Ahad, September 24, 2017

HIJRAH, BERCAHAYALAH KALBU!

Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
ADAKAH dalam kalangan kita yang merasa mencapai kejayaan hidup kerana telah berhasil meraih segalanya: harta, gelaran, pangkat, dan kedudukan yang telah menggenggam seluruh isi dunia ini? Marilah kita mengulangkaji, seberapa besar sebenarnya nilai daripada apa-apa yang telah kita raih selama ini. Barangkali, ketika ini ramai yang telah mengotakan azamnya untuk hijrah. Mendalami konsep serta falsafah di dalam hijrah yang tidak semata-mata berpindah daripada suatu situasi ke aras yang lebih bagus. Barangkali daripada catatan ini kita bisa meraikan sejauh mana hijrah diri masing-masing telah bertapak lalu menapakkan perjuangan hidupnya lebih dinamik.

Kita percaya ramai yang berjaya merasakan kedinamikannya dalam berkreatif itu menjadi bentengnya untuk terus memperkasakan bidang yang diperjuangkannya. Seseorang bisa menjadi bangga lantaran meraih pelbagai kecemerlangan tanpa menghiraukan siapa sebenarnya yang memberikan keistimewaan berbanding insan yang lain. Di mana letaknya konsep hijrah jika kita membaca kenyataan seperti ini?

Pernah dikhabarkan tentang penemuan baharu berupa teropong yang bernama teleskop Hubble. Dengan teropong ini berhasil melihat sebanyak lima juta gugusan galaksi. Padahal yang telah kita ketahui selama ini adalah suatu gugusan bernama galaksi bimasakti, yang di dalamnya terdapat planet-planet yang menakjubkan. Matahari sahaja merupakan salah satu planet yang sangat kecil, yang berada dalam gugusan galaksi di dalam susunan suria kita, apatah lagi planet bumi ini sendiri yang besarnya hanya satu noktah. Sungguh tiada apa-apanya dibandingkan dengan lima juta gugusan galaksi tersebut.

Sayangnya, seringkali orang yang merasa telah berhasil meraih segala apapun yang dirindui di bumi ini – dan dengan demikian merasa telah berjaya – gemar tergelincir hanya mempergauli dunianya sahaja. Akibatnya, keberadaannya membuatkannya bangga dan pongah, tetapi ketiadaannya serta merta membuat lahir batinnya sengsara dan tersiksa. Manakala berhasil mencapai apa yang diinginkannya, ia merasa semua itu hasil usaha dan kerja kerasnya semata, sedangkan ketika gagal mendapatkannya, ia pun serta merta merasa diri tidak bererti langsung. Bahkan tidak jarang ketiada ertianya itu ditimpakan pula atau dicarikan kambing hitamnya pada orang lain.

Orang semacam ini tentu telah lupa bahawa apapun yang diinginkannya dan diusahakan oleh manusia sangat tergantung pada izin Allah Azza wa Jalla. Ia berjuang bermati-matian  mengejar apa-apa yang dinginkannya, pasti tidak akan dapat dicapai tanpa izin-Nya. Laa haula walaa quwwata illaabillaah! Begitulah kalau orang hanya bergaul, dengan dunia yang ternyata tidak ada apa-apanya ini.

Padahal, seharusnya kita bergaul hanya dengan Allah Azza wa Jalla, Zat yang Maha Menguasai jagat raya, sehingga hati kita tidak akan pernah galau oleh dunia yang kecil mungil ini. Laa khaufun alaihim walaa hum yahzanuun! Sama sekali tidak ada kecemasan dalam menghadapi urusan apapun di dunia ini. Semua ini tidak lain kerana hatinya selalu sibuk dengan Dia, Zat Pemilik Alam Semesta yang begitu hebat dan dahsyat.

Sikap inilah sesungguhnya yang harus kita latih dalam mempergauli kehidupan di dunia ini.

Tubuh lekat dengan dunia, tetapi jangan biarkan hati turut lekat dengannya. Ada dan tiadanya segala perkara dunia ini di sisi kita jangan sekali-kali membuat hati goyah kerana toh sama pahalanya di sisi Allah. Sekali hati ini lekat dengan dunia, maka adanya akan membuat kita bangga, sedangkan tiadanya akan membuat kita terluka. Ini bererti kita akan sengsara kerananya, kerana ada dan tiada itu akan terus menerus terjadi.

Betapa tidak! Tabiat dunia itu senantisa dipergilirkan. Datang, tertahan, diambil. Mudah, susah. Sihat, sakit. Dipuji, dicaci. Dihormati, dicela dan direndahkan. Semuanya terjadi silih berganti.

Lain halnya kalau hati kita selalu bersama Allah. Perubahan apa saja dalam episod kehidupan dunia tidak akan ada satu pun yang merugikan kita. Ertinya, memang kita harus terus menerus meningkatkan mutu pengenalan kita kepada Allah Azza wa Jalla.
Di antara yang penting yang kita perhatikan sekiranya ingin dicintai Allah adalah bahawa kita harus zuhud terhadap dunia ini. Rasulullah SAW pernah bersabda, "Barangsiapa yang zuhud terhadap dunia, nescaya Allah mencintainya, dan barangsiapa yang zuhud terhadap apa yang ada di tangan manusia, nescaya manusia mencintainya."

Zuhud terhadap dunia bukan bererti tidak mempunyai hal-hal yang bersifat duniawi, melainkan kita lebih yakin dengan apa yang ada di sisi Allah daripada apa yang ada di tangan kita. Bagi orang-orang yang zuhud terhadap dunia, sebanyak apapun yang dimiliki sama sekali tidak akan membuat hati merasa tenteram kerana ketenteraman itu hanyalah apa-apa yang ada di sisi Allah.

Rasulullah SAW bersabda, "Melakukan zuhud dalam kehidupan di dunia bukanlah dengan mengharamkan yang halal dan bukan pula memboroskan kekayaan. Zuhud terhadap kehidupan dunia itu ialah tidak menganggap apa yang ada pada dirimu lebih pasti daripada apa yang ada pada Allah." (HR. Ahmad, Mauqufan)

Andaikata kita merasa lebih tenteram dengan sejumlah tabungan di bank, maka bererti kita belum zuhud. Seberapa besar pun wang tabungan kita, seharusnya kita lebih merasa tenteram dengan jaminan Allah. Apapun yang kita miliki belum tentu menjadi rezki kita kalau tidak ada izin Allah. Seberapa banyak pun jumlah kemenangan yang pernah diraih dalam percaturan kreatif, persuratan yang menempatkan nama serta keunggulan, kita yakin kemanannya tidak bermukim kerana seseorang yang berjaya itu tidak pernah merasakan dia telah berjaya.

Orang yang zuhud terhadap dunia melihat apapun yang dimilikinya tidak menjadi jaminan. Ia lebih suka dengan jaminan Allah kerana walaupun tidak tampak dan tidak tertulis, tetapi Dia Mahatahu akan segala keperluan kita. jangan ukur kemuliaan seseorang dengan adanya dunia dalam genggamannya. Sebaliknya jangan pula meremehkan seseorang kerana ia tidak memiliki apa-apa. Kalau kita tidak menghormati seseorang kerana ia tidak memiliki apa-apa, kalau kita menghormati seseorang kerana kedudukan dan kekayaannya, kalau meremehkan seseorang kerana ia papa dan jelata, maka ini bererti kita sudah mulai cinta dunia.

Hati kita akan dihinggapi sifat sombong dan takabur dengan selalu mudah membeza-bezakan teman atau seseorang yang datang kepada kita. Padahal siapa tahu Allah mendatangkan seseorang yang sederhana itu sebagai isyarat bahawa Dia akan menurunkan pertolongan-Nya kepada kita.

Bagi orang-orang yang mencintai dunia, tampak sekali bahawa keuntungan bagi dirinya adalah ketika ia dihormati, disegani, dipuji, dan dimuliakan. Akan tetapi, bagi orang-orang yang sangat merindui kedudukan di sisi Allah, jestru kelazatan menikmati keuntungan itu ketika berhasil dengan ikhlas menghargai, memuliakan, dan menolong orang lain. Cukup ini saja! Perkara berterima kasih atau tidak, itu sama sekali bukan urusan kita. Dapatnya kita menghargai, memuliakan, dan menolong orang lain pun sudah merupakan keuntungan yang sangat luar biasa.

Sungguh sangat lain bagi ahli dunia, yang segalanya serba berkira, balas membalas, serta ada imbalan atau tidak berimbalan. Jangan hairan kalau para ahli dunia itu akan banyak letih kerana hari-harinya selalu penuh dengan tuntutan dan penghargaan, pujian, dan sebagainya, daripada orang lain. Terkadang untuk mendapatkan semua itu ia mereka-reka perkataan, penampilan, dan banyak hal demi untuk meraih penghargaan.

Bagi ahli zuhud tidaklah demikian. Yang penting kita buat tontonan kehidupan ini seproporsional mungkin, dengan menghargai, memuliakan, dan membantu orang lain tanpa mengharapkan imbalan. Inilah keuntungan-keuntungan bagi ahli-ahli zuhud. Lebih merasa aman dan menyukai apa-apa yang terbaik di sisi Allah daripada apa yang didapatkan dari selain Dia.

Akhirnya, siapapun yang merindukan hatinya bercahaya kerana sentiasa dicahayai oleh nuur dari sisi Allah, hendaknya ia berjuang sekuat-kuatnya untuk berhijrah, mengubah diri, mengubah sikap hidup, menjadi orang yang tidak mencintai dunia, sehingga jadilah ia ahli zuhud.

"Adakalanya nuur Ilahi itu turun kepadamu", tulis Syaikh Ibnu Atho’illah dalam kitabnya, Al Hikam, "tetapi ternyata hatimu penuh dengan keduniaan, sehingga kembalilah nuur itu ke tempatnya semula. Oleh sebab itu, kosongkanlah hatimu daripada segala sesuatu selain Allah, nescaya Allah akan memenuhinya dengan makrifat dan rahsia-rahsia."

Subhanallaah, sungguh akan merasakan hakikat kelazatan hidup di dunia ini, yang sangat luar biasa, siapapun yang hatinya telah dipenuhi dengan cahaya dari sisi Allah Azza wa Jalla. "Cahaya di atas cahaya. Allah membimbing (seorang hamba) kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki ..." (surah An Nuur [24] : 35).

PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2017


Tiada ulasan: