DI SEBUAH negeri yang hilang dari sejarah,
terjadi kegalauan penduduknya apabila perkhabaran adanya seekor toyol yang
tidak diketahui asal usulnya. Ada yang memberitahu toyol itu dipelihara oleh
seorang bomoh di hujung bukit. Ada yang bersangka dia dibawa oleh seorang
saudagar bintang kebesaran dari tanah besar. Bahkan ada maklumat bahawa toyol
itu sesat dari negeri seberang. Banyak sekali spekulasi. Banyak juga persepsi
mengenainya. Seekor toyol kini menjadi gergasi pula! Ikuti anekdot ini.
Beberapa orang perempuan sedang bersembang di
bawah sebuah batu besar. Tetapi yang
rancak bercerita hanya dua orang. Seorang perempuan gempal dan tinggi, wajahnya
sedang-sedang tetapi matanya tidak bertumpu ketika melihat temannya. Seorang
lagi kurus kecil, rambutnya kekuningan akibat cuaca di pulau. Si perempuan
gempal inilah yang membawa cerita tentang seekor toyol sedang bermaharajalela
di pulau.
'Betul, kalau tidak percaya, nanti aku panggil
di Kiram mata biru itu.,' katanya apabila si perempuan kurus itu mengulangi
keengganannya untuk percaya, sebagaimana hari-hari sebelumnya.
'Manalah ada. Kalau ada habislah duit aku kena
kebas! Lagipun banyak mana duit orang-orang di pulau ini.' Sambil ketawa
terbahak-bahak, si perempuan kurus, mengusap-usap mukanya.
'Kau jangan sombong sangat, kalau toyol itu
sampai di bilik rumahmu, rasalah nanti,' sambungnya.
'Cubalah,
aku terajang si ketot itu. Bila dia pengsan aku ikat tangan dan kaki dia.
Kemudian aku masukkan ke dalam reban ayam, biar dia tinggal bersama ayam. Eh,
jangan, jangan reban ayam, habislah ayam-ayam aku nanti. Aku gantung dia di
kandang babi, baru dia rasa kena kerjakan oleh babi-babi itu!' Perempuan kurus
itu pun bangun dan menari-nari. Dia melompat-lompat. Kemudian dia menangkap
akar-akar yang berjuntaian di atas batu besar itu. Dia mula bernyanyi.
Toyol
Toyol
Toyol
kalau
kau toyol
marilah
ke sini...
marilah
ke mari
kita
sama-sama menari
kita
sama-sama menyanyi....
Perempuan
gempal itu mula naik angin kerana dia seperti diperolok dan dipermainkan. Dia
juga bangun dan membetulkan celananya yang hampir terlondeh. Tanpa menghiraukan
perempuan kurus itu, dia berteriak
sekuat hati. 'Toyol! Mari kau ke sini! Tunjukkan muka kau!' Besar sekali
suaranya hingga anak-anak ayam yang lalu bertempiaran lari. Begitu juga
budak-budak yang bermain-main di situ menghindarkan diri daripada kumpulan
perempuan itu. Perempuan-perempuan yang lain mulai beredar. Barangkali
budak-budak dan para perempuan itu berfikir, dua orang perempuan ini memang
sudah hilang akal. Perempuan gempal ini bertempik lagi sambil
menghentak-hentakkan kedua-dua belah kakinya. Bergegar-bergegar badannya.
'Tengoklah, sekejap lagi toyol itu akan keluar dari hutan.' Sambil menunjukkan
kedua-dua tangannya ke arah hutan di atas bukit pulau itu.
Terdiam
perempuan kurus itu. Matanya liar melihat ke kanan dan ke kiri. Dia lepaskan
dirinya daripada tali akar yang melingkari dirinya. 'Hei, aku tanya ni. Aku
fikir kau sukakan toyol itu, jangan-jangan kau dapat sesuatu dari dia ar?
Betulkan? Betulkan?' Perempuan kurus itu mendekati. Disentuhnya hidung pesek
perempuan gempal itu. Dia seperti mendesak.
'Kau gila!' Perempuan gempal itu ketawa.
'Kenapa tidak, kan toyol itu banyak duit. Kau
bilang dulu, si toyol itu sering berjalan dari pulau ke pulau. Dia sudah ambil
banyak duit orang. Silap-silap duit para orang kaya di tanah besar. Duit orang
miskin. Duit para nelayan. Kau jangan tipu ya?'
'Hei, perempuan kurus kering, jangan kau fikir
aku gempal kerana kenyang dari toyol itu. Aku ada laki. Aku ada anak. Mereka
semua bekerja. Mereka rajin cari duit. Bukan macam kau. Laki kau pemalas. Asyik
meminta sahaja. Layak macam pengemis. Ya, betul memang mengemis!' Perempuan
gempal itu kembali duduk di bawah batu besar. Dia ambil daun sirih. Dia taruh
kapur dan pinang yang sudah dikupasnya di rumah.
'Jangan hina laki aku. Biarpun dia begitu, dia
tetap laki aku. Aku bini dia yang sangat
sayangkan dia dan patuh pada dia. Kita ni manusia yang asa otak. Fikirlah
sedikit. Memang kita susah. Apa sahaja yang laki aku bawa pulang kami terima.
Bersyukurlah. Hidup bersederhana sahaja. Tidak mengada-ngada. Kau itu lain,
selalu belayar ke seberang. Aku fikir-fikir manalah kau mampu. Anak beranak
lagi tu, makan angin. Aku tahu, jadi macam kami ni hidup susah dan tidak mahu
susahkan orang, tengok sahaja. Laki aku cakap, biarlah. Jika kita mahu kita
pergi biarlah bersampan. Tidak payah pakai kapal besar. Sampai juga kita ke
bandar tu. Ini negeri kita, pulau ini tempat kita. Jangan cepat terpengaruh.
Kita tidak tahu orang lain itu dapat duit dari mana? Diorang curi barangkali,
atau si toyol itu yang beri!'
Panjang
celotehnya. Perempuan kurus itu tidak mahu berhenti bercakap. Walau pun
perempuan gempal berusaha untuk memotong kalimahnya. 'Aku percaya kau dapat
duit dari toyol itu kan?' Diulangi lagi kenyataannya. Perempuan gempal itu
diam.
'Nah, kalau diam, betullah tu kan?'
'Tapi, kau jangan bagi tahu orang lain. Kalau
kau mahu aku boleh minta tolong dia,' perempuan gempal itu tidak dapat
mengelakkan dirinya lagi. 'Kalau si Kiram Mata biru itu tahu, habislah aku. Kau
tidak tahu, dia tu sukakan sangat anak perempuan aku. Bila dia bagi tengok duit
dia, laki aku mula mulai risau.'
'Kenapa dia risau?'
'Kenapa tidak, apalah kerja si Kiram mata biru
tu. Duit dia banyak. Aku ingat dia ni yang jadi toyol tu.'
'Kenapa pula begitu?'
'Mana bah ada toyol sekarang ni. Ya rasa,
gergasi si Toyol tu si Kiram nilah.'
Aduh, si perempuan kurus menggaru-garu
kepalanya. Angin mula berhembus agak berat. Malam sedang tiba.
'Patutlah tu, dia boleh bawa kapal, besar!'
'Dia tu pintar. Pandai bercakap tapi putar
ular!'
'Kau pula kenapa dengar cakap dia?'
'Payah ni nak cakap, aku mahu anak aku senang. Nanti
dapat tinggal di bandar. Lama sudah aku tinggal di pulau ini. Di pulau ini apa
yang ada.'
'Jangan begitu, kita dibesarkan di pulau ini.
Sama-sama kita membesar di sini. Susah, susah juga. Tapi, apa boleh buatlah,
itu nasib kau. Anak kau juga. Jangan sampai nanti di tanah besar dia diabaikan.
Buat kerja yang bukan-bukan. Bukan kau tidak tahu banyak cerita di bandar tu.
Tidak bagus budak-budak perempuan berada di sana kalau belum sampai masanya.'
'Tidak boleh dielak sudah ni. Laki aku sudah
setuju. Dengan syarat si Kiram mata biru bagi kami kesenangan. Kami tahu dia
boleh bagi. Kalau orang-orang luar dia boleh bantu kenapa kami tidak? Nah,
besok lusa, diorang bagi bintang kebesaran di tanah besar itu kepada orang luar
itu, siapa tahu kan?'
Perempuan kurus sepatutnya mahu juga berhujah,
tapi dia berfikir semula. Kalau dia mahu bercakap antaranya begini: 'ada
masanya orang mahu senang tapi bukan senang hidup senang. Dia tidak mahu susah
dulu baharulah senang. Maka, caranya senangkan orang dengan gigih, pandai
bercakap, bercakap untuk kepentingan diri siapa peduli. Asalkan muka nampak
baik. Semua orang percaya.' Tapi dia tidak mahu bercakap lagi. Dia diam. Dia
hanya menyimpul senyuman. Entah mengapa.
Rupanya, si perempuan gempal mahu berangkat
pulang. Si Kiram mata biru sedang menuju ke rumahnya. Ada persoalan dalam
fikiran perempuan kurus itu, siapakah yang bersama si Kiram bermata biru itu?
Dia nampak dua mahluk bersama si Kiram,
seorang ketot dan seorang besar tinggi menggalah yang menggendong mahluk
ketot, pada masa itu.
Pasti ada sesuatu, fikirnya, lalu dia segera
beredar balik ke rumah. Berlari-lari anak meredah gelap. Bayangkan andai ada
gergasi dan seekor toyol benar-benar berada di bilik rumahnya. Dia harus siap
sedia untuk melawan segala kejahatan. Lariannya semakin kencang. Palis-palis!
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan