SEBUAH kota yang berjiwa sastera bukan sekadar diukur melalui jumlah festival, bilangan perpustakaan atau kehadiran tokoh terkenal dalam majlis budaya. Ia adalah kota yang mengiktiraf sastera sebagai denyut nadi kehidupan intelektual dan sosial rakyatnya. Untuk mencapai taraf UNESCO sebagai City of Literature, beberapa syarat asas perlu dijadikan asas strategi pembangunan kota:
1. Pengiktirafan sastera sebagai dasar budaya
Sastera harus diangkat bukan hanya sebagai hiburan atau hiasan program tahunan tetapi sebagai teras strategi pembangunan manusia. Kota berjiwa sastera memahami bahawa karya-karya kreatif membentuk identiti, memupuk kritis dan membina empati dalam masyarakat. Ia adalah pengiktirafan bahawa manusia bukan sekadar ekonomi tetapi juga makhluk imaginatif dan reflektif.
2. Pembinaan ruang intelektual terbuka
Kebebasan wacana adalah nadi kota sastera. Platform di mana penulis, penyair dan pemikir boleh menzahirkan idea tanpa sekatan atau rasa takut menjadi tanda aras kematangan budaya.
Perpustakaan, kafe buku, dewan wacana hingga forum digital harus wujud sebagai medan di mana perdebatan dan percambahan idea hidup subur.
3. Literasi sebagai agenda sosial
Membaca dan menulis bukan sekadar aktiviti tahunan yang dihiasi poster dan hadiah. Ia mestilah budaya hidu yang dimulakan di sekolah disokong oleh komuniti dan diperkaya melalui teknologi. Kota sastera menanam benih literasi sejak kecil kerana masyarakat yang membaca akan menghasilkan warganegara yang bijak, kritis dan peka terhadap nilai-nilai kemanusiaan.
4. Pengiktirafan kepada penulis tempatan
Kota berjiwa sastera tidak hanya menghargai nama-nama besar yang terkenal di pentas antarabangsa tetapi juga memberi sokongan kepada penulis tempatan. Penghargaan bukan sekadar simbolik; ia berupa sokongan ekonomi, peluang penerbitan, dana penyelidikan dan ruang kreativiti yang lestari. Inilah cara kota membina ekosistem sastera yang hidup dan berterusan.
5. Pembangunan digital sastera
Di era digital, kota sastera harus mampu mengadaptasi karya-karya sastera ke bentuk baharu - e-buku, podcast, pementasan interaktif atau media sosial yang kreatif. Digitalisasi bukan sekadar strategi pemasaran tetapi cara memperluas jangkauan sastera agar lebih dekat dengan generasi muda tanpa menjejaskan inti pengalaman estetik dan intelektual karya.
Kota yang berjiwa sastera bukanlah kota yang paling sibuk dengan acara, tetapi kota yang paling menjaga nilai, makna dan roh manusia di tengah arus pembangunan yang serba cepat. Ia kota yang menumbuhkan imaginasi warganya, menjadikan sastera sebagai penunjuk jalan moral dan budaya dan memastikan setiap insan mempunyai ruang untuk berfikir, merasai dan bercakap. Hanya dengan kesedaran ini, kota dapat benar-benar menghidupkan sastera sebagai nadi budaya yang abadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan