Selasa, Ogos 04, 2015

BICARA KARYA - Kumpulan Puisi 'Mahagar'

MENELUSURI KEINDAHAN DALAM 'MAHAGAR'
KARYA NORJANNAH M.A.

SABAH menjadi antara negeri-negeri di Malaysia yang melahirkan ramai penulis berbakat termasuk dalam kalangan wanita. Penulis-penulis seperti Suhani S., Zaiton Ajamain, Rubiah Nordin, Sairah Haji Antin, Dayang Aminah Ali, Sal
bia Mahmud disusuli oleh Mariam Omar, Siti Rahmah G Ibrahim, Anas Ansayu Ogos, Obasiah Haji Osman, Siti Hadiah Abdul Mutalib seterusnya nama-nama seperti Ruhaini Matdarin, Faridah Abdul Hamid, Pena Alam, Ony Latifah Osman, Sahara Jais, Ramlah Abd Rashid, Dayangku Masturah Pengiran Ismail, Kathirina Susanna Tati, Norjanna M.A, Jaliha Jaman dan ramai lagi. Dalam genre puisi sebahagian nama-nama besar telah disebutkan. Daripada nama-nama itu,  Suhaini S atau nama sebenarnya Datuk Hajah Noraini Datuk Salleh, Zaiton Ajamain dan Sairah Haji Antin merupakan penerima anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah. Anugerah ini adalah sebuah penghargaan yang dikhususkan kepada para penulis beragama Islam yang telah mencapai satu tahap kecemerlangan dalam bidang penulisan di negeri Sabah. Lebih daripada itu kecemerlangan paling berprestij yang pernah diraih oleh penulis wanita di Sabah ialah melalui anugerah SEA Write Award yang diterima oleh novelis terkenal Azmah Nordin.

Dalam perkembangan penulisan kreatif di Sabah, jumlah para penulis sentiasa bertambah termasuklah dalam genre puisi. Dari segi gender, penulis wanita menjadi pesaing yang luar biasa dengan penulis lelaki terutama sekali novel dan cerpen. Namun bagi puisi, golongan hawa ini masih jauh ke belakang apabila diambil kira dari segi penerbitan buku dan bahkan karya-karya eceran di media arus perdana. Berbanding novel, hanya sebilangan kecil penulis-penulis yang berwibawa mengambil inisiatif mengumpulkan karya-karya mereka untuk diterbitkan sebagai karya buku persendirian. Buku-buku yang telah diterbitkan misalnya karya Zaiton Ajamian berjudul 'Bagai Layang-Layang' pada tahun 1991, Kumpulan Puisi 'Pelayaran' karya Rubiah Nordin, Kumpulan Puisi 'Bisikan Nurani' karya Dayang Salmah Salam, Kumpulan Puisi 'Perahu' karya Ramlah Abd Rashid dan Kumpulan Puisi 'Mahagar' karya Norjannah Mohd Adnan.

Dari segi penghasilan buku-buku puisi persendirian di Sabah, kelahiran Mahagar dan Perahu dianggap sebagai satu fenomena ledakan dunia penerbitan yang luar biasa di Malaysia. Namun kedua-dua buku agak berbeza disebabkan Perahu merupakan hasil peraduan penulisan anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia pada tahun 2013 sedangkan Mahagar lahir atas inisiatif penulisnya apabila ITBM diberikan mandat menerbitkan buku-buku sastera oleh Kerajaan Malaysia. Kebangkitan para penulis begitu terserlah apabila dalam tempoh dua tahun di mana para penulis Sabah juga ikut sama-sama mengambil peluang ini.

Dalam tulisan ini, Mahagar akan diberikan tumpuan. Pengarangnya, Norjannah M.A bukanlah seorang penulis baharu lahir kerana beliau telah menceburkan dirinya  dalam bidang penulisan sejak 1989 tetapi terhenti pada tahun 1991 apabila berhijrah  dari Sabah ke Pulau Pinang. Beliau aktif semula menulis pada tahun 2010 seterusnya melahirkan sebuah buku puisi pertamanya, Setia Mengalir. Setia Mengalir diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) pada 2011. Di peringkat awal, Norjannah cenderung menghasilkan cerpen. Menurut catatan Zaiton Ajamain yang memperkatakan Setia Mengalir, sungguhpun bidang penulisan cerpen memberikan ruang yang cukup luas untuk mengongsikan segala cerakinan dan cerapan pemerhatian serta pemikiran berbending genre puisi yang bergantung besar kepada pengungkapan segala rasa melalui pemilihan kata atau ungkapan yang amat terbatas, akhirnya Norjannah memilih genre puisi.

Dalam Mahagar, yang mengandungi 49 buah puisi, ini mengekalkan pendekatan Norjannah menggarap persoalan-persoalan diri, merakamkan kasih akan Maha Pencipta dan rakaman episod-episod kehidupan yang dilaluinya. Semasa menerima buku kecil daripada penulis yang berasal dari Kampung Batangan Tuaran ini, kata pertama yang menjadi persoalan ialah makna 'mahagar' itu sendiri. Ternyata kata 'mahagar' tidak terdapat dalam Kamus Dewan atau mana-mana kamus yang dirujuk. Pada blurb buku ini memberikan jawapan bahawa Mahagar ialah sebuah nama, rasa kasih yang mengikat dan rasa bersalah yang menjelma. Mahagar adalah nama adik bongsu pengarang.

Kepengarangan Norjannah M.A. keseluruhannya tertumpu kepada aspek keTuhanan. Meskipun secara organiknya, beliau telah mengadaptasi rentetan kehidupan diri dan pengalamannya dalam dunia yang teradun bersama-samanya persoalan kemasyarakatan, cinta dan kasih sayang. Norjannah M.A telah melalui jerih perih kehidupan di negeri orang begitu lama. Beliau intim dengan dirinya sendiri. Dalam situasi ini Norjannah M.A harus memiliki kekuatan atau jati diri yang luar biasa. Sebuah catatan penting pernah ditulisnya dalam buku Setia Mengalir: saya sering mengingati pesan ibu saya, Surip Salmi Balanting. Katanya, sayangi orang-orang yang ada di keliling kamu, biarpun mereka akan menyakiti kamu dan kamu harus selalu sabar kerana Tuhan sayang orang-orang yang sabar. Kata-kata ibu saya banyak mengajar saya untuk menghargai makna sebuah kasih sayang kasih sayang mengajar saya bermuhasabah, mengenal diri dan mengenal Tuhan.

Pelbagai cabaran diharunginya, Norjannah memberikan jawapan:

'Dalam ujian-Nya aku sudah siap
di setiap gelanggang
aku harus tenang
sabah dan tabah
dan yang penting
aku harus lebih bijaksana
mengemaskan sebuah kapal
sebelum meneruskan pelayaran'
('Inilah Jawapan', m.s 4)

Seputar menelusuri rahsia kehidupan tanpa disedari kita sebenarnya sedang menyembunyikan suara yang amat mendekam di dalam fikiran. Sesuatu yang tidak mungkin mampu dibongkar dalam keadaan yang biasa namun demikian diksi sebagai kalimah puitis sentiasa mewarnai episod demi episod pencitraan. Di situ moral perkisahan batiniah dipelihara. Persetiaan sebagai insan yang lembut tetapi tabah mengakari ciptarasa seorang penulis. Sebagai wanita yang hebat dan menjadikan suara ibunya sebagai ikon dalam mengharungi ujana perjalanan hidup, Norjannah M.A tidak pernah gentar meneroka cabaran hidup. Kata kunci sebagai pegangannya iaitu kembali kepada yang Haq. 'Cinta Sempurna', suara jiwanya berkata:

Saat pintu hijrah mengetuk diri
dalam lindungan rahmat-Nya
percikan dari Nur hikmat-Mu
melalui musim-musim luka
menongkah arus takdir-Mu
sabar dalam duga yang mencabar
mengembalikan iman menyeberangi takwa
(Cinta Sempurna, m.s. 3)

Insan yang sensitif terhadap perjalanan kehidupan yang penuh dengan pelbagai rahsia, sentimen dan nilai sentiasa akan menghargai masa lalunya. Sesetengah individu tidak ingin mengingati kembali peristiwa yang laluSebuah sentimen akan melabuhkan tanggapan yang mungkin di luar dugaan biasanya wujud pandangan yang negatif. Sedangkan kehidupan yang dianugerahi Allah s.w.t merupakan sesuatu yang harus dinikmati dengan positif. Natijahnya, persengketaan tidak pernah kunjung selesai. Norjannah M.A menulis bahawa 'syurga bukan lagi pilihan, falsafah diri menjadi pertikaian' (Persengketaan, m.s. 16).

Kesedaran sebagai penulis Muslimah yang penuh dengan susila dan adab, Mahagar antara karya yang wajar diberikan perhatian. Walaupun, Norjannah M.A merupakan seorang mualaf seluruh jiwanya tumpah ke arah adabiah seorang Muslimah sejati. Jiwa seperti ini harus berada di dalam setiap diri penulis. Sifat persuratan dalam Islam, seperti ditegaskan oleh Prof. Ismail Al-Faruqi, rahimahullah, 'gabungan isi kandungan yang luhur dengan bentuk yang luhur' diisyaratkan dalam al-Quran seperti berikut:

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan  kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat (tegak) sedikit pun. Allah             meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki. (14: 24-27)

Kesusasteraan yang demikian sifatnya, menurut Mohd Affandi Hassan, hanya dapat dilahirkan oleh para penulis yang beradab, yang beriman, yang mengerjakan amal salih. Al-Quran mengutuk penulis (penyair) yang berbohong, munafik, yang bermain dengan mata-kata tanpa tujuan yang baik dan pendirian yang benar.

Dalam Mahagar, pengarang mengutus perasaan cintanya secara beradab, misalnya dalam'Sajak kepada Awan Indah':

Kupinjam bahasamu awan indah
kerana aku merindumu
pada alur liku diksi puisimu
adalah roh akrab menyatu
menyeberangi rindu
bicara tentang Mahizatul Hasanah
tentang nafsu mutmainah
terapung di ujana kalbu
menterjemah makna ratib qasidah
memelihara sinar agar tak lebur dek cahaya

(Sajak kepada Awan Indah, m.s. 51)

Sebelum itu, melalui puisi 'Si Baju Merah di Negeri Rembulan', pengarang meceritakan kerinduannya. Impian sebuah pertemuan yang tertangguh diungkapkan melalui objek 'baju merah' yang menggambarkan sebuah rindu yang berkobar sedang 'di Negeri Rembulan' menyatakan hasrat yang bertarung dalam kesamaran. Norjannah M.A merakamkan isi hatinya,

mengucap salam menyapa Jannah
zikir kasih tidak bernoktah
istikharah rindu membius ke jiwa kejora
si baju merah dengarkan suara hati
bersatukan cinta di negeri rembulan?
tak rekah wajah si baju merah
semakin merimbun pohon hijau
bernyawa cinta
meski ada mega menguji langkah
keberangkatan kejora
berlabuh di dermaga setia
mencunbu malam-malam
tahajudnya.

(Si Baju Merah di Negeri Rembulan, m.s. 18)

Kesinambungan terhadap puisi-puisi indah dalam Mahagar sebenarnya mempunyai pertalian antara satu dengan yang lain. Puisi 'Nyawa Cinta' tidak terlepas daripada ikatan citraan cinta. Penciptaan puisi ini terlalu tinggi nilainya.

aku tidak membohongimu awan indah
semilir di Pulau Memutik atau cumbu bayu
di pesisir Kuala Tombol dan Pulau Manukan
aroma perkasihan saat ini adalah persetiaan
meski sesekali ada ribut yang telah terencana
menggerinjiskan doa munajat yang menghiasi
cahaya nafas mentari kita memasang sayap
terbang menyeberangi mendakap reda Ilahi
tak terungkap kata di saat aku mencari ...
(Nyawa Cinta, m.s. 74)

Mahagar mempersembahkan sebuah karya sastera kreatif yang kaya dengan unsur-unsur keindahan. Puisi harus indah. Tanpa unsur keindahan puisi tidak mungkin terbangun dalam kesatuan sebagai karya yang baik dibaca. Keindahan membentuk nilai yang membawa secara semula jadi ke arah memahami sesebuah karya. Sebagai sebuah karya kreatif, penyair melahirkan pemikirannya menerusi pembinaan kata-kata terpilih membentuk ungkapan-ungkapan dalam pelbagai jenis gaya bahasa. Penyair tidak perlu memaksa sesuatu idea atau gagasan pemikiran itu dilahirkan tanpa perenungan. Dengan renungan yang mendalam suatu kesan yang terbaik bakal dicerna.

Pengalaman atau peristiwa masa lalu dialami setiap insan. Keistimewaan merungkai semula peristiwa-peristiwa masa sudah boleh berlaku dalam kehidupan. Di dalam yang mengandungi kepelbagaian emosi seperti rasa rindu, sedih, gembira dan sebagainya. Gambaran peristiwa yang berbaur dalam keanekaragama suasana memberi impak tersendiri dalam mengungkapkan perasaan. Sikap terhadap pemikiran yang ingin dikongsikan lazimnya menceritakan tentang diri sebagai salah satu langkah pemaparan biografi dalam bentuk kreatif.

Aku akan ijab kabulkan bahasa kita
Sebagai hadiah buatmu

Apakah yang kita temukan dalam ungkapan-ungkapan di atas? Sebuah ungkapan yang amat selektif biasa tetapi indah.

berkurun lama kita tak pernah
mencari kata-kata yang paling baik
(Sajak Pengantin, m.s 46)

Konsep keindahan itu sendiri sangatlah abstrak, ia identik dengan kebenaran. Batas keindahan akan behenti pada pada sesuatu yang indah dan bukan pada keindahan itu sendiri. Keindahan mempunyai daya tarik yang  selalu bertambah,  sedangkan yang tidak ada unsur keindahannya tidak mempunyai daya tarik. Orang yang mempunyai konsep keindahan adalah orang yang mampu berimaginasi, rajin dan kreatif dalam menghubungkan benda satu dengan yang lainnya. Dengan kata lain imaginasi merupakan proses menghubungkan suatu benda dengan benda lainsebagai objek imaginasi. Demikian pula kata indah diterapkan untuk persatuan orang-orang yang beriman, para nabi, orang yang menghargai kebenaran dalam agama, kata dan perbuatan serta orang–orang yang saleh merupakan persahabatan yang paling indah.

Jadi keindahan mempunyai dimensi interaksi yang sangat luas baik hubungan manusia dengan benda, manusia dengan manusia, manusia dengan Tuhan, dan bagi orang itu sendiri yang melakukan interaksi.

Misalnya dalam puisi 'Akad Bahasa', keindahan yang telah dilakukan pengarang dengan memilih kosa kata yang luar biasa. Puisi bernada sinis ini ingin menyampaikan sikap sambalewa sesetengah orang terhadap sesuatu isu penting:

Masih keliru
bagai ayam putih terbang siang
ayam hitam terbang malam
air setitik dilautkan
tanah sekepal kaugunungkan

Rindumu
bagai air di daun keladi
bagai hujan jatuh ke pasir
bagai ikan terkena tuba
bagai kaduk naik junjung

Kau kembali
bagai tikus membaiki labu
Bagai diam ubi berisi
rumah siap
pahat masih berbunyi

Berhentilah
menjadi kekura
di atas dahan.
(Akad Bahasa, m.s. 53)

Pengungkapan keindahan dalam karya seni didasari oleh motivasi tertentu dan dengan tujuan tertentu pula. Motivasi itu dapat berupa pengalaman atau kenyataan mengenai penderitaan hidup manusia, mengenai kemerosotan moral, mengenai perubahan nilai-nilai dalam masyarakat, mengenai keagungan Tuhan, dan banyak lagi lainnya. Tujuannya tentu saja dilihat dari segi nilai kehidupan manusia, martabat manusia, kegunaan bagi manusia secara kudrati.

Dalam bidang puisi keindahan dan estetik dapat dikesan melalui keseimbangan bentuk luaran dan dalaman. Isinya juga mengalami transformasi ke arah pembaharuan nilai. Keindahannya, seimbang dalam nada, diksi, rima, ritma, matra suku kata, asonansi, simile, merupakan elemen-elemen penting khususnya dalam karya sastera khususnya puisi. Selain itu, ada nilai falsafah yang sederhana, kekuatan idea dan pemikiran serta kekuatan penguasaan bahasanya membawa dan memilih gaya baharu.

Menurut pandangan Dr. Sidi Gazalba, seni sebagai penjelmaan rasa keindahan umumnya, rasa keterharuan khususnya, untuk kesejahteraan hidup. Rasa ini disusun dan dinyatakan oleh fikiran sehingga ia menjadi bentuk yang dapat disalurkan dan dimiliki. Dalam pengertian "menciptakan bentuk-bentuk yang menyenangkan adalah tiap orang terlibat dengan kesenian dalam kehidupan sehari-hari".

Justeru, setiap karya yang dicipta mestilah meliputi keindahan dalaman isi, keindahan alam fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman, keindahan luaran, keindahan mutlak dan keindahan rohani yang kesemuanya dapat diseimbangkan dalam karya yang dicipta.

Begitulah, sukar dan payah setiap pengkarya sastera menghasilkan karya yang baik disertai dengan nilai-nilai keindahan dan estetik yang unggul. Kekuatan bahasa dan keindahan pengarang menggunakan bahasa yang indah dan berkesan akal kekal dalam ingatan para pembaca yang akhirnya memberikan teladan yang baik kepada mereka.

Mahagar sudah tentu bukan sebuah karya yang selesai bagi Norjannah M.A kerana pengarang luar biasa ini mempunyai masa depan yang cemerlang dalam perpuisian tanah air. Pengarang ini yang turut menjadi antara pemerima Hadiah Sastera Sabah pada tahun 2014 percaya masa depan sastera kreatif memberikan ruang kepadanya menyatakan sikapnya terhadap perjalanan hidup. Beliau yang akrab dengan tema serta persoalan pertasdikan atau pentauhidan hamba-Nya sangat signifikan dalam sebahagian besar karya-karyanya. Kebijaksanaan Norjannah M.A bermain dengan kata-kata, memilih diksi yang sesuai memberikan kekuatan kepada semua karyanya dalam Mahagar.  Bagaimanapun terdapat kekurangan yang amat nyata dalam Mahagar iaitu ketiadaan penjelasan kosa kata-kosa kata bahasa Arab dalam bentuk glosari. Secara keseluruhan, Mahagar memberikan kepuasan nilai keindahan yang tersendiri yang boleh dipertanggungjawabkan. Kesimpulan yang sederhana ini diyakini memberi iltizam yang lebih tinggi agar Norjannah M.A mampu mempertingkatkan lagi tahap kepengarangannya sekali gus memartabatkan puisi sebagai genre yang disukai generasi masa kini.


BIBLIOGRAFI

Hamidah Abdul Hamid. (1995). Pengantar Estetik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Affandi Hassan. (1992). Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norjannah M.A. (2011). Setia Mengalir. Wilayah Persekutuan Labuan. PERWILA.

____________ (2013). Mahagar. Kuala Lumpur. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Suwardi Endraswara. (2002). Metodologi Penelitian Sastra Epistemologi, Model, Teori dan Aplikasi. Jakarta. CAPS.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: