan sementara yang menafikan kemanusiaan.

Nilai moral yang mantap menjadi teras kepada keberkesanan kepemimpinan. Ia bukan sahaja berperanan sebagai benteng daripada kerakusan kuasa, tetapi juga memastikan ketulenan matlamat perjuangan. Kedudukan seharusnya ditafsir sebagai ruang untuk berkhidmat, bukan untuk bermegah; pengaruh sebagai amanah untuk membimbing, bukan memperalat; dan kekayaan sebagai alat memberi manfaat, bukan menindas. Kemenangan sejati tidak diukur melalui penguasaan terhadap orang lain, tetapi melalui keupayaan mempertahankan kebenaran dalam situasi yang menggoda untuk berpaling daripadanya.

Kepemimpinan yang beradab ialah kepemimpinan yang berjiwa manusiawi yang tidak berpusat pada diri, tetapi pada makna. Tanpa nilai, segala kejayaan hanyalah fatamorgana yang menipu mata. Namun dengan nilai, kejujuran, kesetiaan dan keinsafan diri, kekuasaan menjadi rahmat yang membina, bukan bencana yang meruntuhkan.

Dangau Sastera
Sepanggar

Khamis, November 06, 2025

Jati diri tanpa integriti hanyalah slogan kosong

Perjuangan yang berpaksikan kemaslahatan umat tidak akan bermakna tanpa nilai diri yang utuh. Ia menuntut pejuang yang memiliki jati diri kukuh, integriti yang telus, serta pemikiran yang bernas dan berdaya cipta. Dalam suasana dunia yang sarat dengan kepentingan, manipulasi dan persaingan ideologi, perjuangan yang tulus menjadi semakin berharga dan hanya mereka yang berjiwa benar mampu mempertahankannya.

Jati diri merupakan akar kepada segala kekuatan. Ia menentukan arah dan prinsip seseorang dalam menghadapi cabaran. Pejuang yang berjati diri tidak mudah goyah dengan pujian atau ancaman, tidak juga tergoda oleh kepentingan peribadi. Dalam konteks perjuangan umat, jati diri terbina melalui kefahaman terhadap nilai agama, sejarah dan tanggungjawab sosial. Ia menjadi benteng daripada sikap oportunis yang sering merosakkan keikhlasan perjuangan.

Namun, jati diri tanpa integriti hanyalah slogan kosong. Integriti ialah cerminan kejujuran dan ketelusan dalam bertindak. Ia memastikan perjuangan tidak diseleweng oleh niat tersembunyi atau kepentingan tertentu. Sejarah membuktikan banyak gerakan mulia runtuh bukan kerana lemahnya musuh, tetapi kerana kehilangan integriti dalam kalangan pemimpinnya. Justeru, pejuang sejati harus berani menegakkan kebenaran walau bertentangan dengan arus, dan mengakui kesilapan tanpa berdalih.

Selain nilai moral dan spiritual, perjuangan umat memerlukan kekuatan intelektual. Pemikiran baharu yang bernas, kritis dan kreatif amat penting bagi menangani isu-isu semasa yang kompleks. Dunia hari ini menuntut pejuang yang mampu berfikir di luar kerangka lama tanpa menafikan akar tradisi. Inilah bentuk ijtihad moden yang harus muncul dalam kalangan pemimpin dan pemikir umat agar perjuangan terus relevan dan berkesan.

Perjuangan yang benar juga mesti bersifat inklusif, membuka ruang agar seluruh umat dapat menikmati hasilnya. Ia bukan tentang mengangkat individu atau kelompok tertentu, tetapi tentang menegakkan keadilan dan kesejahteraan bersama. Kuasa, dalam erti yang sebenar, ialah amanah untuk membela, bukan alat untuk menguasai.

Akhirnya, perjuangan yang tulus tidak bermula di medan pertempuran, tetapi di dalam diri. Ia lahir daripada kekuatan moral, kejujuran niat, dan keberanian untuk berfikir secara bebas dan bertanggungjawab. Jika nilai-nilai ini disebatikan dalam diri setiap pejuang, maka perjuangan umat akan menjadi sumber pencerahan, bukan perebutan kuasa; menjadi jalan kemajuan, bukan medan perpecahan.

Dangau Sastera
Sepanggar
5/11/2025