Ahad, Julai 28, 2024

WIBAWA KOPERASI WIBAWA MANUSIAWI


Menjunjung upaya menjati diri
bahasa di jiwa menerbit bibit-bibit  wibawa
melestari istiqamah menyanjung ukhuwwah
berkembang mengilhami pertiwi generasi
mengujana taman-taman wangi penuh ranggi
senada searah memperkasa pemberani.

Kita menyulam benang menjadikannya tenunan
begitu memimpin agar bitara diikat kuat
tanpa lengah tetapi kian mengakar
mempasakkan jati yakin memaju ummah
dalam azam menyelami lautan cabaran.

Kita belajar dari ajaran demi ajaran benar
kehidupanlah guru mengatur sebar
agar terjamin akal dan fikrah
memberi nikmat semua umat berbahagia
adalah landasan kerja bersama-sama
sama bangga menjuara senang
sama belajar dari pekik kecundang.

Ketika kita semua bersetuju berpadu
menghimpunkan satu impian sejahtera
medan madani ini harus tersantun
mendengar gempita: ayuh wibawa!
Kibarkan panji-panji manusiawi
kita tidak ingin berdikari tetapi melupai
ayuh wibawa! Kibarkan panji-panji koperasi
ayun langkah laju tetapi seirama pasti.

Di hadapan telah tersergam harapan
bukan dibiarkan diam tanpa sebarang perjuangan
kita telah hidupkan koperasi dalam kesatuan
jangan undur sekali jatuh
akan berlaku seribu kali kita mampu.

 

Hasyuda Abadi,
Rumah Puisi Hasyuda Abadi,
Kota Kinabalu, Sabah.
28 Julai 2024

Tiada ulasan: