APABILA setiap hari naratif yang sama diulang-ulang tanpa henti, rasa muak itu hadir dengan sendirinya. Ucapan yang kononnya mahu memberi pencerahan akhirnya hanya memabukkan, bukan memahamkan. Mungkin kerana terlalu “genius” atau terlalu gemar menembirang maka mereka percaya rakyat akan menelan bulat-bulat segala yang dihidangkan.
Kami ini bukan tidak pintar cuma tidak rela diperbodohkan.
Kami tahu membezakan mana benang, mana tali; mana yang fakta, mana yang sekadar lakonan untuk menyelamatkan keadaan. Kadangkala terasa seperti naratif yang diwar-warkan itu sengaja dibentuk agar sentiasa berubah-ubah mengikut selera semasa. Hari ini begini, esok begitu; semuanya atas nama tafsiran baharu yang kononnya lebih progresif. Jika beginilah gayanya, barangkali memang betul - inilah definisi lain bagi “madani” - merungkai isu mengikut acuan yang berubah sesuka hati, tanpa konsisten, tanpa pedoman tetap.
Masalahnya, rakyat tidak lagi hidup dalam zaman di mana kata-kata pemimpin diterima sebagai wahyu. Naratif yang tidak konsisten bukan sekadar melemahkan kepercayaan, malah menjadikan masyarakat semakin skeptikal. Dan bila rakyat semakin celik, naratif yang diulang tanpa isi hanya kedengaran seperti gema kosong - kuat tetapi tidak bermakna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan