JASNI MATLANI
Sesungguhnya menulis puisi bagi saya selalu menghadiahkan kepuasan yang lain berbanding menulis cerpen atau novel. Dalam kepadatan kata, saya merasa seperti melakukan perjalanan jauh mencari diri. (Dongeng Perkebunan)
RAMLI A.R.
Menulis puisi bukanlah perkara mudah. Dalam kesukaran itulah hadirnya pengalaman yang indah dan menyegarkan. Kemampuan untuk mencipta tetap ada dalam setiap diri kita, selagi kita mampu memberi nafas kepada setiap pengalaman yang pernah kita lalui. Pengalamanlah yang menjadi nafas utama kepada mesej puisi-puisi saya. (Negeri Wangi)
DR RAMZAH DAMBUL
Puisi datang dari segumpal perasaan yang maha dalam. Kemudian penyairlah yang memilih kata-kata untuk menzahirkan perasaan itu, dengan hasrat orang lain juga akan turut merasakannya, sedalam yang dirasai penyair sendiri.
Puisi bukan sejenis wacana atau hikayat. Yang mana penulis diberi kesempatan yang cukup luas untuk memberitahu pembaca, secara panjang lebar, apa yang mereka belum tahu dan perlu tahu. Puisi cuma satu naratif pendek yang cuba mengajak pembaca berkongsi rasa emosi yang mengalir secara natural. Puisi tidak dituntut berhujah, kecuali jika genre ini sengaja dipesong menjadi prosa bertele-tele. (Deja Vu Cinta Pencari Katarsisi)
NIM YORZA
Ketika menyiapkan himpunan pusi yang dimuatkan di dalam buku ini, aku hilang dalam diri sendiri. Menikmati keindahan gugusan kata dan makna demi mewujudkan aku yang lain di dalam potongan-potongan ayat. Ya, aku hanya ingin hidup selamanya. Hidup di alam kata-kata, di dalam buku-buku yang akan kekal zaman berzaman. Aku ingin kekal hidup dalam ingantan insani bersama mengeksplorasi pemikiran yang digarap lewat tulisan. Aku tidak semestinya benar, namun tidak juga selalunya salah. (Hijab Merdeka)
NORAWI HAJI KATA
Menulis puisi merupakan satu tuntutan jiwa yang perlu diteruskan untuk tatapan diri dan juga khalayak pembaca. Bagi saya, puisi bukan setakat gambaran emosi semata, tetapi gambaran pengalaman penulis di sisi masyarakat di mana alam sekeliling sebagai pentasnya. Saya amat seronok jika mengalami kesepian dan memang benarlah dikatakan bahawa sepi itu indah kerana ia sebagai pendorong untuk saya terus menulis puisi. Saya amat gemar menyendiri, tetapi ada ketikanya saya amat gemar menghayati telatah manusia yang pelbagai. (Akta Batin)
SAHARA JAIS
Puisi seakan-akan menjadi tilam empuk kepada saya. Melenakan dan melegakan rasa. Zahirnya, paling tidak menjadi terapi merawat kesedihan atau kedukaan dan paling tidak menjadi suatu catatan yang menceritakan sirah atau perjalanan kalbu dalam dunia nyata. Segala ciptaan dan anugerah Allah menjadi inspirasi dan ilham yang akhirnya menjadi barisan kata-kata semanis halwa. Sesuatu yang aneh kerana nukilan puisi merupakan ilham yang misteri. Datangnya ungkapan-ungkapan yang tidak disangka-sangka dan perginya tidak akan datang semula. Ia jatuh seperti kelopak mawar lembur di tanah fikir, pergi seakan-akan bayang-bayang yang tidak tergenggam oleh jemari. (Jelita Seorang Aisyah)
HASYUDA ABADI
Puisi adalah sebuah mitos kecil tentang kemampuan manusia untuk membuat hidupnya bermakna. Puisi, pada akhirnya, bukan sesuatu yang kita lihat malah yang lebih tepat, puisi adalah cahaya yang membuat kita melihat sesuatu lebih jelas dan sesuatu itu hidup. Puisi harus sentiasa hidup dalam kehidupan. (Kembali di Lahad Rahsia)
ZAITON AJAMAIN (DATUK HAJAH)
Saya lebih senang menulis tentang diri dan Tuhan. Mungkin kerana sebagai insan-Nya, saya dalam proses mengenal dan mendekati-Nya, untuk selanjutnya mengenali diri. Saya lebih senang apa saja getar dan genta rasa yang dilalui oleh sukma, apa yang berlaku di sekeliling yang menyentuh diri, sahabat-sahabat yang akrab dan keluarga. Inilah domain saya. Sebagai seorang penyair beragama Islam, saya rasa dalam menghasilkan karya, di saming mementingkan kualiti yang tinggi, kita perlu mendekati dan memahami serta menyampaikan kebenaran. Inilah juga tuntutan Islam. Allah telah mengurniakan kita keistimewaan akal, maka kita sebagai insan-Nya hendaklah memanfaatkan sepenuhnya dan sebaik mungkin.
Rasa insaf dan sedar bahawa daya cipta, imaginasi, akal dan intuisi saya bukanlah ciptaan saya semata, tetapi anugerah Allah S.W.T yang perlu dianggap sebagai asset yang diamanahkan ke atas saya dengan penggunannya yang perlu dipertanggungjawabkan pula pada hari kemdian, memungkinkan saya akhirnya menghasilkan puisi-puisi yang berusaha mengungkapkan kerendahan hati atau rasa tawaduk, menghindarkan diri dari rasa kepongahan. (Bagai Layang-Layang)
MABULMADDIN SHAIDDIN
Puisi ialah pernyataan-pernyataan singkat tentang fikiran dan perasaan mengenai apa yang sedang dialami. Puisi merupakan bentuk-bentuk ujaran yang istimewa yang tidak mengkehendaki apa pun pandangan individu lain.
MABULMADDIN SHAIDDIN
Puisi ialah pernyataan-pernyataan singkat tentang fikiran dan perasaan mengenai apa yang sedang dialami. Puisi merupakan bentuk-bentuk ujaran yang istimewa yang tidak mengkehendaki apa pun pandangan individu lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan