Khamis, Julai 11, 2024

Semangat Wasatiyyah Sebagai Identiti

Menjadi sasterawan secara sederhana, itu sebuah pilihan dan saya memelihara semangat ini sentiasa ada. Demikian kunci intipati perjuangan komuniti yang insaf bahawa kesederhanaan tidak menyumbang kepada kelemahan. Kesannya tentu sahaja juga sederhana. Tidak terlalu disorak apabila menempuh jaya, tidak terlalu terluka sekiranya menempuh kegagalan.
Saya yakin gerakan berpandukan semangat ini akan terus istiqomah kerana melalui sebuah identiti wasatiyyah, saling menghormati, beradab, berintegriti dan bersungguh-sungguh mempertahan sekaligus memperkasakan impak sebagai hasil yang luar biasa.
Setiap orang ada misinya sendiri, jangan cepat menghukum ketika memandang kekurangan atau melambung tinggi memuji kepada suatu kelebihan. Damaikan fikiran di luar kebiasaan, kerana merasa benar belum tentu baik apatah lagi terbaik. Semua orang memiliki kekurangan, kelebihan dan kesederhanaannya. Jangan juga melakukan perbandingan antara orang dengan yang lain berasaskan satu hal semata-mata.
Seperti yang lain saya bersama rakan-rakan juga memiliki misi tertentu dan sebahagiannya telah dilakukan, ada yang sedang berlangsung dan tidak kurang perancangan. Kami memiliki aset tersendiri bukan wang atau harta tetapi fikiran diluar kotak. Generasi baharu yang inovatif tidak cukup hanya bijak dalam dunia kreatif tetapi juga mempunyai kemahiran tertentu. Di sampingnya berkebolehan memandang jauh di hadapan.
Penggilapan kebolehan berkemahiran harus dipupuk, diraikan, dibimbing, diberikan ruang yang banyak. Jangan bolot semua dengan menganggap kita sudah banyak pengalaman hingga mengabaikan aset tertentu ada pada orang lain dan orang lain itu merupakan generasi penerus perjuangan.
Saya dan rakan-rakan berasa selesa, ketika usia semakin senja organisasi tetap bergerak lebih maju lagi kerana ada pelapis yang dinamik, progesif, inovatif, berani dan sebagainya. Dengan begitu keadaannya saya tetap mengingatkan tentang wibawa kesederhanaan. Melakukannya secara berterusan dan utuh mencapai hasil yang terbaik. Ini lingkaran misi yang mesti dipelihara, dihadam dan diamalkan.

Tiada ulasan: